Tuesday, September 7, 2010

Firasat Buruk

Azmin Dan Zaid Jangan Bawa Petaka Dalam PKR

SEBETULNYA tidak ada hak untuk saya merasai lebih bimbang daripada ahli PKR mengenai perkembagan parti itu menjelang pemilihan pemimpin yang sedang berjalan kini. Saya tidak perlu untuk merasa cemas dan tidak pun tahu kenapa harus bimbang. Saya bukan ahli PKR hanya pemerhati dan simpati tinggi kepada PKR yang bergabung dengan Pas dan DAP menerusi Pakatan Rakyat yang berazam untuk menumbangkan BN.

Sebagai orang yang telah lama di bawah pemerintahan kerajaan UBN yang mengetahui akan kebaikan dan keburukannya, saya mahu melihat Pakatan Rakyat mengubah suasana itu. Pengubahan ini tidak kira sama ada dengan mengambil alih kerajaan ataupun melakukan kritikan dan teguran sehinggakan kerajaan BN menjadi sebuah kerajaan yang benar-benar efisyen dalam membela rakyat.

Tetapi terus terang saya katakan, saya amat bimbang dan cemas dengan apa yang menjelang kongres parti itu untuk mengadakan pemilihan pemimpin waktu ini. Pertandingan merebut jawatan dalam PKR terutamanya di peringkat Timbalan Presiden menjadikan saya 'ugah' hati. Firasat saya kurang baik mengenai hal ini. Sekiranya dialpakan dan tidak dibendung ia mungkin boleh menyebabkan berlaku keretakan dalam PKR yang semua orang tidak mahu menenguknya.

Sesuatu yang sungguh malang kalau PKR mengalami keretakan. Orang-orang seperti saya sedang menunggu-nunggu akan keupayaan dan kemampuan PKR bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. Kemenangan besar PKR dalam pilihan raya umum ke -12 lalu didoakan akan menjadi lebih besar pada pilihan raya umum ke - 13 nanti. Tetapi kalau takdir ini (perpecahan akibat perebutan jawatan) berlaku ia boleh merombak mood umum untuk menyaksi pilihan raya itu kelak berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Mulanya pertandingan ini dikira akan berlaku dalam suasana kekeluargaan dan penuh mahabbah. Ia tidak lebih dari satu kewajiban menurut pelembagaan saja. Pertandingan ini juga memberi peluang kepada mereka yang merasa layak untuk jadi pemimpin. Tidak lebih dari itu. Ia bukan satu peperangan yang harus mencedera atau mematikan sesiapa. Pertandingan itu adalah demi menyihat dan mewaraskan semua pihak.

Itu sepatutnya berlaku. Tetapi melihat kepada gelagat dan penyokong dua orang calon yang akan merebut jawatan itu, iaini Zaid Ibrahim dan Mohd Azmin Ali, ia menyerlahkan kepada suasana yang kurang baik dan ada tanda-tanda menjadi kejam atau lebih kejam. Perasaan persaudaraan dalam parti tidak terserlah. Demikiannya juga kualiti keduanya sebagai pemimpin tertinggi gagal ditunjukkan bagi diteladani rakyat. Ingat kedua mereka dilihat sebagai aset penting parti kalaupun tidak bakal mengganti Anwar di masa akan datang.

Kenyataan-kenyataan, bentuk kempen, propaganda dilakukan kini memberi gambaran perebutan itu seperti berlaku antara dua ahli yang berbeza parti dan perjuangan. Seolah keduanya tidak berada di bawah renungan mata yang satu. Beberapa laporan dan kejadian berhubung itu yang masuk ke telinga saya amat amat mendukacitakan sekali.

Perhatikan apa yang telah dicatat Zaid dalam blognya. Beliau mendedahkan kononnya ada orang cuba mengupah bloger agar menulis sesuatu yang buruk mengenai dirinya. Kononnya juga bloger itu akan menulis yang beliau mengupah RM20,000 kepada cabang untuk memastikan beliau dicalon.

Kalaulah benar dakwaan Zaid itu betapa buruk dan busuknya proses pemilihan dalam PKR. Jelas sekali budaya dan tradisi syaitan yang diamalkan dalam Umno turut menular ataupun diguna pakai dalam PKR. (Saya harap ianya tidak betul dan pendedahan itu sebagai satu tektik saja).

Zaid juga sebelum itu dakwa ada orang yang hendak jadikannya sebagai Ghafar Baba (Allahyarham) di mana telah dimalukan dalam Umno sehingga tidak cukup pencalonan untuk merebut jawatan timbalan presiden bersama Anwar. Ertinya menurut pendedahan Zaid itu ada usaha dijalankan supaya beliau tidak mendapat pencalonan mencukupi itu bertanding.

Kalaulah dakwaan Zaid itu benar, kenapa sampai jadi begitu sekali. Kenapa harus menggunakan tektik buruk dan celaka itu. Kenapa harus sampai hendak malukan Zaid? Bukankah Zaid aset penting kepada kemajuan PKR itu sendiri? Saya rasa sebagai parti baru yang sifatnya lebih terbuka, telus, ikhlas dan demokratik dari Umno seharusnya perbuatan itu tidak berlaku.

Begitu juga tindakan bersama oleh beberapa Ahli Parlimen dan Senator PKR yang membuat kenyataan menyokong Azmin Ali untuk jawatan itu tidak patut berlaku. Tindakan itu sekali lagi menggambarkan sikap kurang bijak dan cuba mempamerkan keretakan dalam PKR. Kenapa harus ada endorsement sebegitu?

Pada saya tektik untuk mempengaruhi perwakilan cabang dengan membuat kenyataan bersama itu boleh membuka ruang perbalahan dalam PKR. Keadaan yang dimulakan itu akan buruk sekiranya ada pula pihak-pihak lain membuat kenyataan sebaliknya dengan menyokong Zaid. Tindakan sebegitu telah membuka pekong PKR sendiri kepada musuh. Musuh dengan mudah menganggap yang ahli PKR dan Senatornya telah berpihak.

Selalu terjadi dalam parti politik pergaduhan yang mulanya kecil akan membesar dan kesannya terbawa sampai ke rumah. Ia kadang kala tidak akan mudah hapus dan akan dikenang sampai ke bila-bila. Sejarah sudah menunjukkan semua itu.

Apapun keadaan masih boleh dikawal. Ia belum melarat jauh lagi. Anwar Ibrahim selaku orang tua dan penasihat parti hendaknya bangkit segera membuat teguran. Beliau harus menegur kedua pihak supaya tidak menggunakan tektik kotor dalam perlawanan. Beliau tidak boleh membiarkan atas kepercayaan kedua mereka itu manusia cerdik. Apa juga yang penting mengingatkan mereka atau sesiapa saja bahawa pertandingan itu satu keperluan bukan satu kemestian mereka jadi pemimpin.

Kita tidak mahu rakyat akan membuat kesimpulan perebutan itu sebagai kegelojohan nafsu kedua-dua calon itu. Adalah malang kalau gara-gara itu nanti akan terdengar orang mengatakan PKR belum apa-apa sudah bergaduh, kalau Anwar jadi PM mungkin pergaduhan akan lebih teruk lagi kerana berebut jawatan dan kuasa.

Baik Azmin atau Zaid kalau hendak berseteru pun biarlah secara senyap. Bergaduhlah seperti laki bini yang educated di mana pertengkaran mereka jangan sampai ke telinga anak-anak di luar bilik. Bergaduhlah dalam bilik. Amalkan apa yang dilakukan suami isteri yang bergaduh separuh malam saja kemudian baik sampai ke pagi. Itulah pemimpin yang bijak dan profesional. Jangan.. baik Zaid atau Azmin membawa petaka baru dalam PKR. [wm.kl.9:15 am 07/09/10]
Post a Comment