Thursday, June 24, 2010

Pandangan Dari Negeri Yap Ah Loy

Untuk Pasti Kekuasaan Pas di Kelantan
Pas Perlu Gugurkan 25 Wakil Rakyatnya


DALAM gema dan talun pilihan raya umum ke 13 sudah hampir tiba saya yakin Pas Kelantan sudah pun mula mencongak dan mengira bagaimanakah untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Sudah pasti Pas telah mula mengatur langkah dan strategi mampan.

Lawannya, Umno sudah pun membuat persiapan awal dengan mensasarkan 21 kerusi di samping mengekalkan enam kerusi yang disandang kini. Dalam retreat parti berkenaan selama dua hari tiga malam di Surabaya, Indonesia akhir Mei lalu Umno telah memasang angan-angan untuk menguasai Kelantan.

Bagi Pas untuk menghadapi pilihan raya kali ini terasa berat sedikit. Ada dua faktor yang ketara. Pertama, Pas kali ini tidak mungkin akan dapat menggunakan kekeramatan Mursyidul Amnya, Nik Abdul Aziz Nik Mat sepenuhnya untuk dijadikan modal pilihan raya. Nik Aziz kemungkin tidak lagi akan bertanding memandangkan usia sudah lanjut.

Bukan itu saja Pas tidak akan mengalami perubahan drastik selagi ianya dinakhodai oleh Pas. Makanya kalau Pas ingin melihat perubahan drastik beliau perlu meninggalkan kerusi eksekutif berkenaan dan merestui kepada mana-mana anak didiknya.

Kedua, ialah kerana kelaziman pasang surut politik Kelantan. Arus politik Kelantan akan memihak antara Pas dan UBN setiap lima tahun sekali. Pasang surut ini berlaku boleh dikatakan terjadi sepanjang masa. Fenomena alam seperti bajir dan kemarau yang dialami Kelantan juga terikut dalam 'cakra' politiknya.

Tahun 2004 sewaktu pilihan raya ke 11, arus politik Kelantan tidak memihak kepada Pas. Parti itu hampir-hampir kehilangan kerajaan negeri apabila hanya menang dengan kelebihan dua kerusi saja. Sebaliknya tahun 2008 pada pilihan raya ke - 12, arus itu kembali menyuburkan Pas. Pas menang dengan besar dengan mendapat 38 kerusi dari 45 kerusi dengan kelebihan tujuh kerusi tanpa termasuk kerusi PKR.

Perubahan mendadak arus itu ada sangkut paut dengan pertukaran teraju kepimpinan Umno di peringkat pusat di mana waktu pilihan raya 2004 Abdullah Badawi baru mengambil alih kepimpinan Umno dari Mahathir Mohamad. Selepas pilihan raya Mac 2008 lalu, sekali lagi pucuk pimpinan Umno bertukar tangan apabila Najib Razak mengambil alih. Pengambilalihan ini dilihat akan memberi semangat baru kepada Umno.

Berpandukan kepada arus politik tidak menentukan itu, kemungkinan pilihan raya ke - 13 ini ia tidak akan memihak kepada Pas. Arus yang melandai di pantai Pas kini mungkin akan berolak kepada pantai Umno pula. Pas tidak boleh optimistik dengan pencapaian lalu dan harus meletakkan kemungkinan itu dalam kepala.

Justeru Pas kena berhati-hati dan bijak dalam mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya ke - 13 nanti. Dalam konteks ini Pas perlu berkorban dalam menyusun strategi terutamanya mengemukakan calon-calonnya dalam pilihan raya berkenaan. Menjelang pilihan raya ke- 13 ini ramai yang perlu berkorban dan bermahasabah diri dan meninggalkan hal-hal titik bengik yang masih menjadi perhitungan penting sesetengah pihak.

Dalam hal ini pada pengamatan awal saya tindakan besar yang Pas Kelantan perlu lakukan dalam memastikan kemenangan kelak ialah menggugurkan 26 wakil rakyatnya. Mereka ini harus ditukar dengan muka baru yang lebih bertenaga, berpendidikan, berketrampilan dan berkeupayaan membawa perubahan dan menjana masa depan Kelantan sesuai zaman kini.

Dari jumlah itu seramai empat orang ahli parlimen dan 21 orang ahli Dewan Undangan Negeri.
Secara spesifiknya dari jumlah itu, empat dari kawasan Pasir Puteh, masing-masing tiga dari kawasan Pengkalan Chepa, Pasir Mas, Kota Bharu, dua dari kawasan Tumpat, Rantau Panjang, Kubang Kerian dan Kuala Krai. Manakala satu masing-masing di Ketereh, Jeli dan Gua Musang.

Alasan kenapa wakil rakyat ini perlu digugurkan kerana pencapaian mereka tidak memberangsangkan. Meskipun mereka mampu membawa kemenangan tetapi dalam memberi khidmat dan membantu membangunkan negeri mereka tidak begitu berjaya dan mampu menyerlahkan sebagai pemimpin berkualiti. Rasanya Pas perlu mengorbankan atau pun seimbangkan dalam menilai pencapaian mereka dengan pengaruhan peribadi di kawasan setempat.

Antara wakil rakyat itu termasuklah dua orang anggota Exco. Exco ini sudah berkhidmat lebih dari dua penggal tetapi tidak berjaya menunjukkan kebolehan mereka dalam menguruskan kerajaan serta memberi impak kepada parti. Mereka ini hanya mempunyai pengaruh peribadi di kawasan mereka saja. Mereka ini juga tidak menunjukkan daya kreativiti mereka dalam membantu Nik Aziz sebagai Menteri Besar. Apa lagi untuk mencetus dan menetaskan idea baru sama sekali tidak. Yang sedap ditenguk kepada mereka hanya memandu Mercedez keliling kampung saja.

Sekiranya Pas masih mengekalkan 26 wakil rakyat ini Pas akan menghadapi masalah kerana mereka sudah menjadi liabiliti kepada parti. Liabiliti ini bukan kerana mereka mempunyai masalah peribadi tetapi keupayaan mereka sebagai wakil rakyat di zaman ini. Kebanyakan mereka masih menggunakan pakai stail wakil rakyat di zaman 60-an.

Sehubungan itu elok kalau Pas Kelantan sudah mengenal pasti ataupun memperkenalkan calon yang bakal mengganti mereka ini. Mereka yang layak untuk mengganti wakil rakyat berkenaan sudah perlu berada di kawasan dan mengambil bahagian aktif dalam parti. Pas perlu menonjolkan mereka sejak awal lagi bagi mengelakkan berlaku salah faham atau timbul sebarang masalah. Sebaik-baik penonjolan ialah mereka yang memilik pelbagai kemahiran dan profesional.

Persiapan awal ini juga penting bagi menguji sejauh manakah penerimaan rakyat kepada mereka. Dalam pada itu ahli dan penyokong Pas perlu bersikap terbuka dan melihat kepentingan serta keperluan untuk membawa perubahan kepada parti lebih penting daripada merasakan mereka perlu dicalonkan lagi kerana mempunyai hubungan baik dengan mereka atau ada konteks peribadi.

Setelah lebih 20 tahun Pas memerintah Kelantan sudah sampai masanya untuk parti itu mementingkan kualiti calon bukannya semata-mata melihat calon atau wakil rakyat itu mampu membawa kemenangan. Satu acuan politik baru perlu dibangunkan. Perlu diingat apabila parti berjaya menjadi kerajaan, penilaian rakyat bukan kepada kemampuan calon itu memberi kemenangan tetapi sejauh mana wakil rakyat itu berperanan dalam membangunkan negeri.

Seperkara yang tidak boleh dikesampingkan oleh Pas Kelantan bagi menghadapi pilihan raya kali ini ialah memulihkan keretakan kecil yang berlaku dalam parti itu kerana sentimen dan perbalahan peribadi. Sikap berpuak-puak atau bertanah rancangan hendaklah dileburkan. Sekali lagi diminta, sebelum Tok Guru Nik Aziz berundur tanah-tanah rancangan ala mini estet itu hendaklah disatukan dalam lot besar.

Saya yakin demi kemenangan Pas tuan-tuan tanah rancangan atau minit estet itu sedia untuk menyatukan lot-lot mereka. Penyatuan ini kalau lagi cepat lagi bagus. Untuk tujuan itu mungkin satu plan penyatuan secara menyeluruh dan kemas perlu diwujudkan. Semua pihak dalam Pas Kelantan juga harus sudah membayangkan siapakah yang paling layak untuk menjadi Menteri Besar dalam zaman serba mencabar ini. Sebaik mereka biarlah yang memilik skil dan ketinggian daya mentadbir! [wm.kl.9:20 pm 23/06/10]
Post a Comment