Wednesday, April 2, 2008

Sajak

BILA KAU SUDAH JADI ORANG BESAR (1)

Mohd Sayuti Omar

Bila kau sudah jadi orang besar
berjalan pun mengikut jam dan masa
tidak lagi seperti dulu
bebas bila-bila dan ke mana saja kita suka
kini ada jadual dan destinasi; ada istilah rasmi tidak rasmi
jauh jarak dikira dihitung
tidak seperti dulu kita tak peduli berapa ribu batu.

Bila kau sudah jadi orang besar
berjalan juga dikawal dijaga ada protokol
pergi dengan kereta pintu dibuka kereta dibawa
duduk di belakang sambil membelek fail tertulis “Urusan Kerajaan” dan “Rahsia”
(Di dalamnya terbungkus proposal projek raksasa atau permohonan kawasan balak)
atau melayan sms dari entah sesiapa
penuh mesra
tidak lagi seperti dulu
hanya membonceng motosikal Hondaku
sambil berjalan kita merancang
bagaimana menyelamatkan agama menjaga bangsa
atau menyanyi bersama lagu-lagu membela rakyat marhean
kesukaan kita.

Bila kau sudah jadi orang besar
sesampai di tempat kau disambut
dengan silat, kompang dan bunga manggal
disemat bunga dipakai tanda pahlawan di dada
diberi laluan diiring ke depan
sekumpulan perawan jelitawan
dipapah duduk dipentas penghadapan
bak pengantin lelaki hendak bertemu cik puan
sehingga tidak sempat bersalaman di laluan
rakyat jadi tidak puas pandang
tidak tertoleh pada kawan seperjalanan
hanya sempat mengilas pandang
sekadar untuk tidak dikatakan diri tidak dicam.

Bila kau jadi orang besar
kita tidak lagi sama tempat duduk
seperti mana di ceramah
atau kempen pilihan raya
kau anggun atas singgahsana dengan bibir senantiasa berbunga
aku hanya tersenyum sendiri
sambil melindungi diri

dari balik langsir menumpang bangga atas kehebatan seorang kawan.

Bila kau sudah jadi orang besar
majlis kau juga berubah tempat dan nama
dulu usrah kini persidangan

dulu muzakarah kini forum
selera dan tempat makan juga berbeza
dulu makan di jemburan atau beranda
ikan puyu cicah budu asam kecupu menu dirindui
kini di hotel lima bintang atau restoran bergemerlapan
ada menu dan segala macam
lauk bertukar nama dan wajah
makan bukan dengan tangan
tapi garpu atau chopstick
masakan bukan Minang, Melayu atau Kelantan
tapi Korea, Jepun, Cina, Itali atau Taiwan
tidak lagi berlipat paha duduk bersela
tapi atas kerusi bermeja dihias renda bunga cempaka
dihampar kain takut tumpah sisa
oleh waiter jelita rupa...

Bila kau jadi orang besar
hobi kegemaranmu juga bertukar berubah
kalau dulu hanya minat burung pekaka
kini nuri, cenderawasih dan merak menjadi ganti
sangkarnya dulu disangkut di anjung
kini dibina rumah yang harganya lebih mahal dari
motosikalku.

Bila kau jadi orang besar
surau usang ini perlahan-lahan kau tinggalkan
alasan masa dan sibuk dengan berbagai tugas siang malam
tiada lagi gemersik azan atau qamatmu
seperti mula kita bertemu.

Bila kau sudah jadi orang besar
kulihat banyak yang berubah dan berbeza
namun satu yang masih kekal
jabat salammu masih tetap renggang dan longgar
baju dan orlogimu masih murah seperti dulu!

Biarlah kau jadi orang besar, aku tetap mahu kekal menjadi orang kerdil
yang menggumankan gentarasa doa hiba
demi kebahagiaan dan kejayaan seorang engkau yang kunamakan sahabat akhirat.

Selamat berbahagia duhai kawan jangan lupa Tuhan
!

Terilham ketika menghadiri majlis Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana anjuran Pas Shah Alam.
31 Mac – 1 April 2008 [wm.kl 7:00 am 02/04/08]

No comments: