Umno Perlu Juga Bersetuju Menemui PKR
Timbalan Perdana Menteri (TPM), Muhyiddin Yassin mengatakan Umno sedia untuk bertemu dengan Pas bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha memperkukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini. Katanya walaupun usaha itu sering kali menemui kegagalan ia tidak pernah mematahkan semangat Umno. Baguslah kalau begitu.
Kenyataan Muhyiddin itu pasti akan menjadi kontroversi dan modal politik bagi ahli politik yang mudah miang mulut bila diajukan perkara itu. Dan kenyataan yang sama akan dikeluarkan oleh media massa sekejap lagi yang mengulas kenyataan Muhyiddin itu. Portal berita yang tidak senang dengan penyatuan Melayu akan melagakan pemimpin Melayu.
Kenyataan berbau kebencian kepada Umno akan terhembur di mana-mana secara kesat dan kasar. Pasti akan ada yang mengulas kenyataan Muhyiddin itu sebagai menggambarkan Umno sudah terdesak.
Muhyiddin akan disindar dan disinis semahunya.
Juga akan ada pemimpin Pas mengulas kenyataan itu serta mengulangi tuntutan Pas agar Umno mengubah perlembagaanya sebelum bekerjasama dengan Pas. Selamanya kenyataan sebegitu akan diprejudiskan oleh Pas. Di Kota Bharu sana akan terkeluar kenyataan yang kliese mengenai perkara itu. Paling lama Jumaat akan datang.
Tidak mengapa Pas berhak untuk berkata demikian berpandukan kepada sejarah dan kepercayaan. Tetapi apa yang saya hendak pertikaikan kenyataan Muhyiddin itu kenapakah Umno hanya bersedia untuk menemui Pas sahaja. Kenapa Umno tidak terbuka fikiran untuk menemui sama dengan PKR? Sesekali cubalah Umno menghulurkan salam persaudara dengan PKR? Dalam PKR rasanya ada orang yang akan menyambut salam Umno sebab ada yang faham erti assalamualaikum?
Saya rasa satu kejutan kalau tiba-tiba Umno menyatakan kesediaan untuk berjumpa dengan PKR dan berbincang dengan Anwar Ibrahim. Perjumpaan tiga buah parti Melayu ini akan membuka era baru dan membawa semangat baru kepada orang Melayu. Ia tentu merujakan banyak pihak.
Kalau Muhyiddin atau Umno ikhlas dan benar untuk menyatukan orang Melayu, Muhyiddin tidak boleh abaikan PKR. Mengajak Abdul Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak boleh meninggalkan Anwar Ibrahim. Hampir separuh dalam PKR adalah orang Melayu. Rasanya lebih mudah mengajak orang PKR bersatu berbanding dengan Pas kerana sebahagian besarnya mereka adalah darah daging Umno.
Pada saya selagi penyatuan dan kerjasama tidak membabitkan PKR harapan untuk melihat Melayu bersatu dan kerjasama sia-sia sahaja. Pas yang kini sudah berikat atas dasar politik (Pakatan) tidak akan bersetuju. Dan sekiranya Umno sedia jumpa sama dengan PKR rakan Pas dan PKR, DAP tidak perlu merasa cemas dan cemburu. Mereka berhak berjumpa atas nama bangsa Melayu. DAP juga perlu menghormati pertemuan itu kerana mereka adalah sebangsa dan seagama!
Seharusnya persepakatan politik untuk mendapatkan kuasa tidak menjadi penghalang untuk mana-mana bangsa dan kaum berjumpa sesama mereka memikir mengenai nasib dan masa depan masing-masing. Begitu juga kalau DAP hendak berjumpa dengan parti-parti lain yang sekaum dengannya Pas dan PKR tidak perlu merasa gusar.
6 comments:
Saya sangat setuju ngan pandangan MSO ni... mesti ada satu formula/ solution penyelesaian pada kemelut orangmelayu islam kini yang kritikal dan x pernah beraku sebelumnya. Apa yang tuan sebut ni salah satu titik permulaannya.
Assalamualaikum Tuan MSO,
Pada penelitian saya, kenapa UMNO tidak mahu bersetongkol dengan PKR adalah jelas iaitu PKR tiada ketulenan perjuangan sebagaimana PAS. Asas perjuangan PKR tidak senada dengan UMNO. Nak dikata PKR pejuang bangsa, tidak sama sekali kerana di dalamnya terkandung kepentingan bangsa lain; Nak dikatakan berjuang demi kepentingan agama, pun jauh sekali kerana kepelbagaian agama pemimpin2nya menyebabkan dasar sebegitu menjadi songsang. Oleh itu untuk mencapai tahap "wahdatul Fikr" pada hemat saya pasti sukar. Lagi pula, kita kena ingat bahawa asas gerakan kepada perpaduan ini adalah keadaan org Islam berada di situasi yg cukup merbahaya. Sayugia ingin saya kongsikan sedikit bahawa, maklumat dari pada satu sumber (keselataman) yang saya perolehi amat menakutkan.Ianya bukan maklumat kosong atau direka tetapi yang sebtulnya tanpa tapisan politik etc. Jadi, Jika kita silap membuat percaturan makanya kita akan merana teramat sangat.
Dalam hal ini, hanya ketinggian akal dan makrifat akan boleh menerima fikrah ke arah penyatuan ini. Seperkara lagi yang ingin saya tekankan ialah...penyatuan bukan bermakna orang PAS perlu menyertai UMNO atau sebaliknya. Bersiasahlah kita dengan parti masing2 tetapi dalam hal2 tertentu yang kritikal makanya kita perlu bersila bersama.
Saya yakin akhbar tuan adalah antara akhbar utama yg boleh memainkan peranan penting dalam usaha ini. Allahuakhbar!
Salam Saudara MSO,
Ucapan dan tindakan setengah-setengah pemimpin UMNO tidak seragam. Ini bukan pertama kali ucapan serupa keluar dari mulut pemimpin UMNO. Apa hasilnya? Cakap lain tapi buat lain. Semalam ugut nak tarik permit lidah rasmi PAS Harakah, hari ini nak mengajak kepada perpaduan? Pelik kan. Kata nak satukan orang Melayu, tapi kenapa ditidakkan hak royalti minyak kepada Kelantan yang majority orang Melayu. Lebih rela melihat bangsa sendiri merana dik politik yang sempit? Macamana orang nak percaya. Yang kaya UMNOPutra, orang kampung juga yang terus hidup susah.
Ia hanyalah kenyataan nakal seorang pemimpin UMNO, macam saudara kata, mereka terdesak dan panik. Pemimpin2 UMNO yang ikhlas inginkan perpaduan Melayu pun kian dipinggirkan seperti Tengku Razaleigh Hamzah. Ikhlas ke UMNO untuk bersatu? Jauh panggang dari api, kecuali pemimpin mereka berubah dan dilihat berubah.
Perpaduan dalam PR makin kukuh dan mampu untuk menggugat BN dalam PRU 13 nanti. Itu yang Mahyudin pening. Persefahaman dan pakatan PAS, PKR dan DAP sendiri perlu dikukuhkan untuk menangani isu-isu bersama dan nasional. Bahkan PR telah menawarkan parti-parti politik yang lain untuk bersama mereka. PAS perlu terus ke depan sebagai wadah politik Islam yang merentasi warna kulit dan bangsa. Islam for All. Inilah politik baru untuk Malaysia.
Pemimpin UMNO kini amat gusar sebab makin ramai Melayu dan rakyat yang sudah sedar bahawa parti yang berdasarkan satu-satu kaum tidak boleh bertahan. Lihat saja MCA dan MIC. Isu-isu sensitif saja dimainkan seperti PERKASA contohnya, untuk membangkitkan rasa tidak senang dan takut diantara kaum, akhirnya akan makan tuan. PAS bersama rakan2 dalam PR telah berada dilandasan yang betul. Kukuhkan ikatannya. Jangan sampai pulak nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.
Saudara MSO,
Sebagi seorang yang hidup agak lama saya masih ingat bila suasana politik negara dilanda ketidak-tentuan akibat tercetusnya kekacaun rusuhan kaum pada tahun 1969. Oleh kerana terdesak Tun Abd. Razak mengajak PAS bekerjasama maka lahirlah gagasan BN. Pada mulanya UMNO nampaknya ikhlas 'berkira bicara' dengan PAS, tetaapi setelah keaadaan politik dan masyarakat menjadi lebih selesa, UMNO telah kembali menunjuk 'taring dan belang'nya dan meminggirkan PAS. UMNO telah menjadi 'arkitek' menjatuhkan Kerajaan Kelantan pada ketika itu dengan memperalatkan MB PAS aruah Dato' Hj. Mohammad b. Nasir, yang terkenal di kalangan orang Kelantan pada ketika itu sebagai 'Dato' Jujur'. Menipulasi yang dirancang oleh UMNO ini mengakibat 'Dharurat' diisytihar di Kelantan dan PAS telah ditendang keluar dari BN. Hal seperti ini akan berulang sekiranya PAS memilih untuk bekerjasama dengan UMNO sekali lagi.Ketauilah orang yang tidak bodoh tidak akan terjatuh kedalam lubang yang sama pada kali yang kedua.
Encik MSO semsa kita mengundi 1969 umur saya baru 22 tahun dan pertama kali saya mengundi dan pangkah bulan bintang, hinggalah sekarang ni pangkah bulan aja, saya selalu becerita kepada anak-anak sya mengenai apa yang berlaku pada tahun 1969 dan membawa kepada pencatuman PAS dan UMNo dan juga PPP maka jadilah BN, 1978 BN tendang PASkeluar la ni depa nak bercamtum pula ha sory lah selagi depa tah ubah perlmbagaan depa sepertimana kata DNAA. UMNO dah nak lemas la ni depa nak cari dahan tempat bergantung, tak payah dilayan mereka ni. sekian.
assalamualaikum,tuan MSO...
saya seorang penggemar blog tuan, saban hari saya membaca setiap pandangan atau posting tuan,untuk kali ini saya terpanggil untuk menulis komen,saya sangat bersetuju dengan pandangan tuan, umno juga harus menghulurkan tangan buat PKR, walau pun pkr keahliannya semua bangsa namun sokongan dari orang melayu kepada pkr juga tidak boleh kita nafikan, selain itu saya melihat punca sokongan orang melayu terbahagi 3 adalah dek kerana paling kemuncak ketika pemecatan DSAI, saya adalah salah seorang pengundi muda pada ketika itu yang turut beralih sokongan ke pkr sehingga kini walau apa pun jua yang umno lemparkan kepada pkr, sokongan saya masih teguh. Tidakkah umno melihat bahawa salah satu cara untuk melihat kembali orang melayu bersatu adalah dengan menghulurkan salam perpaduan kepada tokoh2 dari pkr dan pas..jika umno ikhlas untuk menyatukan kembali orang melayu saya kira pasti tokoh2 dari pkr dan pas tidak keberatan..tetapi persoalannya kini, adakah tokoh2 atau pemimpin2 umno bersedia mengorbankan jawatan dan kekuasaan yang mereka miliki kini untuk dikongsi bersama2 tokoh2 dari pkr dan pas kelak?..tepuk dada tanya selera...ini hanya pandangan peribadi saya tuan mso,sekian wasalam...
Post a Comment