Tuesday, April 29, 2008

Parlimen

Jangan Jadikan Parlimen Untuk Kepentingan Politik Peribadi

DUA perkara yang perlu diberikan perhatian oleh kesemua 222 Ahli Parlimen mengenai saranan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Sultan Zainal Abidin semasa bertitah merasmi pembukaan sidang Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-12 pagi ini.

Pertama ialah saranan baginda supaya ahli-ahli Parlimen menjadikan Dewan Rakyat sebagai persada untuk membahas dan membangkitkan isu-isu berhubung dengan rakyat.

Dalam kata lain baginda mengingatkan supaya amanah yang diserahkan oleh pengundi kepada ahli-ahli YB itu tidak akan disia-siakan dan dimanfaatkan sepenuhnya.

Baginda memberi ingatan ini mungkin kerana sebelum ini terdapat sesetengah ahli Parlimen tidak begitu mengambil berat terhadap tugas dan tanggunjawab mereka seperti mana sewajarnya.

Ada yang hadir hanya setakat untuk mengisi buku rekod kehadiran sahaja. Tidak mengikut perbahasan atau mengambil bahagian dan membangkitkan isu-isu rakyat di kawasan mereka wakili. Setengah wakil rakyat lebih banyak berada di kantin daripada di Dewan.

Perkara kedua yang diingatkan oleh Tuanku Mizan ialah agar ahli Parlimen tidak menjadikan Parlimen sebagai tempat untuk kepentingan politik peribadi. Memahami apa yang baginda seru ini, supaya Parlimen tidak dijadikan medan mengenengah ideologi politik masing-masing.

Sebaliknya semua ahli Parlimen harus terarah kepada perbahasan dan komitmen kepada kepentingan rakyat dan negara. Parlimen sebenarnya bukan tempat untuk menonjolkan kehebatan diri, kelebihan ideologi masing-masing, sebalik perlu dijadikan wadah bagi membentuk nusa dan bangsa.

Baginda juga sebelum mengakhiri titah ucapan, berpesan kepada ahli-ahli YB supaya menjaga tingkah laku bauk semasa mengambil bahagian dalam perbahasan. Ingatan ini juga mungkin kerana baginda peka kepada apa yang berlaku di Parlimen yang kadang kala boleh disifatkan sebagai sarkas.
Sehubungan itu ahli Parlimen bukan saja harus menjaga kesopanan dan menjaga akhlak semasa di dalam Dewan tetapi semasa berada di luar Dewan juga mereka perlu mengawal diri dan menunjukkan suri teladan yang baik.
Kejadian seperti meraba punggung pelayan bar dan sebagainya seharusnya dielakkan oleh wakil rakyat kerana perbuatan seperti itu bukan saja memalukan wakil rakyat berkenaan tetapi turut menjatuhkan maruah Dewan.
Dua minggu hebuh berita seorang pelayan bar telah membuat laporan polis kerana dikatakan seorang bekas menteri yang juga ahli Parlimen didakwa cuba melakukan gangguan seksual ke atasnya.
Persidangan Dewan Rakyat akan bermula hari ini dan akan berakhir pada 27 Mei.
[kl 11:15 am 29/04/08]

No comments: