Sunday, September 26, 2010

Omelan Dari Jakarta

Ibrahim Dan Mahathir Sedang Menanti Keretapi

SEMALAM khabarnya bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dibawa ke Kelantan oleh Perkasa dan bersyarah (mengepek) di setesen keretapi Pasir Mas. Maklumat lanjut belum sampai kepada saya. Mungkin majlis di birai setesen keretapi itu tidak dihadiri oleh sumber-sumber saya di sana atau mereka tidak 'berani' menghantar SMS sebab saya berada di luar. Jadi tidak ada maklumat yang tuntas dan mendalam mengenainya.

Dari laporan sebuah proral berita mengatakan jumlah yang hadir hanya 5,000. Jumlah ini dikira lumayan juga walaupun targetnya 20,000. Cukuplah bagi sebuah NGO yang baru berusia dua tahun. Boleh diagakkan yang 5,000 itu hampir separuhnya mereka yang datang dari luar, yang menjadi pengikut Mahathir dari Kuala Lumpur. Atau mereka sebahagiannya adalah pengawal Mahathir bagi mengawal Mahathir takut kena sembur spray sekali lagi di airport. Jadi tidak hairanlah kalau jumlahnya 5,000. (Jangan lupa formula media yang saya berikan).

Selalunya begitu lah. Ada yang pergi dengan tanggungan duit sendiri dan ada juga yang dibayar duit minyak oleh pihak tertentu. Eloknya juga hari minggu ramai-ramai berkereta ke Kelantan setidak-tidaknya dapat menghilangkan stress di KL dan menambahkan pendapatan orang Pasir Mas.

Saya tidak tahu pula apakah Pak Mat Tapai, Jusoh Senget, Lah Buncit, Mail Botak ataupun Minah Budu, Lijah ikan pekasam dan Midah Gagak, ikut sama dalam perhimpunan itu. Biasanya orang-orang ini adalah antara penyokong tetap Ibrahim Ali di Pasir Mas. Di mana dan ke mana saja Ibrahim Ali bersyarah orang-orang ini akan heret untuk menjadi tukang sorak. Bagi mereka ada untungnya kalau ikut majlis Ibrahim kerana sesen dua duit akan masuk ke dalam poketnya boleh buat beli etok dan kacang butir buat anak dan cucu.

Tidak mengapa kalaupun orang tidak ramai, yang penting kedua mereka (Ibrahim dan Mahathir) dapat bersyarah dan berucap. Dasar orang politik kalau tak bercakap sehari akan pening kepala dan perut akan masuk angin. Jadi tanpa mengira orang ramai atau tidak, mereka akan bercakap dan meluahkan apa saja yang bersekang di hulu hati. Kalau dapat tepukan dan sorakan lagi membanggakan mereka. Tak kiralah dari parti mana mereka.

Ada dua perkara yang berlaku di pinggir setesen keretapi itu semalam dari laporan akhbar. Pertama Mahathit terus mengepek kepada Nik Aziz manakala Ibrahim pula mendedah rahsia hatinya yang hendak jadi Menteri Besar Kelantan. Selmba saja Ibrahim mendedahkan rahsia itu dengan mengatakan, kalau dia jadi MB Kelantan, Kelantan akan jadi lebih baik. Bermankanya beliau menjadi riuh randah macam katak memanggil hujan selama ini rupanya dia nak jadi MB Kelantan. Tak sangka Ibrahim ada cita-cita itu. Macam orang buta nak tengok pelangi.

Saya setuju kalau Ibrahim jadi MB. Memang dia seorang kreatif dan banyak idea. Dia juga pemurah. Kelantan akan maju malah lebih maju dari Selangor dan Perlis kalau Ibrahim jadi MB Kelantan. Pasti Kelantan akan ada lebuh raya, airport bertarf internasional bukan saja Boeing 747 boleh mendarat di Kelantan tetapi Concord juga akan turun di KB.

Begitu juga dengan KDNK rakyat Kelantan akan bertambah hingga mencecah 9.9% setahun. Balak Kelantan juga akan terpelihara sebab kerajaan Ibrahim tidak menggalakkan penebangan hutan. Ibrahim ada sumber kewangan lain untuk memajukan Kelantan. Dia cukup hanya berkata sim silabim ala bra kada bra saja, maka Kelantan akan bertukar menjadi negeri bertatahkan emas dan diperlimbkan dengan intan permata.

Tetapi soal apakah rakyat Kelantan obses kepada keistimewaan dan kepandaian Ibrahim itu. Ini menjadi masalah. Bagi mereka yang meletakkan dunia di depan mungkin bersetuju dengan Ibrahim. Tetapi mereka yang mengambil dunia dan akhirat mungkin akan berfikir banyak kali.

Mereka sedar siapa dia Ibrahim. Sejauh mana ilmunya mengenai agama. Orang Kelantan kuat beragama. Agama adalah menjadi pegangan sejak berabad lalu. Ini menjadi masalah kepada Ibrahim. Dalam memilih pemimpin apa lagi MB mestilah mereka mahukan orang yang tahu sedikit sebanyak mengenai agama. Mampu dan layak menjadi imam sembahyang bukan saja setakat jadi imam di kedai kopi dan di lounge hotel. Semua MB sebelum ini hafiz alQuran (khatam) termasuk juga Mohammad Yaacob. Mereka bukan dari kalangan buta al Quran.

Apakah Ibrahim hafiz? Tahu al Quran. Boleh diangkat menjadi imam? Ini payah sikit untuk Ibrahim jadi MB Kelantan. Kecuali beliau tahu semua ilmu itu dan tarafnya dalam bidang agama setanding dengan bekas MB Kelantan itu. Mungkin kriteria ini tidak penting dan utama, tetapi ia menjadi penambah nilai khusus untuk jadi MB di Kelantan.

Jadi berdasarkan hakikat itu jangan mimpi untuk Ibrahim jadi MB Kelantan. Harapan yang diluahkan itu tidak lebih dari angan-angan saja dan sebuah ilusi orang yang kehilangan arah tuju. Bagi rakyat Kelantan mereka tidak mudah terpesona dengan kenyataan Ibrahim itu kecuali bagi mereka yang sama perangai dan moral politiknya sepertinya. Mereka yang waras dan cukup sifat bukan saja tergelak dengan angan-angan Ibrahim itu tetapi pasti akan muntah billa beliau menyebut demikian.

Angan-angan untuk jadi MB Kelantan itu samalah perbuatan orang yang membuat sesuatu tanpa mengukur badannya sendiri. Kandatipun Ibrahim dicatat sebagai orang yang banyak membuat sejarah dan keanihan, namun saya tidak yakin angan-angan itu akan menajdi sejarah, melainkan sebuah seloka di musim hujan saja.

Majlis yang diadakan berhamopiran setesen keretapi itu juga ada makna dan signifikannya sendiri, apakah ia memberi simbolik bahawa Ibrahim dan juga Mahathir sedang bersiap sedia untuk dibawa dari dari Kelantan dan juga persada politik selepas ini. Ibrahim dan Mahathir hanya sedang menanti keretapi saja untuk berlalu jauh dari hati rakyat. Jadi sementara menanti ketibaan keretapi maka mereka berbual-bual kosonglah. [jkt 4:45 am 26/09/10]
Post a Comment