Tuesday, March 16, 2010

Di Luar Istana

Tengku Anis Sebak, Elia Suhana Menangis

RAJA Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dilaporkan sebak dan tidak dapat meneruskan ucapannya di satu majlis di Keranji, Pengkalan Chepa. Menurut laporan Tengku Anis sebak dan sedih kerana kerajaan negeri Kelantan tidak mengambil berat terhadap Sultan Kelantan yang gering.

Menurut Tengku Anis semasa Sultan Kelantan gering di Singapura pihak kerajaan negeri tidak datang menziarah dan diminta suruh menghadap pun tidak diendahkan. Dalam pada itu Tengku Anis memuji kerajaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri, Mohd Najib Razak dan Siti Rosmah Mansor kerana mengambil berat terhadap sultan yang gering.

Khabarnya ucapan Tengku Anis itu tidak dapat diteruskan kerana terlalu sebak. Ianya terpaksa diteruskan oleh seorang kerabat di raja lain bernama Tengku Marjam.

Tengku Anis dilaporkan berucap dalam majlis maulid Rasul dan itu adalah kemunculan pertama kali sejak berada di Kelantan. Kira-kira lebih 10 bulan Tengku Anis berada di Singapura kerana menenami Sultan yang gering.

Mungkin hati wanita mudah cair apabila mendengar laporan berhubung Tengku Anis sebak itu. Selalunya wanita bila ada wanita lain menangis mereka juga akan turut menangis. Sudah pasti ramai hadirin di majlis maulid Rasul itu juga turut menangis apabila melihat Tengku Anis sebak. Mungkin beberapa isteri wakil rakyat juga menangis?

Di sini walaupun saya lelaki terasa juga sebak apabila membaca laporan berkenaan. Terasa semacam Tengku Anis keseorangan di Kelantan tanpa dipedulikan sesiapa sewaktu suaminya gering. Benarkah begitu dan kenapa jadi begitu?

Mungkin kita boleh menerima perasaan dukacita Tengku Anis itu. Tetapi kita juga perlu tahu kenapa terjadi demikian. Jarang berlaku kerajaan negeri akan mengabaikan Sultan apa lagi dalam keadaan gering. Tentulah ada sebab musababnya kenapa kalau kerajaan negeri tidak mempedulikan Sultan.

Jadi adalah baik bagi Tengku Anis atau sesiapa juga teruja dengan kenyataan Tengku Anis itu melihat apakah kesalahan sehingga berlaku kejadian yang tidak patut itu. Kalau ada yang tidak kena dan salah diatur semula dan perbetulkan. Kita percaya kalau semuanya berjalan baik dan mengikut adat istiadat yang diterima pakai keadaan tidak akan berlaku begitu.

Dalam pada itu tidak dapat pula hendak diselami apa yang berlaku kepada Cik Puan Elia Suhana isteri kedua Sultan Kelantan. Khabarnya beliau dihalang untuk menemui suaminya seperti mana diarah mahkamah. Beberapa hari lalu ada seseorang telah memfailkan permohonan cerai talaq tiga ke atasnya tanpa pengetahuannya.

Apakah Cik Puan Elia Suhana juga sebak dan menangis? Cuma bezanya kalau Cik Puan Elia Suhana menangis hanya dia saja yang tahu, kerana tidak diceritakan kepada rakyat! [wm.kl. 7:15 pm 16/03/10]

5 comments:

awat said...

Sebak rakyat kerana terpaksa menanggung beban perbelanjaan hospital yang begitu tinggi perlu diambil kira dan dilihat juga.
Sebak rakyat melihat tingkah laku kerabat yang dipapar dalam akhbar dan media baru tidak bolih dilihat dengan sebelah mata.

mannmusa said...

teringat cerita raja-raja melayu lama dalam filem-filem melayu.....

kontraktorwibawa.blogspot.com said...

salam tuan,

nak komen lebih kang takut ke 'dalam' pulak. apa-apa pun saya simpati kepada keduanya.

namun lebih sedikit kepada yang 'kedua' dari yang pertama.

yang pertama di abaikan pemimpin tetapi yang kedua di nafikan hak.

shaisham said...

salam Abg Mat, sebelum kita berhujah lebih lanjut, ada baiknya kita kaji betul ke kerajaan negeri buat macam tu? rasanya tak berapa logik, sebab kalau rakyat marhain pun tok guru ambil kisah, inikan pula seorang raja...

zeme said...

Salam Tuan Hj MSO,

Saya tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak, namun keadaan ini ada pro dan kontra serta mungkin ada rahmatnya. Soal wakil kerajaan negeri tidak menziarahi Kebawah Duli Tuanku Sultan semasa gering, ada benar juga seperti yang diluahkan oleh Raja Perempuan Kelantan.

Bukankah menziarah insan yang sakit adalah fardu kifayah menurut kebanyakan ulama? Mungkin untuk Tuan Guru melawat agak sulit atas keuzuran beliau namun agak molek sekiranya dihantar wakil rasmi kepada MB sebagai tanda ziarah. Sekurang-kurangnya dengan kunjungan ziarah tersebut, serba sedikit Tuanku Sultan dapat mengetahui khabar tentang rakyat dan perkembangan negeri naungan baginda.

Soal kedua tentang isu Cik Puan Elia Suhana, itulah dugaan yang harus diterima oleh beliau atas risiko hidup bermadu kerana itu adalah keputusan beliau sendiri untuk memilih jalan tersebut. Bukan saya berniat bias kepada sesiapa, tetapi sejujurnya saya tidak menyukai soal poligami kerana bermacam kemungkinan bakal berlaku melibatkan pihak suami serta isteri dan pihak madu. Sekiranya Cik Puan Elia Suhana lebih peka (sebelum pernikahan) kesan daripada pernikahan beliau dan hidup bermadu, apatah lagi melibatkan soal hati kerabat Diraja sudah tentu isu ini tidak timbul. Hati perempuan mana yang tidak sedih bilamana mengetahui selepas 2 tahun (pekara disembunyikan) terdapat insan lain yang bermadu kasih dengan orang tersayang.

Ya, ini soal jodoh ketentuan Yang Maha Esa, namun kita sebagai manusia harus istiqamah dan berfikir sebaik-baiknya dalam membuat sebarang jua keputusan. Mungkin cara terbaik sebelum pernikahan, elok dan molek rasanya Cik Puan Elia Suhana menolak secara baik daripada menjadi status isteri kedua (poligami) kerana kesannya amat besar bukan hanya untuk pihak institusi Diraja Kelantan malahan kepada rakyat dan negeri Kelantan.

Wasalam.