Thursday, September 30, 2010

Selepas Subuh

Cadangan Takiyuddin Perlu Disokong

ADA 'kuliha'nya juga cadangan Penolong Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan (foto) supaya kerusi Galas yang kosong kini diserahkan saja kepada Pas. Umno tidak payah bertanding. Katanya Takyuddin kalau benar Umno yang melaungkan soal perpaduan kerusi itu sepatutnya diserahkan kepada Pas sebagai bukti keikhlasannya.

Kalau cadangan itu menjadi realiti ia boleh mengurangkan pergeseran antara kedua buah parti tersebut. Saya nampak cadangan itu ikhlas dan postif. Ia bukan bermakna Pas takut menghadapi pilihan raya berkenaan. Dan jika Umno sedia bermain politik secara profesional ia juga tidak merugikan parti berkenaan, malahan akan dilihat sebagai bijak.

Sebelum ini pun Umno pernah tidak bertanding di pilihan raya kecil Dun Penanti di Pulau Pinang. Umno menggunakan alasan kerana kerusi itu bukan kosong kerana kematian tetapi disengajakan disebabkan PKR ingin menguji kedudukannya. Walhal apa yang berlaku kekosongan kerusi Penanti itu apabila Adunnya mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Dr Mansor Othman menjadi timbalan ketua menteri Pulau Pinang.

Walaupun kerusi Galas kosong kerana kematian wakilnya, Che Hashdim Sulaima Isnin lalu, tidak jadi masalah kalau Umno mengambil sikap positif. Banyak faedah dan untungnya kalau Umno sedia memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Pas. Pertama ia boleh mengendurkan ketegangan antara Pas dengan Umno seperti mana kata Takiyuddin. Kedua ia boleh menyelamatkan banyak wang rakyat dan juga kerajaan. Ketiga sikap politik terbuka dan jilah itu boleh menguatkan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Selalunya dalam pilihan raya kecil kedua parti akan mengeluarkan wang yang banyak. Tenaga dan masa juga banyak dihabiskan di sepanjang berkempen. Kerajaan (SPR) juga terpaksa menggunakan wang yang banyak. Bukan itu saja kerajaan harus membayar elaun polis, tentera dan pegawai-pegawai lain yang terlibat menjaga keselamatan di sepanjang pilihan raya berkenaan.

Sekiranya tiada pilihan raya perbelanjaan ini semua boleh dijimatkan dan tidak akan berlaku pembaziran.

Bukan itu saja, sudah sampai masanya parti politik negara ini bersikap profesional dan waras. Tidak mengikut perasaan dan hawa nafsu. Di pihak Umno khasnya perlu menyedari walaupun mereka memerlukan kemenangan bagi menunjukkan kekuatan di Kelantan, tetapi kemenangan itu tidak membawa apa-apa erti. Kedudukan Pas di DUN Kelantan begitu selesa waktu ini. Lainlah kalau kerusi itu milik Umno, ia perlu dipertahankan demi menjaga maruahnya.

Dalam hal ini begitu juga dengan Pas. Sekiranya berlaku kematian di kerusi Umno, Pas hendaklah memberi laluan mudah kepada Umno. Biarlah Umno memiliki semula kerusi itu tanpa tentangan Pas. Sama seperti kedudukan Pas hari ini kalau Umno terus memiliki kerusinya ia tidak menjejaskan kedudukan Pas selaku kerajaan.

Saya rasa persefahaman politik sebegini disukai ramai orang. Ketegangan yang berlaku semasa pilihan raya kecil kadang membawa kepada hal-hal jenayah sesuatu nyang dikesalkan dan tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

Mungkin Umno akan berkata kalau pun mereka memberi laluan, pilihan raya tetap juga akan diadakan. Sudah pasti akan ada mereka yang teringin gambar mereka diletak dipokok kayu akan bertanding sebagai calon bebas. Tidak mengapa kalau itu berlaku. Calon bebas apalah sangat yang ada kepada mereka.

Hari ini kemunculan calon bebas tidak dipadang sebelah mata pun oleh pengundi negara ini. Rakyat hanya memilih dua parti saja, sama ada BN atau Pakatan Rakyat. Betapa bebas cuba mempamerkan dan mengatakan mereka ada agenda - membela itu dan membela ini orang akan tetap menganggap ianya sebagai pengacau. Apa lagi mereka yang menjadi calon bebas itu wibawa dan syaksiahnya boleh dipersoalkan.

Duhai parti politik Pas dan Umno mulailah sesuatu yang baik itu dalam pilihan raya kecil Galas ini. Ia memang sukar untuk dimulakan begitulah fitrah alam ini. Tetapi setelah ia dimulakan selepas itu ia akan jadi perkara biasa. Lakukanlah perubahan ke atas senerio politik kita. [wm.kl.7:10 am 30/09/10]

5 comments:

JBS said...

Salam Tuan MSO. Saya kurang setuju dengan cadangan dan pandangan sdr Takiyuddin tersebut. Hanya rakyat tempatan yang lebih mengetahui komitmen ADUN mereka setelah dilantik selepas PRU12. Seandainya perkhidmatan yang telah diberikan gagal selepas beberapa tahun diberi kepercayaan dan berlaku kematian. Tentunya PR kecil akan memberi pilihan yang terbaik bagi melantik calon baru atau dari parti baru untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka. Selalunya apabila sesebuah parti itu terlalu majoriti atau kukuh, maka perkhidmatan yang diberikan oleh ADUN mereka adalah ala kadar sahaja, ini adalah realitinya, tak kiralah parti mana pun yang terlibat, yang pasti semuanya adalah berstatus parti politik dan mengikut demokrasi berpelembagaan acuan dari kerajaan British.

bat8 said...

Tuan MSO,

1. Ambo sokong cadangan PSU PAS nih. Tapi hujah-hujah yang dikemukakan itu terlalu tinggi untuk difahami oleh geng UMNO Kelantan. Demo ni hanya reti bahasa kaut projek je, bahasa pitih jah.

Kalau tak ada PRK, tak ada peluanglah nak dapat pitih "sepak". Duit belanja pilihanraya tak dok, tokdoklah duit nak "kepek" sepuluh dua. Takdoklah projek-projek mee segera!.

time sekarang dimana projek kerajaan kurang, tentunya ramai " boya-boya" lapar dok tunggu nak ngap apa sahaja duit yang ditabur oleh UMNO(Baru) dalam PRK ini.

Ambo gerenti, puok-puok ni akanberi apa juga alasan agar UMNO(Baru) bertanding.

2. Perkembangan menarik setakat ini adalah perlantikan Kuli sebagai pengarah PRK DUN Galas. Apa muhyidin ingat Kuli ni budak 3/4 ke, tak reti nak baca niat dan muko tok malu dia bila time nak khidmat Kuli.

Tok Awang gilo(tahun 60an dulu di KB) pun reti baca tektik 3/4 puok-puok ni. saya pasti Kuli tahu apa nak buat. Rasanya lamo lagilah Kuli kat London nuh nak selesai kerja-kerja dia kat sano.

bat8

Unknown said...

Saya cadangkan sebaliknya, PAS bagi laluan pada UMNO demi perpaduan ISLAM.

KAPAKTAJAM said...

Saudara MSO, KAPAK juga cukup setuju dgn cadangan imbal balas yg saudara luahkan. TETAPI adakah hakikat ini boleh dipegang umpama Manusia dipegang pada janji dan lembu dipegang pada tali.

Kapak juga menanti-nantikan sesuatu yg positif berlaku diantara UMNO dan PAS dua parti yang bertunjangkan Org2 Melayu Islam. Inilah juga masanya yang amat baik untuk membawa satu penyatuan - Melayu Hidup dgn Bersatu Hati. Kapak juga telah mengusulkan satu paper bagaimana Melayu Islam dapat bersama-sama menawan "Parlimen" dan menjadikan Parlimen itu dipenuhi oleh Pemimpin Islam dan mengubah dasar2 yg lapuk dan digantikan dgn dasar yg berpaksikan Islam.

Hanya dgn penyatuan Melayu sahaja ia dapat dilaksanakan.

Esperalzi said...

Soalnya, jika kekosongan berlaku di kawasan UMNO, sudikah PAS juga memberikan quid pro quo yg sama? Yakni, sudikah PAS tidak bertanding di kawasan UMNO jika ditakdirkan penyandang dari UMNO terpaksa kosongkan kawasan itu?

Saya khuatir Mursyidul Am PAS akan keluarkan fatwa baru bahawa jika UMNO tarik diri tak lawan PAS maka itu mengikut Islam, tapi kalau PAS tarik diri tak lawan UMNO maka itu bercanggah dengan Islam. Sejak merasa menang besar pada 2008, PAS tak pernah mahu layan apa saja usul perpaduan dari UMNO. Mereka merasakan mereka terlalu kuat dan lebih kuat dari UMNO, dan atas kekuatan ini UMNO patut di bolayan saja.

Maka kenapa tiba2 PAS bercakap tentang perpaduan Melayu di Galas? Apakah perpaduan Melayu penting hanya jika ia menguntungkan PAS saja?