Thursday, September 23, 2010

Menikam Harapan

Zaid Patut Jadi Hero Negara Bukan Champion Dalam Parti

APABILA Zaid Ibrahim membuat keputusan untuk tidak merayu kepada Umno atas pemecatannya dan selepas itu mengumumkan kemasukannya ke dalam PKR banyak orang merasa gembira dan bertuah. Kedatangan Zaid ke dalam PKR dikira akan menyemarakkan lagi perjuangan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan BN. Apa yang diharap, pengalaman jahat, provokasi, politik wang, rasuah di dalam Umno yang dilalui dan dialami Zaid akan digunakan untuk menempelak BN seluruhnya. Zaid akan menjadi senjata ampuh untuk membunuh Umno.

Selain itu orang melihat langkah Zaid bersama pembangkang dan meninggalkan kedudukan lumayan sebagai menteri satu tindakan berani beliau dan menggambarkan beliau seorang pejuang tulen. Orang yang ingin melihat keadilan, kebenaran dan benci kepada penyelewengan dan salah guna kuasa yang diratah UBN selama ini. Orang sudah benci!

Tanpa mempersoalkan bagaiman atau kronologi beliau melepaskan jawatan menteri dan dipecat dari parti, orang di luar khasnya penyokong Pakatan Rakyat mengangkat Zaid sebagai seorang berprinsip, berani, telus, tidak mementingkan diri dan kedudukan. Beliau mulai dilihat atau diletakkan bakal menjadi hero baru pembangkang. Beliau diharap menjadi wira membela rakyat tertindas. Itulah ilusi umum.

Memang Pakatan Rakyat terutamanya PKR memerlukan orang seperti Zaid. Apa lagi PKR telah kehilangan beberapa jagohan termasuk jagohan kampung yang perut leper dan tetapi pelahap. Kekosongan yang ditinggalkan mereka itu dikira akan dipenuhi oleh Zaid. Hati penyokong PKR dan Pakatan Rakyat dikira terubat dengan kehadiran Zaid.

Zaid memang diterima dengan seadanya dan sesuai dengan profesionalisme dimilikinya. Dia diletakkan terus ke dalam saf kepimpinan tertinggi PKR. Beliau menjadi ahli Biro Politik, biro tertinggi dalam membuat dasar dan menentukan hala tuju parti. Beliau dilayan sama tinggi dan sestatus timbalan presiden dan naib-naib presiden.

Tidak cukup itu, dan atas kepercayaan kehebatan serta wibawa beliau juga beliau diberi tugas untuk menguruskan Pakatan Rakyat sebagai penyelaras. Ini tugas besar sebenarnya di mana beliau seolah bertindak menjadi Setiausaha Agung kepada Pakatan Rakyat. Sudah pasti sekiranya Pakatan Rakyat menjadi sebuah komponen sah beliaulah menjadi Setiausaha Agungnya.

Kemajuan terus dicapai oleh beliau apabila diberi kepercayaan untuk menghadapi calon BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor. Kepercayaan PKR kepada beliau satu penghormatan yang memerlukan pengorbanan bukan kecil. PKR terpaksa berkorban dan turut sama kehilangan beberapa ahli jagohan kampung (perut leper dan pelahap) apabila beliau diberi kepercayaan. Hakikat ini patut disedari Zaid dan hendaklah dijadikan bahan renungan jiwa buatnya.

Iya tidak terhenti di situ saja. Bintang dan tanggungjawab beliau semakin bertambah, terbaru beliau dilantik pula menjadi Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Lebih ironisnya beliau mengambil tempat Mohamad Azmin Ali.

Sebenarnya dengan kedudukan itu semua sudah cukup untuk Zaid menunjukkan bakat, komitmen dan melakukan sesuatu kepada PKR dan Pakatan Rakyat dalam usaha gagasan untuk memerintah Malaysia. Zaid seharusnya tidak perlu sibuk dengan hal-hal yang akhirnya menyerlahkan beliau sebagai tamak ataupun inginkan kepada kuasa lebih besar dalam waktu terdekat yang mana menatijahkan perbalahsan sesama sendiri.

Beliau boleh menjadi hero dengan jawatan itu semua. Misalnya beliau harus mencari ikhtiar bagaimana kedudukan Pakatan Rakyat kemas, mantap dan kuat. Tugas menyelaras bukan saja setakat untuk memastikan ROS meluluskan pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai parti politik. Kita dianggap bijak kalau kita boleh menyelaras, menyusun dan memperkuatkan ikatan parti-parti Pakatan Rakyat tanpa ianya dilulus sebagai sebuah parti. Di sinilah orang akan menilai kerja dan kebolehan kita.

Agak malangnya, tugas-tugas dan harapan diberikan kepada Zaid itu sedikit terbengkalai apabila beliau kini berkucah dalam pergolakan untuk menjadi Timbalan Presiden PKR. Beliau nampak lebih menumpukan kepada agenda diri sendiri daripada agenda parti. Beliau banyak berusaha menjadi champion dalam parti bukannya hero dalam negara. Bukan tidak boleh beliau bertanding, dengan nilai dan wibawanya beliau layak. Tetapi untuk apa? Zaid harus bertanya diri sendiri dulu sedalam-dalamnya untuk mengambil keputusan itu. Itu sepatutnya.

Saya nampak alasan yang diberikan untuk mengembalikan kuasa presiden adalah semata-mata alasan setelah alasan lebih besar tidak ada. Apakah Zaid mengira selama ini Wan Azizah Wan Ismail gagal mengemudikan parti secara berkesan kerana beliau dihalang atau kuasanya dirogol? Dan ikhlas saya tanya, apakah Zaid mempercayai seorang wanita seperti Azizah mampu untuk mengemudi bahtra sebesar PKR yang menjadi tunggak kepada Pakatan Rakyat kalaupun Azizah diserahkan tanggungjawab itu sepenuhnya?

Zaid juga tahu selama ini Azizah hanyalah lambang kepada presiden sebenar. Sebagai simbol juga Azizah tidak mungkin dapat atau berkuasa melakukan lebih dari itu.

Rasanya Zaid sendiri tidak percaya dan tahu sejauh mana kemampuan Azizah. Selain itu beliau juga tahu bahawa kuasa Wan Azizah sebagai presiden siapa yang memakan dan memamahnya. Bukankah Anwar? Jadi kalau Anwar yang memakan dan memamahnya, kenapa Zaid harus bingkas memeprsoalkan kedudukan Azizah terhalang. Makanya itu cuma alasan semata.

Kalau begitu kenapa Zaid tidak saja bertanding jawatan presiden? Kenapa timbalan presiden?

Dalam satu hal saya tidak senang dengan sikap Azmin terhadap semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor. Pada saya Azmin jelas mensebotaj Zaid dan salah satu faktor kekalahan Zaid ialah bila Azmin tidak berperanan sepatutnya dan melumpuhkan sebahagian jentera pilihan PKR. Azmin perlakukan begitu kerana bimbang dengan Zaid. Kemenangan Zaid di Hulu Selangor boleh mengancam periok politiknya dalam PKR. Makanya beliau kena usaha kalahkan Zaid dalam tidur.

Tetapi itu bukan alsan besar untuk Zaid membenci Azmin dan menjadikan pertandingan merebut jawatan timbalan presiden satu peluang terbaik buatnya. Beliau harus melalui pertandingan ini dengan tenang tanpa menimbulkan kerosakan kepada parti. Beliau harus menumpukan kepada Azmin saja disamping mendedahkan apakah misi dan visi beliau. Zaid sepatutnya meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan untuk menjatuhkan Azmin.

Beliau tidak boleh menjadi 'bas ekspress' dalam PKR. Beliau harus menjadi bas henti-henti terlebih dahulu. Beliau tidak perlu bertanding jawatan timbalan presiden, apa lagi atas alasan peribadi kerana tidak senang dengan Azmin. Beliau boleh menyokong mana-mana calon lain kalaupun beliau tidak setuju dengan Azmin dan bukan terus memandu bas ekspres - bertanding jawatan itu. Bila beliau bersikap memandu bas ekspress orang akan nampak yang beliau ingin lekas sampai!

Pun begitu, tidak menjadi masalah. PKR mengamalkan demokrasi tulen (kononnya). Zaid boleh bertanding dan sesiapa saja boleh bertanding. Tetapi dalam kempen janganlah terkeluar kata nesta, andaian dan provokasi yang boleh merosakkan parti ianya tidak baik. Kenapa harus emosi sangat. Hadapilah pertandingan sebagai satu ruang yang halal dan hadapi dengan sikap kekeluargaan. Misalnya membaitkan orang lain sebagai alat kempen adalah tidak bagus. Kritikan terbuka Zaid kepada Syed Husin Ali sesuatu yang mendukacitakan.

Saya mencatatkan ini kerana ada bahasa dan lenggok Zaid yang pada saya tidak elok kepada PKR. Ketegasan dan ketelusan Zaid dalam mempertahankan prinsipnya ada kalanya tidak tepat dan ini memberi masalah kepada PKR sendiri. Sesuatu yang selama ini orang tidak tahu, kini ia sudah terbuka dan terbahar bila Zaid menghuraikannya dalam mempertahakan tindakannya. Zaid juga tidak boleh merasakan tindakannya bersama PKR satu pengorbanan besar yang tak mungkin dilakukan orang lain. Beliau harus ingat beliau bersama PKR sesudah penyokong dan pemimpin PKR lain telah menyeberang sungai darah dan airmata.

Justeru diseru kepda Zaid agar tenang menghadapi pertandingan merebut jawatan timbalan presiden ini. Serahkan kepada ahli tanpa banyak provokasi dan muslihat. Tirulah sifat dan sikap seorang lagi calon, Mustapa Kamil Ayub yang diam dan tidak berbuat sesuatu yang boleh memberi imej buruk kepada parti. Bersikap sedarhana dan bersifat tasamuh itu lebih baik ia dari agresif dan penuh emosi.

Jika ini tidak dikawal dan berlebihan kemungkinan apa yang saya bimbangi sebelum ini akan jadi kenyataan. Sesungguhnya parti PKR itu sudah terlalu penat dan letih untuk berdepan dengan satu lagi perpercahan. Apa lagi Anwar sendiri juga sudah tidak daya untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kekadang kesian melihat Anwar dalam dia bergelut dengan masalah dirinya sendiri, (kes mahkamah) beliau juga kena tangani masalah parti bukan saja dalam PKR adakalanya masalah membabitkan Pas dan DAP.

Sebenarnya kalau semua orang sayangkan parti dan sayangkan Anwar jangan cipta masalah tetapi cubalah hindarkan masalah dari timbul. Zaid dan Azmin adalah aset besar untuk Anwar dan PKR. [wm.kl.8:00 am 23/09/10]

1 comment:

JBS said...

Saya amat setuju dengan pendapat Tuan MSO tu. Sekuat mana kempen pun, jangan babitkan nama besar dan pejuang tulen Syed Hussin Ali. Beliau adalah sebenarnya tunggak dan penyokong konkrit kepada kebangkitan PKR. Jika tidak mahu perpecahan yang lebih serius selepas pemilihan, saya cadangkan setiap ahli/wakil mengundi bagi melantik Mustapa Kamil Ayub untuk jawatan Naib Presiden. Beliau ialah orang yang berprinsip dan tinggi sifat juangnya. Jangan lihat pada sifat diamnya semasa kini, berikan ia jawatan tersebut dan lihatlah kemaraannya membangunkan parti ke era yang labih matang dan pro. Cubalah, ini adalah jalan tengah yang paling baik bagi perpaduan semula dan memacu reputasi parti anda. Insyaallah.