Tuesday, July 20, 2010

Susupan Malam

Kesian Adibah Terima Kasih Rosmah!

SEBAGAI sekaum (profesyen - penulis) saya merasa bangga dan ingin mengucap terima kasih kepada Badan Amal Dan KebajikanTenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM50,000 kepada tokoh persuratan bahasa negara, Adibah Amin (foto) yang kini menderita diserang angin ahmar sejak tiga bulan lalu.

Saya tidak pernah berjumpa dengan Adibah dan mengenalinya menerusi penulisan-penulisannya saja. Saya mula membaca novalnya berjudul "Seroja Masih di Kolam" sekitar tahun 70-an. Kalau tidak silap ingatan saya novel itu mencerita kehidupan remaja di alam kampus. Seronok dan menghiburkan.

Kenapa membolehkan saya membaca noval itu kerana membantu seorang sahabat saya yang tidak mempunyai penglihatan (buta), bernama Mat Darus Sulaiman atau nama penanya M Hayat.

Sekembali dari sekolah saya akan ke rumah Mat Darus untuk membaca novel berkenaan. Sesuatu yang mengkagumkan saya, Mat Darus tidak pernah bersekolah - disekolahkan oleh orang tuanya, al maklumlah orang kampung yang serba serbi kurang mengenai maklumat dan kesesaran melihat orang catat sebagai liabiliti yang menyusahkan dan bukan sebagai aset. Saya yakin kalau kawan saya ini diberi kesempatan beliau akan muncul menjadi orang buta berjaya seperti Almarhum, Prof Ismail Salleh.

M Hayat tidak pedulikan itu. Namun minatnya dalam dunia sastera dan penulis sangat tinggi dan berkobar. Dia tidak merasakan kecacatan sebagai penghalang. Ketika itu ada dua orang penulis di kampung saya, Mat Jusoh Mat Taib (M Jusof Taib) dan Ismail Mustafa (Norhisham Mustafa). Kedua mererka terkenal sebagai penulis skrip radio. Malahan skrip mereka disiarkan saling seli dengan skrip Adibah Amin.

Mengenai hasil kegigihan M Hayat tadi beliau akhirnya muncul menjadi penulis skrip drama radio yang tidak asing di Pantai Timur dan turut sama disiarkan oleh Rangkaian Nasional.

Apa yang saya nak cerita di sini ialah mengenai bantuan pihak tertentu kepada kaum penulis. Adibah yang gah, tokoh bahasa, penulis novel, cerpen, sajak dan drama radio, wartawan yang unggul sebagai seorang tokoh tidak sepatutnya mengalami kesusahan kewangan sehingga terpaksa dibantu. Tetapi itulah hakikat dunia penulisan di negara ini. Rata-rata relatif daif dan sangsara.

Musykil di kepala saya, apakah penulis di negara ini tidak boleh hidup dan di akhir kegemilangannya terpaksa menumpang kasih dan belah kasihan pihak lain? Sudah sampai masanya kalau pihak kerajaan memikirkan bagaimana untuk membantu penulis meneruskan kehidupan. Begitu juga persatuan penulis harus memikirkan masa depan - hari tua kaum mereka.

Saya tidak pernah dengan Gapena - Gabungan Penulis Nasional yang kini diketuai oleh Ismail Hussein sudah mencecah separuh abad, turut sama memainkan peranan membantu para penulis yang sangsara dan daif? Kalau Gapena belum berbuat demikian elok memulakan sekarang. Gapena boleh menggunakan kuasa dan kedudukan Ketua Satunya yang mesra kerajaan itu bagi mencari dana untuk tabung bantuan kepada kaum penulis yang sangsara.

Adibah Amin bernasib baik sebab dia penulis dan tokoh terkenal. Dia istimewa. Keperempuannya menimbulkan keinsafan Bakti. Kesangsaraanya telah digunakan oleh Bakti untuk menonjolkan keprihatinan isteri perdana menteri di mana kesan itu akan memberi keuntungan kepada Najib Razak. Tidak mengapa, yang penting ada orang lain mendapat laba dari percaturan itu.

Berbeza dengan seorang penulis, aruah Abdul Halim Mahmood. Rona-rona kehidupannya di hujung usia sungguh menyedihkan. Beliau menghadapi kesempitan untuk hidup bagi mengubati penyakit strok yang dihadapinya. Merata beliau mencari duit dan ada masanya menangih dengan kawan-kawan. Saya sendiri sempat membantunya membawa berubat di Melaka. Paling menyedihkan beliau terpaksa menjual maruahnya menerusi sebuah karya demi untuk hidup.

Kes Halim adalah kes terpencil yang menjadi simbol kepada dunia penulis negara ini. Banyak kes-kes melibatkan kesangsaraan penulis kerana ketiadaan wang dan mana-mana badan yang turun membantu. Adalah diharap, Bakti tidak akan memberi bantuan secara bertompok dan ikut sama menghulurkan bakti mereka kepada mana-mana penulis yang sangsara. Biarlah.... apa orang politik hendak tunding kepada Bakti yang penting penulis akan mendapat sedikit nikmat dari sejuta nikmat yang melimpah dalam Bakti.

Terima kasih Rosmah semoga keprihatinan dan eksploitasi keadaan sebegitu demi kepentingan politik suaminya juga akan turut diambil oleh pihak pembangkang. Parti politik seharus berlumba-lumba untuk membantu rakyat dan bukannya berlumba-lumba untuk mempergunakan dan memperalatkan rakyat demi kepentingan mereka. [wm.kl. 8:00 pm 21/07/10]

1 comment:

CodeNameSomaliPirate said...

Salam Sdr MSO

Saya mungkin tidak ada persamaan pendapat yang banyak dengan tuan tetapi adalah merupakan penjengok tetap blog Merah Tinta ini.

Tetapi pada posting ini saya punyai rasa apa yang tuan rasai. Mengingati Adibah Amin sebagai seorang penulis dan dramatis yang bersuara manja menggoda hati pemuda ketika radio menjadi sahabat popular pendengar sekitar 70an dan 80an. Teringatkan juga lakonan beliau yang amat berkesan sebagai 'Cekgu Bedah' dalam filem Adik Manja. di awal 80an

Begitu juga M. Jusof Taib dengan novel 'Saga' nya dimana watak heroin dalam novel itu yang bernama 'Munirah' saya abadikan kepada nama puteri saya. Begitu berpengaruhnya mereka didalam hidup kita.

Tetapi apa yang berlaku diakhir kariernya tidak lagi dipedulikan bahkan ada yang hidup melarat.

Persatuan-persatuan penulis harusnya mengikut jejak para seniman filem dan artis tanahair yang berjaya mengujudkan tabung pencen, KWSP dikalangan mereka. Ini harus dicontohi.

Kalau dinilai rasanya para karyawan didbidang penulisan tentunya lebih berilmu dan berpengetahuan daripada kelompok artis (sebahagiannya) maka haruslah ada yang menjadi penggerak untuk membela kehidupan mereka.

Wasalam