PERLANTIKAN Najib Razak menjadi perdana menteri ke-6 semalam Murai tengok ia memberi keuntungan kepada Umno. Yang paling nyatanya ahli Umno bertambah seramai empat orang lagi. Khabarnya esok, bekas ahli Umno Baru nombor 1 dan ahli nombor 2, akan kembali menyertai Umno semula. Ia diikuti oleh seorang lagi yang menjadi anak kepada bekas ahli Umno nombor 1 dan ahli Umno nombor 2, juga akan kembali ke asalnya, menyertai Umno.
Tidaklah pula Murai tahu anak bekas ahli Umno itu nombor berapa keahliannya. Mungkin nombor 3 atau pun nombor 4. 1234... nombor anak beranak. Al maklumlah Umno Baru ditubuhlah bekas ahli Umno Baru nombor 1 itu bersama para kroninya.
Manakala seorang lagi yang menyertai Umno ialah Norwati Ishak dari Pekan Pahang. Menurut berita yang Murai baca, Norwati ini adalah ahli Pas, dia menyertai Umno kerana kagum dengan Najib Razak.
Baguslah kalau begitu.
Apabila mengenangkan keadaan ini maka teringatlah Murai kepada seorang bekas ahli Umno Baru yang juga merangkap bekas ahli Semangat 46, yang juga meangkap kepada bekas ahli parti Berjasa dan juga merangkap bekas ahli parti Umno lama yang berada jauh di hujung tanjung tepi lumpur di sebuah negeri di Pantai Timur.
Dia ni sudah dipecat dari Umno kerana melawan parti Umno. Katanya dia ni teringin benar untuk menyertai semula Umno. Sudah disepakati dia akan menyerahkan borang bersama bekas ahli Umno nombor 1 tadi.
Untuk itu berbagai-bagai usaha dilakukan oleh bekas ahli berbagai parti ini sampai sanggup menjadi hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong untuk membolehkan dia menjadi ahli Umno baru.
Katanya Wanita Nombor Wahid Malaysia juga dihubunginya menerusi SMS bagi merisik khabar untuk kembali semula ke dalam Umno. Tidaklah pula Murai tahu apakah wanita nombor wahid itu melayannya atau tidak.
Apa yang diceritakan kepada Murai kononnya wanita nombor wahid itu ada bercakap-cakap dengan bekas ahli berbagai parti itu menerusi telefon. Dikatakan wanita nombor wahid itu sangat senang kepadanya? Entah benar entah tidak, sebab dia ni terkenal dengan auta dan dan silat gayung politiknya yang mengalahkan sekalian panglima politik negara ini.
Disebabkan Najib sudah jadi PM, di sini sukacitalah Murai kalau bekas ahli berbagai parti itu juga diterima masuk ke dalam Umno. Daripada dibiarkan dia melilau tanpa ada tuan elok juga kalau ditambat di mana-mana pokok keramat bernama Umno sekurang-kurang dia tidak lagi melalak tidak tentu fasal.
Murai juga percaya kalau bekas ahli berbagai parti itu diterima, maka sudah hilanglah caci maki dan senda guraunya kepada wanita nombor wahid yang selalu disebut oleh bekas ahli berbagai parti ini, yang mengumpamakan rambut wanita nombor wahid Malaysia itu sama dengan 'kerabu sare.'
Kerabut sare ini dibuat daripada lumut laut, dibikin rambu campur dengan kepala goreng sedap di makan. Cuma satu masalahnya kalau silap buat dan membacuhnya ia boleh jadi racun.
Murai: Tidak pernah menjadi ahli parti mana-mana pertubuhan politik.
No comments:
Post a Comment