Thursday, April 2, 2009

Analisa Awal Bukit Gantang

Belum Ada Tanda Jelas Siapa Akan Menang

BUKIT Gantang bukan Kuala Terengganu! Suasana, hawa dan spirit pilihan raya kecil Bukit Gantang berbeza dengan hawa dan spirit pilhan raya kecil Kuala Terengganu. Kejayaan Pas merampas kerusi Kuala Terengganu tidak boleh dibawa ke Bukit Gantang. Bukan semudah di Kuala Terengganu untuk Pas mempertahankan kerusi P 56 Bukit Gantang.

Beberapa perkara yang ketara perbezaan di antara dua pilihan raya itu di mana ia memerlukan pentafsiran dan pengharapan yang berbeza. Lantas itu memerlukan pendekatan, kempen dan tektik pertahanan yang juga berbeza dan lebih fokus.

Bagi Pas mempertahankan Bukit Gantang samalah mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat yang sudah terlepas itu. Maruah Pas dan Pakatan Rakyat tercermin dalam penghukuman rakyat Bukit Gantang. Kalah Bukit Gantang bermakna kalahlah kerajaan Pakatan Rakyat.

Pas dan Pakatan Rakyat tidak boleh permudahkan pilihan raya itu. Sekiranya Pas meletakkan Bukit Gantang sama dengan Kuala Terengganu ia mungkin satu kesalahan yang akan menjerumuskan ke dalam lembah bahaya. Boleh jadi kerusi Bukit Gantang akan terpulang semula ke tangan pemilik asalnya, UBN.

Beberapa perbezaan yang nyata antara Kuala Terengganu dengan Bukit Gantang ialah;

1. Kerusi Kuala Terenggau milik BN, jadi Pas menyertainya untuk rampas kerusi berkenaan. Pas bertindak sebagai penyerang dalam pilihan raya itu manakala BN sebagai pertahanan. Orang yang bertahan debarannya lebih kencang daripada orang yang menyerang. Pas tidak akan kehilangan apa-apa kalau kalah kerana kerusi itu milik BN. Dalam erti kata lain Pas berhadapan dengan suasana selesa dan offensive di Kuala Terengganu.

2. Sebaliknya di Bukit Gantang, BN yang menjadi penyerang manakala Pas menjadi pertahanan dan bersifat defensive. Semangat yang dirasai Pas di Kuala Terengganu automatik berpindah ke tangan UBN.

3. Pilihan raya Bukit Gantang berlangsung dalam suasana Umno dikatakan dalam proses perubahan dan bersemangat besar (spirited) apabila baru saja selesai mengadakan perhimpunan agung Umno. Najib Razak baru jadi PM? Manakala Mahathir Mohamad pula turut sama berkempen di mana kehadiran Mahathir tidak boleh dipandang enteng. Golongan setuanya akan bersimpati dan sedikit sebanyak teruja dengan cakap-cakap pisang lemak manis Mahathir itu.

4. Isu di Perak berbeza dengan isu di Kual Terengganu. Krisis politik di Perak tentu akan menjadi isu utama. Insiden yanfg berlaku itu menyebabkan rakyat berbelah bahagi – ada yang bersama Nizar Jamaluddin dan ada yang bersama Zambry Abdul Kadir. Kesan rampasan kuasa dan alasan-alasan yang ditaburkan mungkin diterima oleh rakyat Perak.

5. Kuala Terengganu adalah kawasan Melayu, dimana 88.14 peratusMelayu berbeza dengan Bukit Gantang Melayu hanya 63.48 peratus sahaja. Kerendahan peratus Melayu ini sedikit tidak menyelesakan Pas.

6. Begitu juga Kuala Terengganu pernah menjadi milik pembangkang – Pas dan PKR. Bermakna Kuala Terengganu dirintah sekurang-kurang lapan tahun oleh pembangkang berbanding dengan Bukit Gantang yang baru satu tahun setengah di mana Pas belum sempat berakar tunjang di kawasan berkenaan.

Itulah perbezaan semangat dan senario pilihan raya Bukit Gantang yang meletakakan ia bebreza sama sekali dengan Kuala Terengganu. Seperti dikatakan tadi kalau Pas menerima pilihan raya Bukit Gantang sama seperti pilihan raya Kuala Terengganu ia adalah silap besar.

Perkembangan hari ini, berdasarkan kepada sambutan pada hari perarakan calon, Pas yakin mereka akan mampu mempertahankan kerusi Bukit Gantang. Tidak dinafikan sambutan pada hari penamaan calon hebat dan puluhan ribu manusia berhimpun memberi sokongan. Fenomena ini sudah biasa bagi pembangkang. Di mana-mana pilihan raya kecil bilangan mereka mengiringi calon mengatasi UBN.

Pun begitu harus diingat sambutan hangat dan hebat tidak menjadi petunjuk sah bahawa pengundi juga akan memberi sokongan padu. Mereka yang mengiringi calon sebahagian besar datang dari luar kawasan mengundi dan bukan penentu.

Begitu juga kalau diambil kira kepada aliran pengundi pada pilihan raya umum lepas untuk kerusi berkenaan dan tiga kerusi DUN ia berpihak kepada Pas atau Pakatan Rakyat. Dua daripada kerusi dalam kawasan Parlimen itu menjadi milik pembangkang.

Kerusi itu ialah Changkat Jering dimenangi calon PKR, Mohd Osman Jailu dengan majoriti 1,102 undi dan DUN Kuala Sepatang dimenangi PKR, Tai Sing Ng dengan majoriti 564 undi.

Manakala DUN Trong dimenangi oleh UBN Rosli Husin dengan majoriti 916. Allahyarham Roslan Shahrum wakil rakyat Bukit Gantang sendiri menang dengan majoriti, 1,566 mengalahkan Abdul Azim Mohd Zabidi calon dari luar.

Bedasarkan fakta dan figure itu secara mudah keputusan akan berpihak kepada Pas. Soalnya apakah aliran pengundi dalam pilihan raya lalu akan kekal?

Beberapa peristiwa yang berlaku di Perak ke belakangan ini dikira akan merubah suasana itu. Perubahan itu tentu sekali akan dirasai oleh kedua-dua pihak. Krisis di Perak, rampasan kerajaan, pembugaran pohon demokrasi dan sebagainya dikatakan akan menyebabkan pengundi akan marah dan lebih simpati kepada Pas – Pakatan Rakyat. Terutamanya pengundi Cina dan India kerana mereka merasakan mereka dianak tirikan kerana kerajaan Perak dulu diungguli DAP menyebabkan kaum Cina meresaikan mereka berkuasa!

Lantaran itu ada pendapat mengatakan undi Cina dan India akan berpihak kepada pembangkang lebih 80 peratus.

Tetapi ada pula yang mengatakan undi Cina itu akan diatasi oleh undi Melayu yang akan bertambah kepada UBN. Melayu merasakan krisis politik Perak memberi kesedaran kepada mereka. Kalangan pengundi Melayu berusia 50 ke atas yang masih ada sentimental value dengan Umno dan istana akan memilih Umno.

Pembahagian undi Melayu ini bergantung kepada pecahan penguni mengikut usia. Pengundi muda yang berusia bawa 35 tahun lebih serasi dengan Pakatan Rakyat kerana mereka tidak ada apa-apa sentimental value dan bergitu obses mahu melihat perubahan. Jikalau jumlah pengundi muda mengatasi pengundi tua di Bukit Gantang, ini memungkinkan Pas akan menang.

Ada tanda-tanda pengundi muda lebih berpihak kepada Pas. Ini dapat dilihat kepada mereka yang bertugas membantu jentera pilihan raya rata-rata golongan muda. Mereka juga lebih bersemangat dan bersungguh melaksanakan tanggungjawab.

Orang muda senang untuk diubah dan berubah. Tetapi tidak pengundi tua susah untuk mereka menukar pegangan asal mereka. Orang tua mempunyai emosi yang lebih berbanding orang muda yang berifkir mengenai masa depan mereka daripada mengenang sejarah yang manis tetapi pahit untuk ditelan.

Kesimpulannya, setakat ini – perkembangan dan mendengar laporan dari kedua pihak, baik Pas dan UBN masih tidak meletakkan harapan besar untuk memenangi pilihan raya itu. Senario dan petunjuk makin jelas akan dapat diketahui sehari dua lagi apabila kempen menjadi semakin rancak. Dakwaan mengatakan pihak itu kuat pihak ini lemah hanya perang saraf sahaja sedang hakikat masih samar dan kabur. [wm.kl. 11:00 am 02/04/09]

1 comment:

AlHadi Tok Ayah Su (atas) said...

Tanda jelas dibukit gantang menunjukkan kesemua parti yang bertanding tidak menolak pembangunan, jesteru kita lihat dan dengar pengumuman yang dibuat olih Bn bahawa isu pembangunan tidak akan dicanangkan lagi sebaliknya mereka mengajak pengundi untuk menilai tahap kecermelangannya disepanjang tempoh mereka memegang kuasa.

Manakala dipehak PR khususnya Pas pula mengajak pengundi melihat pada dasarnya yang mementingkan amal makruf nahi mungkar dosa dan pahala demi keselamatan dan masa depan pengundi itu sendiri.

Kerekter dan kualiti calon hanyalah sekadar penambah perisa kepada sesebuah parti.Faktor memilih calon mana yang lebih "cerdik" dan mana yang "bersih moral" menjadi nilai taruhan dan modal persaingan.

Ada orang suka memilih jenama parti dan ada orang suka menilai kepada siapa calon.Prinsip "pilih calon bukan parti" bererti samalah dengan cara mengikut sunnah dimana Rasullah S.A.W tidak mahu melantik Abu Za r.a untuk memimpin dalam jua jawatan kerana baginda melihat akan kelemahan diri yang ada padanya.Namun demikian semasa kewafatan nabi Mohammad S.A.W,bangunlah Saidina Abu Bakar sambil berkata "jika saudara memilih Mohammad sebagai pemimpin kamu maka sesungguhnya hari ini baginda telah wafat.Barang siapa memilih islam sesungguhnya Allah akan kekal buat selama lamanya".

Jadi sama samalah kita fikir fikirkan...!