Selamat Maju Jaya Kepada Suara Keadilan
SELAMAT berkarya kepada karyawan Suara Keadilan (SK), akhbar rasmi PKR. SK kini sudah setanding dan sama tarafnya dari segi perundangan dengan Harakah. Penantian PKR hampir lima tahun untuk mendapatkan permit kini sudah berakhir. Jika selama ini SK dianggap berada dalam penjara kini ianya sudah dibebaskan.
Akhirnya KDN akur dan tunduk juga atas kemahuan dan desakan rakyat agar akhbar bekenaan diberikan permit untuk membolehkan ianya dijual bebas seperti akhbar-akhbar lain.
Tahniah kepasa SK dan syabas kepada KDN atas prihatin untuk membebaskan akhbar berkenaan. Kerana pemberian permit ini semasa Syed Hmid Albar menjadi menterinya, maka kalungan terima kasih boleh disangkutkan di leher Syed Hamid. Walaupun pemberian itu sedikit sebanyak kerana kesan pilhan raya lalu, namun Syed Hamid tetap akan dikenangkan sebagai menteri yang bermurah hati.
SK melalui sejarah panjang dalam oprerasinya. Ia menjadi alat sebaran kepada PKR dan pembangkit semangat Anwar Ibrahim. Menjadi penyambung antara rakyat dengan PKR dan menjadi lambang bahawa PKR masih hidup. Ahli dan penyokong PKR sebelum ini telah menjadikan SK sebagai penanda samada PKR masih hidup atau sudah mati. Bagi mereka SK menjadi panduan, selagi SK diterbit bermakna nyawa PKR masih berdenyut.
SK adalah penting dan membawa erti besar kepada perjuangan PKR. Walaupun PKR berkawan rapat dengan Pas dan mendapat liputan daripada Harakah tetapi kerana Harakah sendiri ketidakkecukupan ruang tidak dapatlah menampung banyak berita-berita PKR.
Tidak terbayang betapa susah dan payahnya karyawan SK dalam membangunkan akhbar bersaiz tabloid itu dalam keadan tidak ada permit. Peniaga tidak berani untuk menjualnya kerana tidak mahu berhadapan dengan risiko di saman dan dihadap ke mahkamah kerana menjual bahan tidak berlesen.
Bukan karyawan SK sengaja mahu melawan peraturan (KDN), namun kerana mereka tidak ada saluran lain bagi menyampai mesej perjuangan kepada penyokongnya, mereka lakukan juga walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko dan sebelah kaki senantiasa berada di dalam penjara dan sebelah lagi di luar.
Selama SK beroperasi juga ia bertukar tangan kepada beberapa orang pengarang dan pemberita juga bertukar ganti sepanjang masa. Hanya mereka yang mempunyai keazaman dan semangat juang sahaja mampu berkerja dengan akhbar parti seperti SK itu kerana imbuhan dan jaminan hidupnya tidak begitu memuaskan.
Hari ini dengan jaminan menteri KDN, yang mengatakan permit sudah diluluskan maka SK akan bebas terbang ke seluruh negara tanpa diragu-ragu lagi akan kesahihannya. Mudah-mudahan SK maju jaya dan permitnya dijaga sebaik-baiknya. [wm.kl. 8:40 am 21/04/08]
No comments:
Post a Comment