Tuesday, March 11, 2008

Sebelum Tidur

Tok Guru Berbahagialah Dengan Kemenangan Keramat

MSO

SAAT ini Pas Kelantan sedang bersiap sedia untuk membentuk kerajaan baru setelah berjaya menguasai DUN Kelantan untuk penggal ke lima berturut-turut pada pilihan raya 8 Mac lalu. Kemenangan 38 kerusi DUN dan sembilan Parlimen melegakan Pas dan sekaligus mengembalikan kegemilangan Pas di Kelantan. Kali ini kerajaan Pas Kelantan tidak lagi seperti telor di hujung tanduk seperti tahun 2004.

Kedudukan Tok Guruku Nik Abdul Aziz Niik Mat selaku MB juga tidak cemas lagi. Beliau boleh tenang dan tidur lena. Beliau tidak payah berdoa panjang bagi menyelamatkan kerajaannya! Beliau juga tidak perlu mengadakan peratauran atau arahan melarang mana-mana wakil rakyat daripada ke luar negara.
Sepanjang tempoh empat tahun lalu wakil rakyat Pas tidak dibenarkan ke luar negeri kerana bimbang berlaku sesuatu yang boleh menjejaskan kedudukan kerajaan yang bermojoriti dua kerusi itu.
Demikian juga hasrat dan keinginannya untuk berundur dari kerusi MB, inilah masanya. Amat tepat kalau Tok Guru memutuskan untuk berundur dalam keadaan Pas gemilang. Tok Guru memasuki gerbang sebagai MB dalam suasana gemilang apabila Pas yang berkerjasama dengan Semangat 46 menyapu kesemua kerusi DUN dan Parlimen.

Bagaimana pun seperti mana yang disebut sebelum ini pengunduran Tok Guru tidak perlu dalam masa terdekat. Beliau perlu berada di kerusi MB beberapa ketika lagi sebelum peralihan kepimpinan berlaku. Sekurang-kurang enam bulan setelah semua masalah berbangkit ataupun setelah pinggan mangkuk kenduri pilihan raya dibasuh dan sudah dikemaskan! Kemenangan gemilang itu akan memberi semangat dan menjadi penawar kepada dirinya.
Sepanjang empat tahun lalu banyak dugaan bagi Nik Aziz. Seolah-olah sepanjang tempoh empat tahun selepas pilihan raya 2004 adalah tahun-tahun ujian yang cukup menyeksa dan mengetirkan jiwa raganya.
Berbagai peristiwa berlaku selepas Pas memang tipis dua kerusi pada pilihan raya ke 11 itu. Kematian Wan Aziz Wan Omar wakil rakyat Pengkalan Pasir adalah sesuatu yang memberi kesan psikologis tinggi kepada kerajaan Tok Guru. Dalam keadaan Pas hanya lebih dua kerusi, Wan Aziz pula dijemput Tuhan kembali ke alam baqa.
Tertakdir pilhan raya kecil di Pengkalan Pasir Pas kalah. Kekalahan itu menjadikan Kerajaan Kelantan dalam cemas dan terumbang ambing persis penghidap lemah jantung. Menyebabkan Tok Guru tidak habis berdoa dan tidak bisa lena. Walaupun Nik Aziz tahu bahawa kekalahan itu tidak akan menghanyutkan kerajaannya (ternyata benar) namun sebagai manusia biasa beliau terus berminajak dan meminta keampunan Tuhan agar menyelamatkan kerajaanya.

Musuh-musuhnya pula (Umno) tidak buang masa terus menyerang dan menghentam beliau. Asakan secara psikologi dilakukan untuk melemah dan berharap Tok Guru mengaku kalah.

Keuzuran dirinya menyebabkan beliau kerap masuk keluar hospital dijadikan isu. Emosinya dipermain dan diperlekehkan.

Tidak cukup dengan dugaan dan ujian dari luar itu kerenah dalaman jua tidak kurang ikut menganggu jiwanya. Ada wakil rakyat yang cuba mengambil kesempatan atas keadaan kerajaan yang kritikal itu mengugut untuk tidak mahu hadir sidang dewan ataupun ugut (merajuk) untuk melepas jawatan Exco. Itu semua turut memusingkan kepada Tok Guru.
Namun Alhamdulilah semua itu dapat diatasi dengan kesabaran dan sifat tawaduk dan zuhudnya. Kerajaan yang bagaikan telor di ujung tanduk itu dapat juga diakhiri dengan selamat sehingga 24 Februari lalu.

Hari ini.... hari ini Tok Guru tidak perlu cemas dan gusar lagi. Ugutan dan rajukan seperti mana berlaku sebelum ini tidak akan berulang lagi. Dengan kemenangan keramat melebihi 2/3 Tok Guru boleh berbangga dan berbahagia. Tidak ada sesiapa lagi yang akan mengugut dan merajuk dengan motif untuk menyusah Tok Guru. Semoga Kerajaan yang dibentuk saat ini akan dapat merealisasikan cita-cita Tok Guru dan juga apa yang dijanjikan dalam manifesto dalam pilihan raya lalu.
Selamat kepada barisan Exco baru yang ketika ini sedang mengangkat sumpah (di Istana Negeri Kubang Kerian) memegang jawatan dan melindungi segala rahsia Kerajaan. Senarai Anggota Exco akan menyusul [wm.kl 10:33 pm 11/03/08]

No comments: