30 Tahun Lagi Pun Umno Kelantan Tetap Kulum Jari!
SERONOK juga mendengar khabar politik di kawasan sendiri Rantau Panjang, Kelantan mengenai Umno bahagian itu mengadakan dua persidangan kawasan serentak. Satu pasukan mengadakan persidangan di Lati dan satu lagi di Lubuk Jong. Jarak tempat persidangan itu diadakan tidak sampai 3 kilo menter. Kata orang kalau laung pun dengar.
Pasukan yang mengadakan persidangan di Lubuk Jong diketuai oleh Abdullah Mat Yassin. Manalala pasukan yang bersidang di Lati diketui oleh bekas Ketua Umno Rantau Panjang, Mohd Zain Ismail. Abdullah diangkat jadi ketua apabila keahlian Mohd Zain bersama tiga yang lain; Ghazali Ismail (bekas Bendahari), Fauziah Ab Rahman (bekas Ketua Wanita) dan (Fauzi bekas calon Ketua Pemuda) digantung atas dakwaan membantu calon bebas dalam pilihan umum lalu.
Bagaimana pun perlantikan Abdullah yang katakan ada hubungan baik dengan orang atasan termasuk dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Fatmi Che Salleh tidak diikhtiraf oleh dua pertiga daripada ahli jawatankuasa bahagian sekarang. Bahkan satu undi tidak percaya berjaya dibuat ke atasnya.
Seronok saya kata, kerana persidangan itu dihadiri oleh Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. Selepas merasmi persidangan di Lubuk Jong, Zahid juga menghadiri persidangan di Lati.
Tentulah bagi orang yang rasional dan arif berorganisasi sukar untuk memahami keadaan di Rantau Panjang. Apa lagi dengan kehadiran Menteri Pertahanan itu tambah memeningkan lagi. Bagi ahli di bawah akan menganggap kedua-dua pasukan Umno itu sah. Sebaliknya orang yang arif mengenai undang-undang akan bingung sampai ke Subuh. Macam mana Naib Presiden boleh hadir kedua-duanya yang mana maksud kehadiran itu mengesahkan kedua-dua pihak.
Kalaupun persidangan diketuai Mohd Zain tidak sah dengan kehadiran Zahid itu ia akan dilihat sebagai sah. Mohd Zain bersama kuncu-kuncunya juga akan menjadikan kehadiran Zahid itu sebagai modal dan dalil untuk mengatakan mereka adalah pasukan yang sah. Kalau tidak sah masakan Zahid sedia mencemar kaki ke persidangan mereka?
Memerhati politik Umno Rantau Panjang Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin juga jadi bingung kelu. Beliau menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku. Bercakap di Jakarta katanya apa yang berlaku itu menggambarkan Umno Rantau Panjang berpecah belah. Lantas beliau mengarahkan Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed menyiasat dan mencari puncannya.
Sebenarnya arahan Muhyiddin itu membazir air liur sahaja. Ia sia-sia saja. Mengarah Mustapa samalah mengarah mayat kura-kura matik dilanggar terelar supaya berjalan. Mustapa sudah tidak berdaya untuk menyelesaikan pergolakan Umno Rantau Panjang. Sudah lama Umno Rantau Panjang terutamanya kumpulan Mohd Zain mengadu masalah di Rantau Panjang kepada Mustapa. Berbagai formula penyelesaian juga sudah dikemukakan. Mustapa juga telah mengetahuinya dan apa yang termampu olehnya hanya berjanji saja.
Tetapi janji Mustapa hanya tinggal janji sahaja. Mustapa tidak menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi Perhubungan untuk menyelesaikan masalah di Rantau Panjang. Beliau lebih bersikap menjaga hati kedua-dua pihak, yang mana akhirnya Umno terus jadi berkucah dan bergelora.
Inilah kelemahan sejak dalam perut yang ada kepada Mustapa Mohamed. Kegagalan menyelesaikan kemelut di Rantau Panjang menandakan kelemahan dan ketumpulan beliau sebagai pemimpin. Sebab itu saya katanya Mustapa bukan layak menjadi ketua Umno Kelantan melainkan sesuai untuk jadi Tok Empat Umno sahaja. Tok Empat adalah penghulu yang boleh diberikan tugas menjaga Umno bahagian Jeli saja di mana beliau sebagai ketua. Kalau Umno bahagian Pasir Mas atau Kota Bharu belum tentu juga Mustapa mampu menanganinya.
Kalau beliau ada wibawa beliau panggil kedua-dua kumpulan yang bertelagah itu. Cara menggantungkan keahlian Mohd Zain dan tiga yang lain bukan penyelesaian terbaik. Tindakan itu tidak akan memberi keuntungan kepada Umno Rantau Panjang khasnya dan Umno Kelantan seluruhnya.
Apa yang Mustapa perlu buat ialah panggil kedua pihak untuk bersemuka. Beliau boleh meminta pandangan masing-masing untuk menyelesaikan perbalahan. Sebagai ketua, kedua-dua pihak harus akur dan taat apa-apa keputusan yang akan dilakukan nanti. Beliau kena tegas dalam hal ini dan bukannya bersikap 'klu klek'.
Tetapi kalau apa juga keputusan yang dibuat tidak sedia diakur oleh kedua pihak ini bermakna Mustapa harus sedarkan diri. Bahawa dia tidak mampu untuk menjadi ketua dan elok kalau beliau dengan suka rela meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan. Tidak ada guna kalau menjadi ketua tetapi tidak dihormati orang.
Penerusan kemelut di Rantau Panjang, pada saya salahnya terletak di tangan Mustapa. Begitu juga dengan apa yang berlaku di Tanah Merah yang menimpa bekas Setiausaha bahagian, Cikgu Amran. Amran sudah beberapa kali mengadu masalahnya kepada Mustapa. Namun Mustapa tidak memperdulikannya hingga jalan terakhir terpaksa diambil membawa masalah beliau ke mahkamah. Tindakan memecat Amran sebagai ahli Umno yang dlihat cuba hendak membela Ikmal Hisham tidak membawa kebaikan kepada Umno melainkan ia akan dilihat orang Umno parti yang bertindak mementingkan bulu dan berkasta.
Kalau Umno Malaysia ingin Kelantan diperintah oleh Umno, Najib Razak kena membuat penilaian semula kepada Mustapa. Tidak semestinya Mustapa cemerlang dalam bidang ekonomi dia juga arif dan bijak dalam soal mengurus parti. Beliau tidak boleh terus membiarkan Umno Kelantan dipimpin oleh seorang yang penakut, tidak tegas dan tidak tahu bertanggungjawab. Najib harus memilih seorang yang berani mengambil risiko dan sedia memikul tugas.
Apa juga perjuangan mesti menghadapi risiko. Dalam hal ini Mustapa langsung tidak mahu mengambil risiko. Bukan itu saja pandangan-pandangan orang lain juga tidak diterima pakai. Sikap kepegawaian yang diamalkan Mustapa tidak sesuai di bawa ke dalam politik. Masalah yang dihadapi Khalid Ibrahim di Selangor yang tidak mengambil berat soal kepentingan parti, tidak bijak mengurus manusia politik, itulah juga yang dibawa oleh Mustapa di Kelantan. Mustapa lebih memikirkan keselamatan dirinya saja daripada keselamatan Umno seluruhnya. Sebab itu lantiklah jadi menteri apa pun dia akan terima walaupun menteri itu bidang kuasanya tidak ada kena mengena dengan kebolehannya atau pun menjejaskan reputasinya. Yang penting jawatan menteri. Sikap dan pendirian ini menjelaskan kepada umum siapa Mustapa?
Dari sisi lain apa yang berlaku di Rantau Panjang itu, itulah juga yang berlaku dilebih separuh bahagian Umno di Kelantan. Sikap berpuak-puak dan berpasukan masih wujud dalam Umno di Kelantan. Macam-macam bentuk dan jelmaan puak-puak ini. Ada ketua tidak sebulu dengan timbalan, ada timbalan yang tidak sebulu dengan ahli jawatan kuasa bahagian. Dan ada juga ketua sama ketua tidak sama panjang bulunya!
Ada ketua pemuda tidak ngam dengan ketua bahagian, ada ketua wanita yang bergaduh dengan ketua pemuda kerana cemburu hati. Perbalahan dan pertelingkahan ini tidak ada tanda-tanda untuk surut atau pun damai. Sebab apa, sebab ketuanya di atas sana tidak pernah memikirkan bagaimana untuk menyatupadukan Umno di peringkat bahagian. Umpama sebuah keluarga anak-anak bergaduh sesama sendiri kerana sang bapa seorang yang dungu.
Jadi dengan keadaan Umno yang 'hentuk henyuk' ini apakah Umno Kelantan mampu untuk menumbangkan Pas dalam pilihan raya akan datang? Jawabanya 30 tahun lagi pun Umno tetapi mengulum jari saja! Awang Adek Hussein yang berangan-angan untuk jadi MB Kelantan juga akan terus terlena dalam angan-angan Mat Jenin itu kalau Umno liat untuk berubah. [wm.kl. 10:00 am 29/06/10]
No comments:
Post a Comment