Saturday, March 29, 2008

Rencana Khas

Ku Li Dan Anwar Memburu Mangsa Yang Sama

MSO

JIKA Abdullah Ahmad Badawi kini dianggap sebagai rusa yang kesakitan akibat mengalami luka-luka teruk hampir-hampir menumpaskannya dalam satu perlawanan beliau kini sedang diburu oleh dua pemangsa yang ganas dan tidak tahu erti simpati. Kedua mangsa itu kini sedang menjejaki Abdullah untuk menerkam dan menggulingkannya.

Sudah menjadi fitrah dalam dunia political animal, pemangsa akan mencari mangsa yang lemah untuk dijadikan habuan.

Kedua pemangsa politik Abdullah itu ialah Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan Anwar Ibrahim. Kedua mereka sedang menanti peluang terbaik untuk menerkam Abdullah dan menggulingkannya. Kalaupun ada bezanya niat antara satu sama lain.

Berusaha menggomol

Bekas Menteri Kewangan itu akan berusaha menggomol Abdullah untuk menyelamatkan keadaan Umno yang terumbang ambing kini dan memerlukan seorang superman bagi memastikan Umno terus hidup bagi menjadi payung kepada orang Melayu.

Manakala Anwar Ibrahim pula yang kini berada di luar Umno dan sudah serit dengan segala kancah dan bauan kurang menyenangkan dalam parti berkenaan sejak beliau dibuang, 1998 akan menerkam Abbdullah dan sekaligus menumbangkan kerajaan BN yang sudah bertakhta selama lebih setengah abad.

Posisi atau tempat mereka melakukan serangan juga berbeza. Ku Li menyerang Abdullah dari dalam sesuai dengan statusnya sebagai ahli Umno. Manakala Anwar menyerang Abdullah dari luar sesuai dengan kedudukannya bukan ahli Umno dan kini diberi kepercayaan oleh pembangkang untuk menjadi pemimpin utama mereka.

Kedua mereka mempunyai kemahiran serang hendap dan pengalaman memburu tersendiri. Keduanya mempunyai track record sebagai pemimpin yang ulung. Keduanya memiliki keistimewaan yang sukar untuk ditolak banding antara satu sama lain. Keduanya pernah memegang menteri kewangan. Ku Li adalah seorang veteran Umno yang banyak jasa kepada Umno.Memiliki semangat nasionalisme tulen dan terkenal sebagai seorang pemain politik yang berperaturan dan tidak tahu berdendam dengan orang-orang yang mengkhianatinya.

Kalau boleh disebut, Dr Mahathir Mohamad pernah memungkiri janji kepadanya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri, namun hingga ke hari ini Ku Li masih menerima Dr Mahathir sebagai sahabatnya. Beliau tidak pernah mencampurkan antara nilai sahabat yang baik dengan nilai ahli politik yang rencam terhadap seseorang yang dikenalinya.

Dalam masa dan keadaan tertentu demi bangsa dan negara mereka masih berhubung dan bertukar maklumat kalau pun tidak sampai merancang bersama!

Ku Li mempunyai intergriti dan digniti tinggi bukan saja kerana beliau anak raja, keturunan bangsawan namun itulah amalan hidupnya setiap hari. Memiliki kekayaan tetapi corak dan stail hidupnya seperti rakyat biasa. Dalam pergaulan tidak membezakan status dan kelas dan boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan rakyat marhean.

Dalam persiapan untuk mencabar Abdullah untuk kerusi presiden, kita percaya Ku Li berbuat begitu bukan kerana tergilakan jawatan Presiden dan Perdana Menteri. Namun kepentingan bangsa dan masa depan Melayu adalah menjadi pendorong utamanya. Seorang Ku Li sudah cukup daripada apa yang dimilikinya selama ini. Masalah dan kelemahan yang menimpa Umno menyenak jiwanya sehingga memaksakan beliau tampil mengambil tanggungjawab.

Semakin rancak

Persiapan awal untuk menentang Abdullah pada pemilihan Disember hadapan nampaknya sudah pun diatur. Sudah ada majlis-majlis tertentu disusun. Ia semakin hari semakin rancak dan mendapat sambutan luar biasa.

Rumput-rumput dan daunan di perkarangan Rumah Puith di Langgak Golf, yang hijau dan subur selama ini juga sudah mulai runyai dan layu kerana diligam tayar kereta dan kaki manusia untuk ke istana Ku Li itu. Nampaknya kali ini hasrat Ku Li untuk beradu tenaga merebut jawatan Presiden kali kedua akan kesampaian.

Setiap hari khabarnya ada-ada sahaja ahli Umno pemimpin peringkat bawah hingga ke atas mengunjungi Rumah Putih di Langgak Golf itu untuk mendapat pandangan dan ulasan daripada beliau berhubung perkembangan politik tanah air. Para korporat, ahli perniagaan dari dalam dan luar negeri juga turut sama bertandang untuk mendapat maklumat perkara yang sama.

Berbeza dengan Anwar Ibrahim. Pemangsa politik ini akan menerkam Abdullah dari luar Umno.
Kedudukannya sebagai bukan ahli Umno menyebabkan beliau tidak berpeluang untuk beradu kekuatan dari dalam Umno.

Anwar mempunyai sejarah dan kejayaan tersendiri bagaimanan beliau telah menyingkirkan mangsa politiknya semasa didalam Umno dulu. Peristiwa yang menimpa Ghafar Baba (Allahyarham) tahun 1993 menceritakan kehebatan dan kelicitan Anwar dalam politik. Ghafar yang ketika itu selaku Timbalan Presiden Umno terpaksa mengaku kalah kepada Anwar.

Dalam hal ini ada dua kaedah atau ‘teori’ bagaimana untuk Anwar menggulingkan Abdullah Ahmad Badawi. Pertama ialah menerusi undi tidak percaya di parlimen. Kemungkinan ini boleh berlaku dengan syarat Anwar harus menjadi ahli Parlimen terlebih dahulu.

Buat masa ini Anwar masih belum dibenarkan bertanding dalam mana-mana pilihan raya. Tempoh perlepasannya akan valid pada hujung April ini. Apabila berlaku mana-mana kekosongan kerusi Parlimen, Anwar dikatakan akan menyertai pilihan raya yang akan diadakan. Barangkali kalau pada pilihan raya lalu Anwar dibenarkan bertanding mungkin kini Perdana Menteri Malaysia bukan lagi Abdullah Ahmad Badawi.

Popular dikatakan kerusi yang dikatakan akan diadakan pilihan raya semula ialah parlimen Bandar Baru – Kulim, apabila petisyen yang akan dikemukakan oleh BN bakal diterima oleh mahkamah.

Apabila beliau menjadi MP beliau akan mengambil alih tempat isterinya Dr Wan Azizah Ismail sebagai Ketua Pembangkang dan sekaligus menjadi ketua kepada pakatan pembangkang – Barisan Rakyat (BR). Di sinilah pembangkang yang memerlukan 30 kerusi saja lagi untuk mengatasi kerusi BN bagi membentuk Kerajaan. Masa ini pembangkang mempunyai 82 kerusi.

Kaedah kedua ialah menerusi pilihan raya. Anwar akan menumbangkan Abdullah dan BN sekaligus dalam pilihan raya akan datang. Pilihan raya akan datang pada tahun 2012. Bagaimana pun tempoh itu terlalu lama bagi Anwar. Justeru, kemungkinan teori kedua itulah paling popular dan akan diusahakan. Anwar harus menggunakan keadah pertama tadi untuk mencapai dan merealisasaikan cita-citanya.

Seperti dikatakan tadi memandangkan Ku Li juga sedang bergerak untuk menggulingkan Abdullah pada Disember hadapan, maka Anwar perlu mempercepatkan langkahan buruannya. Beliau harus pastikan Abdullah akan digulingkan sebelum Abdulah terbungkus di dalam rangkulan Ku Li.

Semakin mantap

Sekiranya Ku Li berjaya menyita Abdullah Disember hadapan atau sebelumnya, peluang Anwar untuk menumbangkan BN agak sukar dan sekaligus impian Anwar untuk menjadi PM pudar. Apabila Ku Li menjadi presiden Umno dan BN, sudah tentu kedudukan gabungan BN dan parti Umno semakin mantap semula.

Manakala bagi Ku Li pula sekiranya Anwar berjaya memerangkap Abdullah sebelum berlangsung pemilihan Umno, ini menjadikan impian Ku Li untuk memperbetulkan dan memperkasakan semula Umno sudah terlepas. Sekaligus juga cita-cita Ku Li untuk menjadi PM turut sama terburai.

Persoalan sekarang ini siapa antara kedua mereka dapat menangkap mangsa (Abdullah), ia akan bergantung kepada siapa yang cekap dan pintar. Mereka yang cekap orang itulah akan berjaya.
Kecekapan ini pula bergantung kepada sejauh mana isu-isu dan alasan yang dibangkitkan oleh kedua pemangsa politik itu dipercayai dan diyakini oleh orang ramai. Ia ditambah siapa lebih diperlukan kepada Malaysia untuk mengharungi era globalisasi yang kian mencabar ini.

Manakala orang ramai dalam hal ini bolehlah disifatkan sebagai pukat atau jaring yang akan bertindak menjerut Abdullah atas gesaan dan ajakan mereka.

Senario hari ini menjelaskan kedudukan Abdullah amat meruncing. Beliau sangat keletihan kerana terpaksa melepaskan buruan dari dua pemangsa serentak. Yang pastinya sekiranya kedua pemangsa itu boleh sepakat dan tidak berebut untuk membaham Abdullah, sudah tentu Abdullah akan terjelapak di tangan mereka dalam tempoh tidak sampai enam bulan dari sekarang! [wm.kl 8:00 am 28/03/08] PERHATIAN: Kepada teman blogers yang ingin memetik ataupun download artikel ini atau lain-lain artikel diminta memberi kredit kepada blog ini. Kerjasama anda insya-Allah dirahmati Allah s.w.t.

No comments: