Fahamilah 'Dilema' Seorang Wakil Rakyat
PANJANG lebar Dr Mariah Mahmud (foto) membuat penjelasan berhubung kedatangannya ke majlis membakar novel Interlok oleh kelab penyokong Pas dari kalangan India di Klang dua tiga hari lepas. Katanya dia tidak ada semasa upacara pembakaran novel berkenaan. Pembakaran itu berlaku selepas dia pulang. Ertinya dia tidak saksi nyalaan api dan menghidup asap novel berkenaan.
Katanya, beliau hadir sebagai Ahli Parlimen dan sekadar menyatakan simpati kepada orang India yang terasa pedih dengan frasa tertentu dalam novel berkenaan. Tidak lebih dari itu. Ertinya Dr Mariah pergi bukan bermakna dia sokong pembakaran novel berkenaan dan jauh sekali kalau hendak menafikan sejarah yang dicatat dalam novel Abdullah Hussein itu. Dr Mariah tidak menolak sejarah dan hakikat yang ada.
Dr Mariah membuat penjelasan itu kerana ada yang mempersoalkan tindakannya. Ada yang marah-marah dan beranggapan dia juga sebagai menyokong bantahan ke atas novel berkenaan kerana dianggap telah menghina kaum India. Antara yang menghantar SMS membantah atau mempersoalkan tindakan beliau itu (menurutnya), Sasterawan Negara A Samad Said, penyair Disman dan lain-lain.
Dinsman bertanya apakah Mariah tidak membaca kenyataan Paksi dalam Malaysiakini dan Samad pula mengambil tindakan akan tidak turun ke Tenang gara-gara tindakan ahli Parlimen Kota Raja itu. Amboi begitu sekali, boikatlah tu...
Jika diamat-amati kenyataan Dr Mariah itu sama dengan apa dilakukan Khalid Ibrahim dalam kes Khusrin Munawi. Khalid yang sebelum itu menentang perlantikan Khusrin habis-habisan, tetapi hadir pada majlis angkat sumpah dan lafaz taat setia memegang jawatan di hadapan Sultan Selangor. Kata Khalid, dia pergi bukan bermakna dia setuju dengan perlantikan Khusrin, tetapi hanya hormat dan tanda kasih kepada Selangor saja.
Jadi samalah dengan tindakan Dr Mariah itu, dia pergi bukan bersetuju meraikan pembakaran itu cuma menghormati kaum India yang menjadi pengundinya itu. Dalam konotasi lain pengundi adalah rakyat dalam sistem demokrasi ala Malaysia Barat dan Malaysia Timur ini. Kalau Khalid pergi atas kapasiti MB ke majlis angkat sumpah, Dr Mariah pula pergi sebagai Ahli Parlimen. Tidak salah kalaupun ia tidak betul!
Mungkin Dr Mariah dan Khalid ikhlas dengan kenyataan itu. Tetapi orang mentafsir berbagai-bagai. Orang merasakan tindakan itu kurang bijak dan ianya satu persilatan politik demokrasi. Dalam kedudukan seperti Dr Mariah dan Khalid itu ia sangat kekok. Bagaimana untuk Khalid memulau majlis angkat sumpah itu sedangkan ia melibatkan Sultan. Demikian juga Mariah macam mana boleh dia menolak pelawaan itu sedang mereka adalah sebahagian pengundinya? Tidak memenuhi keinginan dan ajakan pengundi bermakna mengundang kesan buruk bagi seseorang wakil rakyat.
Kalau kita tenangkan otak dan tidak lekas prejudis kita akan merasakan tindakan Mariah itu tidak ada apa yang tidak kenanya. Keserbasalahan yang dirasai Mariah sepatutnya didahului daripada beranggapan dia juga bersetuju dengan India yang hendak bakar novel berkenaan. Rasanya kalau pun Mariah sedia mempermudahkan politik tetapi sebagai orang Melayu dan Islam dia tidak tergamak untuk mengenepikan perasaan demikian.
Seperkara lagi sebagai wakil rakyat, Dr Mariah tidak terikat dengan beliau sebagai orang Melayu ataupun berparti Pas saja. Dia adalah wakil semuanya. Dr Mariah lebih terbuka dan rasional berbanding dengan perdana menteri sendiri yang hanya melayan (bagi projek) kepada orang Umno saja dan menagaikan orang lain.
Di sini saya tidak mahu menghukum kedua pihak seperti mana orang lain mempersoalkannya. Lebih-lebih kepada Mariah. Saya rasa dia sudah melaksanakan satu tanggungjawab sebagai wakil rakyat tulen. Kalau orang pernah menjadi wakil rakyat dan duduk ditempatnya, betapa kekokonya sitausi itu kepadanya. Dalam kes ini saya tengok Dr Mariah juga bukan seorang hipokrasi.
Beliau tidak sesetengah wakil rakyat lain bila ia merasakan terbeban dengan sesuatu dia akan memberi seribu helah untuk tidak dilibatkan dengan masalah itu.
Mereka yang bercakap dari luar bingkai siasah atau duduk atas dahan rambutan mungkin senang untuk melempar dan menuduh apa saja atas apa yang berlaku ke atas ke atas wakil rakyat seperti mana dilakukan Dr Mariah itu.
Seharusnya orang rasional dalam melihat tindakan Mariah itu. Yang jelasnya dia tidak menentang novel itu. Tindakan beliau itu adalah tindakan politik yang tidak memberi untung kepadanya dan juga kepada pengundi. Ini boleh dapat dirasakan kalau ia difahami benar-benar. Orang luar juga harus memahami akan keadaan itu.
Rasanya sudah sampai masa orang politik kita, khususnya para pemerhati politik memiliki minda politik yang sihat, objektif dan cergas progresif serta melihat sesuatu itu dari segenap penjuru dan bukan dari penjuru mata sendiri sahaja. Iya, kalau kita ikutkan pandangan kita saja tanpa memahami hati budi orang lain, banyaklah percanggahan dan konflik antara kita dengan orang lain.
Saya juga mulanya terikut hendak 'murihkan' Dr Mariah tetapi tidak jadi apabila saya perlahan-lahan menjadi beliau sebagai seorang wakil rakyat - yang sememangnya mempunyai seribu masalah dan bebanan termasuk kadang-kadang terpaksa memikul biawak hidup dan menjujung kapas dalam bakul besi. [ttdi.kl 2:20 pm 12/01/11]
No comments:
Post a Comment