Respon Kepada Komen Penjenguk DI LUAR cafe berdekatan rumah saya ini hujan lebat. Lagak hujan macam marah saja! Angin yang sesekali yang menderu dan membawa jari jemarinya merembas cafe terbuka ini menjadikan permukaan laptop terpaksa diselimuti dengan tisu. Kenapa begitu sekali... jan?
Hujan turun sebaik saya melayari satu demi satu komen yang dilepas di bawa posting bertajuk; Hero Yang Tidak Ada Kuasa sebagai menenuhi janji yang dibuat sore tadi.
Sesekali saya tersenyum sendiri dan sesekali terasa juga senak bila dipalu oleh penjenguk budiman. Namun semuanya saya terima sebagai ilmu dan pengajaran untuk saya yang masih naif dalam segala-galanya ini.

Tidak sangka penjenguk blog termasuk blog
Merah Tinta juga terdiri dari orang-orang cerdik. Ahli politik, profesional yang pakar dalam segala bidang. Golongan mahasiswa yang berdarah panas dan penuh bersemangat. Kekadang terasa malu untuk menulis kerana ia dibaca oleh mereka yang bijak bistari dan jauh lebih berpelajaran dan mengelumani dengan berbagai telaga ilmu sehingga jauh ke al- Kausar...
Iya orang bodoh nak mengajar orang cerdik.. kan songsang!
Sepatutnya saya mempunyai banyak masa dan mengurangkan menulis untuk menumpukan terhadap penulisan mereka yang hebat dan ilmiah itu sesetengah yang memberi komen di ekor posting untuk dijadikan panduan.
Tetapi kerana Allah s.w.t. telah memberi sedikit bakat, keberanian dan peluang, meskipun takut dan merasa hina, saya terus juga menulis. Gagahkan juga diri untuk melontarkan pandangan dan buah fikir sendiri bagi dikongsi dengan publik. Kerana jika tidak menulis, tidak tahulah kerja apa untuk dilakukan sedangkan amanah sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini perlu dipenuhi jua.
Saya tidak menyertai parti politik. Saya bukan partisan. Saya tidak mempercayai kepada dunia politik yang penuh dengan hipokrasi. Saya benci kepada gelagat dan ‘jorgon’ yang diputarkan oleh lidah
politician. Saya menolak demokrasi sebagai satu sistem yang baik untuk membangun manusia dan kehidupannya.
Saya tidak percaya kepada sistem ini boleh memberi natijah yang baik. Bagi saya demorkasi dan politik tidak bersih. Jadi kalau sistem tidak bersih bagaimana kita mengharapkan satu pemerintah yang suci!
Tetapi saya hanya 'ralik' untuk menjadi nujum, pengulas maya politik. Saya gembira dan seronok dengan dunia dan profesyen ini. Rasanya penjelasan ini terang dan dapat ditangkap oleh penjenguk yang bijaksana laksana jauhari dalam mengenali saya yang hakiki.
Banyak komen yang masuk kali ini, melimpah dan sesetengahnya saya sengaja lepaskan untuk dijadikan
sample bagi tetapan umum. Itulah cara kita berwacana dan berhujah. Sambil untuk mengajar supaya kita bersikap adil, bertanggungjawab sesama manusia dan diri sendiri, saya lepaskan setakat yang terizin. Meskipun ada yang membedal, namun ianya saya terima sebagai hanya libasan ekor lipas bukan libasan ekor buaya yang bahaya.
Ada juga yang memuji dan kesal dengan komen yang agak melampau. Mereka ini yang dapat menyelami dan benar-benar memahami diri saya. Terima kasih diucapkan dan didoakan semoga ada manfaat dan imbalan dari Allah s.w.t. untuk anda sekalian.
Apa yang saya dapat simpulkan, penjenguk ini datang dari berbagai fraksi dan membawa ideologi tersendiri yang penuh emotif. Fikiran mereka juga bervariasi. Mereka pula ada kayu pengukur sendiri; ada yang menggunakan mata saja, ada yang menggunakan deria bau saja dan ada juga yang hanya menggunakan kepala lutut dalam membuat penilaian ke atas sesuatu yang dilontarkan.
Saya kira mereka yang menggunakan kepala lutut asalnya bekas pemain bola yang mula asalnya juga adalah kaki baku!
Di kesempatan ini saya tidak berhajat untuk menjelas dan menjawab satu demi satu komen-komen itu. Cukup kalau saya menyimpulkan ada yang tidak dapat menyelami apa yang saya utarakan itu. Tidak faham dengan apa yang ingin saya sampaikan. Makrifah mereka tidak tercecah ke hujung sanubari maka keadaanya jadilah ‘samrawit’.
Kegagalan ini adalah dua kemungkinan; catatan itu tidak ada kualiti ataupun pembacanya membaca dengan 'otak kemetot' dan penuh 'emosi hijau'. Atau mungkin juga bila seseorang itu terlalu taksub kepada seseorang maka apa-apa kritikan dan teguran ia dianggap tidak rasional lagi.
Perihal orang taksub boleh dianologi kepada seseorang yang menggilai seseorang yang lain, perempuan dan lelaki. Dalam dunia perkasihan, dunia asyik maksyuk ini menyebabkan pasangan itu tidak ternampak apa-apa lagi kecuali orang yang dicintainya. Betapa buruk, berbau dan ada kecacatan pada pasangannya usahkan kecil, besar sekalipun mereka tidak akan melihatnya dan akan marah kalau orang bilang si kekasihnya itu tidak baik.
Pentaksub ini juga rela mati apabila mereka dengan penuh nafsu dan kebodohan akan melangkah ke lautan api!
Misalnya, apabila saya menggunakan istilah Pak Kadok, - ada yang menganggap saya menyamakan Nizar dengan kebodohan Pak Kadok. Sebenarnya saya tidak sampai meletakkan Nizar bodoh seperti Pak Kadok, apa yang dianalogikan keadaan atau natijah diterima Nizar kini ialah seperti Pak Kadok, yang menang dalam perjuangan, mendapat dokongan rakyat tetapi kuasanya hilang. Tidak ada!
Apakah anologi itu meletakkan Nizar sama dengan Pak Kadok?
Saya akui kehebatan, keberanian Nizar tetapi apalah untung dengan tidak mendapat kuasa. Ada yang beranggapan ia satu pemulaan ke atas pencapaian lebih tinggi hatta Nizar akan jadi Perdana Menteri. Saya setuju dan saya tidak pun menghalang itu. Pemujaan saya ke atas Nizar mendahului orang lain. Hal ini dapat dibaca dalam interviu saya dengannya dalam
Siasah.Apa yang kita bahaskan dalam skop dan di laman ini ialah apa yang berlaku hari ini. Realitinya kini Nizar bersama Pas dan PKR dan DAP mengalami kerugian meskipun ia mungkin untung berlori pada masa akan datang.
Ada juga penjenguk yang tidak faham dan marahkan kerana saya menyamakan Nizar dengan Idris Jusoh. ‘Tadika’ sangatlah saya kalau tidak dapat membezakan Idris Jusoh dengan Nizar. Perbandingan yang disebut itu dalam konteks krisis politik yang kedua-dua mereka depani. Idris berdepan dengan Sultan di Terengganu manakala Nizar dengan Sultan di Perak. Bukan perbandingan personaliti, seperti rambut, haemoglobin darah atau sebagainya. Tetapi situasi krisis politik. Samji...!
Memang Nizar baik, warak, pandai berkhutbah, berani, jujur, tidak rasuah dan ikhlas berbanding dengan Idris Jusoh yang dilihat sebagai korup. Tetapi hakikat yang ada hari ini kedua-dua mereka tidak memiliki kuasa dan jawatan kerana kemelut berkenaan. Di dalam politik atau apa juga perjuangan, tanpa kuasa tidak memberi apa-apa makna.
Kecuali seluruh kita menerima konsepsi Pas satu masa dulu bahawa kuasa bukan matlamat, tetapi dakwah (pahala) yang menjadi keutamaan. Namun pun begitu hari ini konsepsi berkenaan juga sudah berubah dan beralih. Pas pun sudah pandai mengira dan sesetengahnya bersikap materialistik.
Ada penjenguk yang berlidah lemah lembut meminta saya menjelaskan atau memberi jalan keluar dan bukan setakat melontarkan permasalahan dan memburukan hero mereka, Nizar. Matan kepada jalan keluar itu sudah ada, iaitu kebijaksanaan di dalam menyelesaikan masalah. Dalam konteks Nizar saya merasakan ia kurang bijaksana menyebabkan permasalahan di Perak terheret seperti hari ini. Kepada ahli Pas dan penyokongnya apakah mereka tidak pernah terfikir kalau ada tangan-tangan lain yang menggerakan Nizar? Kehebatan dengan kuasa magik adalah bukan kekuatan sejati. Tahyul....
Ingat, disebabkan tindakan kurang berhati-hati dan bijaksana negara sudah hilang ramai tokoh yang mapan dan tanggung untuk mengemudi negara. Lihat apa yang berlaku kepada Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Harun Idris dan paling mentrajiskan ialah yang menimpa ke atas wira semua bangsa, Anwar Ibrahim. Pada saya nasib politik yang menghumban mereka kerana kurang bijaksana dan terlalu ghairah.
Dengan tindakan hari ini, walaupun ia takdir, ingin saya ajukan apakah Nizar akan dapat kembali untuk jadi MB Perak? Ia amat mustahil. Di sinilah saya mengatakan Perak rugi kerana tidak dapat terus memiliki Nizar yang bersifat Hang Nadim itu dan ini bukan satu hal yang bijak bagi saya. Kerugian ini hanya akan terbalas apabila Nizar muncul sebagai pemimpin nasional kelak?
Sejarah sudah ada sebelum ini mana-mana krisis politik dengan istana ia tidak akan berpihak kepada tokoh politik. Kecuali apa yang berlaku di Kelantan tahun 1996, apabila Tok Guru Nik Aziz bermasalah dengan Tuanku Sultan Ismail Petra.
Tetapi harus diingat, krisis di Kelantan berbeza dengan apa berlaku di Perak. Di Kelantan Nik Aziz dan Pas sepihak saja bermasalah dengan istana. Berlainan di Perak, Nizar bergaduh dengan istana bersama Pakatan Rakyat yang di dalamnya ada PKR dan DAP. Jadi bagi penjenguk yang mempunyai rasa hati Nizar akan menang seperti mana Nik Aziz, ia memerlukan pengamatan mendalam mengenai “consequence” krisis berkenaan.
Ada juga yang marah bila saya kurang bersetuju bila Nizar yang dianggap sebagai hero lantas mahu dinobatkan sebagai pemimpin peringkat nasional. Untuk mengangkat seseorang menjadi pemimpin peringkat nasional di tahap naib presiden bukan semudah itu. Perkiraannya bukan kepada tindakan-tindakan populis semata-mata.
Masih ada beberapa kriteria lain lagi yang harus difikir dan didalami. Misalnya selain daripada latar belakangnya apa yang sering dilihat pencapaiannya. Nizar menjadi MB Perak tidak sampai setahun. Pencapainya sebagai MB masih belum membanggakan. Sebelum ini apa peranananya di dalam Pas khasnya Pas di Perak? Ia baru bermula. Jadi dengan permulaan itu tidak wajar kalau Nizar terus diletakkan di tempat tinggi, tanpa pemeriksaan teliti bimbang akhirnya ia memberi masalah kepadanya.
Sudah ada beberapa tokoh popular yang diangkat ke jawatan tinggi dalam Pas. Apa kesudahan, semuanya hilang lenyap begitu saja. Di sini menunjukkan kehebatan, kepetahan, pandai membaca doa dan khutbah belum tentu ia berjaya sebagai pemimpin. Politik satu permainan yang kronik dan berliku-liku. Kelebihan dan keistimewaan dalam sesuatu bidang tidak menjamin tokoh itu berjaya.
Politik memerlukan seorang tokoh yang lasak, tahan diuji dan telah melalui berbagai ujian. Selain itu ia juga bukan saja perlu kepada orang yang pandai mencetuskan kontroversi demi kon troversi tetapi mestilah juga pandai mengamankannya. Makanya Nizar perlu direkut untuk beberapa ketika kalaupun tidak bertahun sebelum dinobat pemimpin agung. Dari segi sirah pun Rasulullah terdidikan sekian waktu sebelum menjelma jadi Rasulul.
Jangan terlalu gaduh membuat penilaian. Saya tidak tahu mungkin kerana saya bukan pentasub kepada Nizar maka mata saya tidak memiliki manik yang besar untuk melihat kelebihan kepada Nizar selain dari ruang yang ada. Dan saya juga tetap berpegang kepada falsafah bahawa pandangan ramai itu tidak semestinya betul dan pandangan sedikit itu tidak bermakna salah.
Dalam hal ini saya pula membuat penilaian dari kaca mata saya sendiri, atas sifat sebagai mana
tagline saya pakai;
Hanya Kita Yang Memahami Diri Kita. Maaf dan wassalam.
[d'kota 5:00 pm 28/04/09]