Sunday, April 5, 2009

Sehari Di Bukit Gantang

Bukit Gantang Dari Kaca Mata Saya

ADA beberapa fakta atau butiran menarik mengenai pilihan raya kecil P59 Bukit Gantang, Perak untuk dikongsi dan dijadikan panduan bagi meramalkan parti mana yang akan memenangi kerusi berkenaan 7 April nanti. Terus terang saya katakan pandangan dan analisa ringkas saya ini tidak bersentimen kepada mana-mana pihak dan dirumuskan secara bebas dan adil.

Dapatan-dapatan yang dijadikan rumusan ini adalah hasil pengamatan sendiri kepada seluruh suasana dan senario yang berlaku di Bukit Gantang di sepanjang semalam dan hari ini tanpa dipengarusi mana-mana analisa.

Pengamatan dan ulasan ini tidak termasuk perkembangan yang akan berlaku pada malam ini dan hari esok hinggalah menjelang hari mengundi.

Pada saya momentum yang ada kini tidak banyak berubah daripada tiga hari selepas hari penamaan calon lalu, 29 Mac lalu kecualilah ada kejutan yang sengaja dibuat atau dilakukan yang mana senario dan mood yang ada kini boleh merubah sama sekali menyebabkan ada pihak yang akan terkanyak beruk!

Gambaran semangat dan poster serta bahan kempen.

Kedudukan atau gambaran mengenai semangat, poster dan bahan kempen hampir sama saja. Kedua parti UBN dan Pas sama-sama kreatif dan mempunyai idea pelbagai dalam menyampaikan mesej untuk menawan pengundi. Seperti biasa dari segi kekreatifan dan kerajinan terserlah kepada Pas. Ini secara tidak langsung menggambarkan penghasilan dan sokongan itu melibatkan semua peringkat. Begitu juga dari segi komited para petugas, petugas Pakatan Rakyat ternyata mempunyai semangat dan komitmen tinggi untuk menang berbanding petugas UBN.

Dari segi jumlah, perang potser, bill board, surat layang yang disebarkan dan sebagainya hampir sama saja. Dalam konteks ini UBN agak agresif dan berani menyebarkan surat-surat layang atau flyers yang menghina individu tertentu dalam Pakatan Rakyat.

Bantuan luar.

Pas mendapat bantuan luar yang komited dan bersungguh berbanding UBN. Rumah-rumah disewa khas untuk menempatkan Pas dari negeri-negeri terutamanya Kelantan dan Terengganu. Setiap kawasan Pas di dua negeri itu ada mempunyai pos dan ada kawasan masing-masing yang dijagai. Ini bermakna petugas Pas berkubu di kawasan masing-masing mengawal apa saja kegiatan yang bakal dilakukan UBN. Kawalan ini menyebabkan UBN tidak boleh bergerak secara wewenang untuk mendekati pengundi.

Kemesraan petugas:

Petugas Pakatan Rakyat lebih mesra dan dekat dengan rakyat. Mereka pagi-pagi lagi sudah menemui rakyat di surau, masjid, pasar dan kedai-kedai kopi. Dalam empat buah kedai kopi di Changkat Iboh, simpang Tiga Changat Jering, tidak ada petugas UBN yang minum bersama orang ramai pagi tadi manakala para pertugas Pas bergelewatan bercampur dengan penduduk tempatan.

Petugas UBN lebih seronok berada di luar kawasan Ipoh, atau Alor Star menginap di hotel-hotel mewah.

Sepanjang seharian hanya sekumpulan Puteri seramai empat orang (masih mentah) ditemui untuk berkempen untuk calon UBN. Cara pendekatan mereka berkempen dan intraksi tidak mempunyai daya penarik kerana rata-rata Puteri itu adalah gadisan belasan atau awal 20an yang kurang daya intelektual dan diplomasi politik.

Kehadiran ceramah.

Kehadiran di mana-mana ceramah berpihak kepada Pas. Nisbahnya boleh diletakkan 6 Pas dan 4 UBN. Bagaimana pun ada beberapa kawasan yang tidak dapat dimasuki langsung oleh Pas, khasnya di DUN Trong. Namun tektik menyusup petugas dilakukan untuk memasuki ke kawasan ini. Sebagai contoh keparahan di kawasan ini ceramah oleh pemimpin tertinggi Pas dihadiri tidak sampai 50 penduduk tempatan.

Sikap pengundi tua.

Pengundi tua berusia 60 tahun ke atas masih berpihak kepada UBN. Mereka masih bernostalgia dan sangat menghormati ada istiadat Melayu di mana mereka sukar untuk menerima pembaharuan dicanangkan oleh Pakatan. Nisbah pengundi tua ini bolehlah dikatakan 6 BN 4 Pakatan Rakyat/Pas.

Pengundi muda pula dilihat lebih berpihak kepada Pas. Situasi ini jelas dilihat mereka yang menyertai jentera pilihan raya. Mereka juga dikira bersedia mengubah haluan dengan memperoelhi maklumat yang luas dan bebas dan tidak terikat kepada kepada bahan kempen dan alat propaganda konservetif.

Pengundi Cina.

Secara umum pengundi Cina berpihak kepada Pakatan Rakyat dengan nisbah 65 Pas dan 35 UBN. Apakah nisabah ini kekal ataupun akan berubah. Pengundi Cina sudah dikenal pasti sebagai boleh berubah mengikut selera semasa. Biasanya orang Cina tidak akan bertindak meugikan diri mereka dan lebih memikirkan soal keselesaan daripada berfalsafah. Pengundi India pula saya letakkan nisbah 5 : 5.

Bahan atau topik yang menjadi isu.

UBN menjual isu Mohamad Nizar Jamaluddin derhaka kepada Sultan, calon Pas bukan anak tempatan, Pas (Melayu) jadi boneka DAP serta isu pemberian tanah kepada bukan Melayu.

Di pihak Pas pula menjadi kerakusan UBN rampas kerajaan Pakatan Rakyat, peralihan kepimpinan yang tidak memberi kesan, Umno rasuah dan isu-isu tuduhan jenayah kepada Perdana Menteri baru sebagai isu utamanya. Manakala isu peribadi mengenai calon BN, Ismail Saffian, seorang yang tidak mesra rakyat juga dijual secara senyap.

Ternyata Pas tidak mempunyai isu yang menarik untuk dikemukakan kepada rakyat melainkan janji untuk meneruskan kerajaan berkebajikan sekiranya memerintah semula.

Bagaimana pun insiden rampasan kuasa di Perak sediki sebanyak memberi simpati kepada calon Pas. Kehadiran tokoh-tokoh besar Pas dan PKR tidak begitu merujakan kerana tidak ada isu-isu baru yang pratikal pada fikiran rakyat pertengahan yang disampaikan oleh mereka melainkan retorik falsafah agama semata-mata.

Apapun kesimpulan kepada analisa ini bergantung kepada peratus mengundi yang akan keluar nanti. Sekiranya peratus mengundi melebihi 85 peratus ini bermakna pilihan raya berkenaan berpihak kepada Pas dengan perkiraan jumlah peratus tinggi itu disebabkan ramai orang muda balik untuk mengundi.

Samada Pas atau Pakatan Rakyat yang akan menang majoritinya dianggarkan sekitar 1,000 sahaja. Mengenai harapan pula, Pas optimis mereka akan menang, manakala UBN bersikap under dog dengan hanya mahu mengurangkan majoriti yuang diperolehi Pas dalam pilihan raya sebanyak 1,566.

Dari segi psikologinya target yang diletakkan UBN itu menunjukkan Pas mengatasi UBN pada masa kini. [ipoh.prk 10:00 pm 05/04/09]

No comments: