Monday, April 6, 2009

Ulasan: Mencari Makna

Implikasi Pilihan Raya Bkt Gantang Dan Bkt Selambau

KEPUTUSAN tiga pilihan raya kecil, 7 April besok memberi petunjuk tersendiri serta menzahirkan kesan dan implikasi kepada parti politik; Umno – Barisan Nasional (UBN) dan Pakatan Rakyat.

Terutamanya dua pilihan raya kecil di Semanjung, P 59 Bukit Gantang, Perak dan N 25 Bukit Selambau, Kedah. Terlalu awal untuk dikatakan pilihan raya itu akan memberi kesan menyeluruh dan implikasi akhir kepada kedua parti itu, namun ia boleh dikira sebagai muqadimah ke arah pembetulan semula ke atas landskap politik negara.

Pilihan raya ini adalah pertama kali diadakan selepas Umno bertukar presiden, dari Abdullah Badawi kepada Najib Razak. Umno menganggap peralihan kepimpinan itu memberi semangat dan pembaharuan kepada parti itu dan dikira telah menyuntik semangat baru kepada ahlinya.

Sejauh mana perubahan itu berkesan dan memberi impak ia akan dapat dilihat kepada keputusan pilihan raya itu. Keputusan pilihan raya esok sedikit sebanyak akan menterjemahkan atau memberi indikator awal mengenai impian UBN itu.

Berikut adalah beberapa kesan, implikasi dan indikator kepada pilihan raya itu kepada Pakatan Rakyat (Pas) dan UBN.

1. Sekiranya esok Pas kalah di Bukit Gantang dan PKR kalah di Bukit Selambau ia menunjukkan peralihan kuasa, janji pembaharuan dibuat Najib Razak memberi kesan kepada rakyat. Kesan itu kelak akan merubah semula landskap politik yang tercipta pada pilihan raya umum ke-12 lalu yang turut membimbangkan UBN. Ini memberi maksud UBN akan dapat memperbetulkan semula kepincangan siasah mereka yang dilakukan Abdullah.

2. Sebaliknya sekiranya UBN kalah di kedua-dua kerusi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau menunjukkan peralihan kuasa dan janji pembaharuan tidak diterima rakyat. Rakyat masih selesa dan menanti penuh harapan pembinaan Malaysia Baru oleh Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Anwar Ibrahim.

Kekalahan BN itu nanti menyebabkan UBN harus bersiap sedia dengan kain kafan untuk dikuburkan pada pilhan raya akan datang.

3. Bagaimana pun kemenangan Pakatan kelak memberi impilikasi buruk kepada Pakatan khasnya pemimpin utamanya. Kekalahan itu menyebabkan UBN akan mengambil tindakan drastik. Apa yang dirasakan dengan adanya ruang kepada Mahathir untuk mempengaruhi Najib Razak ini menyebabkan Anwar Ibrahim mungkin dinasihatkan supaya dipulangkan semula ke Sungai Buloh.

4. Manakala kekalahan UBN di kedua kerusi itu juga menunjukkan rakyat sudah jemu dan benci kepada konsep BN dan pendekatan politiknya serta perangai buruk para pemimpinnya. Kekalahan ini menyebabkan Najib akan membuat perubahan drastik secara menyeluruh. Perubahan ini termasuklah sedia melaksanakan agenda yang menjadi matlamat dan impian Pakatan Rakyat dan juga membersihkan kekotoran dalam kepimpinan UBN.

5. Manakala di peringkat negeri Perak sekiranya Pas berjaya mengekalkan kerusi Bukit Gantang itu ia menjelaskan rakyat marah dengan apa yang berlaku di Perak baru-baru ini. Rakyat menuntut sebuah demokrasi bebas dan tidak mahu ada campur tangan mana-mana pihak atau kuasa dalam politik, sebaliknya mahu rakyat uruskan sendiri politik dengan penuh kebebasan dan keadilan.

6. Kemenangan Pas – Pakatan Rakyat juga menjelaskan bahawa perpaduan Pakatan Rakyat berada dalam keadaan selesa, kukuh dan ghairah untuk mengganyang UBN. Kemenangan Pas nanti kelak turut merubah senario parti berkenaan ke arah lebih liberal lagi dan diyakini turut mempengaruhi muktamar Pas Jun nanti.

7. Sementara sekiranya Pas kalah di Bukit Gantang ia menunjukkan orang Melayu di Perak masih belum bersedia menerima persefahaman dan pendekatan politik dibentuk Pas menerusi Pakatan Rakyat bersama DAP dan PKR.

8. Manakala jika PKR kalah di Bukit Selambau besok ia menunjukkan parti berkenaan masih lagi belum dapat menyempurna dan memperkemaskan organisasi mereka. Kekalahan itu menyebabkan PKR perlu mengadakan tarbiyiah dan didikan kepada ahli-ahli partinya yang berbagai itu sekiranya PKR mahu kekal lama. Kalau PKR kalah ianya berpunca dari perbalahan menunjukkan ahli parti itu tidak berkualiti dan belum matang berpolitik.

9. Sebaliknya kalau PKR berjaya memenangi kerusi berkenaan ia menjelaskan perpaduan dalam parti itu wujud dan rakyat benar-benar inginkan perubahan. Harapan rakyat semua kaum kepada pemimpin utamanya juga tinggi melangit.

10. Bagi peribadi Anwar Ibrahim pula kekalahan di kedua kerusi itu menyebabkan orang ramai automatik akan membuat perkiraan semula sejauh mana kemampuan Pakatan Rakyat dan juga kredibilitinya sebagai pemimpin utama. Kekalahan itu akan membawa bahana kepadanya yang membahayakan Pakatan.

11. Sekiranya UBN kalah di kedua-dua kerusi berkenaan esok maka Dr Mahathir hendaklah bersara dan menutup mulut dari bercakap politik walaupun beliau berniat untuk membina semula UBN. Kekalahan itu menjelaskan bahawa Mahathir sudah kehilangan kuasa dan aura untuk membantu UBN dan tidak ada harga lagi bagi rakyat negara ini.

Justeru keputusan pilihan raya kecil itu esok penting dan akan memberi erti tersendiri kepada UBN dan Pakatan Rakyat. Jadi tidak hairanlah kalau kedua pihak berusaha bermati-matian bagi menafikan antara satu sama lain hingga ke saat-saat terakhir. [wm.kl 5:30 pm 06/04/09]

No comments: