LANGIT Malaysia hari ini melakar satu lagi sejarah apabila Mohd Najib Razak, 56 dilantik menjadi Perana Menteri. Majlis angkat sumpah memegang jawatan Perdana Menteri dan menyimpan rahsia dilakukan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin.
Majlis ringkas itu berlangsung di Istana Negara jam 10:11 minit pagi ini dengan dihadiri para pembesar negara dan tetamu kehormatan. Turut sama hadir ialah bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Dengan berlangsungnya peristiwa itu maka berakhirlah teka teki dan terombaklah keresahan dan kebimbangan yang menyelubungi Najib, isteri dan keluarganya. Kini tidak ada sesiapa lagi boleh nafikan bahawa PM ke- 6 ialah Najib bin Razak.
Mulai saat ini mereka yang berhajat untuk jadi PM ke-6 baik boleh tutup tabir mimpi dan siapkan tilam dan bantal baru untuk membina mimpi baru selepas ini.
Tidak ada sesiapa juga yang boleh menafikan sejarah dan hakikat yang berlaku hari ini. Baik suka atau tidak, Allah telah mentakdirkan qada dan qadarnya ke atas Najib bahawa beliau mengulangi sejarah 39 tahun yang pernah dicatat bapanya, Abdul Razak Hussein.
Majlis angkat sumpah itu disiarkan secara langsung oleh stesen tv berbayar dan kerajaan. Rakyat Malaysia telah menjadi saksi perisitwa berkenaan.
Kepada Najib diucapkan tahniah dan diharap berkhidmatlah dengan penuh ketawadukan dan keadilan untuk bangsa dan negara.
Bersempena dengan majlis itu Yang di-Pertuan Agong juga turut mengurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mengaku Negara (SSMN) kepada Abdullah yang membawa gelaran Tun dan darjah Sri Setia Negara (SSN) kepada Jeanne Abdullah yang membawa gelaran Tun. Anugerahkan telah dilaporkan daam blog ini malam tadi.
Dengan perlantikan Najib itu maka bermulalah era baru dalam kehidupan Najib dan kelurganya. Politik negara juga akan memasuki era baru yang penuh debaran dan mencabar. Bagi pembangkang sudah pasti dengan perlantikan Najib itu bakal membawa seribu kemungkinan yang harus dihadapi dengan penuh bijaksana.
Yang sudah pastinya dengan perlantikan Najib itu Umno akan mengalami perubahan sejajar dengan impian dan janji Najib untuk melakukannya. Apakah perubahan itu membawa ke arah pencerahan parti berusia 62 tahun itu atau sebaliknya, membawa Umno ke lembah kegelapan?
Perlantikan Najib juga ditunggu oleh segenap lapisan masyarakat. Rakyat menunggu apakah Najib mampu membawa negara ke mercu kejayaan dan membawa keluar negara dari kesuraman ekonomi, pergolakan politik serta menangkiskan tanggapan buruk ke atasnya yang tidak mudah untuk dikikiskan. Ulasan selanjut akan muncul. [wm.kl. 10:20 03/04/09]
No comments:
Post a Comment