Friday, September 3, 2010

Sesudah Subuh

Hudud Bukan Hak Pas Seorang

PARA algojo politik cuba mempertikai dan mengaitkan langsung isu hukum hudud dengan Pas. Mereka mempersoalkan kenapa kini Pas tidak lagi memperjuangkan untuk menegakkan hudud. Kalau algojo itu memahami Pas sebagai badan siasah, mereka tidak akan mempersoalkannya. Mempersoalkan perkara itu samalah mendedahkan kebodohan diri sendiri.

Pas bukan gerakan Islam seperti Tabligh atau jamaah bersistem khalifah dan ahlinya kaum sufi. Pas adalah badan politik yang ahlinya mengamal dan menerima berbagai aliran mazhab. Bila disebut politik perjungan Pas untuk menegakkan syariah Islam termasuk hukum hudud secara politik. Politik ertinya bijaksana dalam melakukan sesuatu tanpa mengira halal dan haram kaedahnya. Pas menerima dan mengamalkan konsep matlamat menghalalkan cara untuk mencapai cita-cita itu.

Mungkin Pas menidakkan tanggapan ini tetapi dari tindak tanduk dan perbuatan Pas ia membuktikan kenyataan itu.

Jadi untuk apa dipertikaikan mengenai hal itu. Kerana konsep itulah maka orang tidak perlu merasa pelik dengan sikap (perubahan approach) Pas hari ini yang tidak lagi menjadikan hudud sebagai asas perjuangannya seperti berberapa dekad lalu. Hudud kini bukan lagi modal untuk meraih undi, bahkan ia menjadi liabiliti kepada Pas. Bagaimana pun sebagai parti berlandaskan Islam, berjanji dan berikrar untuk melaksanakan Islam, hudud masih menjadi agenda. Hudud ada tersimpan dalam sanubari Pas.

Pas tidak dapat membuang hukum hudud seperti mana Pakatan Rakyat hendak buang Akta Keselmatan Dalam Negeri (ISA), Akta Kolej dan Universiti (AUKU) atau seperti mana nak hapuskan saman ekor atau memindah peraturan dalam SPR dan SPRM. Hudud adalah perintah Allah yang tetap. Hudud akan dilaksanakan apabila Pas sudah mendapat kuasa. Sama ada betul atau tidak ia kena tunggu setelah Pas mendapat kuasa kelak.

Hari ini Pas sedang berkerja dan berusaha untuk mendapatkan kuasa. Kuasa dulu baru agenda, bukan agenda dulu baru kuasa. Inilah kebijaksanaan baru Pas. Jadi mana-mana perkara yang boleh menghalang daripada mendapat kuasa, Pas terpaksa kendurkan dulu. Bukan saja hudud, hendak bercakap atau menyebut Islam itu syumul pun sudah tidak lantang lagi.

Pas terpaksa memandag belakang, depan, kiri dan kanan dulu untuk menyebut Islam, bimbang menimbulkan salah faham rakan-rakannya. Hadith dan ayat-ayat Quran yang menjadi hafalan Pas dulu kini sudah termansuh. Inilah perubahan dan dinamika Pas sebagai sebuah parti politik.

Semua ulama dalam Pas sudah jadi liberal. Mereka banyak membaca kitab-kitab ekonomi, siasah, falsafah pemodenan dari Barat. Fahaman yang diterapkan dalam kitab-kitab kuning sudah dibuang. Sebab itu hari ini segala macam kejadian pelik dan ganjil berlaku. Orang Cina boleh masuk ke surau tanpa tutup aurat, ustaz dan ulama boleh masuk kilang arak atau gereja tanpa ada bantahan oleh Pas. Atas nama dakwah kononnya semuanya boleh dilakukan.

Hakikat ini terserlah daripada penjelasan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah. Cuba hayati penjelasan Mohd Amar ini betul-betul. Katanya; Pas tidak lupa kepada hudud tetapi ia akan melihat kepada kesediaan rakyat untuk menerimanya. Ertinya hudud itu akan dilaksanakan selepas rakyat memahaminya.

“Kita ada persetujuan untuk peringkat ini kita tidak bincangkan soal hudud. Misi kita yang utama ialah untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya.

“Bagi kita secara personalnya, perjuangan kita adalah untuk menegakkan syiar (Islam), tetapi kita tidak akan memaksakan hasrat ini kepada masyarakat.

“Bila masyarakat sudah bersedia dengan penjelasan, kefahaman, pada masa itu kita akan laksanakan,” kata Mohd Amar. Pendirian dan sikap Mohd Amal ini, itulah juga sikap dan pendirian Pas pada masa kini.

Apabila mendengar ini saya teringat kepada apa yang Ashaari Muhammad bekas pemimpin Arqam (Allahyarham) perkatakan dulu dalam bukunya tentang hudud. Katanya hukum hudud tidak wajib dilaksanakan selagi rakyat tidak memahaminya. Maka tegasnya rakyat perlu diberi penjelasan, didakwah agar memahami hukum itu betul-batul baru boleh dilaksanakan. Melaksanakan hukum hudud dalam keadaan rakyat tidak bersedia satu kezaliman.

Ertinya kalau rakyat tidak hendak kepada hudud (walaupun wajib) ia tidak akan dilaksanakan, walaupun sesudah ada kuasa. Saya tidak nampak Pas akan menentang arus rakyat dengan terus melaksanakan hukum berkenaan walaupun sesudah mendapat kuasa. Kerana apa, kerana yang berkuasa ialah rakyat bukannya Pas. Pas hanya mendapat kuasa dari rakyat. Apa lagi rakyat yang memberi kuasa (kemenangan undi) bukan 100 % Islam. Menentang kehendak rakyat bermakna Pas akan kehilangan kuasa.

Jadi kesimpulannya hudud tidak akan dilaksanakan kalaupun Pas mendapat kuasa selagi rakyat tidak merasakan ia perlu. Makanya untuk melaksanakan hudud ia bukan dari politik, bukan selepas parti politik Islam seperti Pas dapat kuasa, tetapi ia boleh dilaksanakan apabila rakyat sudah faham mengenai hikmah dan falsafah hukum berkenaan. Umno juga boleh melaksanakan hudud jika rakyat yang dipimpinnya mahukan hudud.

Justeru Pas sebagai parti Islam kena memberi kefahaman kepada umum mengenai hudud dari masa ke semasa. Laksana seperti mana memberi kefahaman mengenai bahaya ades, bahaya dadah, bahaya pelacuran dan sebagainya. Bahkan penerangan hudud ini lebih penting dan utama dari itu.

Kepada algojo yang cuba menyalahkan Pas mengenai hudud ini juga tidak betul. Tugas melaksanakan hudud bukan terwajib kepada Pas saja. Ia adalah hak semua. Janganlah melihat hudud itu seperti kopiah yang dikaitkan dengan Pas. Sesiapa pun boleh pakai kopiah dan begitu juga songkok.

Kopiah bukan saja hak Pas dan songkok bukan saja hak Umno. Cuma kita pandai-pandai membahagikan penutup kepala itu sebagai hak golongan itu dan hak golongan ini. Walhal kopiah dan songkok hak semua orang yang selesa memakainya. Setiap yang mengaku Islam mereka berhak memperjuangkan hudud tanpa melaung-laungkannya. Jangan pula pakai songkok atau kopiah kerana nak lindungkan kepala botak! [wm.kl.6:30 am 03/09/10]
Post a Comment