Anak Hero Umno Kunjungi Tok Guru
LAMA saya tidak mengunjungi rumah Kelantan yang terletak di Jalan Stonor, berhampiran KLCC. Petang semalam saya tersasar ke situ untuk menemui Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bukan apa untuk bersalam dan mencium tangannya. Sejak beliau balik dari mengerjakan umrah bulan lepas belum berkesempatan untuk menemuinya dan menghidu sisa-sisa stanggi di jubahnya! (Tentu si otak kemetot marah dengan ayat ini).
Syukur sisa-sisa wap stanggi masih lagi berbau, dan kewangian itu semakin bergumpal di dalam hati apabila kedatangan saya disambut dengan kemesraan kata-kata yang sangat saya sukai; ini wartawan... dia akan tulis jaga baik-baik," begitulah ucapan Tok Guru tatkala memperkenalkan saya kepada tetamu.
Ketika saya sampai beliau sudah didepani dengan sekawan tetamu, di ruang luar rumah berkenaan. Wah... rumah Kelantan sudah berubah rupanya. Ada sedikit pengubahsuaian menampakkan rumah itu cerita dan muda. Iya lah setelah 20 tahun Pas memerintah Kelantan perlu ada perubahan kepada rumah kerajaan negeri itu.
Kalau tidak silap saya, satu masa dulu rumah itu hendak dimajukan. Kedudukan yang strategik di kawasan yang bernilai tinggi perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjana kewangan kepada kerajaan. Kalau tidak salah Husam Musa pernah menyuarakan agar rumah itu dirobohkan dan diganti dengan bangunan baru yang lebih komersial.
Ada benarnya juga, kalau rumah Kelantan itu dirobohkan. Mungkin appartment lima tingkat bertaraf hotel lima bintang boleh dibangunkan. Disamping ia terus dijadikan rumah transit MB dan pegawai kerajaan semasa mereka berada di Kuala Lumpur, ia boleh disewakan atau dipajak. Cara itu ia boleh membantu menambahkan kewangan negeri.
Tetapi entah kenapa cadangan itu tidak menjadi kenyataan. Mungkin ada masalah ataupun ada yang tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan, menjadikan rumah itu masih kekal seperti sedia kala. Mungkin tidak ramai yang mengetahui sejarah rumah berkenaan. Rumah Kelantan itu asalnya rumah bapa Syed Hamid Albar, Syed Jaafar Albar. Ia dibeli oleh kerajaan Kelantan yang ketika itu MBnya ialah Mohamed Yaacob (Allahyarham).
Berbalik kepada tetamu yang sedang menghadap Tok Guru tadi, saya mengenali sekawan tetamu itu. Sebaik saya menjenguk di muka pintu salah seorangnya menggamit saya suruh masuk. Beliau lalah Mazlan Harun, anak bekas MB Selangor, Harun Idris. Ada sama Tamrin Ghafar, Rahim dan juga Nik Azmi salah seorang pegawai berkerja di rumah Tengku Razaleigh.
Nampak cara mereka sudah lama berdepan dengan Tok Guru. Butir ceritanya tidak diketahui sangat oleh saya. Tetapi apa yang boleh diagakkan mungkin mereka memberi maklumat terperinci kepada Menteri Besar Kelantan itu mengenai Ngo yang baru dilancarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Angkatan Amanah Merdeka.
Pada agakan saya Amanah akan bekerja sama dengan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang. Luahan ucapan yang disampaikan oleh Kadir Sheikh Fadzil pada hari perlancaran memberi gambaran yang Amanah ini begitu kecewa dengan kerajaan yang ada kini.
Biarlah apa yang mereka sampaikan kepada Tok Guru atau ingin meminta apa-apa projek untuk dilaksanakan di Kelantan, tidak menjadi masalah. Tok Guru Nik Aziz bukan macam pemimpin Umno mendiskriminasi dalam menerima tawaran projek. Apa yang penting di sini kita merasa bangga dengan kunjungan tetamu itu yang terdiri dari anak-anak wira Umno kepada tokoh Pas parti yang pernah menjadi sasaran mereka dulu.
Yang peliknya kenapa mereka mencari Nik Aziz bukan Mahathir Mohamed? Inilah kelebihan dan keistimewaan yang ada kepada Tok Guru. Politik yang dibawanya bukan politik permusuhan. Kalau beliau tidak memiliki sesuatu tarikan musathil anak-anak pemimpin besar Umno sedia menemuinya dan bertukar maklumat mengenai politik. Kerana dari segi moral politik ia menjejaskan Umno.
Saya tidak mahu meramalkan apa-apa mengenai kunjungan itu. Mungkin ia ada agenda politik yang besar di samping agenda peribadi untuk mendapatkan projek di Kelantan. Tetapi satu pertanyaan saya hendak lepaskan di sini, kalau mereka berhajat untuk menyertai Pas, sertailah tetapi jangan cuba menuntut apa-apa yang lebih dari sepatutnya. Kata orang kalau hendak memakan pisang hendaklah menanam pisang terlebih dahulu jangan mencuri pisang yang sudah diperam dalam guni.
Kunjungan kepada Tok Guru hendaklah menggembirakan beliau bukan menyusahkan. Biarlah kisah yang lampau menjadi iktibar dan sudah cukup untuk membuktikan bagi mu akan kemuliaan Tok Guruku itu. [wm.kl.9:30 am 30/07/11]
2 comments:
alangkah bagusnya jika org-org politik sentiasa memikirkan apakah sumbangannya kpd negara daripada apakah ganjaran yg dapat jika memegang jawatan
Salam.
Pertolongan ALLAH SWT itu datang dalam berbagai macam dan ragam. Untuk terbukanya hati manusia kearah kebajikan memerlukan masa dua puluh tahun lebih. Bila kali terakhir Mazlan Harun Idris jumpa TGNA... atau mungkin ini kali pertama? Di Kelantan ada anak Kelantan sendiri yang nak 'mematikan' TGNA demi kelangsungan UMNO yang kini berada dalam ICU berikutan kemunculan AMANAH. WalLAHu a'lam
Post a Comment