Sunday, September 5, 2010

Ulasan Buku

Buku Mutiara Kata Nik Aziz Mengenalkan Peribadi & Politiknya

BARU semalam saya membaca buku Mutiara Kata Nik Abdul Aziz Nik Mat Sepanjang 2010 yang disusun oleh Setiuasaha Akhbarnya Ahmad Fadihli Shaari. Buku itu saya terima dua minggu lepas. Terima kasih diucapkan kepada Fadhili kerana ingat dan mengirimkan buku berkenaan kepada saya. Seingat saya Fadhlilah satu-satunya setiausaha akhbar Nik Aziz yang mengirimkan bahan seperti itu kepada saya. Walaupun Tok Guru sudah mempunyai empat orang setiausaha akhbar sebelum ini, saya tidak pernah menerima apa-apa cenderamata berkaitan Nik Aziz.

Terima kasih dan ingatan itu amat saya hargai.

Buku Mutiara Kata Nik Aziz itu mempunyai 110 kata-kata hikmat atau falsafah politik Menteri Besar Kelantan itu dari berbagai aspek. Kepimpinan, agama, politik, pentadbiran dan juga mengenai dasar dan pendekatan Pas di era kepimpinan ulamak.

Buku ini sangat berguna untuk mengenali watak dan pemikiran Nik Aziz. Buku ini juga dikira menarik kerana disertakan ulasan ringkas mengenai kata-kata hikmat berkenaan. Kerajinan Fadhili menyusun buku ini dan mengaturkanya dengan gambar berkenaan perlu dipuji. Saya yakin kalau tidak ada inesiatif dan kesungguhan buku itu tidak akan terbit walaupun ianya hanya setebal 122 muka surat saja.

Saya rasa masih banyak lagi kata-kata Nik Aziz yang tidak tercatat atau terlepas pandang. Mungkin kalau ada pencatat sejak hari pertama beliau jadi MB hari ke hari ini (20 tahun jadi MB) kata-kata hikmat itu akan jadi tebal beribu muka surat. Mungkin ia akan jadi sebuah buku kata-kata hikmah muktabar dari seorang ulamak yang boleh dijadikan panduan bukan saja untuk Malaysia tetapi dunia juga.

Tetapi saya rasa masih belum terlibat untuk mengerjakan tugasan itu. Ia juga tidak sulit untuk mencungkil dan mencari itu semua kerana setiap ucapan, ceramah, perbualan dan kuliah beliau dicatat dan dirakam dengan berbagai cara. Kalau rajin menyelidik dan menyelongkari ia pasti akan berjumpa. Baik juga diusahakan agar kata-kata dan buah fikiran beliau itu tidak lenyap begitu saja.

Suka saya mencadangkan kepada Fadhili atau sesiapa yang hampir dengan Tok Guru, catatlah juga cara hidup seharian beliau. Cara beliau makan, bergurau, bergaul hinggalah cara beliau duduk atas sejadah. Rasanya segala kelakuan dan perbuatan beliau banyak yang boleh ditiru oleh generasi akan datang khususnya mereka yang bercita-cita untuk jadi khalifah politik.

Selain itu cubalah selidik beliau juga mempunyai kisah-kisah menteri yang cukup menarik yang setengahnya belum terungkap hingga kini. Cuba tanya orang-orang sebaya dengannya, atau mereka yang seiringi politik dengannya sebelum tahun 1980. Saya juga memiliki beberapa kisah dan atau kisahnya yang diceritakan pada setiap kali pertemuan saya dengan beliau, ataupun kisah beliau yang diceritakan orang tentangnya yang dalam simpanan dan pengetahuan saya. Kalau Fadhili atau sesiapa ingin susun saya sedia membantu.

Sekali lagi diucapkan tahniah dan syabas kepada Fadhili. Mudah-mudahan jadilah penerbitan buku pertama itu sebagai perintis untuk menerbit lebih banyak lagi buku. Dan sekali lagi terima kasih atas kiriman buku berkenaan kepada saya. [wm.kl. 3:45 pm 05/09/10]
Post a Comment