Thursday, January 13, 2011

Menerja Minda

Zaman Pelanduk Menipu Pak Pandir Sudah Berakhir

ORANG tua ada berbidal kata, 'tempua tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada mengada'. Biasanya kalau tempua bersarang rendah adalah sesuatu sebab dan maksudnya. Burung tempua yang juga dikenal dengan burung 'cap raya' selalunya bersarang di tempat tinggi. Pokok kelapa dan pokok getah adalah pilihan sang tempua ini.

Begitu juga bila Setiausaha Agung, Mustapa Ali tiba-tiba bersuara memberi peringatan kepada pemimpin Pas Selangor supaya bercakap harus senada dengan keputusan Pas Pusat berhubung isu yang berlaku di Selangor kini, tentulah yang ada sebab musabab tersendiri.

Kenapa dikatakan begitu, kerana tidak patut atau perlu beliau berbuat kenyataan begitu yang ada unsur-unsur membenci dan tidak sebulu dengan seseorang. Teguran itu memberi konotasi buruk kepada orang yang kena tegur.

Apakah Mustapa ada agenda atau motif tersendiri kenapa beliau berbuat demikian; menegur dan sekali gus mengkritik Pesuruhjaya Pas Selangor Hasan Ali hanya berpandukan kepada laporan sebuah portal berita yang oportunis dan juga ada misi senyap tersendiri. Bijakkah beliau?

Tidak menjadi masalah kalau Mustapa ingin memberi nasihat atau amaran keras kepada sesiapa saja demi kebaikan parti. Kalau sekalipun kepada Hasan Ali sendiri. Tetapi apa yang mustahaknya sebelum diluahkan nasihat itu beliau perlu menyiasat dulu supaya tidak timbul rasa terkilan dan sakit hati orang lain. Biarlah maklumat diperolehi itu benar dan sahih. Adalah naif kalau seorang setiausaha agung bertindak atas lidah orang lain dan apa lagi kalau dibuat atas perasaan cemburu, dan apa lagi kerana ada ruang siber untuk berbuat demikian.

Apabila ia dibuat tidak dengan maklumat tepat maka ia menjadi masalah. Menyebabkan orang yang ditegurnya akan terkilan dan sedih. Lebih buruk ia akan disuluh oleh musuh sebagai Pas bermasalah. Mustapa terkenal seorang yang tegas dan kononnya bertindak atas maklumat. Tetapi dalam kes Hasan Ali itu beliau nampak gopoh dan sengaja menimbul masalah. Ada api amarah yang terpendam di sudut hatinya. Kenapa? Kalau bukan kerana ada motif beliau tidak akan jadi segopoh itu.

Sepatutnya sebelum beliau ingin menasihati Hasan Ali beliau temui sendiri Pesuruhjaya Pas Selangor itu. Ataupun dapatkan maklumat dari mereka yang hadir sendiri pada sidang akhbar Hasan Ali itu. Pastikan apakah kenyataan itu bercanggah dengan pendirian Pas atau tidak. Beliau harus menijau kenyataan Hasan itu dari konteks sebenar secara menyeluruh. Belau tidak boleh mengambil atau terima penjelasan dari sisi media.

Dan jika kenyataan Hasan itu benar bertentangan, beliau tidak perlu menggunakan media lidah parti membuat teguran itu. Mentang-mentang beliau mengawal dan berkuasa media lidah parti beliau menggunakan sewenangnya dan berbuat seolah media itu hak peribadinya. Media itu juga tidak adil bila tidak menghubungi sendiri Hasan.

Begitu juga cara dan ayat digunakan Mustapa itu menggambarkan akan keangkuhan beliau sebagai seorang pemimpin veteran Pas. Cara beliau menegur itu seolah Hasan Ali sebagai budak atau anak-anaknya. Beliau perlu sedar beliau hanya setiausaha sahaja. Beliau tidak dilantik oleh muktamar tetapi dilantik oleh presiden. Belum tentu beliau menang kalau jawatan itu dipilih dalam muktamar.

Tugas setiausaha hanya menjalankan tugas dengan penuh usaha dan kesetiaan. Beliau tidak boleh bertindak dan bersikap sebagai presiden, apa lagi cuba menjadi lebih sudu daripada kuah. Beliau juga perlu turun ke bawah dan bukannya menyuluh dari jalan Raja Laut. Tugas beliau tidak boleh dibebankan kepada timbalannya saja.

Jadi apabila bertindak tidak kena pada tempat dan kena pada keadaanya maka orang akan melihat beliau ada agenda tersendiri di Selangor. Seolah beliau mahu menimbulkan masalah kepada Hasan sehingga tertolak. Apakah Musatapa berhajat melantik Khalid Samad sebagai pesuruhjaya?

Persepsi Mustapa terhadap Hasan ini buruk sejak lama dulu. Apa yang menyebabkan beliau tidak suka kepada Hasan Ali, bila Hasan dituduh ingin berbaik dengan Umno. Hasan dituduh sebagai orang yang bersekongkong dengan Umno.

Saya tidak mahu menidakkan tuduhan ini. Mungkin Hasan Ali ada niat itu. Tetapi sebelum membuat tuduhan dan menganggap Hasan 'pengkhianat' Mustapa atau sesiapa juga yang sewaktu dengannya perlu menilik ke dalam diri dulu. Apakah Mustapa tidak berusaha ke arah itu? Tidak melakukan aktiviti 'rundingcara' yang sama.

Mustapa boleh menuduh orang lain jahat, oportunis dan sebagainya. Tetapi beliau tidak boleh melupai siapa dirinya. Jangan lupa apa yang beliau telah lakukan. Siapakah yang membuat kenyataan kontras dengan pendirian Pas berhubung projek 16 September Anwar Ibrahim sehinggakan ramai ahli Pas yang komited dengan Anwar marah? Bukankah Mustapa Ali?

Tok Guru Nik Aziz begitu berang dengan tindakan Mustapa itu. Kenyataan menyinis projek 16 September itu dibuat dalam Harakah. Dalam ceramah di Taman Melewar Nik Aziz secara terang mengatakan kalau dia menguasai Harakah dia akan pecat Mustafa Ali. Apakah Mustapa lupa akan perbuatan ini. Ataupun kerana ingin menyapu kesalahan itu beliau cuba membawa orang lain. Jika Mustapa seorang bermaruah dia harus mengambil tanggungjawab atas kenyataan Mursyidul Am itu.

Sayang mesej Nik Aziz itu tidak didengar oleh presiden. Kalau presiden peka dan prihatin presiden sudah pun arahkan supaya Mustapa Ali dipecat dari menguasai Harakah. Nampaknya dalam menguasai hegomeni Mustapa di Harakah ini disokong sama oleh presiden.

Bukan itu saja. Kalau hanya dengan membuat kenyataan itu maka Hasan perlu ditegur, Mustapa juga patut ditegur sama. Malahan kerja Mustapa ke arah membawa Pas dan Umno duduk sekali lebih efektif dan serius daripada Hasan Ali. Apakah kegiatan ini boleh didedahkan? Perlukah?

Janganlah. Dalam keadaan Pas sudah sebulat dengan Pakatan Rakyat, jangan sesiapa cuba mengheret sesiapa keluar dari keharmonian ini. Sepatutnya Mustapa membuat kenyataan bijak dan penuh diplomasi bukan memburuk orang lain.

Banyak lagi gelagat dan pergerakan Mustapa lebih buruk dari Hasan sebenarnya!

Kita mahu tengok apakah kalau kerja buruk Mustapa ini didedahkan beliau boleh mendiamkan diri atau cool menerimanya. Kita mahu tanya Mustapa apakah beliau sudah bersedia untuk menjawab dan menjelas ini semua. Kalau beliau bersedia, kita akan mulakan mendedahkan tembelang dan perangai oportunisnya satu persatu sejak beliau menganggotai Pas hinggalah ke hari ini. Kita mahu tanya kepada Mustapa kenapa Pas tewas teruk di Galas? [wm.kl.9:20 pm 13/01/11]

No comments: