Tenang, Hormatilah Hak Diri Dan Demokrasi
TEMPOH berkempen untuk ketiga pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai akan tamat kira-kira setengah jam saja lagi. Tepat pukul 12:00 semua kegiatan kempen, pasang poster dan mengecek pengundi hendaklah dihentikan.
Semua petugas kini sedang menyelesaikan tugas-tugas akhir. Pasukan keselamatan semua pihak dikira sangat penting dan berada dalam keadaan berjaga-jaga. Seolah kalah menang parti masing-masing berada di tangan mereka.
Pengawai keselamatan akan mengawal keselamatan pengundi. Rumah atau kawasan pengundi diintai dan dijaga oleh petugas keselamatan. Masing-masing mahu memastikan tidak ada pihak yang menceroboh masuk dan mempengaruhi pengundi di saat akhir.
Masa-masa begini juga adalah masa yang paling tegang dan sesintif. Kepala petugas keselamatan menjadi makin keras dan hati lekas terasa. Pantang salah sedikit pertelingkahan membawa kepada pergaduhan akan berlaku.
Satu laporan telefon diterima sekejap tadi perbalahan antara dua pihak Pas dan UBN hampir berlaku di Larut Matang dalam DUN Kuala Sepetang. Ia bermula apabila petugas UBN terdiri dari Perkida cuba menunjuk lagak untuk menyerang petugas Pas.
Bagaimana pun atas kebijaksanaan ketua kedua pihak pergaduhan tidak sempat meletus.
Keadaan di Larut Matang katanya tegang ekoran ketua wanita cawangan itu menyertai Pas semalam. Perpindahan ketua cawangan itu dari "biru" ke "hijau" menimbulkan kemarahan. Sejak itu pengawal keselamatan UBN mencari sebab saja untuk bertindak terhadap Pakatan.
Mudah-mudahan sepanjang malam ini suasana di semua kawasan tiga pilihan raya kecil itu berlalu dengan baik hingga ke paginya. Pengawal keselamatan semua pihak hendaklah bersikap lebih profesional. Mereka perlu sedar apa yang berlaku kini adalah proses demokrasi.
Sebagai pengamal demokrasi hormatilah undang-undang demokrasi. Kepada pengundi tidurlah dengan lena dan esok bangun pagi menuju ke pusat pengundi. Keputusan yang sudah dibuat baik sejak seminggu lalu, kelmarin dan baru sekejap tadi hendak diikat sekemas mungkin. Pastikan keputusan anda tepat dan dapat dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan negara.
Dan sekiranya anda diberi sepuluh dua wang untuk tambang dan beli minyak ke tempat mengundi esok ambil dan gunakan. Ingat, wang itu bukan kuasa yang boleh memaksa anda mengundi mana-mana calon yang anda tidak suka dan sejiwa dengan anda.
Sementara kedua pihak Pas dan UBN masih berkeyakinan akan menang di Bukit Gantang. Bilik gerakan masing-masing tidak berapa mengeluarkan rumusan yang tepat dan masih berteka-teki.
Begitu juga di Bukit Selambau UBN dan PKR sama-sama yakin. Sikap terbuka yang ditunjukkan oleh pengundi yang menghadiri majlis kedua-dua parti menyebabkan bilik gerakan parti sukar untuk membuat rumusan tepat.
Angka 2 -1 iaitu dua dimenangi Pakatan Rakyat dan 1 akan dimenangi UBN masih menjadi figure ataupun sebutan popular! [dlm perjalanan 11:30 pm 06/04/09]
No comments:
Post a Comment