Tuesday, April 7, 2009

Dari Bkt Selambau 2

UBN Mungkin Kalah di Bukit Selambau

BERDASARKAN perkiraan 'tradisi' peluang PKR di Bukit Selambau lebih cerah dari Pas di Bukit Gantang. Perkiraan tradisi itu ialah apabila peratus keluar mengundi rendah ia memberi kebimbangan kepada UBN.

Kebiasaanya di mana-mana pilihan raya kecil kalau peratus keluar mengundi rendah ia memberi keuntungan kepada parti pembangkang. Kerendahan peratus mengundi itu selalunya disebabkan pengundi UBN tidak keluar dan tidak mengambil berat pada pilihan raya itu seperti mana pengundi pembangkang yang akan keluar beramai-ramai mendokong calon mereka.

Peratus keluar mengundi di Bukit Selambau sehingga kini belum mencecah ke angka 60 peratus, demikian menurut pengamatan Setiausaha Umno Bahagian Pokok Sena, Ramli Mohd Yunus yang dihubungi sekejap tadi. Manakala menurut SPR sehingga jam 3:00 petang tadi peratus mengundi di Bukit Selambau hanya 55%.

Katanya peratus mengundi kali ini begitu ketara sekali kekurangannya. Ramli menyebut misalnya di salah satu peti undi yang mempunyai 5,000 pengundi tidak sampai separuh yang keluar mengundi. Sehingga kini katanya terdapat kira-kira 3,000 pengundi lagi belum keluar mengundi.

Ditanya kenapa masalah ini timbul beliau menjelaskan ialah kerana masalah calon. Kebanyakan yang tidak keluar mengundi itu ialah orang Melayu. Mereka yang inginkan calon Melayu mengambil sikap mendiamkan diri di rumah kerana kedua pihak UBN dan Pakatan meletakkan calon India.

Keadaan ini juga berlaku pada pilihan raya umum lalu bila mana calon bukan Melayu bertanding di situ orang Melayu enggan keluar. Peratus keluar mengundi pilihan raya umum lalu ialah 73.76%.

"Biasanya kalau peratus keluar mengundi rendah, susahlah untuk kita (UBN) hendak menang," keluh Ramli. [bkt gantang 3:45 pm 07/04/09]

No comments: