Saturday, April 18, 2009

Senang Malam

Marilah Kita Menghormati Najib Seminit


NAJIB Razak membayangkan kemungkinan UBN tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil DUN Penanti yang kemungkinan besar akan diadakan tidak lama lagi. Kata Najib tindakan itu bagi tidak membuang masa rakyat dan juga membazirkan wang negara.

Baguslah. Najib tidak seharusnya peduli apa orang kata kepada UBN kelak ekoran tindakan itu. Tentu pembangkang akan tuduh UBN sudah takut dan gentar kerana tidak menyertai pilihan raya berkenaan.

Pemimpin yang berani ialah yang sedia membuat perubahan. Yang sedia untuk membuka dimensi baru dan tidak terikat dengan corak berfikir secara lama.

Tujuan dan maksud sesuatu pilihan raya diadakan ialah untuk menghantar wakil ke DUN atau parlimen. Ia bukan suka-suka. Misalnya yang berlaku di Bukit Selambau sehingga 15 calon menyertainya ia memberi gambaran politik kita bertambah tidak sihat. Pilihan raya seolah menjadi satu pesta pertandingan permainan tradisional.

Ada unsur-unsur cuba mengejek demokrasi negara ini dengan penyertaan begitu ramai calon bebas itu. Bayangkan calon yang hendak dipilih seorang bagi menggantikan calon sebelumnya yang melepas jawatan. Sepatutnya ia berlaku pertandingan antara PKR dan UBN saja. Tetapi 13 orang individu lain turut bertanding.

Mengenang pilihan raya Bukit Selambau tempoh hari menyebabkan saya teringat kepada pertandingan cengkrit semasa kecil dulu. Sesiapa yang mempunyai cengkrit boleh dibawa untuk dipertandingkan. Pertandingan itu tidak terhad kepada beberapa ekor saja atau orang tertentu tetapi selagi ada cengkirt campaklah ke dalam gelanggang itu, semua boleh ikut. Cuma cengkrit itu hendaklah ditanda dengan tanda-tanda tertentu agar ia tidak bertukar.

Cengkrit akan bergomol di antara satu sama lain dalam gelanggang manakala penonton terdiri orang dewasa, wanita dan kanak-kanak akan bersorak girang. Tidak tahu cengkit yang mana yang menang, apa yang disaksikan ialah bagaimana cengkerik berkenaan bergomol dan menyerang antara satu sama lain. Tujuan pertandingan itu juga tidak ada hanya untuk hiburan semata-mata.

Permainan ini biasanya diadakan waktu petang atas gelanggang yang dibuat khas biasanya di bawah pokok.

Apakah politik kita sudah jadi seperti pertandingan cengkerik itu? Menjadi permainan tradsional untuk menghiburkan hati? Walhal falsafah dan politik itu jauh lebih besar dan bermakna dari itu. Politik adalah sistem mentadbir rakyat, mengurus negara tidak sepatutnya dipermainkan demikian rupa.

Justeru semua pihak kena perbetulkan tanggapan terhadap politik dan pilihan raya. Ia bukan pesta dan bukan permainan tradisional. Pembangkang sepatutnya mengalu-alukan dengan baik hasrat Najib itu.

Seperti mana juga kekosongan DUN Penanti itu tidak menjejaskan kedudukan kerajaan Pulau Pinang. Elok kalau kerusi itu diberi kepada PKR tanpa bertanding.

Cuma janganlah pula pembangkang khasnya PKR mengambil kesempatan atas ‘politik waras’ Najib itu untuk memperleceh dan mempersendakan UBN. PKR juga mesti menerimanya sebagai satu tindakan yang baik untuk semua.

Sekurang-kurangnya kalau pilhan raya itu tidak melibatkan pertandingan, maknanya tidak adalah kempen. SPR pun tidak payah mengeluarkan wang bagi mengawal dan menguruskan pilihan raya itu. Rakyat yang terdiri dari penyokong Pakatan dan UBN tidak bersusah payah untuk turun naik ke Penanti setiap hari dan malam untuk berkempen.

Masa yang sepatutnya digunakan untuk pilihan raya itu pun boleh digunakan rakyat untuk tumpukan kepada kerja-kerja mencari makan untuk anak dan isteri-isteri yang semakin sulit ketika ini.

Sekiranya Najib dan UBN bersedia berbuat begitu, niat dan tujuannya hendaklah ikhlas. Jangan pula setelah semua orang bersedia untuk berdamai demi kepentingan rakyat dan negara, Najib mengambil kesempatan dari itu, menahan perangkap di bawah sampah!

Kalau hendak damai, berdamailah sampai sudah sehingga gendang perang pilihan raya ke -13 kedengaran. Maknanya sebelum gendang itu berbunyi semua pihak hendaklah meletakkan senjata, cease fire. Jangan sesekali cuba ambush pembangkang di waktu malam.

Sebaik-baik dalam waktu cease fire ini janganlah sesekali cuba membawa semula Anwar Ibrahim ke Sungai Buloh. Najib perlu hapuskan cakap-cakap atau pun niat untuk berbuat demikian. Walaupun perkara itu bukan tidak berbangkit namun topik itulah yang dibimbangi pembangkang kini dan juga menyebabkan pembangkang begitu berwaspada dengan UBN dan Najib. [wm.kl 8:30 pm 18/04/09

1 comment:

Unknown said...

Salam MSO,

Dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, ada baiknya juga Najib tidak mengadakan pilihan raya DUN Penanti. Ini sedikit sebanyak dapat mengelakkan pembaziran pada wang kerajaan/rakyat. Saya bersependapat dengan Tuan dimana pilihan raya kini tidak ubah seperti suatu pesta pertandingan permainan tradisional. Pilihan raya kecil bagaikan satu trend terkini dimana ianya harus/mesti diadakan setiap 2 bulan. Setiap kali pilihan raya kecil, lebih dari 5 calon yang akan bertanding. Ini mengambarkan senario politik Malaysia yang tidak serius dan hanya untuk suka suka. Pilihan raya diadakan adalah untuk memilih calon agar dapat menjadi wakil sesuatu kawasan. Bukan untuk suka suka atau mengejar populariti. Jangan sampai orang luar menilai dan mempersendakan demokrasi negara.