Friday, March 14, 2008

Susupan Senja

Di Mana dan Apa Yang Abdullah Sedang Lakukan Saat ini

AGAKNYA apa yang sedang Abdullah Ahmad Badawi sedang lakukan ketika ini. Apakah beliau maish belum menunaikan fardu Asar, atau pun sedang berada atas sejadah berdoa? Ataupun sedang menikmati minuman petang bersama Jeanne, Khairy dan Nori? Atau pun sedang meriba cucunya yang bernama Mohamad Ali Jibrail itu?

Atau Abdullah sedang tidur! Atau pun sedang menyusun barisan kabinet yang bakal diumumkan Isnin hadapan? Ataupun beliau baru pulang dari kuburan Hendon, membersih rumput rumpai, mencucuri air mawar dan membuang debu-debu di nisan Endon.

Apakah Abdullah tahu apa yang berlaku nun jauh di Utara, di negeri Perlis Indra Kayangan, di mana Shahidan Kaasim sedang menangis kerana tidak diterima Raja Perlis untuk mengangkat sumpah menjadi MB.

Para penyokong Shahidan ketika ini sedang histeria kerana tidak dapat menerima hakikat yang berlaku itu, bahawa Shahidan Kassim bukan lagi Menteri Besar Perlis.

Shahidan sudah pun mendapat watikah perlantikan sebagai MB Perlis daripada Abbdullah. Beliau bercadang untuk menghadap Raja Perlis hari ini bagi menunjukkan dan memaklumkan kepada Raja yang beliau dilantik menjadi MB. Dalam bersiap sedia mungkin ketika sedang memakai samping, tiba-tiba tersebar berita Dr Mat Isa Sabu (Adun Bintong) telah dipanggil raja untuk angkat sumpah sebagai MB.

Begitu juga apakah Abdullah tahu apa yang sedang berlaku di negeri Pantai Timur, Terengganu ketika ini. Seorang lagi orang yang beliau beri watikah untuk menjadi MB, Idris Jusoh masih belum dipanggil untuk mengangkat sumpah menjadi MB.

Sama seperti di Perlis, di Besut juga para penyokong Idris histeria dan menangis mengenang apakah yang berlaku.

Sultan Terengganu katanya tidak mahukan Idris Jusoh menjadi MB. Baginda mempunyai nama dan calonnya sendiri. Jangan ditanya apa sebab-sebabnya. Tentulah ada alasan kemas bagi Sultan Terengganu berbuat begitu kalau masakan baginda bertindak demikian.

Apakah Abdullah tahu segala kejadian itu?

Kalau beliau masih tidur atau pun masih tidak sedar, beliau hendaklah dikejutkan, biar tahu apa yang sedang berlaku dalam Umno kini. Apa yang terjadi ini tidak pernah berlaku sepanjang sejarah Umno. Raja atau Sultan tidak pernah melengahkan majlis angkat sumpah kecuali sultan Johor dan sultan Pahang.

Lain-lain sultan tidak pernah tunjuk feel begitu. Namun di zaman Abdullah ini nampaknya semua sultan telah berani dan menunjukkan kuasa masing-masing. Sultan tidak lagi takut kepada perdana menteri seperti mana sebelum ini. Apakah ini memberi gambaran bahawa sutlan dan raja juga tidak suka (berkenan) dengan Abdullah.

Apabila Sultan Terengganu dan Raja Perlis tidak mempedulikan watikah Abdullah ini bermakna watikah Abdullah sudah tidak laku lagi. Jika watikah itu diibarat wang, bermakna wang Abdullah sudah tidak laku. Kalau sudah tidak laku dan tidak ada nilai, bermakna Abdullah sendiri tidak dipandang sebelah mata lagi oleh sultan dan raja lagi.

Makanya kalau sudah jadi begitu eloklah kalau Abdullah bersiap sedia mengemaskan segala perkakas dan pakaian untuk meninggalkan Putrajaya. Tidak ada guna beliau mendiami kediaman itu lagi kalau orang tidak ada hormat kepadanya, lebih baik keluar sebelum dihalau. Keluarlah sebelum berlaku apa-apa yang lebih memalukan. [wm.kl 6 : 30 pm 14/03/08]

No comments: