Keciciran dari Kabinet Najib
Kertas Politik Pertama Bagi Khairy
BIARPUN menggunakan gebal setebal mana sekali pun Khairy Jamaluddin tidak boleh menyembunyikan rasa kecewanya kerana tidak dilantik sebagai anggota Kabinet. Khairy boleh berkata dengan seribu kata-kata politik, namun hakikatnya beliau sendiri tidak boleh menolaknya. Hati kecilnya tetap bertanya sendiri, kenapa.. kenapa dan bagaimana?
Bagaimana tidak kecewa, penyusunan Kabinet baru itu sebahagian daripada tektik untuk memalu dan kemudian membunuhnya secara senyap dalam geluk Umno.
Khairy berkata, sehari sebelum Najib mengumumkan Kabinet sulungnya, beliau dipanggil oleh Najib. Najib memaklumkan secara diplomasi dan meminta beliau menumpukan kepada pemuda Umon untuk menarik pengundi muda yang makin berkurangan menyokong Umno. Alasan Najib itu ada benarnya juga namun alasan itu dilihat sebagai pelapik untuk tidak melihat Khairy melenting. Itu saja.
Khairy cuba mempamerkan wajah, dia menerima pandangan dan cadangan Najib itu. Tetapi apakah beliau terlupa untuk bertanya balik Najib apakah tugas untuk memulihkan sokongan orang muda hanya tergantung dibahunya sahaja? Bagaimana dengan orang lain, puteri dan wanita. Apakah pengundi muda yang lari dan serit dengan Umno itu hanya lelaki?
Jika Najib ikhlas dengan harapannya itu dan Khairy pula ikhlas untuk memikulnya, apakah ia termampu dilakukan Khairy dengan tangan kosong saja. Siapa yang akan memandang kepada Khairy kalau beliau pergi atau turun ke bawah menemui orang muda dengan tangan kosong. Bila masa Umno mula tidak melihat kepada wang dan kuasa? Selama ini pun kenapa orang mengerumuni ke majlis Umno ialah kerana menanti benda dan mereka dipanggil pun dengan material.
Dalam politik Umno tanpa wang, jawatan dan kuasa, apa yang seseorang itu boleh lalukan? Tidak ada siapa yang akan hormat dan pedulikan Khairy selepas ini.
Mungkin majlis-majlis pemuda yang melibatkan Mukhriz akan lebih ramai daripada yang dihostkan oleh Khairy kerana Mukhriz ada benda. Jawatan timbalan menteri MITI itu adalah senjata dan daya penarik kepada Mukhriz? Mahathir pun telah awal-awal mengatakan anaknya itu boleh mengawal pemberian AP kereta? Apa maksud semuanya itu.
Ada yang membuat kesimpulan dan menerima hikmah di sebalik keciciran Khairy itu sebagai ujian kepada Khairy? Khairy patut mengambil kesempatan menunjukan jiwa besarnya dalam Umno. Keciciran itu juga ujian butnya. Jika beliau melepasi ujian ini maka beliau akan diberikan hadiah lumayan. Tetapi sejauh manakah Khairy mempunyai kekuatan atau antibodi yang pejal untuk melawannya.
Pada saya itu hanya janji saja. Nasib Khairy dalam hal ini samalah Nasib pemuda miskin yang ada nafsu mencintai seorang gadis. Beliau mahu berkahwin dengan gadis berkenaan. Tetapi beliau tidak mempunyai wang untuk kahwin. Maka itu beliau dinasihatkan supaya berpuasa agar menahan nafsunya. Mudah-mudahan dengan berbuat begitu pemuda itu akan mendapat pahala kelak. Nah begitulah juga nasib Khairy dalam soal ini.
Nun.. di luar sana Khairy sedang berhadapan dengan berbagai persoalan mencakupi moral dan maruah. Bagaimana Khairy hendak berdepan dengan pemuda terutamanya yang mengharapkan ketua pemuda diangkat atau sekurang-kurangnya dikekalkan kedudukan ketua pemuda seperti sebelum ini?
Mungkin bagi Khairy tidak menjadi masalah, beliau boleh menerima takdir yang disengajakan itu. Sebagai seorang yang bijak dan berfikir secara kreatif dan sedar beliau boleh bergerak. Sebagai seorang yang setia mendalam kepada Umno yang diasuh sejak kecil mencintai Umno oleh ibunya, Khairy boleh menerima dan redha dengan apa yang berlaku. Tetapi bagaimana dengan pemuda atau penyokongnya yang mengira-ngira mengenai kuasa dan kedudukan? Yang berfikir kemenangan dalam parti akan diimbuhkan dengan jawatan dalam kerajaan?
Tindakan Najib itu mengecewa golongan ini dan dianggap tidak adil kepada mereka. Tindakan Najib itu juga menyebabkan pemuda akan beranggapan bahawa memenangi jawatan belum tentu seseorang itu akan dilantik menjadi menteri. Persepsi ini lama kelamaan menyebabkan pemuda yang sudah terbibit dengan kebendaan dan kuasa berdekad-dekad akan menjadi lemah untuk berjuang.
Bukan itu saja, akibat tidak dilantik menjadi jemaah menteri, Khairy terus terhina dan diludahi dengan kehinaan. Misalnya Dr Mahathir Mohamad terang-terang memberi tahu kepada dunia keciciran Khairy itu disebabkan Khairy terjerumus dalam rasuah. Beliau bertepok tangan kononnya Umno bersih dengan ketiadaan Khairy.
Walaupun orang melihat sikap Mahathir itu kerana dendam tidak sudahnya dengan Khairy namun kerana ia diulang-ulang lama kelamaan orang akan menerima ia sebagai benar. Khairy akan dilihat bukan saja 'hitam' tetapi kotor tindakan politiknya. Dalam masa sama orang akan memaling kepada Mukhriz itu sebagai putih bersih dan bersinar banar!
Apakah dalam politiknya Mukhriz tidak terlibat dengan rasuah? Hanya Mukhriz dan perwakilan pemuda Umno saja dapat menjawabnya. Saya tidak fikir kalau Mukhriz dari golongan mukhlisin dan maksum. Kerana agumen saya mudah saja, masakan kamu bersih sedangkan kamu berada dalam sistem yang akan mengisarkan diri kamu menjadi kotor!
Kesimpulannya keciciran Khairy dari kabinet Najib itu adalah permulaan yang perlu difikir sebaik mungkin oleh Khairy. Sekiranya beliau mempercayai kepada janjii dan kata-kata manis Najib ia adalah satu kesilapan. Khairy harus ingat rukun-rukun dan sifat politik yang berbunyi; penuh kontroversi,perlu pandai eksploitasi, kena tahu memanipulasi, dan bijak membuat persepsi dan harus bersedia untuk bersikap hipokrasi.
Rukun-rukun atau ciri-ciri ini bukan saja perlu dihafal oleh ahli politik tetapi ia juga kena dipakai (praktikan), di sepanjang masa terlibat dalam politik. Sekiranya rukun-rukun ini tidak dipakai maka tunggu sajalah seseorang itu akan mati!
Sesungguhnya apa yang menimpa Khairy hari ini adalah kertas politik pertama yang beliau harus kena kaji dan mempelajari dengan penuh teliti dalam rencana untuk mencapai Phd dalam politik. Ingat jika beliau gagal maka usianya dalam Umno tidak akan berapa panjang! [wm.kl. 5:30 pm 10/04/09]
2 comments:
tahniah mso atas ulasan anda ...
Salam MSO,
Adalah baik nya jika KJ memulihkan dan memantapkan lagi kekuatan pemuda UMNO. KJ juga perlu belajar sehingga mendalam ilmu politik Malaysia. Bukan mudah untuk seseorang itu menaiki tangga politik jika beliau hanya memasuki arena tersebut atas tiket seseorang yang berpengaruh. KJ seharusnya akur bahawa beliau masih belum matang dalam politik. Memang beliau mempunyai kebolehan dalam pelbagai segi tapi itu tidak cukup. Pengalaman yang akan mematang seseorang individu. Anggap apa yang berlaku sebagai dugaan untuk menjadi ahli politik yang berjaya dan teruskan usaha agar mendapat apa yang dihajati.
Post a Comment