Sunday, April 19, 2009

Politik Negeriku

Pas Kota Bharu Terus Buat Perubahan

SEORANG penjenguk blog Merah Tinta yang mengikuti mesyuarat Pas kawasan Kota Bharu, Kelantan semalam meminta pandangan saya berhubung jemputan Pas kawasan itu ke atas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim merasmikan mesyuarat agungnya.

Penjenguk itu bertanya apakah jemputan itu sebagai satu mesej golongan Prolib - Profesional liberal - untuk melobi di muktamar akan datang. Tidak pula saya ketahui apakah ketua Pas kawasan itu golongan Ustaz - Ulamak (Ustaz Mat) atau prolib?

Sebenarnya saya tidak memberi tumpuan banyak kepada mesyuarat Pas kawasan di Kelantan. Saya tidak tahu apakah ketua atau Yang Dipertua (YDP) masing-masing ada agenda dan mesej tersendiri menjelang muktamar agung Jun nanti. Mungkin kerana saya kalih dengan politik Pas Kelantan termasuk mengenali hati budi, para pemimpin mereka menyebabkan saya tawar hati untuk memerhatinya. Sudah tahu... dah.

Kebanyakan juga mereka yang sedang mengepak sayap kini (pemimpin pasca Tiga Abdul) merupakan generasi baru yang naik atau menyertai Pas secara aktif baru tahun 80-an atau 90-an. Mereka memasuki 'ladang' Pas sewaktu buah sudah hednak masak. Mereka berhaduh bukan hendak membersih huma tetapi hendak merebut buah.
Jadi perwatakan, gagasan dan juga permainan mereka “pesen lain” sikit. Rata-rata pemimpin pasca Tiga Abdul saya tengok suka berkahwin lebih daripada dua dan ada yang melindungi isteri kedua dan ketiga daripada isteri pertama. Kahwin tidak jadi masalah tetapi kenapa harus sembunyi-sembunyi sampai nak buat surat beranak pun sukar.

Yang dihadap ke mahkmah dan dituntut mutaah hingga RM3 juta pun ada.

Adapun kenapa Pas Kota Baru undang Khalid mungkin kerana Pas Kota Bharu merasakan mereka golongan elit dan penuh professional berbanding dengan Pas kawasan lain, misalnya Kuala Krai, Jeli dan Rantau Panjang.

Ahli-ahli Pas Kota Bharu juga banyak yang berpelajaran tinggi dan lebih terbuka. Makanya apa-apa pembaharuan boleh dimulakan di situ. Mungkin Pas kawasan lain tidak terfikir apa yang dicetuskan oleh Pas Kota Bharu itu.

Apa yang diucapkan oleh Khalid semasa merasmikan mesyuarat itu saya tidak tahu. Mungkin beliau membentangkan firkahnya mengenai Islam dan juga cara-cara menguruskan kewangan dan ekonomi. Maklumlah beliau ahli ekonomi! Mungkin kerana Pas Kota Bharu melihat keadaan ekonomi Kelantan kini tenat dan banyak projek-projek kilat politik terbangkalai, seperti depu, kambing, kifalah dan dinar maka elok undang Khalid untuk mencuri sedikit ilmu pengurusan ekonomi yang mapan seperti di Selangor.

Mengenai tindakan Pas Kota Bharu itu ia bukan ganjil. Jika diperhatikan kepada sejarah, Pas Kota Bharu memang suka membuat evolusi dan mencetuskan sesuatu yang kontroversi. Pas Kota Bharu mendahului Pas kawasan lain yang kemudian menjadi ikutan.

Berlakunya serpihan dalam Pas Kelantan yang kemudian mewujudkan Kumpulan Islah tahun 1990 bermula di Kota Bharu. Cadangan supaya Pas memisahkan diri dengan Semangat 46 yang bergabung menerusi Angkatan Perpaduan Ummah (APU) juga bermula di Kota Bharu. Begitu juga meletusnya isu pergeseren di antara Istana dengan kerajaan negeri juga bermula di Kota Bharu.

Pendeknya Pas Kota Bharulah yang banyak mencipta sejarah dan memulakan sejarah hatta yang kontroversi hingga kadang-kadang melemaskan kerajaan Kelantan.

Mengenai undangan ke atas Kahlid Ibrahim itu bukan ‘keganjilan’ pertama dilakukan Pas Kota Bharu. Sebelum ini Pas kawasan itu pernah mengundang ahli Parlimen Tititwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali (seorang perempuan) merasmikan mesyuarat kawasannya.

Apa yang dilakukan Pas Kota Bharu tidak pernah dilakukan oleh Pas kawasan lain. Langkah itu seolah mahu memecahkan larangan sesetengah mazhab yang haram meletakkan wanita di hadapan. Tetapi itu dilakukan oleh Pas Kota Bharu.

Tindakan-tindakan dan aksi politik Pas Kota Bharu itu merupakan satu keberanian. Ia dilakukan mungkin untuk merealisasikan idea dan juga pandangan dan pendekatan baru politik yang dianjurkan oleh Tok Guru Nik Aziz sendiri. Misalnya kalau Tok Guru boleh mengeluarkan fatwa dan bermacam-macam istilah baru agama, seperti berkawan dengan syaitan, Tuhan mencarut kenapa tidak dengan Pas Kota Bharu.

Harus diingat ketua Pas Kota Bharu ialah Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Tok Guru Nik Aziz. Saya percaya banyak idea dan pandangan politik baru Nik Aziz adalah hasil terbiyah halus dari Wan Abdul Rahim. Pemikiran politik kalsik Yunani dan Barat banyak diimport oleh Wan Rahim ke dalam pemikiran Nik Aziz.

Jadi undangan ke atas Khalid itu tidak menjadi masalah dan akan menimbulkan masalah. Pas akan dapat menerima idea serta pandangan politik baru yang sedikit berbeza selama ini. Hikmah kedatangan Khalid itu Pas dapat bertukar-tukar fikiran dalam rangka menyuburkan fahaman politik di kalangan ahli Pas.

Manakala bagi ketuanya, Wan Abdul Rahim mengharapkan kedatangan Khalid itu sebagai perintis jalan yang membolehkan PKR pula membuka laluan kepada Pas selepas ini untuk merasmikan mesyuarat mereka. Selepas ini akan adalah hendaknya bahagian PKR mengundang tokoh Pas merasmikan mesyuarat mereka.

Apabila Pas dapat berucap pada majlis mesyuarat PKR dapatlah Pas melaksanakan tanggungajawab habluminasnya untuk berdakwah dan menceritakan keindahan dan kesyumulan Islam kepada ahli PKR yang berbagai etnik itu.

Mengenai pertanyaan sama apakah undangan itu untuk memprojekkan golongan Prolib atau sebaliknya rasanya tidak berbangkit. Saya melihat undangan itu lebih untuk mengeratkan persepakatan Pas dengan PKR dalam pakatan Rakyat. Cuma selepas ini kalau pun Pas mahukan pembaharuan jangan pula diundang Karpal Singh atau Lim Kit Siang merasmikan muktamar Pas. Haru jadinya nanti. [wm.kl. 10:45 am 19/04/09]

2 comments:

dewa said...

biarpun saya hanya pengundi atass pagar... kadang2 saya kecewa dengan gelagat ahli Pas Prolib... seolah2 mereka ini berketuakan DSAI bukannya Haji Hadi....

Apa-apa pun saya amat menghormati pemimpin Pas KB semoga terus menunjukkan sikap cakna kepada masyarakat...

* YB terima kasih kerana menghadiri majlis perkahwinansaya dan dapat melawat keluarga saya semasa arwah bapa saya meninggal dunia..

p/s : saya juga menjemput pemimpin umno tapi satu pun tak ada...

Permata Ayahbonda said...
This comment has been removed by a blog administrator.