Wednesday, June 30, 2010

Catatan Lewat Masuk

Kelantan Perlu Wujudkan Anugerah Sastera Sendiri

HARI Jumaat pertengahan bulan Mei lalu saya singgah di Dataran Ilmu, di Jalan Dato' Pati Kota Bharu di mana di situ juga terletaknya marcu tanda Pas di Kelantan iaini bangunan Pas.

Di situlah juga tempat Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih 30 tahun mencurahkan segala ilmu agama, ilmu tasauf, ilmu kerohanian (sedikit-sedikit) dan juga falsafah politiknya. Tempat itu selain dari tempat orang menimba ilmu tempat rasmi bagi Nik Aziz menjawab segala isu yang timbul terutamanya berbangkit mengenai dirinya.

Agak lama saya tidak ke tempat itu. Hampir tiga tahun! Beberapa kenalan kedai kopi (restoran) Sudut Cahaya - kedai kopi yang PM singgah tempoh hari, begitu melihat saya, datang bertanya khabar dan menarik tangan untuk minum di situ. Mereka ini adalah perisik politik Kelantan. Apa saja yang berlaku di sekitar bangunan Pas atau SUK mereka akan mengetahuinya. Mereka juga menjadi askar Pas tidak berjawatan yang berada di barisan hadapan.

Merekalah yang menjadi tetuang parti yang melaung atau menghebahkan apa-apa kepada rakyat di tempat masing-masing. Mereka juga mampu berdebat dan berbahas bagi mematahkan hujah-hujah sampah dikemukakan oleh pihak Umno. Mereka juga gigih dan istiqamah. Setengahnya berkhidmat di situ lebih 40 tahun. Ramai juga yang sudah meninggal dunia. Tau-tau si anu sudah pergi si ani juga sudah tiada. Saya hormat kenalan ini kerana mereka lebih ikhlas dari sesetengah 'penghimpit' politik yang berkerja sambil mencari makan.

Selain untuk berjumpa informa politik di situ, saya ke situ juga untuk 'berbojen' - gunting rambut. Saya berbojen sekali saja dalam setahun. Saya juga macam Mahathir atau Abdullah Badawi, ada tukang gunting khusus. Jadi salah seorang daripada lima tukang gunting di bawah bangunan Pas itu adalah tukang gunting saya. Saya tidak akan pangkas rambut kalau beliau tiada atau sibuk dengan pelanggan lain.

Tukang gunting itu juga menjadi tukang gunting Tok Guru Nik Aziz. Satu hari saya masuk nak berbojen. Saya tenguk ada orang tercokoh atas kerusi tukang gunting berkenaaan. Saya masuk dan ndap --- (intai), rupanya Tok Guru Nik Aziz.

"Ei... bojen nampak?" begitulah tegur saya pada Tok Guru. Bergurau. Dia tersenyum. Dan dalam kelubung baju gunting, dia menjawab, "bojen nak wat raya," (Bojen untuk raya).

Saya tunggu sampai dia sudah. Nak tengok apakah dia berbojen free ataupun tidak. Saya tengok dia duit RM10 dalam kepal. Si tukang gunting itu tolak tidak mahu terima. "Ambil...." tonyah Tok Guru, si tukang gunting itu kelihat kekok untuk menerimanya. Mungkin baginya dengan mengunting rambut Tok Guru itulah khidmat yang beliau boleh berikan kepada orang yang disanjung dan amat berjasa kepada negeri Kelantan. Akhirnya tukang gunting itu ambil.

"Banyak ni Tok Guru.." kata tukang gunting itu bila tengok duit RM10.00. "Tak pa bayar hak dia sekali...," kata Tok Guru kepada tukang gunting itu. Bertuah hari tu Tok guru belanja saya berbojen. Jen..jen jennnnnn.

Apa yang hendak diceritakan di sini petang ni, bukan soal bojen dan tok guru bayar, itu kisah empat lima tahun lepas. Tetapi apa nak ungkit pertemuan dengan Setiausaha Politik baru Tok Guru, Wan Nik Wan Ngah dan ingin mengetahui apakah cadangan yang dikemukakan kepadanya semasa jumpa itu sudah diambil tindakan atau tidak. Atau pun cadangan itu hanyut dan kering begitu saja.

Pagi itu adalah pertemuan pertama saya dengan Wan Nik sejak beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik menggantikan si gondrong. Kami memang tidak pernah berhubung apa lagi minum sekali. Jadi pagi itu Wan Nik belaja saya minum. Entah apa mimpinya tiba-tiba Wan Nik bermurah hati dan belaja saya bersama dua tiga rakan lain.

Ada sama ketika itu Ramli Abdul Halim, bloger Melikapak Jangak yang kini dibenci oleh sesetengah ahli Pas Kelantan, dan juga Ketua Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Husadaini Mamat. Menyedari itu saya rasa pertemuan itu molek benar kalau saya melontarkan satu cadangan alias permintaan kepada Wan Nik agar disampaikan kepada kerajaan Kelantan teristimewanya Tok Guru Nik Aziz.

Apa yang saya cadangkan ialah supaya kerajaan Kelantan mengadakan anugerah sastera bertaraf negeri kepada penulis Kelantan. Topik ini saya pernah tulis dalam Siasah beberapa minggu sebelum itu. Cadangan saya itu mendapat respon dari penulis Kelantan termasuk Meli Kapakjangak.

Cerpenis dan novelis, Fatimah Busu, dari Pulau Pinang juga turut menginggut atas nasib yang diterima oleh para penulis Kelantan. Katanya dalam suratnya bertarikh 20 April 2010 kepada saya, catatnya; kita para penulis dari Kelantan ini tidak ada harga saru sen pun." Beliau merujuk kepada cadangan saya meminta kerajaan Kelantan adakan anugerah sastera kepada penulis asal Kelantan. Anugerah itu sebagai tanda kerajaan Kelantan mengiktiraf sasterawan dan penulis dari Kelantan yang mendominasikan dunia sastera dan budaya negara ini.

Wan Nik nampaknya bersetuju dengan cadangan itu. Saya kata kepadanya beliau boleh kemukakan kepada Tok Guru. Dan semoleknya anugerah itu dibuat sempena genapnya 20 tahun Tok Guru menjadi MB Kelantan. Kebetulan Husdaini ada bersama, saya cadangkan supaya Husadaini berbincang dengan rakan penulis lain dan menyiapkan proposal mengenai cadangan berkenaan.

Wan Nik banyak diam saja. Tetapi saya mengira beliau bersetuju dan sedia membantu. Saya percaya kalau Wan Nik buka mulut kepada Tok Guru dan memberi taaruf sedikit kepadanya, beliau akan setuju. Peruntukan untuk anugerah itu tidak perlu banyak. RM10,000 cukup. Kalau kerajaan negeri tidak ada peruntukan khas kerajaan negeri boleh arahkan mana-man agensi atau syarikat GLCnya bagi mengendalikannya. Ataupun mana-mana Exco boleh ambil tugas ini yang penting ia akan menjadi keprihatinan kerajaan Kelantan kepada golongan itu.

Apa yang penting anugerahkan itu menandakan kerajaan ikhtiraf golongan sasterawan, aktivis budayawan dan penulis. Kalau Kelantan sedia melaksanakan anugerahkan ini Kelantan akan menjadi negeri ketiga mewujudkan anugerah sastera peringkat negeri seperti mana Johor dan terbaru Melaka. Ia juga tentu akan merangsangkan negeri-negeri lain terutama negeri di bawah Pakatan Rakyat seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Saya rasa semua golongan penulis, budayawan dan sasterawan di Kelantan akan merasa berbesar hati kalau anugerah ini dapat diwujudkan. Ia juga akan disebut sepanjang zaman yang Tok Guru adalah seorang yang perihatin dan tahu menilai budaya golongan penulis dan budayawan dari negerinya sendiri. [wm.kl.6:00 pm 25/06/10]

Susupan Pagi

Apa Nak Malunya, Mat Said?

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said merasa malu terhadap runtuhan stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang masih belum dibersihkan. Pemandangan itu mungkin memedihkan mata beliau sebagai Menteri Besar. Bumbung stadium itu runtuh sejak lebih setahun lalu disebabkan berlaku rasuah dalam pembinaannya tetapi tidak dibersihkan hingga ke hari ini.

Katanya dia telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) membersih dan membaikinya. JKR sudah pun memalumkan tander telah dibuka dan sudah pun ada 40 orang kontraktor. Lantaran itu Mat Said mahu ianya dibersih dan dibaiki secepat mungkin.

Apa yang diperkatakan oleh Mat Said itu, itulah hasrat sebagai seorang Menteri Besar. Apa juga yang berlaku di dalam negerinya dia kena bertanggungjawab. Sudah tentulah kalau pemandangan stadium itu menyerabutkan mata, ia juga turut menyarbutkan otak dan kepala Mat Said. Kalau kepala serabut bagaimana beliau hendak bekerja dengan tenang dan baik.

Bagaimana pun sebelum Mat Said mengeluh beliau hendaklah menyedari hakikat yang berlaku hari ini. Mat Said kena sedar bahawa keadaan negara kita hari ini yang dalam ketiadaan wang. Bukan saja mengenai stadium berkenaan yang masih belum diperbaiki, tetapi perkara lain juga menghadapi masalah sama.

Apakah Mat Said tahu bahawa banyak kontraktor yang telah menyiapkan kerja tetapi tidak dibayar. Tempohnya bukan sehari dua tetapi sudah lebih tiga tahun. Bayangkan kalau projek bernilai RM30 juta pun kerajaan lambat membayarnya macam mana dengan projek baru yang ditander. Tander boleh dikeluarkan seberapa banyak tetapi kalau wang tak ada ia tak jalan juga.

Para menteri pula siang malam bercakap soal projek arah itu arah ini, cadang itu cadang ini tetapi dia tidak fikir mengenai wang. Yang pening mencari wang dan mengagihkan wang ialah pegawai kerajaan. Sesekali Mat Said harus berdialog dengan pegawai-pegawai kewangan negeri, tanya sumber kewangan dan macam mana kedudukan kewangan.

Hakikat yang berlaku hari ini keadaan ekonomi kita pulih, pelabur banyak berminat hanya tembereng saja hakikatnya tak ada pun. Najib Razak sudah berbueh mulut mengumumkan mengenai peningkatan kadar ekonomi negara, setiap tiga bulan sekali beliau umumkkan... tetapi setakat umumkan saja, hakikatnya tidak pun bertambah. Kurang mungkin ada.

Sekali ekonomi negara melonjak 1% kemudian 1.5% kemudian sudah mencecahkan ke 5% atau angka-angka yang diluar dugaan kononnya. Pengumuman dan kenyataan itu hanya ilusi saja dari pemimpin yang berangan-angan untuk memulihkan ekonomi.

Mat Said harus faham ini dan jangan malu dengan keadaan yang ada. Apa yang penting Mat Said kena jaga rakyat Terengganu jangan lapar sudahlah. Pastikan perut orang Terengganu semuanya dalam keadaan kekenyangan. Tidak dapat main bola, main hoki, main tenis, berlumba lari tak mengapa asalkan perut senantiasa kenyang.

Bukan Mat Said sorang merasa malu dengan keadaan yang berlaku, tetapi menteri besar lain juga merasa hal yang sama. Perdana Menteri juga mungkin malu cuma 'gensi' (agah) untuk mengakui akan kelemahannya. Tetapi selama mana beliau dapat bertahan dengan ilusi demikian? Kita tunggulah.... pengakhirannya kelak. [wm.kl.8:15 am 30/06/10]

Tuesday, June 29, 2010

Politik Kampungku

30 Tahun Lagi Pun Umno Kelantan Tetap Kulum Jari!

SERONOK juga mendengar khabar politik di kawasan sendiri Rantau Panjang, Kelantan mengenai Umno bahagian itu mengadakan dua persidangan kawasan serentak. Satu pasukan mengadakan persidangan di Lati dan satu lagi di Lubuk Jong. Jarak tempat persidangan itu diadakan tidak sampai 3 kilo menter. Kata orang kalau laung pun dengar.

Pasukan yang mengadakan persidangan di Lubuk Jong diketuai oleh Abdullah Mat Yassin. Manalala pasukan yang bersidang di Lati diketui oleh bekas Ketua Umno Rantau Panjang, Mohd Zain Ismail. Abdullah diangkat jadi ketua apabila keahlian Mohd Zain bersama tiga yang lain; Ghazali Ismail (bekas Bendahari), Fauziah Ab Rahman (bekas Ketua Wanita) dan (Fauzi bekas calon Ketua Pemuda) digantung atas dakwaan membantu calon bebas dalam pilihan umum lalu.

Bagaimana pun perlantikan Abdullah yang katakan ada hubungan baik dengan orang atasan termasuk dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Fatmi Che Salleh tidak diikhtiraf oleh dua pertiga daripada ahli jawatankuasa bahagian sekarang. Bahkan satu undi tidak percaya berjaya dibuat ke atasnya.

Seronok saya kata, kerana persidangan itu dihadiri oleh Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. Selepas merasmi persidangan di Lubuk Jong, Zahid juga menghadiri persidangan di Lati.

Tentulah bagi orang yang rasional dan arif berorganisasi sukar untuk memahami keadaan di Rantau Panjang. Apa lagi dengan kehadiran Menteri Pertahanan itu tambah memeningkan lagi. Bagi ahli di bawah akan menganggap kedua-dua pasukan Umno itu sah. Sebaliknya orang yang arif mengenai undang-undang akan bingung sampai ke Subuh. Macam mana Naib Presiden boleh hadir kedua-duanya yang mana maksud kehadiran itu mengesahkan kedua-dua pihak.

Kalaupun persidangan diketuai Mohd Zain tidak sah dengan kehadiran Zahid itu ia akan dilihat sebagai sah. Mohd Zain bersama kuncu-kuncunya juga akan menjadikan kehadiran Zahid itu sebagai modal dan dalil untuk mengatakan mereka adalah pasukan yang sah. Kalau tidak sah masakan Zahid sedia mencemar kaki ke persidangan mereka?

Memerhati politik Umno Rantau Panjang Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin juga jadi bingung kelu. Beliau menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku. Bercakap di Jakarta katanya apa yang berlaku itu menggambarkan Umno Rantau Panjang berpecah belah. Lantas beliau mengarahkan Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed menyiasat dan mencari puncannya.

Sebenarnya arahan Muhyiddin itu membazir air liur sahaja. Ia sia-sia saja. Mengarah Mustapa samalah mengarah mayat kura-kura matik dilanggar terelar supaya berjalan. Mustapa sudah tidak berdaya untuk menyelesaikan pergolakan Umno Rantau Panjang. Sudah lama Umno Rantau Panjang terutamanya kumpulan Mohd Zain mengadu masalah di Rantau Panjang kepada Mustapa. Berbagai formula penyelesaian juga sudah dikemukakan. Mustapa juga telah mengetahuinya dan apa yang termampu olehnya hanya berjanji saja.

Tetapi janji Mustapa hanya tinggal janji sahaja. Mustapa tidak menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi Perhubungan untuk menyelesaikan masalah di Rantau Panjang. Beliau lebih bersikap menjaga hati kedua-dua pihak, yang mana akhirnya Umno terus jadi berkucah dan bergelora.

Inilah kelemahan sejak dalam perut yang ada kepada Mustapa Mohamed. Kegagalan menyelesaikan kemelut di Rantau Panjang menandakan kelemahan dan ketumpulan beliau sebagai pemimpin. Sebab itu saya katanya Mustapa bukan layak menjadi ketua Umno Kelantan melainkan sesuai untuk jadi Tok Empat Umno sahaja. Tok Empat adalah penghulu yang boleh diberikan tugas menjaga Umno bahagian Jeli saja di mana beliau sebagai ketua. Kalau Umno bahagian Pasir Mas atau Kota Bharu belum tentu juga Mustapa mampu menanganinya.

Kalau beliau ada wibawa beliau panggil kedua-dua kumpulan yang bertelagah itu. Cara menggantungkan keahlian Mohd Zain dan tiga yang lain bukan penyelesaian terbaik. Tindakan itu tidak akan memberi keuntungan kepada Umno Rantau Panjang khasnya dan Umno Kelantan seluruhnya.

Apa yang Mustapa perlu buat ialah panggil kedua pihak untuk bersemuka. Beliau boleh meminta pandangan masing-masing untuk menyelesaikan perbalahan. Sebagai ketua, kedua-dua pihak harus akur dan taat apa-apa keputusan yang akan dilakukan nanti. Beliau kena tegas dalam hal ini dan bukannya bersikap 'klu klek'.

Tetapi kalau apa juga keputusan yang dibuat tidak sedia diakur oleh kedua pihak ini bermakna Mustapa harus sedarkan diri. Bahawa dia tidak mampu untuk menjadi ketua dan elok kalau beliau dengan suka rela meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan. Tidak ada guna kalau menjadi ketua tetapi tidak dihormati orang.

Penerusan kemelut di Rantau Panjang, pada saya salahnya terletak di tangan Mustapa. Begitu juga dengan apa yang berlaku di Tanah Merah yang menimpa bekas Setiausaha bahagian, Cikgu Amran. Amran sudah beberapa kali mengadu masalahnya kepada Mustapa. Namun Mustapa tidak memperdulikannya hingga jalan terakhir terpaksa diambil membawa masalah beliau ke mahkamah. Tindakan memecat Amran sebagai ahli Umno yang dlihat cuba hendak membela Ikmal Hisham tidak membawa kebaikan kepada Umno melainkan ia akan dilihat orang Umno parti yang bertindak mementingkan bulu dan berkasta.

Kalau Umno Malaysia ingin Kelantan diperintah oleh Umno, Najib Razak kena membuat penilaian semula kepada Mustapa. Tidak semestinya Mustapa cemerlang dalam bidang ekonomi dia juga arif dan bijak dalam soal mengurus parti. Beliau tidak boleh terus membiarkan Umno Kelantan dipimpin oleh seorang yang penakut, tidak tegas dan tidak tahu bertanggungjawab. Najib harus memilih seorang yang berani mengambil risiko dan sedia memikul tugas.

Apa juga perjuangan mesti menghadapi risiko. Dalam hal ini Mustapa langsung tidak mahu mengambil risiko. Bukan itu saja pandangan-pandangan orang lain juga tidak diterima pakai. Sikap kepegawaian yang diamalkan Mustapa tidak sesuai di bawa ke dalam politik. Masalah yang dihadapi Khalid Ibrahim di Selangor yang tidak mengambil berat soal kepentingan parti, tidak bijak mengurus manusia politik, itulah juga yang dibawa oleh Mustapa di Kelantan. Mustapa lebih memikirkan keselamatan dirinya saja daripada keselamatan Umno seluruhnya. Sebab itu lantiklah jadi menteri apa pun dia akan terima walaupun menteri itu bidang kuasanya tidak ada kena mengena dengan kebolehannya atau pun menjejaskan reputasinya. Yang penting jawatan menteri. Sikap dan pendirian ini menjelaskan kepada umum siapa Mustapa?

Dari sisi lain apa yang berlaku di Rantau Panjang itu, itulah juga yang berlaku dilebih separuh bahagian Umno di Kelantan. Sikap berpuak-puak dan berpasukan masih wujud dalam Umno di Kelantan. Macam-macam bentuk dan jelmaan puak-puak ini. Ada ketua tidak sebulu dengan timbalan, ada timbalan yang tidak sebulu dengan ahli jawatan kuasa bahagian. Dan ada juga ketua sama ketua tidak sama panjang bulunya!

Ada ketua pemuda tidak ngam dengan ketua bahagian, ada ketua wanita yang bergaduh dengan ketua pemuda kerana cemburu hati. Perbalahan dan pertelingkahan ini tidak ada tanda-tanda untuk surut atau pun damai. Sebab apa, sebab ketuanya di atas sana tidak pernah memikirkan bagaimana untuk menyatupadukan Umno di peringkat bahagian. Umpama sebuah keluarga anak-anak bergaduh sesama sendiri kerana sang bapa seorang yang dungu.

Jadi dengan keadaan Umno yang 'hentuk henyuk' ini apakah Umno Kelantan mampu untuk menumbangkan Pas dalam pilihan raya akan datang? Jawabanya 30 tahun lagi pun Umno tetapi mengulum jari saja! Awang Adek Hussein yang berangan-angan untuk jadi MB Kelantan juga akan terus terlena dalam angan-angan Mat Jenin itu kalau Umno liat untuk berubah. [wm.kl. 10:00 am 29/06/10]

Sunday, June 27, 2010

Susupan Petang

Kerenah PKR Selangor Memeningkan Kepala Anwar

DALAM politik begitulah, jika ada berita spekulasi ianya akan dinafikan sekeras-kerasnya. Dalam masa sama musuh politik dijadikan kambing hitam dikatakan pengacau. Semua isu yang timbul semuanya dicampakkan kepada pihak musuh yang punya kerja. Mereka sengaja menimbulkan untuk mengeruhkan keadaan, itulah ayat yang biasa didengar. Sumpah mati mereka tidak akan mengaku. Mereka akan menafikan sampai timbul urat semereh di leher.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di Selangor - kata mengatakan antara Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali. Kedua mereka nampaknya saling cuba menafikan dan menjaga apa yang ada dalam kain masing-masing. Sikap mereka seakan melindungi apa yang berbau di dalam dari dihidu orang di luar.

Azmin menafikan yang beliau sedang bergerak untuk menjatuhkan Khalid sebagai MB Selangor. Manakala Khalid pula mengatakan beliau masih steday, tidak ada apa-apa yang berlaku. Sokongan kepadanya masih kuat, katanya. Persetiaan dibuat oleh 17 dari 22 ketua bahagian PKR Selangor yang diadakan di rumahnya dijadikan hujah mengatakan beliau masih mendapat sokongan.

Sebelum ini tersebar desas desus mengatakan 15 orang ahli Parlimen akan meminta Khalid Ibrahim melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor. Desas desus itu juga dinafikan. Azmin Ali sendiri menafikan dan beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai cerita berkenaan. Katanya beliau bukan dalang mengenai konspirasi itu. Tetapi dalam penafian dan kenyataan Azmin mengenai desas desus itu dapat ditafsirkan ia berbunga-bunga dan penuh politik.

Nafi menafi ini akan berterusan. PKR akan cuba menutupnya serapat mungkin. Khalid Ibrahim katanya tidak menghadiri sepenuhnya retreat yang diadakan di PKR selama dua hari di Shah Alam. Hari ini pula Presiden PKR, Wan Azizah Ismail telah mengumumkan pertukaran jawatan Pengerusi PKR Selangor yang dipegang Khalid kepada Azmin Ali. Manakala ketua Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan yang dipegang oleh Azmin diserahkan kepada Zaid Ibrahim.

Pengumuman Wan Azizah itu dikira kemuncak kepada retreat berkenaan walaupun PKR menafikan bahawa retreat itu tidak membincangkan kedudukan Khalid namun pengumuman itu dilihat ia adalah salah satu resolusi utamannya. Sekali lagi PKR cuba menutup sesuatu yang sudah berbau.

Bagi mereka yang makrifat dengan sepak terajang politik dapat mengagak apa yang akan berlaku selanjutnya dalam PKR. Walaupun sejuta kali Khalid mengatakan beliau tidak merasa apa-apa dengan pertukaran itu dan Wan Azizah sendiri mengatakan ia atas permintaan Khalid, namun implikasi politiknya bukan berhenti setakat itu. Orang boleh membaca kilau dalam kilat.

Pertukaran itu akan terus ditafsirkan dengan berbagai marfhumnya. PKR Selangor khasnya tetap juga tidak akan damai selepas ini. Rakyat dibawah sudah lebur bercakap mengenainya. Anwar Ibrahim pula akan terus sakit kepala dengan kerenah yang bakal muncul dan kelihatan beliau sendiri serba salah untuk menyelesaikannya. Khalid dipilih Azmin adalah adik manjanya.

Saya yakin tekanan dan sindiran demi sindiran akan terus dikenakan ke atas Khalid Ibrahim selepas ini. Pertukaran jawatan dipegang Khalid kepada Azmin tidak akan menyelesaikan masalah. Sama ada jawatan itu atas kehendak Azmin atau sebaliknya ia tidak akan menyebabkan Azmin berpuas hati. Azmin mungkin boleh merasa megah dengan diberi kuasa menyelaras PKR Selangor, namun kuasa itu tidaklah memenuhui apa yang diidam-idamkan. Azmin tidak akan berpuas hati kalau beliau tidak dilantik menjadi MB Selangor.

Dalam bacaan politik di Selangor orang melihat Khalid diminta mengundurkan diri sebagai MB. Bacaan ini juga diterjemahkan daripada tindakan dan gelagat Azmin sendiri. Walaupun Azmin cuba menunjukkan keikhlasannya dalam soal menyokong Khalid ini namun apa yang tersirat di dalamanya orang maklum. Azmin semacam menanam tebu di bibir mulut dengan Khalid.

Justeru saya merasakan, keserabutan di Selangor tidak akan berakhir selagi Khalid tidak berundur dari kerusi jawatan Menteri Besar. Sama ada pengunduran itu bakal merobekkan keadaan PKR itu soal lain. Tetapi aspirasi atas segala yang berlaku di Selangor sebelum ini, termasuk isu rasuah dalam syarikat mengendalikan pasir, laporan rasuah terhadap Khalid mengenai lembu, kritikan dan teguran dalam mesyuarat atau pada kongres di Kota Bharu, semuanya tertumpu ke arah rasa tidak senang kepadanya. Semua itu merupakan signal-signal yang perlu difahami oleh Khalid dengan bijak.

Tegasnya masalah PKR di Selangor tidak akan selesai selagi Khalid tidak berundur. Soalnya kalau Khalid berundur apakah Azmin yang akan diangkat menjadi Menteri Besar? Apakah sekiranya Azmin menjadi MB ia disenangi oleh ahli dan penyokong PKR di Selangor serta rakyat seluruhnya.

Sebab, ada juga karektor atau sifat-sifat Azmin yang tidak disenangi di Selangor. Politik Umno masih terbawa-bawa oleh Azmin. Seperkara lagi dan ini paling bahaya, kalau Azmin menjadi MB Selangor maka tuduhan ke atas Anwar yang terlalu menganakemaskan bekas setiausaha politiknya itu selama ini ternyata menjadi benar. [wm.kl. 8:00 pm 27/06/10]

Ulasan Peristiwa

Kemasukan 40 Ulama Bukan Atas Kerelaan Mereka?

ARAHAN Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein supaya polis merahsiakan maklumat mengenai Jemaah Ismaliah (JI) (sepatutnya juga rahsia jenayah-jenayah lain) menyebabkan timbul berbagai tafsiran. Kenapa arahan itu semena-mena dibuat sekarang, tepatnya dalam suasana hari ini sesudahnya berlakunya manipulasi kegiatan JI di kampus!

Sudah pasti arahan segera itu ada sangkut paut dengan desas desus sebelum ini mengenai kononnya ada kegiatan JI di negara ini seperti mana dijelaskan oleh Ketua Polis Negara.

Tidak dinafikan ada berlaku kebocoran mengenai rahsia keselamatan negara. Betapa pun rahsia ini dikunci dan dikawal ia akan bocor juga. Amerika Syarikat yang dikatakan mempunyai sistem pertahanan yang canggih dan ampuh juga tidak dapat elak dari mengalami kebocoran.

Selagi ada manusia tidak jujur, ataupun tidak senang dengan sesuatu tindakan kerajaan rahsia itu akan bocor atau dibocorkan. Bagi mereka kebocoran itu sebahagian daripada sumbangan mereka untuk menentang kemungkaran. Apakah pihak kerajaan atau mana-mana pihak dapat memastikan orang terlibat menyimpan rahsia itu orang setia dan patuh kepada mereka secara pandir?

Mengenai pembocoran rahsia keselamatan seperti mana dibimbangi Hishmuddin itu
siapakah yang membocorkannya. Kalau berhubung taklimat mengenai kegiatan JI yang melibatkan pensyarah universiti ianya dihadiri oleh siapa. Polis tentu mengetahui siapa yang hadir dalam taklimat berkenaan.

Ia terdiri dari pegawai polis peringkat atasan sendiri dan juga pegawai pendidikan dan ahli majlis keselamatan negara lain. Repoter atau bloger tidak diundang dan tidak tahu pun di mana taklimat itu diadakan. Cuma setelah menteri memberi tahu para cencelor dipanggil baru repoter mengetahuinya dan berminat untuk mennyiasatnya.

Kalau rahsia itu bocor tentulah mereka yang hadir itu mendedahkannya. Orang lain tidak mungkin. Pulak, kenapa Hishmuddin susah-susah arahkan polis supaya menutup rahsia itu. Apakah ianya ada kena mengenakan dengan spekulasi mengatakan pihak polis telah menggunakan ugutan ke atas mereka yang terlibat dengan JI dengan memberi kata dua kepada mereka?

Apakah ada kebenaran spekulasi pihak media sebelum ini bahawa sekumpulan ulama yang akan menyertai Umno itu (telah pun serah borang) disebabkan mereka diugut kononnya mereka pengganasa. Dan kerana mereka takut maka mereka bersetuju menyertai Umno untuk mencari perlindungan daripada dikenakan tindakan tangkap dan ditahan di bawah ISA?

Begitukah? Dan Umno pula cukup senang dengan persetujuan itu kerana boleh dijadikan modal yang Umno kini mendapat sokongan ulama. Najib Razak pun telah bermadah di Pekan semalam mengatakan Umno diterima ulama kerana ia sebuah parti Islam.

Kerana tekanan dan ugutan itu mereka pula terpaksa akur untuk melepaskan diri. Khabarnya rata-rata mereka adalah berfahaman wahabi yang dianggap sebagai mempunyai pemikiran ekstrim agama.

Dalam kumpulan 40 itu salah seorangnya adalah menantu MB Perlis, Shahidan Kassim.

Saya tidak mahu membuat tuduhan melulu di dalam hal ini dan kita semua dapat menganalisa dengan perkembangan yang berlaku dan juga dari kenyataan-kenyataan pemimpin Umno. Ia juga boleh disuluh dengan cara kemasukan 40 ulama itu ke dalam Umno, secara berkumpulan yang dinamakan ulama.

Cara mereka menyertai Umno itu pun sudah menghairankan dan menyebabkan kita akan tertanya-tanya kenapa tiba-tiba mereka sepakat menyertai Umno. Kalau tidak ada mengadakan masakan mereka berbuat demikian. Berpandukan kepada spekulasi sebelum ini dan dipadankan dengan maklumat yang saya terima jelas kemasukan mereka itu bukan atas kerelaan mereka. Dalam kata lain bukan keputusan dari hati mereka untuk berjuang dalam Umno melainkan kerana terpaksa oleh hal-hal disebut di atas tadi.

Khabarnya dalam majlis taklimat oleh pihak berkuasa kerajaan kepada satu agensi, latar belakang mereka ini sudah pun diceritakan. Mereka dikatakan terlibat dengan kegiatan berunsur kekerasan. Bahkan katanya gambar tiap orang mereka juga sudah dirakam bersama dengan orang yang terlibat dengan JI. Bukti inilah menyebabkan kesemua 40 ulama itu dikatakan menggeletar?

Bukti inilah dijadikan oleh pihak kerajaan (BN) untuk memerangkap mereka. Mereka semua dipanggil dan diberi kata dua samada memilik jalan kiri yang mereka pilih sekarang atau ke jalan 'kanan yang kiri' dengan menyertai Umno.

Jadi kerana ingin selamat mereka terpaksa memilih jalan kanan yang kiri itu dengan menyertai Umno. Sebab itu cara mereka menyertai Umno seolah mereka terpaksa. Lagaknya tak ubah seperti kumpulan Al Arqam yang ditangkap kemudian dipaksa membuat pengakuan di tv. Sebenarnya kerja-kerja seperti ini sudah lama berlaku di dalam Umno dan inilah tektik semulajadi Umno untuk mempertahankan kuasanya.

Tahun 1969 dulu mereka telah menangkap para ualama Pas dan mereka-reka tuduhan ke atas mereka. Ada yang dikaitkan dengan skandal sex dan sebagainya. Begitu juga dengan wakil rakyat Pas ditangkap dan ditahan. Akhirnya mereka diminta membuat pengakuan memburukkan Pas. Yang tidak tahan terkulai layu ditangan Umno dan setengah yang lain memilih jalan menegakkan kebenaran meskipun terpaksa dibuang daerah dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tidak mustahil strategi yang diguna pakai Tun Razak Hussein itu akan dipraktikan pula oleh anaknya Najib Razak.

Bertolak dari sejarah itu saya seidkit pun tidak hairan kalau sekumpulan ulama berkenaan juga mengalami nasib dan keadaan demikian. Bezanya mereka disabitkan dengan kegiatan (fahaman wahabi) mereka itu dan mana ditafsirkan terarah akan melakukan sejarah.

Kesimpulannya kemasukan sekumpulan ulama ke dalam Umno itu tidak akan memberi kesan besar untuk Umno kerana ia bukan atas kerelaan tetapi atas paksaan kerana sebab-sebab lain. Jadi Umno tidak boleh bergembira sangat dengan penyertaan mereka itu. Mungkin jasad mereka boleh dibakar tetapi pegangan dan fahaman mereka (jihad) tidak boleh diapa-apakan. Kerana itu saya kira Dr Asri Zainul Abidin masih memikirkan sama ingin menyerah diri kerana ugutan itu ataupun mempertahankan prinsipnya dengan apa yang diyakini itu. [wm.kl. 9:00 am 27/06/10]

Saturday, June 26, 2010

Tafsiran Sabtu

40 Ulama Bukannya 40 Penyamun!

SEMACAM kejuatan tetapi ia tidak mengejutkan! Begitulah yang dapat disimpulkan berhubung keinsafan dan kesedaran 40 orang ulama yang menyerahkan borang menyertai Umno. Marilah kita semua mengucapkan ahlan wasalan ya marhaban kepada mereka semua. Semoga niat mereka untuk berdakwah dalam Umno dan memperbetulkan kepincangan agama termasuk soal kerohanian akan diberkati Allah.

Malam tadi mereka telah menyerahkan borang penyertaan menjadi ahli Umno kepada Najib Razak sambil diperhatikan oleh Muhyiddin Yassin. Malangnya penyertaaan yang diura-urakan seramai 100 orang itu hanya 40 orang saja tanpa chef devissionnya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Asri dikatakan akan ikut menyertai dalam masa terdekat.

Setidak-tidaknya kelewatan Asri menyertai Umno malam tadi, 13 Rejab 1431 menepati firasat saya sebelum ini. Saya telah mengira tidak secepat itu Asri menyertai Umno tanpa menolek dan melihat riak risik di belakang. Kalau pun Asri akan menyertai Umno juga itu adalah pilihan terakhir buatnya kerana kebutuan dan bukan ketentuan. Yang pada saya tindakan tetap tidak bijaksana kandipun menyertai Pas.

Dalam sidang akhbar semalam saya nampak ada bekas MB Perlis Shaidan Kassim. Apakah Shahidan Kassim menemani 40 ulama berkenaan. Apakah Shahidan bertindak menjadi Mursyidul Am kepada kumpulan itu. Walaupun tidak lagi jadi MB tetapi sekurang-kurangnya jawatan itu menyamakan dia dengan Nik Abdul Aziz.

Sekali lagi kita ucapan syabas kepada Shahidan Kassim kalau benar kemasukan itu kerana inisiatif dan usahanya. Kerja Islam harus dilakukan sesiapa saja tidak kira dari celah mana dia datang. Membawa orang masuk jemaah Islam akan mendapat pahala!

Yang hendak perkatakan di sini apakah matlamat penyertaan 40 ulama itu akan sampai atau tercapai. Seperti mana kata ketuanya, Dr Fadzlan Mohd Othman, 35 penyertaan mereka untuk bekerjasama dengan Umno berkaitan agama di kerohanian. Ada dua subjek di sini, agama dan kerohanian.

Bila sebut agama sudah tentulah soal-soal mengenai ibadat, mualamat, munaqahat dan sebagainya. Ini termasuklah soal sembahyang , puasa, haji dan sebagaiunya. Inilah pengertianan agama difahamkan oleh Umo selama ini. Sebab bila sebut perjuangan sebut politik ia bukan agama lagi bagi Umno. Bagi Umno politik dan agama dua perkara yang berbeza dan perlu diasingkan seperti minyak dengan air. Larangan menggunakan masjid sebagai medan politik adalah tunjuk ajar dan kefahaman Umno yang sekular.

Maknanya maksud Dr Fazlan itu ialah hanya berkaitan atau kena berkait kepada soal-soal sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja. Ia tidak akan boleh melebihi daripada sempadan itu. Misalnya, Dr Fadzlan dan ulama lain tidak boleh menterbiyah bagaimana kewajiban warga dalam sebuah negaranya. Jauh sekali untuk membincangkan soal-soal penegakan hukum Islam dalam masyarakat dan negara. Tidak boleh kerana itu bukan intri dalam kamus agama Umno.

Manakala bila disebut kerohanian pula, ia bersangkut soal-soal yang seni atau ghaib - hakikat. Dalam hubungan ini ialah mengenai pemikiran, fahaman mengenai agama dan ilmu-ilmu keTuhanan. Kerohanian itu bab-bab yang menyentuh soal semangat, soal jiwa dan soal hakikat. Apakah dalam hal ini ulama itu akan memberi roh (kerohanian) kepada Umno? Mereka akan mendakwa supaya Umno mendekati kerohanian, mengenal Tuhan dan diri sendiri atau berbicara soal falsafah manusia dan keTuhanan? Begitukah.

Jika inilah yang akan diberikan penekanan ia satu benda yang baru dalam Umno. Inilah tranfosrmasi sebenarnya. Soal kerohanian, pembentukan jiwa manusia menjadi manusia yang kamil yang senatiasa takut kepada Allah tidak ada dalam Umno selama ini. Jiwa Umno tidak pernah dibentuk dan dibangunkan secara bersepadu dalam soal ini. Kerana itulah jika diperhatikan jiwa manusia sebagai pemimpin dalam Umno dan jiwa manusia bergelar pemimpin rosak dan kering dengan air dinul hayat.

Bukti paling jelas berlakunya berbagai kejataan dan kemungkaran dalam Umno, atau kerajaan yang dipimpin oleh Umno. Jenayah, rompak, tipu, rasuah dan sebagaiunya telah bersarang dan berjelumu dalam kerajaan hari ini. Bila sebut kerajaan tersebutlah Umno. Perhatikan bagaimana kotornya proses pemilihan dalam Umno. Kekotoran ini adalah simbol dan angkubah mengenai kemungkaran Umno yang kering dengan jiwa keagamaan.

Persoalanya kini bolehkah ulama itu melaksanakan apa yang dikehendaki itu? Bekerjasama dalam bidang agama dan kerohanian. Memberi tafsiran benar tentang agama kepada Umno yang sudah ditinggal dan dilupai lebih 60 tahun? Dan membawa manusia Umno seramai 3 juta itu kembali kepada diri manusia yang merupakan hamba Allah dan khalifah di atas muka bumi ini? Boleh dan mampukah?

Bagi Umno penyertaan mereka itu tetap mengutungkan mereka. Ia akan memperukuhkan parti berkenaan. Ia akan dijadikan modal besar kepadanya untuk menempelak Pas. Dalam Pas rancak dan ghairan memanggil bukan Islam bersama mereka (juga atas maslahat dakwah), Umno pula kini sedang berjalan menuju kiblat benar bersama mini kiblat itu. Perubahan ini orang melihat Umno yang melakukan islah dan tajdid yang benar ke atas pengisian harakinya.

Inilah yang hendak dijual.

Kita harus berpandangan baik dengan apa yang dihajati itu. Cuma di sini saya ingin menyebut bahawa sebelum ini juga sudah ada agenda seperti itu. Usaha untuk mengubah Umno dari dalam telah dibuat sebelum ini. Malahan berbagai kumpulan dan puak juga telah menyertai Umno dalam usaha memantapkan memperukukuhnnya sebagai parti agama dan bangsa.

Anwar Ibrahim dulu pun menyertai Umno bersama beberapa rakananya dari gerakan Abim atas alasan yang sama. Bukan main lagi madah dan gurindannya untuk menghalalkan tindakan itu. Kemasukan Awnar itu sehingga ditangisi setengah rakan lain kerana tempatnya bukan dalam Umno tetapi dalam Pas.

Bekas Naib presiden Pas, Nakhaei Ahmad juga telah menyertai Umno. Mungkin tujuannya kerana mahu meneruskan aktiviti siasahnya setelah beliau bermasalah dengan Pas. Ketokohan Nakhaei saya rasakan lebih hebat dan besar dari 40 ulama baru itu. Mohd Asri Muda juga turut sama menyertai Umno dengan harapan Pas akan berkubur. Malahan ramai lagi orang-orang agama baik dari Pas atau lain menyertai Umno.

Begitu juga berbagai kumpulan dan golongan profesional diheret dan diseret menyertai Umno. Dari artis, pelawak, pelakon, hinggalah mat rempit dan penjolok buah kepala sawit semuanya diangkut. Tetapi apakah yang berlaku kepada Umno? Apakah mereka berjaya? Saya tidak mahu menidakkan usaha mereka dan mengatasi takdir. Tetapi sejarah masa lampau boleh dijadikan sempadanan.

Begitu juga kalau dengan kemasukan itu, Umno mengalu-alunya untuk memperkukuhnya, ia juga menyangsikan. Kemasukan yang bak melukut di hujung gantang itu tidak akan dapat mengubah keadaan dalam Umno. Saya juga tidak percaya kalau Umno sedia mengubah dasar dan prinsip Islam yang diterima pakainya selama ini yang liberal dan rencam kepada prinsip yang murni dan lebih jelas.

Dengan melihat perangai dan perwatakan Umno saya meragui kalau mereka ini diberikan peranan yang luas dalam Umno. Mereka akana dikawal serapinya. Golongan bojuis dalam Umno yang rata-rata tidak berpendidikan dan latar belakang Islam tidak mudah untuk menerima dakwah dan fikrah mereka. Kalau golongan ini ke depan akan berlaku pertembungan nanti, di mana ia akan berakhir dengan pemusnahan para ulama seperti para jahiliah membunuh anak perempuan mereka kerana golongan borjuis itu mempunyai wang, berkuasa dan pengaruh yang merata.

Tetapi tidak mengapa kita lihat dan perhatikan bagaimana mereka hendak bermula. Bagaimana mereka akan merencanakan agenda mereka. Janganlah masuk kerana diajak ataupun dipengaruh dengan janji-janji molok. Ingat anda adalah orang berjiwa murni dan rapat dengan Tuhan. Tuhan tidak mudah dipengaruh ataupun diperalatkan! Masuklah dengan memberi impak kepada Umno dan bukan masuk kerana mencari 'daun-daun' perlindungan.

Masuk Umno tidak menjadi masalah, tetapi jangan kemasukan itu seperti masuknya 40 penyamun ke dalam gua "Niat nginson matakaji semar ngising!" Akhirukalam biarlah 40 itu benar-benar ulama dan bukannya 40 penyamun! Jadikan diri anda ikan di lautan yang tidak tepu dengan air laut meskipun duduk di situ berkurun. Cuma ingatlah, meskipun terror ikan mengawal diri, dia tidak juga mampu untuk menawarkan air laut. Ingat beringat! [wm.kl. 10:40 am 26/06/10]

Friday, June 25, 2010

Menjelang Asar - Kita Sesama Kita

Tidak Wajar Agama Diwacana Diruang Siber?

HARI ini apa saja perkara kita hebahkan kepada umum dengan menghantarkannya ke dalam ruang media massa. Sama ada kita mencari media atau media mendekati kita, tetapi itulah yang berlaku. Blog, facebook, twinter dan atau portal berita siber adalah ruang dan medan baru yang makin menarik dan diminati ramai.

Dari perkara sekecil-kecilnya sampailah perkara sebesar-besarnya. Dari perkara dalam bilik air di rumah kita hinggalah kepada permasalahan di pejabat perdana menteri. Apakah semua perkara wajar dikhabar dan dimasukkan ke dalam media massa?

Pada saya tidak semua kemudahan ini (media siber) perlu dipergunakan. Harus ada batas dan taranya. Misalnya soal-soal peribadi tidak wajar dimasukkan kerana menerusi ruang ini ia akan dibaca oleh semua orang.

Atau kalau ingin masukkan juga kerana ia sebagai instrument terbaik untuk menegur dan mengkriik harus ada etikanya. Berpadah-padahlah menggunakannya dan jangan sepanjang masa. Atau kalau boleh dielakkan jangan guna langsung.

Begitu juga dengan permasalahan agama berhubung fahaman, anutan, amalam ritual dan aliran mazhab tidak wajar disumbat ke dalam media massa atau blog. Ia lebih lunak kalau dibahaskan secara beradat dan bertempat yang diperhatikan pula oleh pakar dan ahlinya. Kalau terjadi perbahasan (pertikaian) biarlah atas nawaitu kebaikan bersama dan bukan menyerang peribadi.
Sekarang ini saya lihat ada kecenderongan wacana mengenai agama menggunakan orang perantaran sebaga jurubicaranya. Perantaraan inilah menjadi mediator yang mendedah, mengulas kemudian minta pandangan balik. Ada kalanya jurubicara itu menjadi mediator yang menimulkan polemik atas tujuan dia saja yang tahu.

Ini tidak bagus. Misalnya perbahasan melibatakan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainual Abidin dengan Penolong Pengarah Pusat Al Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Md Zain semacam ianya ditaja oleh media massa. Media massa telah memberi ruang untuk mereka berwacana sesungguh hati tanpa melihat bahaya-bahaya atau keburukan sampingan lain.

Dalam hal ini saya nampak media semacam menjadi penyambung tangan kedua mereka untuk tambah melontarkan batu antara satu sama lain.

Kerana acohan itu mereka saling menjawab dan membalas tembak menerusi ruang yang dikendalikan oleh mediator ini. Ada kalanya wartawan atau pemberitalah yang menjadi orang tengah. Sejauah manakah kita boleh menyakini pemberita itu adil dan berertika dalam tugas mereka? Apakah mereka tidak ada agenda tertentu di sebalik menjadikan laproan itu sensasi untuk menarik pembaca. Seharusnya perkara ini diamati kerana ia melibatkan soal agama, soal yang amat sensitif dan bersifat personal.

Bila timbul sebarang kemusykilan ataupun pertelingkahan pandangan dan anutan, kedua pihak perlu bersemuka untuk membincang dan mencari penyelesain apa-apa yang kusut dan bercanggah atau mengelirukan itu. Saya percaya kedua mereka atau kita semua tidak mahu kepada kesesatan dan kejahatan. Tidak..!

Misalnya kalau Zamihan ada perkara tidak puas hati menurut pandangan dan ilmunya berhubung pegangan atau anutan Asri, beliau boleh berjumpa dan meminta Asri menjelaskannya. Dengan memaparkan sijil kelulusan seseorang untuk menafikan ilmu dan pengetahuannya bukan cara terbaik. Sebaliknya cara itu boleh menyakitkan hati dan melebarkan lagi jurang perselisihan.

Zamihan patut ikhlas menemui Asri dan bermuzakarah mengenai apa-apa yang beliau tidak faham ataupun yang beliau tidak temui tetapi terjumpa oleh Asri. Begitu juga dengan Asri, kalau beliau musykil dengan cara Zamihan menegurnya dari belakang, datanglah berjumpa secara fizikal dan bukan tembak dalam ruang siber. Ini tidak baik saya katakan kerana ruang berkenaan ditatap umum sedangkan adakalanya permasalahan yang timbul disebabkan unsur peribadi dan maksudnya berlapis-lapis.

Saya perhatikan bertengkar dan berbalah dalam media tidak ada kesudahan dan memberi keuntungan kepada kedua pihak. Bahkan ia akan mendalamkan lagi lurah jurang permusuhan. Ada kalanya kerana campur tangan media yang tidak bertanggungjawa keadaan yang baik jadi sealiknya. Ini sudah lama saya perhatikan bagaimana sikap orang politik yang menjadikan media sebagai tempat lempar melemparkan tahi busuk di antara mereka. Apakah natijah dari itu, nahin!

Kawalan ke atas perkara ini bukan boleh dilakukan sesiapa melainkan individu berkenaan. Umumnya umah Islam sendiri. Mereka yang sayang kepada agama, rindukan pertautan seagama dan sebangsa boleh membatasi diri mereka dan mengelakkan dari menjadi alat oleh media massa.

Jangan salah tafsirkan kebebasan beragama dan kebebasan membahas agama secara sambrono. Ada pepatah mengatakan perbalahan itu akan membawa hikmah, tetapi ia harus dilihat perbalahan yang macam mana. Bukan semua pertelingkahan otak apa lagi atas kepentingan nafsu akan membuahkan kebaikan. Jika ia tidak diurus dan dikawal dengan baik ia akan memberi kesan buruk.

Fahamilah, mereka yang memabca blog, yang mengikut media massa bukan semua ada maklumat dan pengetahuan atau acuan ilmu tertentu. Dalam konteks ini kena sedar bahawa mereka mengambil bahan menguyah sendiri tanpa ada petua dan mengetahui mana yang boleh dan mana yang tidak boleh. Adakalanya dalam perincangan itu mencecah hakikat dan marifat tetapi malang si penikmatnya hanya ada ilmu kalam semata-mata.

Jadi, usahlah kita teruja denghan kemudahan dan ruang maya terbentang luas untuk kita mengenengahkan pandangan dan buah fikiran kita, jangan. Kita kadang tidak sedar dalam seoronok itu kita telah dijadikan alat oleh sesutau golongan untuk kepentingan mereka. Selalunya musuh akan menejerat kita dalam kita asyik dan masyok dengan kehebatan diri yang semuanya milik Allah. [wm.kl. 4:00 pm 25/06/10]

Thursday, June 24, 2010

Ulasan Isu

Bantahan Lesen Judi Bola Sepak
Pemuda Umno Tertinggal Bas

TAHNIAH diucapkan kepada Dewan Pemuda Pas kerana mendahului Pemuda Umno dalam membantah pemberian lesen judi bola sepak. Dewan Pemuda Pas awal-awal lagi telah membantah pemberian itu dengan mengadakan tunjuk perasaan di perkarangan-perkarangan masjid sebaik saja Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Hussein mengumumkan cadangan kerajaan untuk memberi lesen perjudian itu.

Ketuanya, Nasrudin Hassan (foto) bersama saf kepimpinannya terus menggerakkan kempen membantah pemberian lesen berkenaan. Hasil bantahan Pemuda Pas itu orang ramai menyedari akan bahaya perjudian berkenaan. Ekoran itu juga berbagai pihak turut menyatakan kesalan dan bantahan mereka berhubung perkara itu.

Dalam soal ini bolehlah dianggap Pemuda Pas yang mempeloporinya manakala pergerakan Pemuda Umno ketinggalan bas dalam hal ini!

Setelah dua minggu Pas mengadakan bantahan, hari ini baru Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyatakan pergerakan itu juga turut membantah pemberian lesen judi bola itu. Katanya keputusan itu setelah ditanya pandangan rakan-rakannya dalam MCA dan MIC.

Cara Khairy untuk memutuskan soal pemberian lesen judi itu menunjukkan kelemahan Pemuda Umno. Pemuda sepatutnya tidak perlu merujuk kepada pemuda MIC dan MCA dalam memutuskan perkara itu. Soal yang jelas haramnya Pemuda Umno tidak perlu berbincang sebalik langsung membuat keputusan. Apakah sekiranya pemuda MCA dan MIC tidak bersetuju maka pergerakan pemuda Umno juga rela bersubahat dengan maksiat dan jenayah itu?

Bukankah pergerakan itu juga ada biro agama dan turut dianggotai oleh ustaz-ustaz mudanya ada yang berkelulusan universiti Al Azhar dan Madinah. Bahkan ada Exconya yang pernah mencabar dan mengajak Nik Abdul Aziz untuk berdebat. Apakah keilmuan ustaz muda dalam pergerakan pemuda Umno belum cukup ilmu untuk mengharamkan perjudian. Kalau Mursyidul Am Pas berani dicabar apakah mereka begitu naif untuk menghukumkan soal judi?

Bantahan Khairy itu juga dibuat setelah Dr Mahathir Mohamad menyatakan pendiriannya mengenai pemberian lesen berkenaan. Kata Mahathir kalau beliau masih berkuasa nescaya lesen itu akan membenarkan lesen berkenaan. Apakah keputusan Khairy itu sebagai menempal Mahathir. Sebelum ini Mahathir berkali-kali mengkritik dan menyinis Khairy termasuk kemenangan menanti bekas Perdana Menteri ke 4 itu sebagai ketua pemuda disebabkan rasuah.

Apakah tindakan Khairy membantah judi itu kerana semata-mata mahu mengambil pendirian bertentangan dengan idoanya itu? Sekali lagi diucapkan tahnizah kepada Dewan Pemuda Pas semoga dewan itu akan lebih peka dan terus bergerak untuk membenteras rasuah dan maksiat. Pemuda Pas jangan saja menjadi juara dalam isu-isu semasa sebaliknya harus istiqamah dan serius dalam membenteraskan maksiat dan perjudian yang sudah lama bersarang di negara ini seperti empat nombor ekor, toto, pelacuran, rumah urut dan sebagainya. [wm.kl. 3:00 pm 24/06/0]

Pandangan Dari Negeri Yap Ah Loy

Untuk Pasti Kekuasaan Pas di Kelantan
Pas Perlu Gugurkan 25 Wakil Rakyatnya


DALAM gema dan talun pilihan raya umum ke 13 sudah hampir tiba saya yakin Pas Kelantan sudah pun mula mencongak dan mengira bagaimanakah untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Sudah pasti Pas telah mula mengatur langkah dan strategi mampan.

Lawannya, Umno sudah pun membuat persiapan awal dengan mensasarkan 21 kerusi di samping mengekalkan enam kerusi yang disandang kini. Dalam retreat parti berkenaan selama dua hari tiga malam di Surabaya, Indonesia akhir Mei lalu Umno telah memasang angan-angan untuk menguasai Kelantan.

Bagi Pas untuk menghadapi pilihan raya kali ini terasa berat sedikit. Ada dua faktor yang ketara. Pertama, Pas kali ini tidak mungkin akan dapat menggunakan kekeramatan Mursyidul Amnya, Nik Abdul Aziz Nik Mat sepenuhnya untuk dijadikan modal pilihan raya. Nik Aziz kemungkin tidak lagi akan bertanding memandangkan usia sudah lanjut.

Bukan itu saja Pas tidak akan mengalami perubahan drastik selagi ianya dinakhodai oleh Pas. Makanya kalau Pas ingin melihat perubahan drastik beliau perlu meninggalkan kerusi eksekutif berkenaan dan merestui kepada mana-mana anak didiknya.

Kedua, ialah kerana kelaziman pasang surut politik Kelantan. Arus politik Kelantan akan memihak antara Pas dan UBN setiap lima tahun sekali. Pasang surut ini berlaku boleh dikatakan terjadi sepanjang masa. Fenomena alam seperti bajir dan kemarau yang dialami Kelantan juga terikut dalam 'cakra' politiknya.

Tahun 2004 sewaktu pilihan raya ke 11, arus politik Kelantan tidak memihak kepada Pas. Parti itu hampir-hampir kehilangan kerajaan negeri apabila hanya menang dengan kelebihan dua kerusi saja. Sebaliknya tahun 2008 pada pilihan raya ke - 12, arus itu kembali menyuburkan Pas. Pas menang dengan besar dengan mendapat 38 kerusi dari 45 kerusi dengan kelebihan tujuh kerusi tanpa termasuk kerusi PKR.

Perubahan mendadak arus itu ada sangkut paut dengan pertukaran teraju kepimpinan Umno di peringkat pusat di mana waktu pilihan raya 2004 Abdullah Badawi baru mengambil alih kepimpinan Umno dari Mahathir Mohamad. Selepas pilihan raya Mac 2008 lalu, sekali lagi pucuk pimpinan Umno bertukar tangan apabila Najib Razak mengambil alih. Pengambilalihan ini dilihat akan memberi semangat baru kepada Umno.

Berpandukan kepada arus politik tidak menentukan itu, kemungkinan pilihan raya ke - 13 ini ia tidak akan memihak kepada Pas. Arus yang melandai di pantai Pas kini mungkin akan berolak kepada pantai Umno pula. Pas tidak boleh optimistik dengan pencapaian lalu dan harus meletakkan kemungkinan itu dalam kepala.

Justeru Pas kena berhati-hati dan bijak dalam mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya ke - 13 nanti. Dalam konteks ini Pas perlu berkorban dalam menyusun strategi terutamanya mengemukakan calon-calonnya dalam pilihan raya berkenaan. Menjelang pilihan raya ke- 13 ini ramai yang perlu berkorban dan bermahasabah diri dan meninggalkan hal-hal titik bengik yang masih menjadi perhitungan penting sesetengah pihak.

Dalam hal ini pada pengamatan awal saya tindakan besar yang Pas Kelantan perlu lakukan dalam memastikan kemenangan kelak ialah menggugurkan 26 wakil rakyatnya. Mereka ini harus ditukar dengan muka baru yang lebih bertenaga, berpendidikan, berketrampilan dan berkeupayaan membawa perubahan dan menjana masa depan Kelantan sesuai zaman kini.

Dari jumlah itu seramai empat orang ahli parlimen dan 21 orang ahli Dewan Undangan Negeri.
Secara spesifiknya dari jumlah itu, empat dari kawasan Pasir Puteh, masing-masing tiga dari kawasan Pengkalan Chepa, Pasir Mas, Kota Bharu, dua dari kawasan Tumpat, Rantau Panjang, Kubang Kerian dan Kuala Krai. Manakala satu masing-masing di Ketereh, Jeli dan Gua Musang.

Alasan kenapa wakil rakyat ini perlu digugurkan kerana pencapaian mereka tidak memberangsangkan. Meskipun mereka mampu membawa kemenangan tetapi dalam memberi khidmat dan membantu membangunkan negeri mereka tidak begitu berjaya dan mampu menyerlahkan sebagai pemimpin berkualiti. Rasanya Pas perlu mengorbankan atau pun seimbangkan dalam menilai pencapaian mereka dengan pengaruhan peribadi di kawasan setempat.

Antara wakil rakyat itu termasuklah dua orang anggota Exco. Exco ini sudah berkhidmat lebih dari dua penggal tetapi tidak berjaya menunjukkan kebolehan mereka dalam menguruskan kerajaan serta memberi impak kepada parti. Mereka ini hanya mempunyai pengaruh peribadi di kawasan mereka saja. Mereka ini juga tidak menunjukkan daya kreativiti mereka dalam membantu Nik Aziz sebagai Menteri Besar. Apa lagi untuk mencetus dan menetaskan idea baru sama sekali tidak. Yang sedap ditenguk kepada mereka hanya memandu Mercedez keliling kampung saja.

Sekiranya Pas masih mengekalkan 26 wakil rakyat ini Pas akan menghadapi masalah kerana mereka sudah menjadi liabiliti kepada parti. Liabiliti ini bukan kerana mereka mempunyai masalah peribadi tetapi keupayaan mereka sebagai wakil rakyat di zaman ini. Kebanyakan mereka masih menggunakan pakai stail wakil rakyat di zaman 60-an.

Sehubungan itu elok kalau Pas Kelantan sudah mengenal pasti ataupun memperkenalkan calon yang bakal mengganti mereka ini. Mereka yang layak untuk mengganti wakil rakyat berkenaan sudah perlu berada di kawasan dan mengambil bahagian aktif dalam parti. Pas perlu menonjolkan mereka sejak awal lagi bagi mengelakkan berlaku salah faham atau timbul sebarang masalah. Sebaik-baik penonjolan ialah mereka yang memilik pelbagai kemahiran dan profesional.

Persiapan awal ini juga penting bagi menguji sejauh manakah penerimaan rakyat kepada mereka. Dalam pada itu ahli dan penyokong Pas perlu bersikap terbuka dan melihat kepentingan serta keperluan untuk membawa perubahan kepada parti lebih penting daripada merasakan mereka perlu dicalonkan lagi kerana mempunyai hubungan baik dengan mereka atau ada konteks peribadi.

Setelah lebih 20 tahun Pas memerintah Kelantan sudah sampai masanya untuk parti itu mementingkan kualiti calon bukannya semata-mata melihat calon atau wakil rakyat itu mampu membawa kemenangan. Satu acuan politik baru perlu dibangunkan. Perlu diingat apabila parti berjaya menjadi kerajaan, penilaian rakyat bukan kepada kemampuan calon itu memberi kemenangan tetapi sejauh mana wakil rakyat itu berperanan dalam membangunkan negeri.

Seperkara yang tidak boleh dikesampingkan oleh Pas Kelantan bagi menghadapi pilihan raya kali ini ialah memulihkan keretakan kecil yang berlaku dalam parti itu kerana sentimen dan perbalahan peribadi. Sikap berpuak-puak atau bertanah rancangan hendaklah dileburkan. Sekali lagi diminta, sebelum Tok Guru Nik Aziz berundur tanah-tanah rancangan ala mini estet itu hendaklah disatukan dalam lot besar.

Saya yakin demi kemenangan Pas tuan-tuan tanah rancangan atau minit estet itu sedia untuk menyatukan lot-lot mereka. Penyatuan ini kalau lagi cepat lagi bagus. Untuk tujuan itu mungkin satu plan penyatuan secara menyeluruh dan kemas perlu diwujudkan. Semua pihak dalam Pas Kelantan juga harus sudah membayangkan siapakah yang paling layak untuk menjadi Menteri Besar dalam zaman serba mencabar ini. Sebaik mereka biarlah yang memilik skil dan ketinggian daya mentadbir! [wm.kl.9:20 pm 23/06/10]

Wednesday, June 23, 2010

Bingkas Ke Dalam

Adakala Diam Itu Lebih Baik Dari Bersuara

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang tidak perlu cepat memberi reaksi berhubung dakwaan ada agenda pihak tertentu menimbulkan isu Wahbi dan Jemaah Islam (JI) sebagai strategi pilihan raya. Selaku presiden, Abdul Hadi seharusnya tunggu dan lihat perkembangan seterusnya dan tidak mudah gaduh untuk membuat tafsiran.

Mengulas rumours yang dibuat oleh portal berita tidak bijak. Lainlah sudah ada kenyataan terus dan terang dari pihak kerajaan yang mengaitkan perkara berkenaan. Cara Abdul Hadi terus mengulas itu samalah dengan sikap setengah pemimpin Pas yang pelahap dengan pembesar suara atau tape recorder wartawan.

Terlalu cepat memberi ulasan terhadap sesuatu yang belum sahih ataupun yang dibangkitkan oleh portal dan blog tidak bagus juga. Apakah Pas telah menganggap portal berkenaan cukup berwibawa dan bertindak menjadi mata telinga kepada Pas. Kalau portal berita berkenaan digaji oleh Pas menyiasat mengenai sesuatu ada logiknya kalau Hadi mengulas.

Sebelum ulas pastikan dulu dan tilik apakah motif portal berita berkenaan mengeluarkan kenyataan demikian. Sikap bijak mengenali hala tuju media massa dalam soal ini penting bagi mengelakkan kita terperangkap dalam jeratnya. Media massa suka kalau pemimpin politik mengikut telunjuknya.

Ada kesan buruknya bila Hadi sudah bercakap mengenai perkara tidak sepatutnya beliau bercakap. Bercakap mengenai apa saja, kepada sesiapa saja memberi gambaran presiden itu tidak tahu menjaga standard dan statusnya sebagai presiden. Selaku presiden Hadi seharusnya memilih topik untuk mengulas agar kata-kata dan pandangannya dilihat bernas dan mahal.

Wibawa seseorang pemimpin itu akan dilihat kepada perwatakan, peribadi dan mutu atau nilai isi percakapannya di samping sejauh mana kreativiti mindanya dalam memperkatakan sesuatu. Presiden tidak sama dengan Naib Presiden yang suka bercakap kerana ingin mencari publisiti atau untuk dilihat mereka tidak telor. Sebab itu ada Naib Presiden Pas cakap apa saja sama ada ia ada kaitan dengan dirinya ataupun perjuangannya parti atau tidak. Gurauan perdana menteri agar minta menamakan kucingnya pun diulas lebih separuh muka surat.

Kelemahan Abdul Hadi dalam soal ini adalah kelemahan para pegawai dan penasihatnya. Pegawai Abdul Hadi, termasuk setiausaha politik dan akhbar boleh memberi nasihat dan tunjuk ajar mana isu yang relevan atau tidak untuk dicapakkan.

Tengok, kesan daripada tidak berhati-hati bila Hadi ulas mengenai perkara itu terkeluar ayat yang akan dikomersilkan oleh pembangkang yang berbunyi; "Memang saya sekolah di sekolah Wahbi, tetapi saya ada pemikiran sendiri." Secara tak langsung pengakuan yang berbentuk sinikal itu telah mengesahkan bahawa beliau rapat dengan Wahabi.

Benarlah kata bidalah, lebih baik kita diam dalam sesutau perkara yang tidak kita dalami daripada memperkatakannya kerana ada kalanya bila kita bersuara kita akan menyerlahkan kelemahan diri sendiri. Ertinya selama kita mendiamkan diri dalam sesuatu bidang kita akan dianggap mengetahuinya cuma enggan bersuara saja. [wm.kl. 2:20 pm 23/06/10]

Tuesday, June 22, 2010

Susupan Petang

Menteri Otak Kemetot Nak Buang Tak Boleh...

MAAF lah kepala saya jadi panas dengan tiba-tiba bila mendengar Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi menyelar Anwar Ibrahim ketika bercakap dengan pemberita berhubung Jemaah Islam (JI). Kata Zaid, Anwar tidak sepatutnya memanipulasikan isu berkenaan.

Saya rasa baik Menteri Pertahanan dan juga Menteri Dalam Negeri serta Ketua Polis Negara dan juga Menteri Pelajaran tidak berapa masak dalam hal ini. Kalau Anwar tidak masak munasabah, sebab dia ketua pembangkang di mana akan membangkang apa saja tidak kira makanan yang dihidangkan beracun atau lazat.

Kenapa saya kata tidak berapa masak ialah, kenapa mereka mendedahkan isu JI yang kononnya sudah meresap dalam kampus dan mengancam keselamatan negara. Dan seperti mana kata Zahid seorang Profesor Madya terlibat dengan JI.

Saya percaya kalau polis bersama menteri-menteri tidak mendedahkannya, ketua pembangkang tidak akan bercakap. Ketua pembangkang tidak ada modal untuk memanipulasikan isu berkenaan! Ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain tidak akan bercakap. Dan rakyat juga tidak akan tahu mengenai hal itu. Bila menteri dan ketua polis dedah baru rakyat tahun yang ada JI di negara ini.

Selalu berlaku demikian. Kerajaan mendedahkan sesuatu tidak sepenuhnya. Dedah sikit-sikit dan samar-samar. Bila pihak pembangkang mempertikaikan mereka akan marah. Kata pembangkang mengambil kesempatan dan jadikan modal politik murahan. Dalam kes JI saya kira baik ketua polis, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Menteri Pelajaran dan terbaru Menteri Pertahanan tidak payah gatal mulut untuk bercakap. Diamkan saja.

Baru-baru ini polis ada tangkap 10 orang warga asing, kenapa tidak dedahkan identiti mereka dan jelaskan apakah aktiviti dan jenayah yang mereka lalukan. Sejauh manakah penglibatan mereka dalam JI?

Kalau setakat tangkap masuk guni dan tidak ceritakan kepada rakyat ia jadi masalah. Zaman ini zaman segala maklumat tidak boleh disimpan di bawah karpet lagi. Selain polis yang ada kuasa menangkap, rakyat juga ada hak untuk menilai dan menghakimi dengan akal dan otaknya atas prinsip kebebasan. Selalu juga terjadi polis tidak bertindak secara profesional tetapi lebih sedia menjadi lembu mandul dicocok hidung kepada UBN.

Untuk apa Muhyiddin Yassin meminta semua Naib Cencelor jumpa ketua polis negara. Untuk apa pula Zaid sebutkan perkara ini kepada pemberita sambil melanyak bekas ketua kabilahnya? Untuk apa? Untuk apa? Apakah untuk membendungnya atau untuk apa? Apakah dengan cara mendedahkan itu ia boleh dibendung? Atau tiba-tiba saja bila isu JI didedahkan mereka yang cuba menyebarkannya akan berhenti? Begitukah? JI ini bukan calang-calang gerakan. Saya rasa mereka tidak akan berhenti setakat ada menteri mendedahkan kegiatan mereka. Mereka yakin dan komited dengan jihad mereka.

Sebab itu pendedahan menteri dan ketua polis mengenai JI itu tidak begitu jelas dan konkrit. Sebab itulah juga pembangkang membuat andaiannya ia adalah motif dan helah politik. Bahawa kerajaan sengaja menimbulkan itu untuk menakut-nakutkan orang ramai. Menimbulkan kebimbangan. Dan ada benarnya juga kalau ada yang beranggapan kerajaan akan tangkap pemimpin pembangkang atas motif politik.

Kejadian mengkambinghitamkan pihak pembangkang ini bukan baru. Ia pernah berlaku sebelum ini. Dalam tahun 1986 atau 1987 yang tunjuk perasaan dan menimbulkan isu perkauman para pemuda Umno, yang kena tangkap pemuda Pas. Semua orang masih ingat. Zahid sendiri juga rasanya ada pengalaman mengenai tindakan rakus kerajaan ini tahun 1998 sewaktu reformasi lalu. Apakah pengalaman yang dilalui itu tidak boleh dijadikan iktibar. Jangan munafik?

Di sini kalau kerajaan ikhlas hendak membenteraskan isu itu (kalau ada seperti mana dikatakan itu) ia tidak perlu dihebuhkan. Cekup perlahan-lahan dan sumbat ke dalam penjara. Masukkan ke dalam ISA. Tetapi kalau awal-awal sudah heboh riuh randah sekampung apa halnya? Jangan marahkan orang kalau ada tuduh ada motif di sebalik itu. Belajarlah menjadi bijak dan cerdik sedikit.

Itu Zaid Hamidi pun tidak payahlah selar dan marahkan Anwar. Anda Menteri Pertahanan ada kuasa, ada bedil dan ada bom, bom sajalah tutup cerita. Kalau C4 milik tentera boleh dilepaskan untuk hancurkan Altantuya apa salahnya kalau ia digunakan untuk bom JI? Gunalah...

Kalau menimbulkan isu kerana nak burukkan Anwar nak hina Anwar rasanya tidak payah. Seorang menteri seharusnya ada wibawa, ada klas dan mempunyai integriti yang tinggi. Kalau Zahid atau Hishmuddin juga bercakap macam ketua pemuda cawangan malanglah kerajaan Najib Razak. Malang bagi Najib nak tukar menteri bodoh dan otak kemetot tak dapat kerana ahli parlimen Umno hanya ada berapa kerat saja. Al nasib wa nasab.... [wm.kl. 6:00 pm 22/06/10]

Khabar Umno Selangor

Umno Selangor Sudah Mulai Berbau!

CERITANYA kecil saja, Mohamed Satim Diman iaini Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor tidak hadir mesyuarat pengurusan badan perhubungan itu malam tadi. Timbalannya Noh Omar menjelaskan yang Satim ada menghubunginya dan jelas kenapa tidak dapat hadir. Bendahari, Fatah Iskandar Mohamad Mansor dan Ketua Pemuda, Suhami Ghazali juga tidak hadir.

Kata Noh Omar Fateh dan Suhaimi tidak hadir kerana berada di luar negara. Kenapa tidak sampai tunggu mereka balik untuk adakan mesyuarat? Mereka adalah penting dalam mesyuarat itu. Kalau ketiga orang penting tidak ada macam mana mesyuarat itu dijalankan?

Apakah ketidakhadiran mereka itu khususnya Satim ada kena mengena dengan khabar angin sebelum ini menyatakan Satim akan keluar parti? Dalam politik biasanya ia bermula dengan khabar angin, kemudian bertukar menjadi khabar ribut selepas itu khabar taufan. Tup tup... tumbanglah segala pohon kayu kayan. Misalnya mengenai kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat Perak ia bermula dengan khabar angin. Pihak Pakatan membantahnya dengan keras, akhir sekali menungging makan tanah.

Satim bukan orang baru. Dia sudah empat penggal menjadi Adun Selangor. Dia lebih senior daripada bekas Menteri Besar, Mohamad Khir Toyo. Semasa Abu Hassan Omar bermasalah kerana skandal dengan adik iparnya, nama Satiman Diman disebut-sebut akan dilantik jadi MB.

Ertinya Satim Diman bukan sembarangan. Ada benarnya juga kalau beliau merasakan disisih dalam Umno. Atau merasakan dia yang patut menjadi Timbalan Pengerusi bukannya Noh Omar. Apakah ulah yang beliau buat kini untuk memperbetulkan Umno ataupun benar-benar mahu menyusahkan Umno? Ceritanya baru bermula...

Ada juga cerita mengatakan Satim Diam berminat dengan pembangkang? Walaupun cerita ini hanya 'cerita ceriti' saja ia tidak boleh dianggap sampah. Dalam politik semuanya boleh terjadi. Sampah pun boleh dijadikan emas. Mungkin kalau Najib Razak tidak cepat bertindak melendikkan keadaan apa saja akan terjadi. Sudah ada tanda-tanda Umno Selangor nak rusuk.

Umno Selangor tidak pernah merasai 'nikmati' kekalahan. Kekalahan merupakan neraka kepada mereka. Dalam keadaan hari ini tidak mungkin Umno juga akan terkena kepanasan neraka kekalahan itu menyebabkan akan ada orang-orangnya tidak tahan disula baham kepanasan. Kekalahan dan kehilangan kerajaan negeri menjadikan orang Umno Selangor nanar sampai tidak jumpa pintu untuk masuk rumah. Khir Toyo juga masih belum kebah sampai hari ini.

Mungkin Satim Diman sudah membentuk pasukannya sendiri atas nama nak betulkan Umno, atau secara terus terangnya nak suruh Najib buang Noh Omar jadi timbalan pengerusi. Mungkin dalam perkiraan Satim pendekatan Noh ala-ala gengstar itu tiak cocok dan menjauhkan lagi rakyat dengan Umno. Noh masih tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya, beliau kini sedang di kepung.

Dalam keadaan ini di manakah Khir Toyo! Tengoklah sehari dua nanti Najib akan panggil Umno Selangor ke rumahnya untuk memberi nasihat dan juga mendegar cerita dari Umno Selangor yang kini sudah mulai berbau! [wm.kl. 11:00 am 22/06/0]

Monday, June 21, 2010

Hanya Sebuah Firasat

Saya Tidak Fikir Asri Akan Sertai Umno?

DESAS desus bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan menyertai parti politik mendapat perhatian ramai termasuk kalangan pemimpin politik. Walaupun Asri menjelaskan beliau belum buat keputusan tetapi ia tetap menjadi perhatian. Semuanya bermula dan jadi heboh bila perkara Asri nak sertai Umno ini didedah oleh Setiausaha Kerja Umno, Abdul Raof Yusuf.

Menurut Raof, Asri akan sertai Umno bersama 100 orang cerdik pandai Islam termasuk yang berkelulusan Phd? Tarikhnya Jumaat ini bersempena dengan hari Umno akan mengadakan mesyuarat MT. Mungkin Najib Razak akan mengumumkan ketika itu? Kata Raof, Asri diberitakan akan menjadi ahli Dataran Merdeka dalam kawasan Bukit Bintang?

Melihat cara Raof menghebahkannya ia seperti benar akan berlaku. Tetapi dari sisi lain hebahan itu ada semacam tektik tertentu saja. Anihnya tidak ada pula tokoh-tokoh besar mengalu-alukan desas desus itu apakah ada orang Umno tidak berminat dengan Asri?

Ramailah juga orang mengajukan pertanyaan kepada saya apakah benar desas desus itu. Saya tidak dapat nak mengesahkan cuma mengikut perkembangan - desas desus itu menerusi portal berita saja. Adapun kali terakhir saya berjumpa dengan Asri ialah pada hari kematian Hassan Shukeri. Beliau turut hadir untuk menyembahangi jenazah Hassan.

Sementara menanti kehadiraan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat, saya nampak Asri duduk di kerusi bersama Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin yang lain. Ketika dia berjalan nak masuk bawah bangsal tempat sembahyang jenzah dia ada berjalan ke arah saya dan bersalaman. Kami sempat bercakap sepatah dua, dan beliau menceritakan biliau biasa ziarah Allahyarham.

Semasa muktamar Pas di Kota Bharu dua minggu lepas beliau juga hadir. Menjadi tetamu pada muktamar Dewan Pemuda Pas dan juga tetamu VVIP pada muktamar penuh di Putik. Kehadiran di dua majlis itu menjelaskan secara politiknya beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Pas. Ada tanda-tanda beliau berminat dengan Pas.

Pun begitu kalau dia tiba-tiba nak sertai Umno tidak menjadi masalah. Tidak semestinya orang yang hadir pada muktamar Pas, menjadi tetamu kehormatan tidak boleh masuk Umno. Sedangkan pemimpin Pas sendiri ada yang masuk Umno. Mungkin juga Asri nak melihat bagaimana Pas bermuktamar. Ataupun dia hadir kerana menghormati jemputan. Atau pun merisik dan melihat sejauh mana penerimaan orang Pas ke atas kehadirannya.

Mungkin juga disebabkan kehadiran Asri itu maka Umno merasa gerun dan bimbang. Makanya sesuatu kena dibuat. Itulah Raof pun buat kenyataan yang Asri nak sertai Umno. Hubungan Asri dengan bekas MB Perlis Shahidan Kassim digunakan sebagai hujahnya. Shahidan juga mengatakan yang Asri mungkin pilih Umno. Sekali lagi hubung baik Asri dengan Shahidan tidak semestinya Shahidan akan menyertai Umno.

Semasa berlaku kes Asri ditangkap kerana mengajar tanpa tauliah saya berkesempatan berjumpa dengannya di sebuah rumah di Hulu Klang. Ada beberapa orang pengikutnya menyebut, kalau payah sangat nak ceramah dan mengajar buat mereka suruh Asri parti sendiri. Berdasarkan kata-kata itu boleh dianggap kalau Asri menyertai mana-mana parti pun sebagai helah atau dijadikan platform untuk beliau berdakwah saja. Pada saya tugas dan tanggungjawab Asri memecahkan beberapa persoalan dalam Islam lebih penting untuk beliau sertai parti kerana nak jadi Yang Berhormat.

Justeru saya tidak kira Asri akan menyertai parti politik dalam masa terdekat. Kalau beliau benar menyertai Umno pilihan itu pada saya salah. Beliau tidak akan mampu untuk memperbaiki parti berkenaan. Begitu juga kalau penyertaanya bertujuan untuk memperkasakan Umno. Dalam perhatian saya penerimaa dan tafsiran kepentingan Melayu dalam minda Asri sama dengan penerima dan tafsiran Nik Aziz. Perjuangan Asri bukan kepada Melayu tetapi kepada masalah kekeliruan, bidayaah atau kurafat dalam Islam. Manakala mempercayai kepada Melayu itu sebagai satu-satu kuasa dapat menyelamatkan Malaysia juga saya kira kurafaat atau bidaah!

Kerana itu beliau tidak akan cari fasal dengan Umno. Begitu juga kalau beliau menyetertai Pas beliau juga tetap bermasalah. Tuduhan beliau sebagai penganut fahaman wahabi menyebabkan beliau akan ditentang oleh sebahagian ahli Pas yang kuat berpegang kepada mazahab. Kalau ada beberapa fahaman dan pembaharuan yang dibuat Nik Aziz pun dipersoalkan apa lagi kalau Asri bercakap sebagai ahli Pas.

Secara peribadi saya masih berpegang kepada nasihat saya kepada Asri sebelum ini agar beliau tidak menyertai mana-mana parti politik untuk mengekekalkan kehebatannya. Martabat dan wibawanya sebagai ulama akan tercemar kalau beliau menerjunkan diri dalam parti politik. Beliau akan terus disanjung dihormati oleh semua pihak jika beliau berada dalam keadaan bebas. Hari ini orang Umno tidak membenci Asri, orang Pas juga tidak membencinya dan orang PKR juga tidak mencemuhnya. Tetapi kalau beliau sudah menyertai mana-mana politik boleh akan dibenci dan akan dicemuhi.

Kalau beliau sudah menyertai Pas beliau tidak lagi akan dipanggil ke majlis-majlis Umno begitu juga kalau beliau menjadi ahli Umno. Politik Malaysia yang masih lagi belum tamadun, terbuka dan profesional sukar untuk sesuatu parti menerima pandangan dan hujah pihak lain. Malahan bukan saja untuk diudang memberi pandangan yang berkadas, hatta setakat untuk berada dalam satu majlis pun sukar.

Kalau boleh biarlah Asri kekal dengan kedudukan seperti hari ini, berkawan dengan semua pihak di mana cara ini juga memberi peluang beliau untuk berdakwah seluas dan sebebasnya. Kalau beliau membuat teguran atas kedudukannya sebagai bebas beliau tidak akan dilihat sebagai teguran politik dan mungkin diterima. Tetapi kalau sudah menjadi ahli parti teguran itu akan dianggap sebagai teguran politik walaupun ia adalah yang haq tetapi akan dianggap sebagai jahat. [wm.kl. 3:00 pm 21/06/10]

Sunday, June 20, 2010

Perhatian

Tolonglah Jangan Ganggu Email Saya

Setiap hari saya menerima puluhan email liar yang menawarkan berbagai bentuk skim atau sistem untuk mendapat wang cara mudah. Macam-macam yang ditawarkan sekilas pandangan seolah wang atau untuk menjadi kaya begitu senang sekali. Kemudahan IT hasil ketinggian ilmu Allah yang disalurkan melalui pelbagai jenis manusia seakan menafikan kita untuk bekerja dengan tulang empat kerat seperti lazimnya untuk kaya dan memenuhi keperluan hidup.

Saya tidak percaya kepada segala macam tawaran itu. Saya juga tidak ada masa untuk ikut sama terjebak didalamnya. Saya merayu dengan rendah hati tawaran-tawaran kekayaan yang tidak tersaul dek akal itu usahlah dikirimkan kepada saya. Mengirimkan kepada saya hanya membuang masa anda dan juga masa saya untuk melupuskannya. Tidak fasal-fasal juga menyebabkan saya akan menyumpah dan memakin hamu kepada si pengirim.

Tak apalah, saya tidak sama sekali berhajat untuk menjadi kaya dengan menyertai apa-apa skim yang ditawarkan itu. Kepada si pengirim saya ucapkan selamat maju jaya dan menjadi kaya menerusi sistem atau skim yang berkenaan. Cubalah kepada orang lain tetapi jangan kepada saya. Sesungguhnya saya tidak sesekali akan bersubahat dengan aktiviti-akviti yang mungkar!

Harap faham dan mengerti!


Salam hormat,
MSO

Ulasan Isu

Hishmuddin dan Musa Tidak Perlu Marah Anwar

MENTERI Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Musa Hassan kali ini sepakat dan senada marahkan Anwar Ibrahim ekoran bekas TPM itu berpendapat isu militan Jemaah Islam (JI) yang ditimbulkan pihak kerajaan sebagai helah mengalihkan isu saja.

Pihak keselamatan telah mendedahkan bahawa militan JI kini sudah mulai meresapi ke dalam kampus dan mendakwa ada pensyarah yang turut terlibat.

Dalam kata lain Anwar tidak percaya dengan dakwaan JI meresapi ke dalam kampus di negara ini. Kata Hishamuddin kenyataan Anwar itu sebagai gila manakala kata Musa Hassan Anwar tidak perlu bercakap kerana ia bukan bidang kuasa Anwar.

Kedua kenyataan itu agak keras dan kasar tidak sepatutnya diluahkan oleh kedua mereka. Apakah soal keselamatan negara ini seratus peratus menjadi tanggungjawab polis? Selalu kita mendengar polis membuat seruan supaya orang ramai membantu polis. Jadi bila Musa Hassan menempelak Anwar begitu seolah polis tidak memerlu bantuan orang awam.

Begitu juga kalau kenayataan Anwar itu gila Hishamuddin tidak sepatut menjawab dan melayannya. Bukankah Anwar orang politik, bila-bila masa dan di mana saja dia akan berbicara atas sifat politik.

Politik adalah persoalan dan persepsi. Jadi apa yang dibangkitkan Anwar itu persoalan dan persepsi beliau terhadap apa yang dibangkitkan oleh kerajaan. Mungkin dia beranggapan kerajaan tidak serius membangkitkan soal itu melainkan untuk mengalihkan isu saja. Anwar juga pernah menjadi pemimpin Umno dan arif dengan tektik dan strategi Umno dalam melarikan isu. Mungkin Hishmuddin terlupa akan sejarah itu.

Al maklumlah hari ini kerajaan berdepan dengan beberapa isu yang tidak menyenangkan. Isu kerugian Sime Darby, isu ekonomi yang tidak berapa menyenangkan. Isu orang Melayu tidak menyokong Umno sepenuhnya dan berbagai isu lagi.

Bertolak daripada keadaan itu menyebabkan kemungkinan kerajaan membuat berbagai pendedahan untuk mendapat perhatian rakyat khasnya orang Melayu. Dengan mendedahkan soal keselamatan Umno mengira orang Melayu akan kembali bersatu!

Musa Hassan pula tidak perlu naik angin dengan Anwar Ibrahim. Kalau masalah JI benar-benar menjalar dalam kampus dan sudah ada pengsyarah terlibat, tunggu apa lagi tangkap mereka. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membolehkan mereka ditangkap tanpa bicara masih ada. Gunakanlah!

Tidak ada gunanya berlawan mulut dengan Anwar. Disebabkan Anwar dan Musa ada chamistry tersendiri mereka tidak akan berdamai dalam apa saja. Apabila Anwar mengeluarkan kenyataan begitu mungkin dia mahu mencabar wibawa polis agar mengatasi segera gejala berkenaan. Seharusnya baik Musa dan Hishmuddin tidak mudah prejudis terhadap apa-apa yang Anwar bangkitkan.

Kerana politik itu persepsi rakyat di luar sana tidak akan percaya kepada Musa dan Hishmuddin sebaliknya akan yakin dengan apa yang Anwar timbulkan itu. Jadi untuk menjawab dan menutup mulut Anwar, polis jangan teragak-agak benteras dan tangkap saja siapa yang menjadi penggerak JI.

Kalau polis gagal berbuat demikian dan Hishamuddin hanya setakat mengeluarkan kenyataan maka benarlah apa yang ditanggapi oleh Anwar itu, bahawa isu JI hanya isu ciptaan kerajaan saja untuk menakutkan rakyat dan melarikan isu-isu besar yang kronik yang ada masa kini. Dan hari ini nampaknya apa yang diandaikan Anwar itu lebih dipercayai daripada apa yang Hismuddin dan Musa Hassan ucapan. [wm.kl. 5:30 pm 20/06/10]

Ilham Ahad

Saman Ekor Bukan Menyusahkan Tetapi Menganiayakan

SEMUA rakyat yang sayangkan negara mengalu-alukan langkah kerajaan berusaha untuk menambahkan pendapatan negara. Dalam keadaan ekonomi meleset manakala pemimpin pula terkial-kial mencari idea macam mana untuk menambah pendapatan, apa juga ikhtiar oleh kerajaan perlu disokong oleh rakyat. Kerjasama dan sokongan rakyat sangat penting. Kalau tanpa sokongan rakyat usaha yang baik kerajaan tidak akan berhasil dan tanpa sokongan rakyat ia tidak membawa berkat.

Bagaimana pun dalam hal ini kerajaan hendaklah memahami masalah rakyat. Janganlah semata-mata kerana kerana hendak tambah wang perbendahraan negara maka rakyat jadi mangsa. Dikikis wang dari saku rakyat. Memang pun rakyat perlu dimangsakan, tetapi jangan melampau sehingga menyusahkan.

Ada beberapa tindakan kerajaan menunjukkan kerajaan begitu terdesak kerana ketiadaan wang dan rakyat dimangsakan sesuka hatinya.

Salah satu ialah mengenai tindakan pihak polis dan Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) yang tiba-tiba jadi iseng menguatkuasakan tindakan menyenaraihitamkan kenderaan yang disaman sehinggakan sukar untuk empunya memperbahari cukai jalan adalah satu tindakan menganiayakan rakyat.

Pelik, sebelum ini kenderaan yang disaman ekor tidak disenaraihitamkan. Tetapi mulai April lalu ianya telah disenarai hitamkan. Saman yang tertunggal beberapa tahun sebelum yang diberikan pengecualian tiba-tiba dikenakan tindakan tegas. Sikap tiba-tiba menjadi iseng oleh JPJ dan polis ini menunjukkan keterdesakan kerajaan dalam mencari wang!

Tindakan itu bertentangan dengan slogan Najib Razak Rakyat Didahlukan Pencapaian Diutamakan. Memahami dari seruan Najib itu, PM itu mahu memberikan kesenangan dan keselesaan kepada rakyat disamping para pegawai kerajaan dan agensinya pula berusaha sebaik mungkin mempertingkatkan mutu kerja. Apakah bagi polis dengan menguatkuasakan tindakan itu sebahagian kerja baik mereka?

Kalau polis atau JPJ menyahut seruan Najib ini sudah pasti tindakan menguatkuasakan tindakan menyenarai hitam kenderaan ini tidak dilakukan sewenang-wenangnya. Ataupun kalau hendak dikuatkuasakan haruslah dinotiskan dulu dan tidak melaksanakan undang-undang ikut suka hati dan nafsu saja.

Mungkin kalangan rakyat yang terlibat dengan masalah ini dapat merasakan bagaimana kerajaan khasnya pihak polis dan JPJ menganiaya mereka. Bayangkan berapa seseorang kena bayar kalau mereka ada dua atau tiga saman? Bukankah separuh gaji mereka harus diberikan kepada Polis hanya untuk mendapat cukai jalan baru. Ini tidak adil kerana kesalahan yang ditunding kepada mereka belum pasti lagi betul atau tidak.

Saya baru mendapat tahu hal ini dari beberapa orang rakan yang menghadapi kesulitan untuk memperbaharui cukai jalan masing-masing. Rata-rata mereka mengeluh dan menyatakan kerajaan tidak adil, menyusahkan dan menganiayakan.

Sebelum ini kenderaan yang disaman ekor (saman poerangkap laju) tidak dikenakan tindakan kenderaan disenarai hitamkan. Tuan punya masih boleh memperbaharui kenderaan masing-masing. Hanya saman di sekatan jalan yang ditanda tangani langsung oleh pemandu saja yang dikuatkuasakan. Mana-mana saman demikian kalau tidak dilunasi pihak JPJ tidak akan memperaharui cukai jalan melainkan selepas menjelaskan kepada pihak polis.

Rasanya kelonggaran ini ada baiknya dan masih dirasakan tidak begitu menganiayakan rakyat. Manakala saman yang ditandan tangani patutlah kuatkuasakan. Ada alasannya kerana saman yang ditanda tangani itu jelas kenderaan itu melakukan kesalahan. Polis dan pemandu kenderaan itu sendiri dapat mengetahui akan kesalahan mereka.

Berlainan dengan saman ekor, (perangkap laju) di mana polis bersembunyi di dalam semak atau di balik tembok. Di mana tuan punya kenderaan tidak mengetahui apakah dan dimana kesalahan mereka. Selalu terjadi bila mana kenderaan mereka dibawa oleh orang lain. Walaupun pihak polis ada mengeluarkan surat minta penjelasan siapa yang memandu kenderaan tempoh hari, tetapi surat penjelasan itu tidak pratikal.

Adakalanya surat tidak sampai kerana pertukaran alamat. Kalau mengikut prosuder biasa mana-mana saman yang tidak diserahkan sendiri kepada si pesalah ianya tidak boleh dibawa ke mahkamah?

Peraturan atau sistem saman sebegini tidak praktikal sebenarnya. Ia juga lebih kepada menganiaya rakyat. Rata-rata kalau saman ekor ini di bawa ke mahkamah saya rasa mahkamah akan menolaknya. Ada pendapat mengatakan saman ekor ini tidak valid untuk dibicarakan kerana ia tidak menurut peraturan-peratusan mengenai perundangan. Tetapi kerana sikap rakyat kita malas berurusan dengan mahkamah dan ingin mengelekkan berlaku 'kelecean' ke mahkamah menyebabkan mereka terus sahaja membayarnya.

Mungkin baik juga kalau ada sesiapa yang menghadapi kenderaan mereka disenaraihitamkan ekoran tidak melunas saman ini membawanya ke mahkamah. Biar ianya menjadi precedent apakah saman itu valid atau sebaliknya. Persatuan-persatuan penggunan mungkin boleh menguruskan hal ini. Banyak perkara yang berlaku dalam negara ini di mana rakyat diminta bayaran sedangkan ianya tidak sepatutnya.

Berbalik kepada tindakan iseng Polis menyenaraihitamkan kenderaan yang disaman ekor kerana tidak melunasi kompoun itu perlulah dikaji balik. Musim ini musim 'kaat' - musim rakyat sesak janganlah menyusahkan lagi rakyat dengan kesusahan-kesusahan baru. Harapnya Perdana Menteri peka dan prihatin mengenai hal ini ada kemungkinan juga tindakan iseng Polis ini sebahagian dari ciri-ciri mensebotajkan dan menterbalikan seruan Najib itu, rakyat hendaklah disusahkan! [wm.kl. 9:30 am 20/06/10]

Saturday, June 19, 2010

Berita Hujung Minggu

Saran Wanita Sembahyang Jumaat
Satu Lagi Pembaharuan Nik Aziz


TERIMA kasih kepada Tok Guruku Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana melontarkan satu cadangan yang bernas agar wanita juga turut mendirikan solat Jumaat. Mungkin cadangan beliau ini sesuatu yang anih dan mengejutkan banyak pihak di negara ini.

Cadangan ini sekali lagi menggambarkan pemikiran Nik Aziz jauh ke depan meninggalkan para ulama lain termasuk juga para Mufti. Menghairankan kita kenapa para ulama termasuk Mufti tidak ternampak apa yang dilihat oleh Nik Aziz?

Kehadiran wanita pada hari Jumaat bukan sesuatu yang memelitkan dan ia menjadi kebiasaan di negera-negera Islam lain. Tetapi fenomena ini satu perkara yang asing di Malaysia sehingga mungkin ada beranggapan cadangan Nik Aziz itu kurafat seperti mana ketegasan Nik Aziz menggunakan masjid untuk berpolitik.

Mereka yang menolak masjid dijadikan medan politik sudah tentu akan menolak cadangan berkenaan. Mereka yang sempit pemikiran akan mengira masjid hanya untuk lelaki saja kerana mereka tidak pernah melihat masjid digunakan oleh wanita secara meluas.

Beliau membuat saranan itu semasa berucap menyerahkan dan menerima derma untuk tabung pembinaan kompleks Masjid Datuttarbiyah di Wakaf Zin Bachok.

Katanya dengan siapnya kompleks terletak atas tanah satu ekar bernilai RM2 juta itu nanti memberi ruang unutuk wanita sama-sama mendirikan solat Jumaat. Di mana ruang bawah boleh digunakan oleh wanita.

Mungkin ada sebahagian dari umat Islam sendiri sebelum ini terkeliru apakah wanita boleh atau tidak untuk mendirikan solat Jumaat. Apabila Nik Aziz membuat cadangan itu kekeliruan mengenai fungsi itu akan terjawab. Sudah tentu ada mereka yang selalu prejudis dengan fatwa atau pandangan luar biasa Nik Aziz mengenai sesuatu khasnya dalam aspek agama mula membelek buku telefon untuk bertanyakan ustaz, ulama dan Mufti mengenai saranan Nik Aziz itu.

Kepada saya saranan itu mengesahkan lagi betapa progresif dan dinamiknya pandangan Nik Aziz terhadap agama. Cadangan itu akan merombak faham kolot bahawa wanita itu tidak perlu di bawah ke tengah masjid. Inilah kehebatan beliau berani melakukan perubahan. Mudah-mudahan dengan bermulanya wanita ikut mendirikan solat di negara ini, wanita tidak lagi tertinggal untuk mendapat apa-apa pesanan, amanat dan wasiat yang disalurkan menerusi khutbah. Dengan itu juga masjid akan menjadi lebih makmur dan meriah lagi.

Golongan wanita termasuk pertubuhan wanita, NGO wanita dan sebagai seharusnya mengalu-alukan pandangan Nik Aziz dengan baik. Mereka perlu mengambil kesempatan untuk ikut sama memanfaatkan sepenuhnya masjid sebagai tempat berbincang hal-hal ilmu dan jangan lagi melihatkan masjid hanya sebagai tempat untuk mendirikan solat saja.

Bermula dengan kebebasan untuk sama-sama mendirikan solat Jumaat ini lah juga memberi peluang wanita terus memartabtkan kedudukan mereka di mata dunia.

Apakah selepas ini ada pendapat yang menyanggah pandangan Nik Aziz? Sama-sama kita tunggu. Saya rasakan pasti ada yang akan mempertikaikan cadangan itu. Sekali lagi terima kaish kepada Nik Aziz atas saranan berkenaan. [wm.kl. 4:00 pm 19/06/10]