Usaha Semukakan Ulama dan Politician Sia-sia Saja
USAHA untuk mensemukakan Mufti Perak, Harussani Zakaria, Persuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang dan Mursyidul Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti mana dicadangkan oleh penerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan, Mahamood Zuhdi Abdul Majid saya rasakan tidak membawa apa-apa manfaat. Cadangan itu hanya membuang masa saja dan bukan sesuatu yang praktikal.
Mungkin Mahmood mencadangkan itu untuk kebaikan bersama, tetapi saya tidak nampak dalam suasana hari ini dan berpandukan latar belakang kepada ketiga-tiga orang itu mereka sedia duduk semeja dan menyelesaikan polemik yang berlaku dengan baik dan mengikut displin ilmu masing-masing.
Mungkin baginya huduh sangat kalau ilmuan seperti Nik Aziz, Harussani dan Ahmad Awang berbahas dipentas politik secara terbuka kerana mereka adalah menjadi idola kepada masyarakat umum.
Tetapi bagi saya ia bukan perkara mudah walaupun ia satu cadangan yang baik.
Mempertemukan mereka bertiga kepada saya samalah mempertemukan binatang yang tinggal di laut dengan binatang yang tinggal di darat di mana habibatnya berbeza. Mereka walaupun sama-sama mahkluk Allah tetapi mempunyai citarasa, pemikiran dan budaya yang berbeza. Apakah mungkin untuk disatukan dua mahkluk yang berbeza?
Nik Aziz dan Ahmad Awang orang politik. Pemikiran politik mereka mengatasi segala pemikiran-pemikiran lain. Cara mereka mengatasi masalah dengan cara politik kerana itu sudah menjadi budaya akal mereka. Bukan tidak ada niat di dalam hati mereka untuk menyatukan Melayu, ada tetapi pendekatan yang mereka ambil adalah cara politik.
Manakala Harussani pula ialah mufti yang bertindak atas peranan sebagai seorang mufti dan agawaman. Dia merasakan dia tempat merujuk dan orang yang patut memberi nasihat. Perkara paling besar dalam soal ini ialah mengenai kepercayaan dan huraian berhubung dengan perpaduan Melayu itu sendiri. Harussani tidak nampak kepentingan peluang politik (kuasa) yang terlihat oleh Nik Aziz dan Ahmad Awang sebab dunia penulis mendedahkan kedua mereka ke arah itu.
Semisalnya Harussani tidak tahu bagaimana percaturan politik PKR dan DAP untuk mendapatkan kuasa yang mana dengan percaturan itu menyebabkan Pas juga mendapat sedikit kuasa. Hal ini dalam pengetahuan Ahmad Awang dan Nik Aziz. Dalam kepala orang politik tidak ada perkara atau subjek besar melainkan kuasa.
Nik Aziz sudah mempercayai atau berpegang kedudukan agama itu lebih penting dari soal bangsa. Bagi Nik Aziz tidak kira seseorang itu bansga apa yang penting ialah agama (Islam) baginya. Beliau yakin bahawa yang boleh menyatukan adalah agama bukannya bangsa. Beliau sering berhujah mengambil contoh apa yang berlaku di zaman Nabi.
Sebaliknya kepada Harussani di samping Islam boleh menyatukan ummah tetapi penyatuan itu juga boleh dilakukan atas landasan bangsa. Baginya dalam konteks sosial politik perjuangan berlandaskan bangsalah yang boleh menyelamatkan Melayu dan agama sekaligus.
Ahmad Awang pula dalam soal ini tidak jauh bezanya pemikiran dengan Nik Aziz. Dia juga menerima konsep penyatuan paling afdal ialah Islam manakala soal bangsa soal nombor dua atau tiga. Kalau beliau tidak menerima konsep itu mungkin apa yang dicadangkan Harussani itu untuk menggabungkan Umno dengan Pas bagi menubuhkan kerajaan di Perak sudah pun diterima.
Jadi selagi mereka bertiga mempunyai pegangan dan kepercayaan berbeza dalam perjuangan untuk memartabatkan agama ini, selama itulah mereka akan bertelingkah sesama sendiri. Apa lagi rasa ego masing-masing menguasai diri. Harussani dengan gelaran dan martabat muftinya, Nik Aziz dengan Mursyidul Amnya dan Ahmad Awang dengan ustaz politiknya.
Kepada Mahamood Zuhdi lupakan cadangan itu, lebih baik ustaz tumpukan kepada kajian-kajian lain ataupun mengusahakan tafsiran Quran dan Hadith bagai memperbanyakan khazanah ilmu yang dihasilkan oleh orang Melayu. Mana tahu kalau satu masa nanti ustaz akan dianugerahkan dengan apa-apa anugerah pula yang menggendong wang puluhan ribu. [wm.kl. 11:20am 11/03/10]
1 comment:
AlFatihah atas pemergian Sheikh Muhammad Sayis Tantawi
Post a Comment