Wednesday, June 30, 2010

Catatan Lewat Masuk

Kelantan Perlu Wujudkan Anugerah Sastera Sendiri

HARI Jumaat pertengahan bulan Mei lalu saya singgah di Dataran Ilmu, di Jalan Dato' Pati Kota Bharu di mana di situ juga terletaknya marcu tanda Pas di Kelantan iaini bangunan Pas.

Di situlah juga tempat Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih 30 tahun mencurahkan segala ilmu agama, ilmu tasauf, ilmu kerohanian (sedikit-sedikit) dan juga falsafah politiknya. Tempat itu selain dari tempat orang menimba ilmu tempat rasmi bagi Nik Aziz menjawab segala isu yang timbul terutamanya berbangkit mengenai dirinya.

Agak lama saya tidak ke tempat itu. Hampir tiga tahun! Beberapa kenalan kedai kopi (restoran) Sudut Cahaya - kedai kopi yang PM singgah tempoh hari, begitu melihat saya, datang bertanya khabar dan menarik tangan untuk minum di situ. Mereka ini adalah perisik politik Kelantan. Apa saja yang berlaku di sekitar bangunan Pas atau SUK mereka akan mengetahuinya. Mereka juga menjadi askar Pas tidak berjawatan yang berada di barisan hadapan.

Merekalah yang menjadi tetuang parti yang melaung atau menghebahkan apa-apa kepada rakyat di tempat masing-masing. Mereka juga mampu berdebat dan berbahas bagi mematahkan hujah-hujah sampah dikemukakan oleh pihak Umno. Mereka juga gigih dan istiqamah. Setengahnya berkhidmat di situ lebih 40 tahun. Ramai juga yang sudah meninggal dunia. Tau-tau si anu sudah pergi si ani juga sudah tiada. Saya hormat kenalan ini kerana mereka lebih ikhlas dari sesetengah 'penghimpit' politik yang berkerja sambil mencari makan.

Selain untuk berjumpa informa politik di situ, saya ke situ juga untuk 'berbojen' - gunting rambut. Saya berbojen sekali saja dalam setahun. Saya juga macam Mahathir atau Abdullah Badawi, ada tukang gunting khusus. Jadi salah seorang daripada lima tukang gunting di bawah bangunan Pas itu adalah tukang gunting saya. Saya tidak akan pangkas rambut kalau beliau tiada atau sibuk dengan pelanggan lain.

Tukang gunting itu juga menjadi tukang gunting Tok Guru Nik Aziz. Satu hari saya masuk nak berbojen. Saya tenguk ada orang tercokoh atas kerusi tukang gunting berkenaaan. Saya masuk dan ndap --- (intai), rupanya Tok Guru Nik Aziz.

"Ei... bojen nampak?" begitulah tegur saya pada Tok Guru. Bergurau. Dia tersenyum. Dan dalam kelubung baju gunting, dia menjawab, "bojen nak wat raya," (Bojen untuk raya).

Saya tunggu sampai dia sudah. Nak tengok apakah dia berbojen free ataupun tidak. Saya tengok dia duit RM10 dalam kepal. Si tukang gunting itu tolak tidak mahu terima. "Ambil...." tonyah Tok Guru, si tukang gunting itu kelihat kekok untuk menerimanya. Mungkin baginya dengan mengunting rambut Tok Guru itulah khidmat yang beliau boleh berikan kepada orang yang disanjung dan amat berjasa kepada negeri Kelantan. Akhirnya tukang gunting itu ambil.

"Banyak ni Tok Guru.." kata tukang gunting itu bila tengok duit RM10.00. "Tak pa bayar hak dia sekali...," kata Tok Guru kepada tukang gunting itu. Bertuah hari tu Tok guru belanja saya berbojen. Jen..jen jennnnnn.

Apa yang hendak diceritakan di sini petang ni, bukan soal bojen dan tok guru bayar, itu kisah empat lima tahun lepas. Tetapi apa nak ungkit pertemuan dengan Setiausaha Politik baru Tok Guru, Wan Nik Wan Ngah dan ingin mengetahui apakah cadangan yang dikemukakan kepadanya semasa jumpa itu sudah diambil tindakan atau tidak. Atau pun cadangan itu hanyut dan kering begitu saja.

Pagi itu adalah pertemuan pertama saya dengan Wan Nik sejak beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik menggantikan si gondrong. Kami memang tidak pernah berhubung apa lagi minum sekali. Jadi pagi itu Wan Nik belaja saya minum. Entah apa mimpinya tiba-tiba Wan Nik bermurah hati dan belaja saya bersama dua tiga rakan lain.

Ada sama ketika itu Ramli Abdul Halim, bloger Melikapak Jangak yang kini dibenci oleh sesetengah ahli Pas Kelantan, dan juga Ketua Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Husadaini Mamat. Menyedari itu saya rasa pertemuan itu molek benar kalau saya melontarkan satu cadangan alias permintaan kepada Wan Nik agar disampaikan kepada kerajaan Kelantan teristimewanya Tok Guru Nik Aziz.

Apa yang saya cadangkan ialah supaya kerajaan Kelantan mengadakan anugerah sastera bertaraf negeri kepada penulis Kelantan. Topik ini saya pernah tulis dalam Siasah beberapa minggu sebelum itu. Cadangan saya itu mendapat respon dari penulis Kelantan termasuk Meli Kapakjangak.

Cerpenis dan novelis, Fatimah Busu, dari Pulau Pinang juga turut menginggut atas nasib yang diterima oleh para penulis Kelantan. Katanya dalam suratnya bertarikh 20 April 2010 kepada saya, catatnya; kita para penulis dari Kelantan ini tidak ada harga saru sen pun." Beliau merujuk kepada cadangan saya meminta kerajaan Kelantan adakan anugerah sastera kepada penulis asal Kelantan. Anugerah itu sebagai tanda kerajaan Kelantan mengiktiraf sasterawan dan penulis dari Kelantan yang mendominasikan dunia sastera dan budaya negara ini.

Wan Nik nampaknya bersetuju dengan cadangan itu. Saya kata kepadanya beliau boleh kemukakan kepada Tok Guru. Dan semoleknya anugerah itu dibuat sempena genapnya 20 tahun Tok Guru menjadi MB Kelantan. Kebetulan Husdaini ada bersama, saya cadangkan supaya Husadaini berbincang dengan rakan penulis lain dan menyiapkan proposal mengenai cadangan berkenaan.

Wan Nik banyak diam saja. Tetapi saya mengira beliau bersetuju dan sedia membantu. Saya percaya kalau Wan Nik buka mulut kepada Tok Guru dan memberi taaruf sedikit kepadanya, beliau akan setuju. Peruntukan untuk anugerah itu tidak perlu banyak. RM10,000 cukup. Kalau kerajaan negeri tidak ada peruntukan khas kerajaan negeri boleh arahkan mana-man agensi atau syarikat GLCnya bagi mengendalikannya. Ataupun mana-mana Exco boleh ambil tugas ini yang penting ia akan menjadi keprihatinan kerajaan Kelantan kepada golongan itu.

Apa yang penting anugerahkan itu menandakan kerajaan ikhtiraf golongan sasterawan, aktivis budayawan dan penulis. Kalau Kelantan sedia melaksanakan anugerahkan ini Kelantan akan menjadi negeri ketiga mewujudkan anugerah sastera peringkat negeri seperti mana Johor dan terbaru Melaka. Ia juga tentu akan merangsangkan negeri-negeri lain terutama negeri di bawah Pakatan Rakyat seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Saya rasa semua golongan penulis, budayawan dan sasterawan di Kelantan akan merasa berbesar hati kalau anugerah ini dapat diwujudkan. Ia juga akan disebut sepanjang zaman yang Tok Guru adalah seorang yang perihatin dan tahu menilai budaya golongan penulis dan budayawan dari negerinya sendiri. [wm.kl.6:00 pm 25/06/10]

3 comments:

psychedelicmundo said...

Tahniah Pak Sayuti.Semoha cadangan ini dilaksanakan.Menghargai penulis adalah salah satu cara daripada cara-cara membina bangsa yang punya jatidiri.Bahasa merupakan intipati kepada pembentukan budaya dalam masyarakat.Sebab tu orang yang otak kemetot atau tak bijak kita panggil "tak reti bahasa".Setahu saya Melaka sudah lama ada anugerah ini.Kalau PAS dan Pakatan Rakyat benar2 ingin mencipta perubahan,lakukan perkara ini sesegera mungkin.Fidel Castro pun ketika awal kejayaan revolusi Cuba menghadiah kan sebuah rumah kepada seorang penulis untuk membolehkan penulis itu terus berkarya.

ANAFAKIR said...

Setuju sgt2 dgn cadangan MSO tersebut.Pena penulis mempunyai 'ketajaman' yg melebihi 'ketajaman' mata pedang di dalam menyebarkan sesuatu maklumat hatta utk 'membunuh' karier seseorg ahli politik.Lagipun para bloggrer, penulis, dan yg serumpun dgnnya begitu byk jasa utk mempertahankan Kelantan maka cukup molek kalau Kelantan mengadakan anugerah sastera peringkat negeri khusus utk anak2 Kelantan.Semoga cadangan MSO diterima utk direalisasikan segera.

firdaus said...

setuju dengan cadangan tuan, menurut osman abadi penulis/wartawan yang berjaya adalah yang berjaya menumbangkan kerajaan

penulis wajar dihargai, kebanyakan undi yang diperoleh samada BN dan PR suka atau tak suka kebanyakan adalah dari pengaruh seorang penulis terhadap dunia politik di Malaysia ini..

adalah suatu yang tidak betul dan agak malang sekiranya PAS Kelantan tidak memfokus kepada hal ini, memang benar PAS dibawah kepimpinan Tok Guru mendapat mendat dan menjadi kesukaan rakyat, namun tanpa penulis bagaimana sebuah kerajaan itu boleh dikatakan bagus atau tidak bagus

kebanyakan rakyat memerlukan penulis/wartawan juga untuk mereka menimbang dan menilai...