Perpecahan Melayu Kerana Tiada Agenda Bersama (Bhg 2 dan Akhir)
Oleh Mohd Sayuti Omar
ATAS pendirian bahawa penyatuan Melayu bukan saja menerusi Umno tetapi juga melalui badan atau wadah lain. Jadi kenapa kita harus merasa gerun dengan kebimbangan Umno itu?
Kebimbangan Umno tidak semestinya menjadi lagu kewalangan semua orang. Lainlah kalau sudah termutlak
bahawa survival Melayu ini hanya terletak di tangan Umno. Soalnya apakah ada pernyataan atau ‘dikri’ alam menyebut begitu?
Perlu disedari menyatu dan memperkasakan Melayu bukan tanggungjawab Umno semata-mata. Bahkan ia tanggungjawab semua teremasuk PAS, PKR, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan setiap individu Melayu. Bahkan Umno sudah tidak relevan lagi untuk membela Melayu disebabkan perubahan dan evolusi serta dosa-dosa yang mereka lakukan kepada bangsa sendiri sejak berkuasa dulu, memerlukan ia patah balik ke pangkal.
Adalah satu mitos dan bidaah kalau mengatakan Melayu ini hanya boleh disatukan dengan Umno. Di Indonesia, selatan Thailand, Filipina atau mana-mana pelusuk dunia yang Melayu wujud, mereka boleh juga bersatu dan mempertahankan identiti mereka meskipun di situ tidak ada pertubuhan berlandaskan kaumiyah seperti Umno. Ini menunjukkan penyatuan mereka berlaku atas prinsip ataupun landasan lain seperti
budaya, agama dan lain-lain faktor termasuk geografi.
Sejarah negara kita sudah membuktikan kepada kita politik tidak boleh menyatukan ummah Melayu. Kehendak, naluri, cita-cita besar manusia politik yang menganuti berbagai fahaman (isme) duniawi tidak
memungkinkannya. Walaupun kaum lain boleh bersatu dalam politik, tetapi bukan kepada bangsa Melayu. Sebaliknya bangsa Melayu menjadikan politik sebagai instrument untuk mereka saling tidak menyokong antara satu sama lain dan taksub dengan kuasa keakuan.
Sikap mendakwa parti aku terbaik, parti kamu tidak baik telah merenggang dan meruntuhkan institusi ketamdunan seperti yang disenandungkan dalam lagu dan gurindam klasik. Dalam kata lain politik sekular yang dilimbahi kebendaan dan kuasa tidak mungkin akan dapat menyatukan Melayu selama-lamanya.
Mungkin ada yang mempersoalkan bukankah Melayu di negara ini menganut satu akidah sama, Islam? Apakah Islam tidak boleh mempersatukan sedangkan agama itu adalah unsur dan alat persaudaraan? Benar, tetapi
kerana agama tidak dihayati dengan roh dan hanya mengambil jasadnya saja maka agama dalam negara ini tidak boleh mempersatukan Melayu.
Sebabnya tidak ada persatuan akidah di antara dua puak ini.
Secara ringaskanaya kenapa politik tidak boleh menjadi wadah persautuan umah Melayu di negara ini kerana faktor berikut;
1. Perjuangan Melayu tidak ada agenda sebaliknya masing-masing mengutamakan agenda politik parti yang tidak berteraskan akidah (agama).
2. Perasaan keakuan (parti) terlalu tinggi diiringi dengan rasa dendam, cemburu serta irihati yang senantiasa membuak. Ia ada kaitan dengan kegagalan dalam mendidik nafsu menjadi baik disebabkan kegagalan sistem terbiah dalam parti.
3. Setiap pemain politik kita sudah dipengaruhi dan senantiasa dirangsang oleh faham Barat – faham humanisme dan materialisme. Kesan paling teruk ialah apabila faham-faham liberalisme, globalisasi dan
sebagainya menjadi anutan dan pujaan mereka.
Apakah agenda yang sepatut ditanam dalam parti dan perjuangan? Memperkasakan bangsa dan mertabatkan agama disamping memantapkan rupadiri bangsa dengan menjaga adat, budaya dan tradisi selagi ia
terlurus atas syariah agama. Tampaknya roh ini tidak ada dalam perjuangan politik orang Melayu.
Selain itu orang politik senantiasa ditakluki oleh kepercayaan dan dambaan nafsunya. Mereka bersultan kepada nafsu sebab itu pendekatan secara kerohanian tidak menjadi pilihan. Semua masalah diselesai
dengan kebendaan dan doa-doa, ikhtiar dan pengharapan kepada kuasa Yang Maha Esa dipandang remeh.
Kesimpulannya Melayu akan bersatu dan padu kalau sepakat meletakkan agenda dalam perjuangan. Kelemahan Melayu hari ini ialah kerana mereka tidak ada agenda atau matlamat jelas dalam perjuangan dan lebih bersifat pragmatif kerana mengejar kedudukan, kuasa dan harta benda. Sedar atau tidak bahawa tidak ada kebersamaan agenda dalam perjuangan politik Melayu selama ini. [wm.kl 11:30 am 31/07/10]
No comments:
Post a Comment