Tuesday, March 18, 2008

Ulasan Berita

Kerajaan Baru Selangor Cerminkan Langkah Positif

WALAUPUN belum sampai seminggu Khalid Ibrahim menjadi MB Selangor namun beberapa langkah positif telah mula kelihatan. Gambaran awal ini memberi keserokan dan keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan campuran PKR-DAP dan Pas di Selangor akan dapat memberi jamainan baru kepada rakyat.

Sudah pasti kalau langkah awal itu menjadi aspirasi dan teladan kepada Kerajaan Selangor hari ini, impian BN untuk melihat kerajaan itu binasa di sekerat jalan tidak akan kesampaian.

Beberapa langkah yang positif yang dipersetujui rakyat ialah seperti pemberian 20 meter padu air yang bernilai RM11 untuk setiap buah rumah. Walaupun nilai itu tidak seberapa tetapi ia menunjukkan komitmen Kerajaan Seangor untuk kesejahteraan rakyat.

Cadangan untuk mengkaji balik perjanjian serta rundingan dengan konsensi bekalan air seperti Puncak Niaga dan syarikat bekalan Air Selangor (Syabas) adalah tindakan positif untuk meringan bebanan rakyat. Sewajarnya perjanjian dan rundingan itu yang dikatakan telah diputuskan oleh MB sebelum ini dikaji atau dibatal balik kerana ia memberi keuntungan kepada segelintir Melayu sahaja.

Jelas sekali tindakan dan kajian itu dibuat semata-mata untuk rakyat dan tidak bermotif untuk mengkayakan kroni atau individu tertentu seperti mana dilakukan oleh bekas kerajaan sebelum ini.

Begitu juga cadangan Khalid untuk menyediakan pekerjaan kepada para beliau adalah tindakan positif sekaligus menggambarkan kerajaan sekarang ini prihatin kepada masalah pengangguran dan membela nasib belia yang tidak bekerja.

Satu lagi langkah yang bakal diambil ialah untuk menjual kompleks Exco di Seksyen 7 Shah Alam adalah satu pengorbanan besar kerajaan pimpinan Khalid. Sekiranya kediaman untuk Exco dan pegawai Kerajaan yang bernilai lebih RM40 juta itu dijual ia menandakan Kerajaan Selangor yang baru ini tidak suka kepada glamour sebaliknya berpijak di bumi nyata.

Alangkah baik dan membanggakannya lagi kalau wang daripada penjualan kompleks rumah Exco berkenaan digunakan untuk membantu rakyat marhean seperti membina penempatan baru setinggan yang sebelum ini rumahnya dimusnahkan oleh Mohamad Khir Toyo bawah program setinggan sifir.

Sudah barang tentu langkah-langkah itu akan mendapat sokongan rakyat dan ia bertepatan dengan motto parti yang menjadi tunggak dalam kerajaan campuran itu, iaitu Keadilan.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Khalid dan semua kepimpinan kerajaan Selangor (Exco) yang bakal dilantik tidak lama lagi. Hendaknya semangat dan kesungguhan ini berkekalan dan tidak akan terburai di tengah jalan. [wm.kl. 9:22 am 18/03/08]

No comments: