Tok Guruku Dibelasah Lagi..
TOK GURUKU terus mencari modal untuk mendapat publisiti dan pemerhatian umum kepadanya. Orang politik kena begitu, kena kreatif dan pandai melemparkan batu ke dalam semak, biar orang ramai-ramai terkejut dan berpaling ke arahnya. Kalau malu-malu dan tidak menonjolkan diri macam siput dan kura-kura selamanya orang itu tidak akan dikenali. Orang politik harus senantiasa ada idea dan mampu meletak diri di atas langit orang lain.
Cara Nik Aziz setiap kali lempar batu dengan menimbulkan pandangan dan pendapat yang kontroversi tak ubah seperti seorang budak cerdik hendak meleraikan perbalahan orang tuanya. Budak itu buat-buat sakit, mengaduh dan melaung untuk mendapat perhatian kedua orang tuanya. Akhirnya orang tuanya berhenti bertengkar berlari untuk membantu anaknya itu. Masa inilah si budak atau pun orang yang memerhati gelagat kedua orang tua itu mengambil kesempatan untuk mendakwah atau memperbaikan semula kedua ibubapa berkenaan.
Begitu juga saya nampak maslahatnya, apabila Nik Aziz dipetik sebagai berkata dia tidak bangga jadi Melayu oleh sebuah akhbar yang memang antinya dan pernah disaman olehnya dan pernah juga meminta maaf kepadanya. Kata-kata Nik Aziz itu menyebabkan hari ini sekalian orang termasuk juga haiwan yang membencinya berpaling muka ke arahnya. Mengkritik pandangan dan pendirian Nik Aziz itu. Secara tidak langsung juga bila Nik Aziz mampu menjadi perhatian umum mencerminkan dia masih sihat walafiat.
Sekali lagi Nik Aziz berjaya meletakkan dirinya dalam mata dan hati orang. Lebih aula, gara-gara itu memberi ruang kepada Nik Aziz ataupun oleh orang memahami pegangan politiknya menjelaskan akan ketidakfahaman ataupun kebutaan orang terhadap pendirian Nik Aziz itu. Mereka yang jahil akan beroleh kecerahan jiwa dan akal dari implikasi dicetuskan Nik Aziz.
Betapa tidak, akan ada ulasan mengenai pendirian ataupun kata-kata Nik Aziz itu. Akan ada perdebatan hangat mengenainya. Wujud pro kontra yang akhirnya membuah konklusi kebenaran terhadap apa yang menjadi pegangannya itu.
Banyak yang murih dan marah apabila Nik Aziz mengatakan dia tidak bangga menjadi Melayu. Dua tiga orang pemimpin Umno mula mengutuk Nik Aziz dalam tv dan juga akhbar. Orang yang pernah menjadi ahli Umno kena pecat dan kini terhegeh-hegeh ingin kembali berlumut semula dalam Umno juga kritik, meminta nak Aziz tunjuk diri. Seorang pemimpin pula kritik dan bidas Nik Aziz siap dengan membaca ayat-ayat Quran. Kutukan ini akan berterusan selari dengan isu pembunuh taukeh kosmetik.
Ayat-ayat cinta Allah itu dan hadith boleh dibaca oleh sesiapa saja yang kenal huruf Arab. Bacaan tambah sedap dan merdu kalau belajar taranum dan tahu pula tajwid. Susahnya... nak faham dan amalkan mesej atau suruhan yang dimaktubkan di dalam ayat berkenaan. Walaupun setengahnya larangan disebut jelas oleh Quran dan mudah dimengertikan, tetapi tetap juga tidak dituruti.
Kalau dibanding secara emprikal antara beberapa orang yang membaca ayat Quran untuk membidas Nik Aziz, jelas mereka lebih buruk, huduh dan busuk dari Nik Aziz. Lebih keji dari Nik Aziz.
Baik kesalahan kecil dan besar termasuk yang boleh dihukum dibawah kanun Hudud pun ada diperlakukan oleh orang-orang yang mengkritik Nik Aziz ini. Sekiranya hukum hudud dilaksanakan dan mereka terbukti bersalah mungkin setengahnya hanya ada tangan sebelah saja kini! Jadi siapa yang boleh dipercayai antara mereka dengan Nik Aziz?
Apabila Nik Aziz mengatakan dia tidak bangga jadi Melayu dan akan bangga dikenali sebagai seorang muslim, sebenarnya pendirian dan prinsip itu betul dan tepat. Pendirian itulah yang dituntut oleh Allah dan Rasulullah. Pendirian beliau itu bersendikan kepada agama dan bukannya kepada adat. Itulah hakikat prinsip manusia Islam. Kalau kita bersendikan kepada adat, maka Melayu kena diutamakan. Tetapi lain dengan beliau, beliau mengutamakan agama dari bangsa. Nik Aziz bukan nasionalis, tetapi seorang agamawan. Beliau bukan saja hidup atas dunia nyata tetapi siap untuk kembali ke dunia ghaib.
Skop perjuangan partinya bukan bersendi dan bermatlamatkan bangsa, tetapi ia meluas kepada perjuangan manusia (Islam) sejagat. Bagi Nik Aziz memperjuangkan Melayu dalam konteks bangsanya saja, adalah perjuangan menirus, sempit dan bukan menuruti perintah Allah. Ayat yang bermaksud Tuhan jadi kamu berbangsa-bangsa dan beragama, buka bererti Tuhan suruh kita tegak atas bangsa kita tetapi maksud kenal mengenal itu mengetahui kebesaran Allah. Kenal disitu hendaklah kita membawa manusia ke Syugra dan bukannya ke Neraka. Selepas kita kenal dakwahlah mereka ke jalan Allah. Kalau kita mengenali bangsa lain dan menurutinya, itu bertentangan dengan prinsip Allah. Jangan keliru mengenai ayat ini.
Justeru saking pegangan itu, apa-apa juga keputusan, pandangam tindak tanduk beliau hatta politik beliau ukur dari aspek agama yang syumul. Beliau bercakap atas sifat manusia bukan atas ras atau kaum. Kerana itu pemikirannya sejagat melewati ke tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Beliau tidak berfikir di bawah serkup ayam di belakang rumah, Mat Maslan!
Dia juga berpegang kepada matlamat akhir hidup seseorang manusia yang mempercayai kepada hari akhirat. Beliau menyakini rukun imam, rukun Islam yang boleh membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat dan bukannya rukun Negara atau slogan 1 Malaysia yang diilhamkan Najib Razak itu.
Alasan ataupun pendirian itu juga penting. Kepercayaan Nik Aziz manusia bukan hidup di sini saja tetapi masih ada perkiraan di akhirat besok. Selepas mati manusia akan disoal di Yaumimashar. Manusia akan diajukan dengan beberapa soalan. Soalan-soalan inilah dirumuskan oleh beliau yang akhirnya beliau menyimpulkan dan berpegangan bahawa mengenai bangsa ini tidak penting dan aula.
Soalan-soalan (tamsir ibarat) yang akan disoal sesudah roh berpisah dengan jasad ialah mengenai siapa nama Tuhan, siapa Nabi kamu, apa kiblat kamu, dan siapa kawan kamu? Dalam rangkaian soalan-soalan cepu emas ini tidak ada pun soalan mengenai bangsa atau kaum ataupun harta benda?
Jadi di sinilah Nik Aziz menggubal keyakinan dan piagam hidupnya yang dibawa juga dalam kepercayaan dan permainan politik. Dan didalam al Quran dan hadith itu juga tidak pernah menyebut manusia paling baik dari mana-mana bangsa. Hatta bangsa Arab pun tidak disebut hanya diceritakan bangsa itu melahirkan Nabi dan keturunannya. Apa yang disebut berkali kali dan berkali kali, ialah manusia yang beriman dan bertakwa. Tiada jaminan terhadap mana-mana bangsa atau kaum di dalam Quran yang menyatakan kaum dan bangsa tertentu akan memasuki syurga. Muhamamd sendiri tidak masuk ke syurga kerana ia dari kaum Quraisy, tetapi kerana dia seorang hamba yang beriman dan bertakwa.
Makanya kalau soal bangsa itu penting dan boleh dibawa mati tentu sudah diceritakan di dalam Quran. Kalau adalah mestilah ada di mana-mana jerung (sudut) dalam Quran menyebut mengenai hal itu. Apa lagi mengenai bangsa Melayu satu bangsa termuda di dunia, tidak ada langsung. Usahkan sebut dibayang-bayangkan pun tidak ada. Hakikat ini menyebabkan Nik Aziz tidak merasakan penting dan bangga langsung terhadap Melayu dalam konteks kehidupannya untuk kali kedua nanti.
Terus terang saya juga tidak setuju dengan Nik Aziz mengenai hal ini, kurang memperjuangkan bangsa. Bagi kita yang melihat nama Melayu itu penting, akan marah padanya. Nampak beliau sudah murtad dari Melayu. Memang dari segi semangat dia sudah murtad, kerana tidak lagi mempertahankan perjuangan bangsa yang bersifat duniawi. Tetapi kita harus faham wujud perbezaan falsafah dan matlamat berpolitik di sini antara kita dengan beliau.
Pembinaan masjid bercirikan budaya Cina di jokir (laman) rumah saya di Rantau Panjang saya kurang setuju dan tidak melihat manfaatnya. Saya tidak nampak alasan untuk mengurangkan perasaan perkauman dengan pembinaan masjid itu. Kerana di Kelantan tidak perlu lambang-lambang seperti itu kerana Kelantan tidak pernah berlaku perang perkauman.
Masjid yang wujud di Rantau Panjang itu perlu wujud di Kuala Lumpur, Ipoh, Penang atau Johor Bharu. Tetapi bila ia wujud di Rantau Panjang ini menyebabkan saya merasa kurang bersetuju. Secara tidak sedar alasan diguna pakai tadi untuk mengurangkan perkauman memakan diri sendiri kerana seolah-olah Kelantan lubuk perkauman!
Namun bab beliau menolak Melayu dan menerima Islam adalah sesuatu yang hakikat dan itu adalah kelebihan dan keberanian Nik Aziz. Sebagai ulamak beliau telah membawa banyak pembaharuan dan memecah pemikiran lapok orang Melayu. Begitu juga pendiriannya mengenai Melayu ini sebahagian dari pembaharuan dan keberanian beliau dalam berdepan dengan kejumudan akal dalam menerima dan berpegang kepada sesuatu perkara.
Sememangnya bagi Nik Aziz tiada apa yang boleh dibangga kepada Melayu. Mungkin kita ramai-ramai akan memikir dan bermahasabah semula akan kekeduhan hati kita kepadanya dalam hal ini.
Apakah kita semua boleh berbangga kepada Melayu kalau mereka mengkhianati bangsanya sendiri, menjual hasil negara dan tidak langsung memelihara maruah negara. Apakah kita boleh berbangga dengan Melayu kalau mereka sendiri memalu dan memenjarakan pemimpin Melayu? Apakah kita boleh berbangga kalau Melayu sendiri menjual bangsa sendiri. Persoalan dan pertanyaan itu boleh kita renung dan jawab sebelum tidur, kemudian cuba padankan dengan yang Nik Aziz pertegaskan itu. [wm.kl 9:40 am 20/09/10]
3 comments:
MSO mmg anda hebat dlm menulis dan saya yakin bahawa tulisan itu betul kerana ia semua menyentuh Agama yg kita turuti dan di ajari semenjak dilahirkan.
Cuma teguran saya yg dhaif ni, terdapat gak ulasan anda yg agak menyimpang sikit tapi boleh dimaafkan. Lagi satu, mohon lar tulisan anda yg hebat dan dapat menawan hati2 org Islam nih agar bersatu. Saya masih berpegang pada dua perkara utama dalam kontek "Islam di Malaysia" kerana sejarahnya begitu. Jadi, Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan [dlm kontek sejarah Tanah Melayu], oleh itu, waima apapun pada masa dan ketika ini dua perkara utama itu kena selari dan dikuatkan lagi ukhwahnya. Bangsa lain mmg ada yg dah Islam TAPI majoritinya masih kafir dan bukan mudah utk mentarbiah mereka disamping kekawan mereka juga sudah menyatakan "Langkah mayat dulu sebelum nak laksana Islam" Bukankah itu dah jelas lagi bersuluh.
Jadi apa nak ditunggu lagi, Kita sebangsa Se Agama inilah yg kena kuat dan bersatu, bila kuat dlm penyatuan dan boleh pegang kuasa politik secara TOTAL bukankah mudah utk menukar dasar2 dlm perlembagaan? Kenapa yg nak pusing2 jauh dan noktahnya "Penyatuan Islam".
Jika itu jugalah pendirian MSO, maka mari kita sama2 mengorak langkah dengan penyatuan Melayu & Islam dan saya amat yakin bila ini boleh disatuakan, ISLAM akan terus kuat dan bangsa pun terbela TETASPI kita tidaklah menidakkan hak kaum lain.
Kita kena jadi waktu Raullullah memerintah Mekah sebelum wafatnya. Bangsa lain boleh duduk dan tinggal dan jadi rakyatnya TETAPI kena lar ikut "Perlembagaan Islam" yg termaktub, dan saya juga yakin itulah yg boleh kita lakukan di Malaysia ini, jika Kita bersatu hati dan perintah Malaysia ini secara bersama. Kehebatan pemimpin2 di belah sana juga tidak kurang hebat, so kita satukan dan cari yg terbaik dan perintahlah Melaysia ini dgn se Adil2nya.
Saya yakin majoriti Umat Melayu Islam di Malaysia ni bersetuju. Dan itu, jugalah yg nak dibuat jalinan kerjasama di Perak dua tahun yg lalu, TETAPI krn ada yg tidak mahu melihat penyatuan ini dan perasaan dendam kesumat yg masih membara, maka perlawaan baik demi kesinambungan pemerintahan Melayu Islam tidak mendapat sokongan dan lebih rela berbaik dan berkawan dgn kaum musyrik dalam menegakkan Kerajaan. TETAPI sayang jika hanya ada 6 kerusi jer maner nak lawan yg majoriti tu yg jadi hari biru dalam pentadbiran, dan ALLAH lebih mengerti keadaan itu, dan dgn Kudrat dan Iradah ALLAH jua lah sesuatu yg ajaib berlaku dan Islam dapat diletakkan semual ditempat yg lebih mulia dan Kerajaan Perak masih diungguli oleh Melayu Islam. Mana lebih baik wahai saudaraku SeIslamku. Salam kemafaan jika ada yg terkasar. Wassalam.
bangganya kita kepada sesuatu bangsa bermulanya dengan bangganya kita kepada diri sendiri... itu sahaja
kadang-kadang kalau difikirkan lebih baik fikir pasal bangga kepada diri sendiri.. biarlah akhirnya perasaan bangga akan kaum kita datang dengan sendiri
seperti kata tuan hanya kita yang faham siapa diri kita.. lagipun bukankah kita semua dibawah perancangan ALLAH jua....
ISLAM tu agama utk semua makhluk Allah di dunia,tak kira bangsa.Tetapi MELAYU...tiada sesiapa yg layak jadi melayu kecuali jika dia dilahirkan dlm keluarga Melayu.Sdgkan ISLAM itu milik ALLAH manakala MELAYU salah satu kaum di antara beratus ribu kaum yg diciptkan Allah di dunia ni.JADI..mana yg perlu kita bangga?..bangsa atas nama kaum atau AGAMA ISLAM. Mentaati ISLAM sepenuhnya akan mendapat rahmat ALLAH,sdgkan mentaati MELAYU tidak menjanjikan rahmat dari ALLAH. Tokguru dia kenal diri,dia faham ilmu,dan dia kenal Penciptanya..maka saya senada dgn tokguru,kot2 mana pun kita kena bangga sebagai umat Islam.Sesiapa yg tidak bangga dgn ISLAM..maka dia mendekati syirik kerana beranggapan masih ada lagi benda lain yg lebih hebat dan mengatasi ISLAM yg mmg disahkan ALLAH akan peri benarnya..mengucap la byk2.
Post a Comment