Sunday, April 26, 2009

Menjelang Muktamar 6

Jawatan Ketua Pemuda Pas Kelantan
Anak Haji Droman Nak Lawan Anak Nik Aziz

APABILA Nik Abduh menyerang para wazir otak kemetot ayahandanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat apakah beliau ingin menghantar mesej tertentu? Kenapakah beliau mendedahkan pekerjaan sesat di jalan Allah itu (istilah Nik Abduh) yang melagakan ayahnya dengan Abdul Hadi Awang sewaktu ayahnya di Makkah?

Kalau di zaman politik budak-budak dulu, bila hendak serang atau melancarkan perbalahan dengan kawan dicari waktu dia tidak bersama ayahnya. Ataupun ketika ayahnya ke tempat kenduri atau meninggalkan kampung, saat inilah serangan akan dibuat.

Apakah Nik Abduh kini sedang diserang oleh sesiapa atau mana-mana kumpulan yang mencari masa ketika ayahnya tidak berada dalam negeri? Sebelum ini semasa Tok Guru Nik Aziz ada di Kelantan tidak pun Nik Abduh membuat apa-apa pendedahan mengenai para wazir otak kemetot ayahnya itu.

Apakah setelah Tok Guru berangkat ke tanah suci baru ada sesuatu yang menganggu Nik Abduh sehinggakan beliau kena kubang mendedahkan peranan para wazir otak kemetot itu? Mungkin juga Nik Abduh membuat pendedahan itu sebagai untuk membalas serangan ke atasnya ketika ayahnya tidak ada.

Begitukah?

Maklumat dari Kota Bharu menyebut, sehari dua hari ini makin jelas kedengaran kokokan kalangan ahli dewan pemuda Pas Kelantan mengatakan akan berlaku perebutan jawatan kerusi ketua dewan berkenaan. Kerusi yang akan dikosongkan, Adun Kelaboran, Zaki Ibrahim akan berlaku pertandingan.

Sebelum ini katanya telah ada syura untuk kerusi berkenaan, di mana ianya akan diserahkan kepada Nik Abduh yang kini menjadi timbalan ketua dewan pemuda Pas Kelantan. Nik Abduh dikatakan bersetuju untuk tidak menentang Zaki dua tahun lepas lalu kerana atas dasar kompromi secara tiak rasmi itu. Beliau dikatakan akan diserahkan kerusi itu sebaik Zaki berundur tanpa perlawanan.

Orang yang disebut-sebut akan berhadapan dengan Nik Abduh ialah Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan Abdul Latiff Abdul Rahman. Latiff ini juga Adun Mengkebang. Ironisnya,dia seorang anak tok guru seperti Nik Abduh. Ayah Latiff ialah Haji Abdul Rahman yang juga pengasas pondok Sungai Durian dan seorang tokoh ulama yang dimalui di Kelantan.

Sekiranya Latiff berdepan dengan Nik Abduh, maka berlakulah pertembungan dua orang anak tok guru! Pertembungan itu bukan perbezaan mazhab ataupun dalam soal khilafiah mengenai hukum tetapi kerana mencari ruang politik. Ia sungguh mengaibkan.

Seperti dikatakan tadi, kenapa cerita Latiff nak melawan Abduh ini timbul setelah tok guru pergi ke Makkah? Apakah ianya diambil peluang untuk mengusik Nik Abduh ketika ayahnya tidak ada? Yang anehnya sikit, kenapa Latiff nak lawan Abduh. Jika diukur dari segi usia, pengalaman, Nik Abduh jauh berpengalaman. Usia juga Nik Abduh lebih tua daripada Latiff. Kalau pun kelebihan yang ada kepada Latiff dia wakil rakyat, manakala Nik Abduh tidak.
Itu bukan boleh dikira. Kalau Nik Abduh bertanding baru-baru ini dia pun akan menang. Malahan kalau tanding 2004 pun dia menang dan sudah bergelar ahli Yang Berhormat. Latiff pernah pun kalah tahun 2004. Kedua ini saya kenal. Malahan semasa nak bertanding tahun 2004 Latiff ada datang ke rumah bersama abangnya Shukeri bekas menantu Tun Abdul Rahman Yaacob. Saya memang memberi galakan dan dorongan agar beliau menceburi dalam politik.

Apakah kerana sudah jadi Adun maka Latiff merasakan dia besar dan sudah keras ubun-ubun untuk berlawan? Ataupun ada orang yang tukang jolok dan tukang kipas supaya Latiff menentang Nik Abduh.
Saya percaya kalau tidak ditolak Latiff tidak akan tergamak untuk berlawan dengan Nik Abduh. Kalau dia tidak malukan kepada Nik Abduh tetapi dia kena malu kepada Nik Aziz orang yang memberi tauliah agar beliau boleh bertanding. Latiff juga seorang yang berakhlak tinggi dan tahu adat-adat serta hukum syarak. Saya tidak fikir kalau hasrat untuk beradu kekuatan dengan Nik Abduh itu tumbuh dari dhamirnya sendiri.

Memang Nik Aziz tidak akan halang perlawanan itu. Siapa nak lawan berlawanlah asalkan mengikut peraturan. Begitu juga Nik Abduh tidak bermaksud untuk berlindung di balik maunah ayahnya. Bagi tok guru dia terbuka. Hatta dia sendiri pun kalau Latiff dan orang-orang mendokong Latiff nak lawan tidak ada masalah. Lawanlah.
Tetapi kalau Latiff masih berpegang kepada adat dan kesopanan sebagai seorang anak pondok dia tidak akan tergamak untuk melangkah kitab tok gurunya sendiri.
Katanya hasrat Latiff itu bukan lahir dari dirinya sendiri. Ada pihak-pihak tertentu yang menyuruh dan memberi semangat kepadanya. Orang berkenaan tidak mahu kalau Nik Abduh menjadi ketua pemuda kerana beliau secara automatik akan menjadi ahli Dewan Harian Pas.
Nik Abduh dikatakan seorang yang agak ekstram dan tidak mudah bertolak ansur dengan khilas-khilas politik sekular.

Nik Abduh juga seorang yang tidak suka kepada pemanipulasian dan dia bercakap berdasarkan nas dan dalil-dalil qatae'i. Mana-mana yang tidak ditunjuki oleh nas dan dalil akan ditolaknya. Sikap Nik Abduh yang tegas dan keras inilah menakutkan orang tertentu bila dia menjadi ahli Dewan Harian kelak. Khabarnya Nik Abduh juga sesekali berdebat dengan ayahnya sendiri bila dia merasakan pandangan ayahnya diselewengkan.

Makanya bagi mengelakkan Nik Abduh berada dalam Dewan Harian dan bakal menyulitkan orang tertentu elok kalau beliau dilawan dengan harapan kalah maka tidak masuklah Nik Abduh dalam Dewan Harian. Manakala Latiff pula dikira akan akur sahaja kepada apa yang diputuskan dan diharap menjadi pembela kepada orang berkenaan dalam Dewan Harian.

Keadaan ini jelas bahawa Latiff hanya dijadikan alat dan perkakas sahaja dan bukan bertanding kerana atas kemahuan dan berlandaskan apa-apa idealisme perjuangannya sendiri. Lainlah kalau Latiff ada gagasan dan wawasan sendiri, mungkin pertandingan itu boleh dibenarkan berlaku.
Latiff masih muda dan masih mentah. Dengan menjadi Adun bukan bermakna beliau sudah menyiapkan dirinya untuk menjadi seorang pemimpin kepada sebuah sayap parti. Tempat paling baik ialah berada di kerusinya sekarang, naib ketua. Beliau perlu banyak belajar dan mengenali erti politik serta sepak terajangnya. Jangan mudah jadi buah sepak. Latiff juga tidak seharusnya ‘lorat’ – mau cepat naik. Pengalaman dan sejarah yang menimpa sepupunya, Zulkefli Yaacob perlulah dijadikan iktibar.

Apa jadi dengan bekas Adun Guchil itu sekarang ini? Jadi Adun sepenggal, kalah. Kemudian beralih kepada perniagaan memelihara kambing Jamnapari juga katanya sudah lingkup. Pengajaran yang menimpa Zulkefli itu adalah cukup baik bagi Latiff menelitinya supaya dia tidak akan tergelecah ke dalam lembah yang sama.

Dalam pada itu terdengar pula cerita, sekiranya Latiff turut menawarkan diri untuk merebut jawatan itu Nik Abduh akan tarik diri. Alasan Nik Abduh katanya kerana Latiff anak tok guru. Tindakan ini tidak betul. Kalau Latiff boleh berbangga dengan ayahnya seorang tok guru, apa kurangnya Nik Abduh. Malahan dalam konteks parti politik darjat dan martabat ayahnya (Nik Aziz) lebih tinggi daripada Haji Abdul Rahman.

Seandainya Nik Abduh mengambil keputusan itu ia sesuatu yang tidak bijak. Beliau harus tahu dalam politik demokrasi membenarkan apa juga helah dan muslihat untuk menang. Sekiranya beliau menarik diri ini bermakna beliau memberi kemenangan percuma kepada Latiff. Paling malangnya membiarkan dewan pemuda Pas Kelantan menjadi alat politik peribadi orang tertentu.
Tindakan Nik Abduh undur itu nanti menyebabkan orang itu akan beraya hindu.
Dalam politik seseorang itu tidak boleh terlalu jujur, ikhlas dan mengikut peraturan ketika berperang merebut jawatan. Sesiapa yang jujur, ikhlas dan sedia menurut jawatan ia akan tewas dan kalah. Sebab kejujuran dan keikhlasan itu akan diambil kesempatan oleh lawan untuk membunuh kita.

Dan sekiranya Nik Abduh mahu kekal dengan prinsip-prinsip terpuji tidak bersedia bermain dengan khilaf dan muslihat, eloklah Nik Abduh menukar wadah perjuangan malam ini juga. Jangan menyertai politik tetapi carilah jemaah lain yang tidak mengambil sistem menguruskan parti dan pemilihan pemimpin seperti Pas. Jemaah paling baik ialah Tabligh.

Apapun kepada mereka berdua, Nik Abduh dan Latiff yang saya anggap adik-adik, carilah jalan terbaik dan elakkan bertembung sesama sendiri. Ingat anda berdua anak kepada ulama yang dihormati dan disegani. Kalau anak ulama pun tidak boleh berkompromi dan saling merebut jawatan, ia memberi gambaran buruk kepada kepimpinan ulama itu sendiri. Jangan pula nanti orang berkata, kalau anak tok guru pun berlawan, apalah kita dari golongan Prolib ini... makin boleh berlawan. [wm.kl. 9:00 pm 26/04/09]

No comments: