Kerenah PKR Selangor Memeningkan Kepala Anwar
DALAM politik begitulah, jika ada berita spekulasi ianya akan dinafikan sekeras-kerasnya. Dalam masa sama musuh politik dijadikan kambing hitam dikatakan pengacau. Semua isu yang timbul semuanya dicampakkan kepada pihak musuh yang punya kerja. Mereka sengaja menimbulkan untuk mengeruhkan keadaan, itulah ayat yang biasa didengar. Sumpah mati mereka tidak akan mengaku. Mereka akan menafikan sampai timbul urat semereh di leher.
Begitu juga dengan apa yang berlaku di Selangor - kata mengatakan antara Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali. Kedua mereka nampaknya saling cuba menafikan dan menjaga apa yang ada dalam kain masing-masing. Sikap mereka seakan melindungi apa yang berbau di dalam dari dihidu orang di luar.
Azmin menafikan yang beliau sedang bergerak untuk menjatuhkan Khalid sebagai MB Selangor. Manakala Khalid pula mengatakan beliau masih steday, tidak ada apa-apa yang berlaku. Sokongan kepadanya masih kuat, katanya. Persetiaan dibuat oleh 17 dari 22 ketua bahagian PKR Selangor yang diadakan di rumahnya dijadikan hujah mengatakan beliau masih mendapat sokongan.
Sebelum ini tersebar desas desus mengatakan 15 orang ahli Parlimen akan meminta Khalid Ibrahim melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor. Desas desus itu juga dinafikan. Azmin Ali sendiri menafikan dan beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai cerita berkenaan. Katanya beliau bukan dalang mengenai konspirasi itu. Tetapi dalam penafian dan kenyataan Azmin mengenai desas desus itu dapat ditafsirkan ia berbunga-bunga dan penuh politik.
Nafi menafi ini akan berterusan. PKR akan cuba menutupnya serapat mungkin. Khalid Ibrahim katanya tidak menghadiri sepenuhnya retreat yang diadakan di PKR selama dua hari di Shah Alam. Hari ini pula Presiden PKR, Wan Azizah Ismail telah mengumumkan pertukaran jawatan Pengerusi PKR Selangor yang dipegang Khalid kepada Azmin Ali. Manakala ketua Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan yang dipegang oleh Azmin diserahkan kepada Zaid Ibrahim.
Pengumuman Wan Azizah itu dikira kemuncak kepada retreat berkenaan walaupun PKR menafikan bahawa retreat itu tidak membincangkan kedudukan Khalid namun pengumuman itu dilihat ia adalah salah satu resolusi utamannya. Sekali lagi PKR cuba menutup sesuatu yang sudah berbau.
Bagi mereka yang makrifat dengan sepak terajang politik dapat mengagak apa yang akan berlaku selanjutnya dalam PKR. Walaupun sejuta kali Khalid mengatakan beliau tidak merasa apa-apa dengan pertukaran itu dan Wan Azizah sendiri mengatakan ia atas permintaan Khalid, namun implikasi politiknya bukan berhenti setakat itu. Orang boleh membaca kilau dalam kilat.
Pertukaran itu akan terus ditafsirkan dengan berbagai marfhumnya. PKR Selangor khasnya tetap juga tidak akan damai selepas ini. Rakyat dibawah sudah lebur bercakap mengenainya. Anwar Ibrahim pula akan terus sakit kepala dengan kerenah yang bakal muncul dan kelihatan beliau sendiri serba salah untuk menyelesaikannya. Khalid dipilih Azmin adalah adik manjanya.
Saya yakin tekanan dan sindiran demi sindiran akan terus dikenakan ke atas Khalid Ibrahim selepas ini. Pertukaran jawatan dipegang Khalid kepada Azmin tidak akan menyelesaikan masalah. Sama ada jawatan itu atas kehendak Azmin atau sebaliknya ia tidak akan menyebabkan Azmin berpuas hati. Azmin mungkin boleh merasa megah dengan diberi kuasa menyelaras PKR Selangor, namun kuasa itu tidaklah memenuhui apa yang diidam-idamkan. Azmin tidak akan berpuas hati kalau beliau tidak dilantik menjadi MB Selangor.
Dalam bacaan politik di Selangor orang melihat Khalid diminta mengundurkan diri sebagai MB. Bacaan ini juga diterjemahkan daripada tindakan dan gelagat Azmin sendiri. Walaupun Azmin cuba menunjukkan keikhlasannya dalam soal menyokong Khalid ini namun apa yang tersirat di dalamanya orang maklum. Azmin semacam menanam tebu di bibir mulut dengan Khalid.
Justeru saya merasakan, keserabutan di Selangor tidak akan berakhir selagi Khalid tidak berundur dari kerusi jawatan Menteri Besar. Sama ada pengunduran itu bakal merobekkan keadaan PKR itu soal lain. Tetapi aspirasi atas segala yang berlaku di Selangor sebelum ini, termasuk isu rasuah dalam syarikat mengendalikan pasir, laporan rasuah terhadap Khalid mengenai lembu, kritikan dan teguran dalam mesyuarat atau pada kongres di Kota Bharu, semuanya tertumpu ke arah rasa tidak senang kepadanya. Semua itu merupakan signal-signal yang perlu difahami oleh Khalid dengan bijak.
Tegasnya masalah PKR di Selangor tidak akan selesai selagi Khalid tidak berundur. Soalnya kalau Khalid berundur apakah Azmin yang akan diangkat menjadi Menteri Besar? Apakah sekiranya Azmin menjadi MB ia disenangi oleh ahli dan penyokong PKR di Selangor serta rakyat seluruhnya.
Sebab, ada juga karektor atau sifat-sifat Azmin yang tidak disenangi di Selangor. Politik Umno masih terbawa-bawa oleh Azmin. Seperkara lagi dan ini paling bahaya, kalau Azmin menjadi MB Selangor maka tuduhan ke atas Anwar yang terlalu menganakemaskan bekas setiausaha politiknya itu selama ini ternyata menjadi benar. [wm.kl. 8:00 pm 27/06/10]
1 comment:
Kemuncak kepada isu dan kemelut yg sedang menimpa PKR Selangor ini ialah bilamana Tan Sri Khalid letak jawatan selaku MB dan kemudianya mengumumkan beliau masuk UMNO.Ketika itu..hayat PKR di Selangor pun terkubur.Talkin utk PKR Selangor.Dan mungkin talkin juga utk PKR seluruh Malaysia.Apatah lagi jika Anwar dihukum penjara sekali lagi.Sejarah akan tercipta....tunggu dan lihatlah sedikit masa sahaja lagi.
Runtuhnya satu2 empayar kuasa bukan kerenah org luar tetapi kerenah org sendiri.Singapura[ Temasik ] diserang musuh kerana org dalam yg buka pintu kota.Melaka hancur diserang Portugis kerana kerenah pemimpinnya sendiri,Tok Janggut tewas kerana pengikutnya yg pecahkan rahsia..byk lagi bukti menunjukkan sesuatu itu kalah atau tewas dek permainan org dalam atau pengikut sendiri.
Kalau Azmin masih dgn nawaitunya, kalau Khalid masih dgn stylenya..Selangor akan jatuh ke tangan UMNO semula sebelum menjelang PRU13.Dan jika hari ini Selangor jatuh ke tangan UMNO, dlm minggu ini juga Najib akan bubarkan Parlimen utk PRU13..Selangor lah penanda arasnya.
Post a Comment