Saturday, April 25, 2009

Rasar Dasar

Awas Najib Akan Lancar Perang

SEMALAM Presiden Umno, Najib Razak telah menyusun semula Umno di seluruh negera. Penyusunan ini sudah pasti sesuai dengan pertukaran nokhoda baru dan juga bagi memperkuatkan Umno. Target Najib ialah pilihan raya umum ke 13.

Penyusunan itu menyerlahkan keazaman tinggi Najib untuk merampas balik empat lagi negeri yang ditakluki rakyat pada pilihan raya umum lalu selepas berjaya mengambil Perak secara sihir awal tahun ini. Najib sendiri mengepalai Umno Selangor dengan tidak meneruskan khidmat Muhammad Mohd Taib atau mengembalikan semula kepada Khir Toyo yang terjeler-jeler mahukan jawatan itu.

Muhyiddin Yassin pula mengepalai Umno Wilayah Persekutuan, yang sebelum dikepalai oleh Zulhasnan Rafique. Ahmad Zahid Hamidi pula mengepalai Umno Pulau Pinang. Najib nampaknya melupai Abdullah Badawi dalam proses pengukuhan Umno Pulau Pinang dan lebih percaya kepada orang harapannya Zahid.

Shafei Afdal pula ditugaskan mengemudi Umno Kedah. Mahadzir Khalid tidak diberi peranan lagi. Manakala Terengganu pula diserahkan kepada Hishamuddin Hussein. Semua orang besar dalam Umno kini memiliki negeri masing-masing dan diberikan tanggungjawab besar.

Beluam pernah berlaku sebelum ini kesemua orang besar diberikan tugas dan tanggungjawab. Paling-paling presiden atau setiausaha agung parti saja diberikan tugas mengemudikan sesuatu negeri yang mana Umno bermasalah.

Cara Najib menyusun pengurusan Umno itu memperlihatkan perubahan dalam pengurusan dan pentadbiran parti berkenaan. Ia kini menggambarkan seolah-olah Umno diuruskan secara bersepadu dan central dari Kuala Lumpur. Arahan-arahan akan dibuat dari ibu pejabat Umno dan bukan lagi pejabat perhubungan negeri seperti sebelum ini. Umno negeri hanya melaksanakan apa yang diarah saja.

Dalam pada itu apabila lima negeri mendapat ketua yang bukan dari tokoh bahagian menunjukkan Umno bermasalah besar. Ketidakpercayaan kepada tokoh dalam negeri itu juga menunjukkan Umno bankrup pemimpin yang boleh dipercayai rakyat. Langkah Najib itu menunjukkan keberanian beliau dan satu kelainan yang diharap memberi kesan kepada Umno.

Kelantan juga negeri yang sudah lama ditakluki Pas, tetapi Najib tidak mengirim orang Kuala Lumpur menguruskannya. Najib memberi kepercayaan kepada Mustapa Mohamed untuk mengemudikan Umno Kelantan semula. Seperti mana dijangkakan Annuar Musa kini sudah menjadi botol air mineral kosong.

Apakah dengan mengekalkan pengerusi Umno Kelantan kepada anak Kelantan itu petanda Umno tidak yakin bahawa Kelantan mampu dirampasnya? Mungkin begitulah sifir politik Najib.

Dengan kesimpulan tadi, impian Najib untuk menawan semula negeri-megeri yang ditakluki rakyat itu bukan perkara mudah. Pengubahsuaian itu sebaliknya menambahkan lagi ketidak yakinan rakyat kepada Umno di bawah pengurusan baru. Rakyat dibawah yang terbiasa dengan pemimpin setempat akan merasakan kehadiran pengerusi baru itu sebagai jeneral askar yang cuba menguruskan kawasan mereka.

Bagaimana pun dalam pada itu, apabila Najib memberi tugas dan tanggungjawab kepada para jeneralnya tidak mustahil ada perkara besar yang akan berlaku. Apakah penempatan para jeneral di negeri-negeri strategik itu sebagai persiapan Najib akan melancarkan perang? Dalam seronok mengelakkan Umno Pakatan Rakyat harus berwaspada dan senantiasa menguatkan para soldadunya. Segala-gala boleh berlaku. [wm.kl. 11:30 ama 25/04/09]

2 comments:

Wan Naza said...

Perlu diingat, pada tahun pilihanraya 2004 yg lepas Dato Mustapa Mohamad lah yg menjadi Ketua Perhubungan Kelantan... mungkin pengaruh dia mampu memberi saingan kepada kelantan.. sapa tahu keadaan 2004 boleh berulang...

affandi said...

salam.,
untuk menakluki negeri2 yg telah ditawn oleh pakatan rakyat najb perlu memenangi hati rakyat dan memulihkn keadaan ekonomi malaysia