Monday, September 20, 2010

Celoteh Murai 76

Wakil Rakyat Bidaah Wal Punanah

BILA membaca tajuk berita dalam akhbar Utusan hari ini berbunyi ' Nik Aziz tunjuk wajah sebenar - ******* ***', Murai jadi tersenyum lebar sampai ke telinga membawa ke pusat. Bukan apa geli hati campur geli geleman. Tak baca isi dalamnya pun sudah tahu. Kalau baca lagilah mengeli geligeleman dan menyerlahkan jahil murakab ahli politik berkenaan.


Wakil rakyat bebas berkenaan mempertikaikan pegangan Nik Aziz yang mahu dan memperjuangkan Islam lebih dari mempercayai dan memperjuangkan soal bangsa, Melayu. Maka wakil rakyat itu marah. Dia sebut yang Nik Aziz bermain politik dan sanggup ikut telunjuk DAP, semata-mata kerana politik. Dalam kata lain sanggup menggadaikan Melayu kerana ingin kuasa.

Murai rasa wakil rakyat berkenaan kurang baja dan tidak cukup kamus politik. Apakah dia tidak tahu bahawa Nik Aziz di samping jadi ulama dia juga politician, ahlul siasah. Maksudnya ahli politik macam dia juga. Kalau ahli politik maka dia akan berpolitik walaupun terjatuh ke dalam telaga buruk. Macam kisah Sang Kancil terjtuh ke dalam telagalah...

Dia yang melompat ke sana ke mari sehingga dibenci dan dijuah segenap rakyat dari segenap penjuru alam bukankah kerana politik. Bukankah kerana hendakkan undi demi kemenangan maka dia sanggup menjadikan politiknya sebagai politik dalca? Jadi kenapa hairan kalaupun Nik Aziz bermain politik dalam soal itu.

Wakil rakyat berkenaan suruh Nik Aziz tunjuk wajah sebenar, seperti mana tulis akhbar berkenaan. Wajah apa, selamanya wakil rakyat berkenaan takkan nampak dan kenal wajah sebenarnya Nik Aziz. Kerana wajah dan lembaga mereka berbeza. Dia hendak tengok Nik Aziz dalam versi dan speciesnya. Sampai khiamat dia tidak akan nampak. Nik Aziz adalah manusia, berkaki dua, manakala dia berkaki empat, bermata terjolor keluar. Takkan Nik Aziz nak pergi tambah kaki sepasang lagi untuk mempamerkan wajah atau diri sebenarnya?

Inilah yang Murai rasa geli geleman sampai ke pusat hingga ke telinga. Geli sungguh bukan main-main sampai anak cucu tanya kenapa tok ketawa lain macam. Begitulah agaknya kalau bercakap atau mendengar hujah orang tidak cukup ilmu dan kurang membaca kitab. Maka jadi 'tewel' dan songsang kalaklah dia.

Dalam berita itu juga wakil rakyat berkenaan petik ayat dalam surah Al Hujrat ayat ke-13, yang maksudnya Allah suruh manusia kenal mengenali antara satu sama lain. Apa yang dimaksudkan oleh wakil rakyat berkenaan juga songsang dan menampakkan kejahilannya dalam agama.

Katanya Allah suruh mengenal antara satu sama lain. Murai setuju. Kenal itu ialah kepada semua bangsa dan kaum dan bukan ke atas satu kaum saja. Kenal Cina, India, Iban, Dayak, orang putih, Korea, Jepun dan sebagainya. Apa tujuan Allah suruh kenal itu? Tentulah untuk kebaikan bersama.

Apabila Nik Aziz mengambil pendekatan atas dasar Islam maka ia mencakupi ayat berkenaan. Cara Nik Aziz adalah menuruti ayat berkenaan. Islam itu syumul, fahamkah YB berkenaan dengan syumul? Syumul ialah sejagat tanpa sempadan. Jadi ayat itu menyimpang dari apa yang wakil rakyat berkenaan faham dan amalkan. Wakil rakyat itu hanya nak perjuangkan satu bangsa saja dan mahu nafikan bangsa lain. Itu sudah bersalahan dengan falsafah atau matan ayat itu.

Jadi Murai rasa wakil rakyat berkenaan sudah tersalah ayat dan sudah tersalah tafsir. Kalau dia nak pertahankan bangsanya, dia kena baca kitab Muqadimah karya Ibnu Khaldum. Bacalah kitab ini kalau kita hendak berjuang atas prinsip assobiyah. Dalam kitab ini ada disebut mengenai kepentingan assobiyah. Murai boleh pinjamkan.

Dalam berita itu juga wakil rakyat berkenaan berfalsafah. Katanya orang tidak kenal bangsa tidak akan kenal dirinya dan membawa tidak kenal Allah. Adoi, hebat falsafahnya mengalahkan Dr Hamka ataupun Munsyi Abdullah. Lagi sekali Murai katakan dia bercakap sekadar membuat bueh mulut saja.

Apakah dia faham dengan apa yang dicakapkan itu? Bangsa bagi Allah tidak sampai ke kulit ari pun. Tidak penting sikit rabuk kata orang di kawasan wakil rakyat berkenaan. Yang penting di sini ialah diri. diri ini pula bukan gerangan lembaga ini, tetapi diri ini sesuatu yang halus dan seni. Diri ini pula terdiri dari berlapis dan peringkat peringkat. Ia juga ada martabat tersendiri. Secara kasar diri manusia ada tujuh martabat. Tahukah?

Diri jasmani, diri rohani, diri sendiri, diri terperi, diri terrahsia dan macam-macam lagi. Macam katak juga dia ada berbagai species, yang pandai menyelam dan berenang, dan yang hanya pandai berenang tetapi tak pandai menyelam dan sebagainya. Yang tahu melompat tetapi tidak tahu terbang juga ada. Yang tahu makan budi tak tahu terima kasih pun ada.

Murai nak tanya sikit wakil rakyat berkenaan sebab dia berfalsafah maka Murai nak berfalsafah. Kenalkah dia kepada dirinya sendiri. Kalau setakat kenal bodynya, tubuhnya, perut buncit, hidung kemet dan muka kepek, gigi palsu itu bukan diri namanya. Itu pembalut diri saja. Diri sebenar diri berada dalam lembaga yang kemek, kepek, penyek dan jonggang itu.


Kalau kita tidak kenal bahasa dan laras diri usah bercakap dan mengajar ulama pulak. Inilah sebenarnya yang dimaksudkan bidaah dan syirik serta karut marut itu. Agama akan rosak kalau imannya yang bercakap tidak mengerti apa yang dicakapkan itu.

Di hujung berita itu wakil rakyat itu seru Nik Aziz selami ayat Quran sebelum mengeluarkan kata-kata agar tidak jadi bidaah. Arh... kerana Nik Aziz faham ayat dan baca ayatlah maka diberikan bulan kepada wakil rakyat berkenaan. Kerana politiklah Nik Aziz sanggup dimarahi kerana izinkan dia bertanding. Cuba kalau Nik Aziz tak baca ayat Quran dan tak faham, tentu dia tidak boleh bertanding atas tikit bulan?

Murai nak tanya satu saja pada wakil rakyat berkenaan apakah Nik Aziz sudah tersalah baca ayat dan salah mentafsir sehingga membenarkan dia bertanding atas parti Nik Aziz tempoh hari? Kalau tersalah ini bermakna Nik Aziz melakukan bidaah seperti mana dimaksudkan itu. Ini juga bermakna kemenangan dan title YB yang dipegang oleh wakil rakyat berkenaan juga bidaah. Maka selepas ini bolehlah dipanggil YB itu sebagai YB bidaah wal punanah!

Murai: Masih mabuk ketupat Aidilfitri.
Post a Comment