Orang Pas Selangor Macam Orang Umno Kelantan
PEREBUTAN kuasa berlaku di mana-mana. Ia tidak terkecuali dalam parti mana sekalipun. Perebutan kuasa ini semakin menjadi lagi apabila ada tanda-tanda sesebuah parti itu berpotensi untuk jadi kerajaan. Makin terserlah parti itu kuat, maka terserlah lagilah perebutannya. Inilah sikap semula jadi manusia.
Pagi ini saya nak syarah sedikit mengenai Pas Selangor di mana segelintir pemimpinnya yang tidak habis-habis bergesak sesama sendiri. Dari awal kemenangan Pakatan Rakyat 8 Mac 2008 hingga kini Pas Selangor macam telaga air panas di Selayang bergelagak sepanjang masa. Kenapa ya?
Ada ketika ia reda, tetapi seketika kemudian ia menjadi panas balik. Kenyatan ini jelas apabila sepanjang 2008 hingga 2010, hanya Pas Selangor yang terlibat dengan ahlinya digantung. (Nasib baik tidak dibuang kerana menurut Tuan Ibrahim Tuan Man bukan jenis Pas membuang ahli). Kalaulah Pas jenis parti buang ahli mungkin dua tiga kerat ahli Pas Selangor yang membuat kacau itu dibuang oleh Pas.
Pas di negeri lain-lain nampaknya tenang dan aman. Di Terengganu walaupun Pas negeri berkenaan kalah, tetapi ahlinya tenang saja. Tidak bergaduh sesama sendiri dan tidak ada pula huduh menguduh sesama sendiri. Kalau pun ada yang tidak puas hari antara satu sama lain tetapi rasa tidak puas hati itu disalurkan dengan baik.
Bukan orang tidak tahu sebahagian besar pemimpin Pas Terengganu hari ini tidak disukai oleh ahli dan orang muda Pas. Mustapa Ali, Bakar Chik, Harun Taib, Wan Mutalib Embong malahan Abdul Hadi Awang tidak disenang. Mereka dituduh pembawa sial kepada Pas Terengganu. Namun ahli Pas Terengganu tidak pernah memalukan mereka. Tidak ada yang biadap mengkritik secara terbuka dari Kuala Terengganu.
Begitu juga Pas Kedah, tidak menjadi kalut. Pas Kedah sejiwa menghadapi ulah dan fill Umno. Mereka bersatu di bawah Azizan Razak. Walaupun ada pemimpin Pas Kedah yang mengidam untuk menduduki kerusi Pengerusi Perhubungan Pas Kedah, tetapi orang itu menikus saja. Bukan semua orang Kedah suka kepada Azizan yang perengus, keras dan bangkeng itu, tetapi mereka bersopan santun. Mereka tidak tergamak mengkritik dan menghuduhkan Azizan depan orang ramai atau mengata dalam blog. Orang Kedah lebih beradat dari orang Pas Selangor.
Pas Perak juga tidak sekalut Pas Selangor. Tidak ada pemimpinnya yang kena gantung. Malahan pemimpin Pas Perak boleh diberi tabik kerana walaupun tidak dilantik terus memegang jawatan tetapi tidak 'berona' (tidak membuat masalah). Tenang menerima apa yang berlaku. Nampaknya pemimpin itu insaf dan sedar sejauh manakah kebolehan dan kelemahanya.
Pas Johor, Melaka, Pagang, Perlis ataupun Pualu Pinang tidak ada apa-apa masalah. Semuanya aman damai tidak ada sengketa dan dengki mendengki sesama sendiri. Mungkin kebanyakan mereka tidak profesional dan bukan lulusan luar negeri. Jadi mereka tidak reti untuk bergaduh.
Bahkan Pas Kelantan yang menjadi tekanan dan serangan Umno habis-habisan juga dapat membendung masalah mereka. Di Kelantan Pas bukan tidak ada krisis dalaman ada. Malahan krisisnya lagi teruk. Ada peringkat mengadu domba sesama dendiri. Tetapi mereka dapat kawal perasaan.Tidak ada ahli-ahli Pas di Kelantan yang dikenakan tindakan tatatertib atau digantung. Kalaupun mereka begaduh mereka bergaduh macam laki bini yang cerdik tidak sampai ke luar dan hanya berantan atas katil saja.
Lebih menakjubkan lagi ahli Pas Kelantan boleh berhenti dari bergaduh bila mereka berdepan dengan serangan bertalu-talu oleh Umno. Mereka lupa masalah peribadi dan tumpukan kepada kekuatan parti. Mereka letak golok, keleweng dan parang, sederap berhadapan untuk menangkis Umno.
Tengok isu royalti minyak, walaupun ramai yang tidak senang dengan orang yang mengepalai menggerakan isu itu, tetapi mereka bersatu bersamanya. Memberi sokongan padu kerana isu itu untuk kebaikan rakyat Kelantan. Inilah uniknya rakyat dan Pas Kelantan.
Juga di Kelantan bukan tidak ada pemimpin itu kena buang pemimpin ini kena cantas. Ada. Banyak. Tetapi mereka reda dan menerima keadaan. Mereka tidak cuba memburukkan orang yang mencantas dan membuangnya. Mereka menganggap itu perkara biasa. Dan mereka tawaduk menerimanya. Kalau pun mereka tidak bersetuju mereka hanya diam dan bukan berkokok macam Ibrahim Ali.
Jadi kenapa Pas Selangor tidak oleh meniru atau mengambil teladan yang baik dari Pas Kelantan dan menjadi seperti Pas negeri lain. Saya nampak dendam dalam diri orang Pas Selangor begitu menebal. Pantang ada kesempatan sikit digunakan untuk mengoyangkan yang lain. kadang-kadang isu yang timbul itu tidak relevan pun untuk diambil kesempatan tetapi digunakan. Walaupun isu itu sampah tetapi dikira boleh memburukkan orang lain, tetap dijadikan isu. Lemah sangat akal politik mereka.
Mereka yang bermasalah di Selangor saya pehatikan tidak ramai. Hanya dua tiga kerat sahaja. Kalau dihalusi mereka ini sebenarnya bukan anak jati Selngor pun tetapi orang luar yang mencari makan di Selangor saja. Mereka inilah yang membuat masalah. Sekali lagi saya ulangi orang Kelantan juga ramai menggerakan Pas di Selangor. Tetapi mereka tidak membawa masalah apa-apa. Mereka dapat menghayai budaya Selangor dan budaya Pas. Mereka benar-benar taat dan patuh kepada parti.
Mengenangkan apa yang berlaku dalam Pas Selangor akhir-akhir ini saya teringat kepada Umno di Kelantan. Umno di Kelantan bergaduh dari hari pertama hingga ke kehari ini. Mereka tidak pernah berhenti bergaduh. Seolah-olah bergaduh dan memburuk di antara satu sama lain itu ada kegiatan parti buat mereka. Gara-gara bergaduh itulah mereka hilang kekuatan dan kalah dalam setiap kali pilihan raya.
Saya bimbang kerana pergaduhan Pas Selangor ini menyebabkan enam kerusi yang Allah berikan semasa pilihan raya lalu akan hilang. Baru menang enam kerusi baru rasa-rasa nak boleh jadi MB Pas Selangor sudah bergaduh sesama sendiri. Bayangkan kalau menang 16 kerusi dan Pas jadi MB mungkin pergaduhan berlaku siang dan malam. Ingatlah kepada marfum satu peringatan Allah dalam surah Ibrahim 14:7 yang bermaksud; Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."
Melihat kepada perbalahan yang tidak henti-henti itu semacam Pas Selangor tidak mensyukuri kemenangan yang kecil itu. Berpandu kepada peringatan itu tidak mustahil Pas akan kehilangan kesemua kerusinya dalam pilihan raya akan datang kalau perbalahan diteruskan. Pas Selangor janganlah jadi Umno di Kelantan, sebaliknya jadilah macam Pas Kelantan yang bergaduh jauh dari musuhnya dan akan berbaik bila musuhnya berdiri di depan. Pilihan raya ke 13 adalah musuh Pas Selangor berdamailah. [wm.kl.2:00 pm 25/07/10]
7 comments:
Entahlah ..
Saya sendiripun rungsing dengan apa yang berlaku kpd pimpinan PAS selangor. Masing2 ada pengaruh dan pengikut . Mereka sebenarnya perlu ingat bahawa mereka mencorak pengikut bawahan . Kalaulah sifat pimpinan PAS selangor hanya asyik bergaduh - berdendam - berburuk sangka apatah lagi ahli dibawah .
Bagi saya cukuplah . Terutama Pak Khalid yang asyik mencari ruang memperburukkan Hasan Ali . Saya lebih hairan bagaimana Khalil Idham LIm yang berada di Perak pun mengeluarkan kenyataan yang lebih bersifat setiakawan berbanding dengan kenyataan Kalid yang menampakkan perseteruan .
Kalau setakat blog2 pengadu domba sememangnya saya tak kisah . Blog2 sebegitu kita pun dah tahu niat merekan dan hasrat mereka . Tapi bila pemimpin maka ini sangat berat . TGNA pun tak teringin nak ulas ttg Harunsani tiba2 Khalid mengelegak bagai air panas hendakkan pecat itu ini . Sedangkan tuduhan sebelum ini yang mengatakan Hasan Ali mengacau pentadbiran selangor pun tak tepat.
Mengapa mereka tak nampak pergeseran Azmin dan Khalid... tetiba dituduh Hasan Ali pula yang mengacau .. !!!!
Itulah payahnya bilamana SESEORANG MERASAKAN DIA YANG BETUL BIARPUN JEMAAH MEMUTUSKAN SEBALIKNYA .
artikel yg sangat baik.saya drpd shah alam menyokong hujah saudara mso.
Entah la.Ingatkan org cerdik,ada ilmu,ada pengetahuan agama ni lebih baik dari mereka yg berfikiran sekular,rupa2nya lebih teruk dari tu.Jika ada sikap tidak qana'ah dgn apa yg sudah dimiliki dan masih cemburu dgn org lain demi utk pangkat,kuasa atau kedudukan selagi itulah riak persengketaan dlm PAS Selangor akan terus wujud.
Heran juga saya pun.Apa lagi yg mereka ni mahu?berkhidmat je la kat rakyat.Kuasa dan kedudukan ni kalau bukan milik kita,kejar, hambat, kerja siang malam pun tak akan dpt..nanti kelelahan je.Udah2 la tuuu.Takut nanti yg dikejar tak dpt,yg dikendung jatuh berciciran.
Satu komen yang bernas.....Harap pimpinan PAS Selangor dapat bertindak dengan waras berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.....Sesungguhnya kemenangan yang sedikit ini adalah suatu peringatan kepada kita....Keadaan yang sema buat semua ahli dan pimpinan PAS seluruh negara... Ingat dan sedarlah tujuan utama mengapa kalian bersama perjuangan PAS.... Kuasa dan pangkat bukanlah matlamat kita semata2. ISLAM TERTEGAK DI BUMI MALAYSIA adalah asas perjuangan kita. Sifat2 munafik dan jahiliah harus disingkirkan dari dalam diri kita..... Sesungguhnya matlamay kita masih jauh....
hanya apabila khalid samad dipecat drp PAS ataupun dihalau keluar drp Selangor, baru PAS selangor akan aman.
Sdr Haji MSO!
Pas kalah di Kelantan pada tahun 1978 bukan kerana Umno kuat tetapi kerana Pas balah sama-sama Pas.
Demikian juga ketika Umno/BN kalah di Kelantan pada penghujung tahun 1990, bukan kerana Pas kuat tetapi kerana Umno sama Umno berkekoh.
Umno/BN kalah di Selangor, Kedah dan Perak (sebelum Umno/BN kembalidi Perak) bukan kerana Pas/PKR/DAP kuat tetapi kerana Umno/BN ada balah sesama sendiri.
Gerakan/BN kalah di Pulau Pinang bukan kerana DAP kuat tetapi kerana Gerakan ada masalah sesama sendiri.
Kerajaan Melayu/Islam Pattani hancur bukan kerana Siam kuat tetapi kerana Melayu/Islam tidak bersatu.
Kerajaan Melayu Melaka lebur bukan kerana penjajah hebat tetapi kerana Melayu tidak sepakat. Demikian halnya bila Jepun tawan Tanah Melayu.
Saya yakin kerajaan mana-mana negeri sama ada yang diperintah Umno/BN mahupun PR tidak akan kalah kerana lawan kuat tetapi akan kerana balah sesama sendiri.
Sebagai orang media kita mencatat setiap kejadian, termasuk kejadian-kejadian di gelanggang politik, segalanya ada dalam buku catatan dan rakaman kaset kita atau pun tercatat di media cetak dan elektronik.
Orang awam barangkali hanya melihat suasana semasa semata-mata tetapi kita mencatat dan menganalisa.
Justeru kita kena bersedia untuk menjadi lilin yang membakar diri demi untuk membuat teguran, peringatan dan kritikan membina walaupun adakalanya kita ditohmah dan dituduh macam-macam. Persetakan dengan apa orang kata. HANYA KITA YANG MEMAHAMI DIRI KITA,tujuan dan matlamat kita.
Pemimpin-pemimpin PAS Selangor sedang diuji oleh Allah dengan sedikit kemenangan. Ujian yang sebenar ialah dari dalam diri kamu dan bukan dari musuh-musuh politik kamu. Andai kamu masih tewas dengan nafsu yang menguasai diri kamu, bagaimana mungkin kamu mampu untuk menundukkan musuh-musuh kamu di luar sana?
Bukankah kita diajar supaya bersama dalam apa yang kita persetujui dan berlapang dada dengan apa yang kita perselisihkan dengan saudara seperjuangan kita?Dimana manifestasi usrah dan tarbiah yang kamu banggai dan war-warkan selama ini? Andai kamu masih dengan sikap sedemikian, lupakan saja Putrajaya dan percayalah ia hanyalah igauan kosong walaupun ia hanya sepelaung dari rumahmu...
Yang pasti Allah hanya akan memberikan kemenangan kepada hamba-hambaNya yang layak dan berjaya melepasi ujianNya. Dan kami marhaen di bawah ini dahagakan saat-saat manis dan indah itu....
Post a Comment