Wednesday, September 4, 2013

Bila Dua Anak Ali Duduk Semeja...

PERISTIWA                                                                                         

Ada dua cerita yang hendak saya kongsikan disepanjang rumah terbuka hari raya dan majlis kenduri kahwin yang saya hadiri Sabtu dan Ahad lepas. Cerita pertama pertemuan dengan bekas Exco Selangor Dr Mohd Hassan Ali di majlis kenduri kahwin anak bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu Abdul Rahman Yusuf di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Pertemuan dimeja makan memesrakan mereka.
Pertemuan itu adalah pertama selepas beliau dipecat dari menjadi ahli Pas kira-kira setahun lebih yang lalu. Sebelum itu, adalah beberapa kali saya menemuinya termasuk hadir pada majlis rumah terbukanya atau pun diprogram-program Pas. Oh ya lupa pernah sekali terserempak tetapi tidak bersalaman di atas masjid al Ghofrum... ketika itu Abdullah Badawi ada sama. Semasa saya mendampingi Pak Lah, Hasan menjauhkan diri buat-buat tidak nampak. Selepas saya beredar baru dia mendekati Abdullah.

Rumah terbuka hari raya Hasan boleh tahan juga meriahnya, al maklumlah dia Exco kerajaan Selangor, jadi bajat untuk mengadakan majlis berkenaan ada. Khabarnya seorang Exco di Selangor diperuntukkan RM10,000 untuk majlis hari raya. Begitu juga dengan para tetamunya ia didatangi bukan saja rakan-rakan dalam Pas pada masa itu, tetapi tokoh-tokoh besar Umno, korporat dan kerajaan juga. Pernah sekali saya terserempak dengan Rozali Ismail Syabas di rumah terbukanya. Itulah pertama kali saya mengenai sosok yang menjadi cemuhan dan pujian rakyat Selangor ini.

Sekarang ini saya tidak pastikan apakah beliau terus mengadakan majlis rumah terbuka hari raya. Sebagai Presiden Jati.. ia tidak kurang juga hebatnya. Tentu ada, cuma saya tidak tahu dan tidak diundang, sebab sudah terpisah saf dengan beliau. Kedudukan presiden atau pengerusi Jati sudah semestinya lebih tinggi daripada kedudukan atau statusnya selaku Exco atau hanya bekas Naib Presiden Pas? Wawa....ouh. Wa wa ouh... wa wa ouh!

Laksamana Imran (kiri) dan Murad Mohd Noor.
Sebegitu tiba di rumah Rahman, Rahman mengarahkan saya agar duduk semeja dengan Hasan. "You terus masuk dan duduk di meja Hasan Ali, Azmin Ali pun ada sekali..dalang," kata Rahman. Saya bersama Dr Wan Suhaimi Wan Daud masuk dan terus duduk. Sebelum itu bersalaman hari raya dengan Hasan, Azmin dan Azan Ismail. Hasan didampingi isterinya. Tidak banyak basa basinya dan percakapan di antara mereka bertiga. Selepas saya duduk barulah nampak semacam ada intraksi bodi.

Pertemuan itu, duduk semeja mengejutkan saya sedikit. Ada rasa kekok dan 'semen' kerana saya sebelum ini menghentam Hasan termasuk menggelarkan dia dengan nama 'Hasan Akidah' apabila beliau membuat kenyataan memburuk-burukkan Pas selepas dipecat dan banyak atau obses kepada soal dakwah dan akidah. Hasan seolah-olah menukar terma politik kepada dakwah dan akidah.

Mungkin Azmin juga kekok dan begitu juga Hasan yang didampingi isteri. Saya kira isteri tua sebab wajah isterinya itu pernah saya lihat semasa ke rumah utamanya di Taman Tun Dr Ismail. Khabarnya Hasan ada seorang isteri dari Indonesia. Mungkin orang Sunda kalaupun tidak Jawa atau Batak.

Hasan wajar merasakan kekok kerana dia terlebih-lebih mengentam Azmin. Selama Hasan dalam kerajaan dia sering berlaga angin dengan Azmin. Azmin dianggap Hasan sebagai penghalang cita-cita Islamnya. Begitu juga dengan Azmin, tentu juga merasa malu dan kekok bila berdepan dengan Hasan. Nasib baik ada Azan Ismail (Adun Bandar) duduk di tengah-tengah memisahkan kerusi mereka dari 'berdepetan'. Kalau tidak...

Sesuatu yang mungkin tidak dapat dimaafi oleh Azmin terhadap Hasan ialah berhubung perpanjangan fitnah ke atas isterinya, Shamsida Taharin. Tidak tergamak untuk saya menurunkan semula apa dikatakan Hasan terhadap Shamsida dan Azmin. Sangat teruk dan buruk seburuk kata-kata Mahathir kepada Anwar. Tidak sepatutnya seorang seperti Hasan mengeluarkan kata-kata demikian, kalau pun betul sekali pun, apa lagi kalau tidak. Hasan seorang cerdik, Hasan orang pintar dan hebat.. penuh profesionalisme. Dia bukan saja petah berbicara dan seorang motivator tetapi pengkagum Islam sedari kecil.

Rahman dan tetamunya Abdullah, Imran serta Wan Suhaimi.
Saya seorang terlibat dalam mengangkat Hasan duduk di kerusi tertinggi kepimpinan Pas. Saya mengakui hal ini. Itu semua ialah kerana kepercayaan kepada kebolehan dan bakat Hasan. Malangnya panas tidak sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ku sangka cempedak rupanya nangka. Harapan saya tidak kesampaian. Saya menyebut perkara ini di hadapan Hasan, Azmin dan lain-lain pada pertemuan itu. Kata saya sambil menarik perhatian Azmin khususnya; "Mi Datuk inilah yang diharap menjadi pemimpin Pas, saya bertanggungjawab berkempen menaikannya, tetapi sayang...!" saya terhenti disitu. Masa ini juga ahli Parlimen Lumut Laksamana Imran bersama isteri mengambil tempat di meja kami.

Kelihatan Hasan tersenyum kemudian mejebehkan mulutnya sambil mengangguk-angguk A Go Go. Nampak wajah Hasan ketika itu dipitar benang kekesalan? Dia macam tergaman dengan apa yang saya ucapkan tetapi redha. Hasan tidak duga saya berkata seterus terang itu.

Meriwayatkan mengenai Hasan Ali ini sesuatu yang menyesalkan dan sedikit menyayukan. Kesal kerana beliau seorang yang bukan mudah untuk dinasihat, sayu kerana Pas kehilangan seorang yang khatam Quran semasa kecil dan dalam usia belasan sudah membaca khutbah Jumaat. Kehebatan Hasan sebagai pemimpin memang dirasai. Saya sendiri juga ikut teruja dan terpesona dengan penampilan Hasan. Bahasanya, amboi bukan main. Istilah 'teman-teman' digunakan sangat merasuk jiwa. Kecintaan Hasan kepada Islam jelas tetapi politik Hasan kabur.

Saya tidak berani mendahului takdir dan tidak mahu menabir keadaan. Tetapi saya rasa sekiranya Hasan masih berada dalam Pas, dengan keadaan Pas menang besar di Selangor dalam pilihan raya lalu dan berlaku pula sedikit pertembungan untuk jawatan MB di antara Azmin dan Khalid Ibrahim baru-baru ini, saya rasa Hasan akan diambil sebagai alternatif. Dialah MB Selangor kini. Dua sebab kenapa saya berkata begitu, pertama, kerana Pas menang besar mengatasi PKR, kedua Hasan seorang tokoh berwibawa dan dia sendiri bercita-cita untuk jadi MB Selangor. Juga katanya Sultan senang dengan Hasan? Dokongan dari pegawai yang berkarat biru juga suka dengan Hasan situasi ini memudahkan untuk Hasan bekerja.

"Sheikh berikan anak tiga bulan, tiga bulannn sahaja," kata Hasan sambil menjebehkan mulutnya, kemudian menyambung.."ana akan settle semua masalah di Selangor termasuk isu Kristininasi." Itulah ayat dan kata-kata konfiden yang Hasan sebut kepada saya mengenai kemampuannya sekira menjadi MB. Ia menyebut ketika minum tea di sebuah hotel lima bintang di KL. Mungkin ramai sudah maklum kenapa Hasan kecewa kemudian membuat tindakan-tindakan diluar batas dan susila parti sehingga beliau dipecat ialah kerana kecewa tidak dapat jawatan itu? Di sudut hati kecil Hasan dia hilang kepercayaan kepada presiden parti, Abdul Hadi Awang. Saya tidak perlu sebut dulu di sini.

Apabila Hasan sudah tidak dapat mengawal kemarahan dan kekecewaanya dengan bersikap dingin dan menentang partinya, saya memberi nasihat kecil kepada Hasan. Kata saya kepadanya, "Datuk perlu bersabar dan mendiamkan diri. Datuk perlu kekal didalam Pas. Kedudukan Datuk sebagai Exco tidak akan tergugat, begitu juga dalam parti. Dalam pilihan raya akan datang Datuk akan diberikan kerusi, bertanding.

Kalau Datuk sabar percayalah apa yang Datuk hasratkan akan tercapai." Malangnya nasihat saya itu agar beliau cool down tidak didengari. Beliau terus memberontak dan yakin aksi barunya dalam politik bersubahat dengan Umno untuk mengekang Pas dikira memberi pulangan baru.

Ternyata di meja makan hari itu tidak banyak antara Hasan dan Azmin bersabung mulut kecuali mendengar telatah dan usikan saya. Cerita saya memuji Hasan mati apabila bekas Gebenur Bank Negara, Murad Mohd Noor bergabung dengan kami. Saya juga segan untuk terus mengusik kedua mereka, Azmin dan Hasan. Cerita beralih kepada kisah-kisah Laksaman Imran semasa kecil. Rupanya beliau berkawan baik dengan Hasan semasa di Kampung Jawa.

Imran bernostalgia masa silam dan dikongsi dengan Hasan. Saya, Azmin dan lain hanya mendengar sahaja. Cuma sesekali saya menyampuk agar suasana ceria dan hidup bila ada ketika dikirakan kena cara dan sesuai tempatnya. Bila Imran menceritakan dia bersama Hasan dan kawan-kawan lain mandi sungai, saya menyampuk, "YB semua ketika itu telanjang ke?" Dia tergelak menyebabkan yang lain juga ikut tergelak. Hasan hanya senyum kambing Japnapari.

Saya tidak dapat nak bayangkan macam mana rupa dan bentuk Hasan ketika zaman kanak-kanak seperti mana diceritakan Imran itu.

Menyimpulkan pertemuan dengan Hasan bersama Azmin hari itu, ia satu kebetulan yang baik buat saya. Ia juga satu rahmat bagi semua yang ada dimeja itu. Satu rahmat kerana dapat berjumpa dengan 'sahabat' yang kini sudah membawa haluannya sendiri. Yang dapat saya meneka Azmin seakan tidak selesa dengan pertemuan itu namun insiden itu dihadapi sampai akhirnya. Sikap profesionalisme sebagai seorang politik benar-benar diamalkan. Sebelum kami berundur Azmin telah memohon diri dulu untuk berundur. Beliau sempat bersalam dengan Hasan, saya pula terlepas untuk merakam peristiwa itu.

"Sheikh saya berundur dahulu sebab esok hendak ke Afrika..?" kata Azmin kepada saya sambil menggengam kemas salam. Ini stail Azmin yang harus ditiru oleh bakal-bakal politician lain. "Nak jumpa Tuanku ke?" tanya saya kepada Azmin bergurau menyebabkan dia sedikit terbeliak biji mata. "Eh tidak..tidak!" jawabnya tanpa memahami apa maksud saya. Tetapi yang pastinya ada cerita yang bakal mengsuspen di Afrika kelak. Apakah Azmin sudah ke sana? Adakah sudah ada persefahaman Afrika?

Tidak lama selepas Azmin berundur, giliran Hasan dan isterinya pula 'monggok' untuk berundur. Semasa hendak berlalu dia bersalaman dengan saya sambil menepuk-nepuk mesra bahu saya. Tepukkan itu mengembalikan ingatan dan kemesraan saya dengan Hasan sebelum ini, semasa dia di dalam Pas yang diharap akan menjadi pemimpin tertinggi.

Entah mengenangkan tepukan itu semacam juga dia masih merindui kepada Pas wadah yang menaik tarafkan kehebatannya sebagai pemimpin. Kalaulah Hasan ingin merujuk kepada Pas, saya rasa ramai yang sedia untuk menerimanya. Saya rasalah. Tidak salah kalau Hasan ingin kembali kepada Pas ia bukan sesuatu yang ganjil. Bekas PM Mahathir Mohamad juga pernah dipecat oleh partinya kemudian dibawa masuk sehingga berjaya menjadi presiden parti dan perdana menteri.

Apalah hendak diikuti sangat dengan guruh dan kilat politik. Habis musim dan ketikanya alam akan kembali damai. Falsafah politik yang sering disebut, tiada rakan yang kekal dan tidak juga musuh yang kekal dalam politik. Catatan esok peristiwa kedua pertemuan bersama Adnan Yakob. [wm.kl.10:58 am 04/09/13]

3 comments:

Unknown said...

Salam tuan,

Sekali lagi saya rasa terharu bila membaca tulisan tuan...itulah kelebihan MSO dlm menukilkan cerita...saya juga berharap Dato Hasan Ali kembali kpd Pas...yg penting keikhlasan...

akulani said...

sedikit pembetulan,yb azan,adun bandar bukan batu buruk,sekian

Anonymous said...

Abd Rahman Yusof Mantan YB kemaman Bukan Kuala Terengganu