Thursday, April 24, 2008

Kemanusiaan

Kerbau: Kejahilan dan Kerakusan Manusia

APAKAH perasaan anda apabila membaca berita mengenai seekor kerbau jantan yang mengamuk kemudian ditembak 17 das? Apakah kejadian di Pasir Puteh itu sesuatu yang biasa dan mungkin anda hanya melihat kejadian itu dengan perasaan anih? Atau keanihan anda itu disusuli dengan berbagai pertanyaan lain yang sinikal, bukan serius?

Apakah selepas membaca berita itu anda tidak cuba mengupas di sebalik kejadian tersebut mencari sebab musabab kenapa kerbau itu mengamuk demikian rupa, yang akhirnya membawa kepada kehilangan nyawanya secara kejam!

Semua kita kenal kerbau. Ia adalah binatang peliharaan yang mesra dengan kehidupan manusia. Satu masa dulu kerbau adalah alat ataupun tenaga boroh utama kepada manusia.
Datuk nenak kita dulu membajak sawah dengan menggunakan kerbau.

Di kampung kerbau atau binatang ternakan lain, ayam, itik, lembu, kucing dan sebagainya juga menjadi simbol kekayaan seseorang. Misalnya sesiapa yang memilik banyak kerbau ia akan dianggap sebagai orang kaya.

Sebagai binatang yang menjadi teman dan sebahagian anggota keluarga manusia (Melayu) ia seharusnya terselamat dan kehidupannya tidak teracam. Sebagai binatang yang memberi sumber kewangan haiwan itu juga sepatutnya dihormati dan dikawal sebaik mungkin. Manusia harus sedar kepada kebergantungan mereka untuk survive.

Sepekara lagi, walaupun haiwan itu telah hidup bersama manusia sejak beratus tahun lalu, namun kita perlu mengenal dan ingat yang ia adalah binatang. Binatang tetap binatang! Berkaki empat yang mempunyai otak tetapi tidak memiliki akal. Sebab itulah binatang macam kerbau di Pasir Puteh itu tidak digolong dalam mahkluk yang mulia.

Justeru manusia harus belajar mengenai haiwan berkenaan, memahami sifat dan tabiat serta bahasa semulajadinya dan bukan memaksa haiwan itu mengenali nafsu dan naluri kita dan terus menjadikannya hamba sebagai buroh dan bahan makanan lazat.

Bagi orang yang mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi tentu sedih atas apa yang berlaku itu. Tetapi mereka yang tidak ada perasaan itu seperti dikatakan tadi melihat kejadian itu sebagai hanya suatu laporan mengejutkan, anih dan sebuah berita menggemparkan.

Cuba fikir apakah sebab kerbau bertindak demikian? Dari laporan berita menyatakan kerbau itu baru lepas kalah berlaga di bendang padi dengan seekor kerbau jantan lain. Mungkin ia mengamak kerana marah dengan kekekalahan itu ataupun ia sakit. Soalnya kenapa sampai ia masuk ke dalam bandar Pasir Puteh? Kota adalah asing bagi haiwan itu.

Ada beberapa kemungkinan di sini. Mungkin ia tersesat setelah melarikan diri dari lawannya tadi. Kerana terlalu sakit, kecewa atau apa-apa menyebabkan ia berlari membawa diri hingga masuk ke bandar berkenaan. Bila sampai di bandar berkenaan, ia bingung kerana asing dengan pemandangan pembangunan pesat di Pasir Puteh.

Adapun ia ke balai polis bukan untuk membuat laporan seperti mana pelayan sebuah hotel buat laporan ke atas bekas menteri Kabinet yang didakwa cuba mencabulinya, tidak tetapi mungkin kerana ianya tersasar ke situ ekoran truama kejadian sebelumnya.

Begitu juga ia masuk ke perkarangan masjid bukan untuk mendirikan solat atau berihat, tetapi kerana tersasau dan membawa diri yang luka dan kecewa. Binatang juga macam orang kalau ia rungsing, sakit atau kecewa ia akan membawa diri ke mana-mana saja. Setelah segalanya tenang dan lega baru ia kembali ke habitat asalnya.

Laporan mengatakan ia merempuh basikal dna mengejar budak mungkin berlaku kemudian pada itu. Dalam keadaan asing (kerbau masuk bandar) tentu ia bingung dan saat inilah pergerakan dan tindak tanduknya dibaca dengan penuh kecurigaan.

Saya rasa kalau di sini manusia cuba memahami keadaanya dan tidak prejudis dengan sifat ganasnya, kejadian buruk tidak akan berlaku. Ia boleh ditangkap dengan baik dan kerbau itu tidk mati dihujung senjata, manusia pula tidak dianggap sebagai pemburu alias penjenayah biantang.

Kerajaan menubuhkan berbagai agensi penyelamat dan pasukan mempertahankan diri. Misalnya polis yang tentu nampak awal-awal kerbau berkenaan perlu memanggil pasukan Bomba dan Penyelamat atau Jabatan Veterinar yang lebih arif dan memahami tabii haiwan itu untuk mengatasinya.

Memanggil Rela bukan tindakan bijak kerana kita faham mengenai sifat dan sikap anggota Rela. Ilmu menjinakan bintang dan memahami bintang tidak ada kepada mereka. Apa yang mereka fikir hanya tembak sahaja, selepas itu dagingnya boleh dilapah bersama.

Kejadian di Pasir Puteh perlu diambil iktibar dan tidak dilihat ia sebagai sebuah berita bernilai saja. Ada beberapa faktor kenapa ia sampai berlaku demikian rupa. Antaranya;

a) Hubungan manusia sesama mahkluk (haiwan) masih jauh.

b) Manusia masih jahil mengenai tangungjawab dan peranananya sebagai khalifah di bumi yang perlu menjaga isi alam dan alam sekitar.

c) Manusia suka menunjuk sikap yang rakus, sombong dan berani menghadapi mahkluk yang lemah tetapi menikus pada makhluk berkuasa.

d) Manusia suka mencari jalan penyelesaian ringkas tidak mahu berunding secara bijaksana.

Sikap dan sifat demikian sedikit pun tidak mewakili lisan dan menggambarkan akhlak yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Dalam kehidupannya Rasulullah s.a.w. sangat menyanyangi dan mengasihi haiwan.

Sifat dan akhlak Rasulullah ini banyak dinukilkan dalam hadith-hadith yang diriwayat oleh para sahabat dan juga pencatat hadith.

Misalnya dalam sebuah hadith dari Abdullah r.a menyebut; katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Seorang wanita diseksa Allah di hari kiamat dengan dimasukkan ke dalam Neraka lantaran dia mengurung seekor kucing sehingga kucing itu mati."

Dalam hadith lain Abu Hurairah r.a mengatakan, Rasulullah s.a.w pernah bercerita atau mengisahkan bagaimana seorang lelaki tua yang memberi minum kepada anjing kehausan kemudia ia dibalas dengan pahala.
Dari dua petikan hadith itu menjelaskan betapa Rasulullah s.a.w. menyayangi haiwan sangat tinggi nilai peri kemanuisaannya. Filsafah di sebalik hadith itu mahu mengajar manusia agar menghormati mahkluk lain dan jangan sesekali menggunakan kuasa untuk menindas makhluk yang lemah.

Kesimpulannya walaupun kejadian kerbau mengamuk di Pasir Puteh suatu kejadian ringkas namun kesan dan pengertiannya boleh diluaskan untuk kesejahteraan dan kedamaian seluruh alam jagat! [wm.kl. 8:10 am 24/04/08]

No comments: