Friday, March 5, 2010

Analisa Semasa

Politik Daun Balik Angin di Kelantan?
Kedudukan Nik Aziz Terancam!


MEREKA yang mesra dengan alam herba cukup kenal dengan daun ‘balik angin’. Pohon ini tumbuh di dalam hutan dan mudah kelihatan di pinggir-pinggir jalan. Di sepanjang lebuh raya MMR2 Kuala Lumpur juga kelihatan.

Daunya agak besar, sebesar dua telapak tangan dicantumkan. Kegunaan juga banyak. Dipercayai daun ini mempunyai khasiat untuk menghilangkan selesema, batuk-batuk dan juga rasa pegap dan lengguh di badan.

Kenapa ia dipanggil daun balik angin ialah kerana kedudukannya terbalik. Urat belakangnya melentang ke atas sementara bahagian atas ke bawah. Kedudukan ini bukan tetap, ia berubah mengikut iklim dan juga suasana. Di siang hari daun ini akan melentang apa lagi kalau ada angin yang menghembusnya. Manakala di siang hari ia kembali normal, bahagian atas akan merukup ke bawah.

Kerana kedudukannya terbalik (abnormal) itulah maka ia dinamakan ‘daun balik angin.

Apa kena mengena daun balik angin dengan catatan ini? Sayuti nak jual obat pula ke? Apa yang hendak diceritakan situasi dan kondisi politik Kelantan tak ubah macam perangai daun balik angin itu. Ia tidak statik dan kadim seperti mana sifat Tuhan. Ia berubah-rubah dan ada kalanya perubahan menjadi 360 darjah. Ironisnya bukan saja bila ada angin kuat bertiup, tetapi tanpa angin juga ia boleh berubah kedudukan.

Pengembalian Sultan Kelantan tengah hari semalam nampaknya telah merubah suasana dan mood politik di Kelantan. Tiba-tiba sahaja sokongan, isu dan keadaan menjadi macam daun balik angin. Berubah dan bertukar kedudukan. Isu tuntutan royalti minyak yang hangat sebelum ini tiba-tiba senyap sendu.

Isu itu sudah tidak menjadi sebutan lagi sejak 48 jam lalu. Keadaan ini berlaku seolah-olah kepulangan Tuanku itu menjadi penawar untuk menutup isu berkenaan dan merubah kedudukan. Apakah perjumpaan secara spontan antara ‘Tok Empat' Umno Kelantan, Mustapa Mohamed dengan Ketua Pas Kawasan Kubang Kerian, Husam Musa semalam menyebabkan isu berkenaan terpaksa ditutup dulu?

Apa yang menggerunkan kini ialah cakap-cakap yang menjadi sebutan di Kelantan mengenai kedudukan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sebagai MB yang kini terancam. Nik Aziz dikatakan akan diminta untuk berundur dan tempatnya diganti dengan Ahmad Yaacob yang kemudian beralih pula kepada Husam Musa.

Cakap-cakap ini terus dibawa angin dan setengah disebarkan menerusi SMS dua tiga hari menjelang kepulangan Sultan. Apakah ada gerakan secara senyap untuk menyingkirkan Nik Aziz dan menaikan orang lain dalam waktu terdekat?

Adapun sebab musababnya yang digunakan untuk singkir Nik Aziz kerana beliau dianggap derhaka kepada Sultan apabila beliau tidak melawat Sultan yang gering di Singapura. Tidak cukup dengan tuduhan itu, Nik Aziz juga dikatakan derhaka kerana telah membuat kenyataan bohong berhubung status kesihatan Sultan tidak lama dulu. Golongan itu mempersoal bagaimana Nik Aziz boleh menjelaskan mengenai kedudukan Sultan sedangkan beliau tidak ke Singapura?

Ditambah lagi, kononnya ada ura-ura kerajaan Kelantan membincang untuk meminda perlembagaan tubuh kerajaan Kelantan bagi membolehkan Pemangku Raja, Tengku Mohamed Faris Petra dilantik menjadi Sultan menerusi satu pindaan perlembagaan. Sebenarnya tuduhan ini amat berat dan jika ianya tidak berlaku maka orang yang menyebut dan menulisnya harus memotong lidahnya dan tangannya sendiri sekiranya ianya seorang muslim untuk membersih dosanya!

Adakah perbincangan tentang itu atau ia hanya sebuah ilusi dari sebuah bilik yang berniat jahat saja? Tetapi yang jelasnya ia adalah satu tektik dan strategi untuk memburukkan Nik Aziz. Jika kita mengenali sifat Nik Aziz tidak tergamak untuk melemparkan fitnah seburuk itu. Nik Aziz mungkin tidak profesional tetapi dia adalah seorang yang mulia yang tahu menjujung penghormatan seseorang. Mungkin kita boleh usik serbanya tetapi jangan tarik sejadah waktu dia sedang menghadap Tuhan.

Selain itu sekembalinya Tuanku Sultan, dua orang Exco juga diminta agar digugurkan. Kononnya Exco berkenaanlah yang pandai-pandai memberi cadangan agar perlembagaan negeri dipinda. Realitinya apakah semasa sidang Isnin lalu timbul cadangan untuk meminda perlembagaan? Yang penting apakah perbincangan ini turut melibatkan Majlis Perajaan Negeri (MPN)? Janganlah jadi pandir sangat. Untuk meminda perlembagaan bersabit batang tubuh Sultan mudahnya bukan seperti pinda wang royalti kepada wang ehsan.

Sementara itu nama yang disebut-sebut akan diperkenan Tuanku kononnya untuk jadi MB ialah Husam Musa. Desas desus ini kian dipercayai apabila semasa ketibaan Tuanku semalam antara orang yang dibenarkan menghadap ialah Husam Musa. Walaupun Ahmad Yaacob berada di lapangan terbang tetapi Husam Musa yang menghadap. Kesempatan dan peluang Husam itu terus diterfsirkan sebagai beliau telah mendapat perkenan Sultan. Sultan mana?

Ketiadaan Nik Aziz di lapangan terbang menanti ketibaan Sultan itu kerana terlantar di hospital juga menjadikan spekulasi ini semakin benar. Kebetulan itu dianggap sebagai menyerlahnya penderhakaan Nik Aziz terhadap Sultan. Ada suara yang membawa cerita kononnya Nik Aziz sengaja tidak mahu hadir kerana tidak mahu bertentang mata dengan Tuanku akibat malu dengan perbuatannya. Perbuatan apa? Usahlah kita membasuh mulut dan tangan dengan air liur syatitan.

Pengeboman ke atas PMBK

Sekali dengar cerita ini semacam rekaan saja tetapi ada asanya yang menyebabkan ia dipercayai. Apa yang semua orang kena tahu bahawa usaha untuk menyingkirkan Nik Aziz bermula sejak dua tiga bulan lalu. Pengeboman secara berani mati ke atas PMBK adalah agenda untuk memalukan Nik Aziz. Letupan ke atas bekas CEO PMBK, Ariffahmi Abdul Rahman yang juga menantu Nik Aziz itu sebenarnya ditujukan kepada Nik Aziz sama.

Pengeboman itu bukan saja-saja tetapi dirancang demikian sulit dan jitu. Pengemboman itu berjaya. Ariffahmi telah cedera menyebabkan tidak berkeupayaan untuk terus menjadi CEO. Tetapi Nik Aziz masih terselamat. Demikian juga pendedahan berhubung penajaan haji ke atas Nik Aziz juga mempunyai motif yang sama dan merupakan cocktail kepada bom berkenaan. Ianya untuk memalu dan menjatuhkan imej Nik Aziz sebagai MB bergelar. Semua kerja ini ada mater mind dan ada orang yang menyediakan sponsor melibatkan wang banyak.

Tetapi serangan menerusi SPRM itu nampaknya tidak memberi bekas kepada Nik Aziz. Beliau masih selamat setakat ini. Sebab itu apabila SPRM berdiam diri daripada mengambil tindakan ke atas MB itu ada orang yang panas hati lalu membangkitkan agar menyegerakan siasatan ke atas Nik Aziz. Apa yang mereka ingin ialah agar Nik Aziz digiring segera ke mahkamah dengan harapan kerusi MB akan kosong dan senang diisi oleh orang yang diidamkannya.

Saya melihat desas desus yang tersebar hari ini sehubungan pengembalian Sultan semalam ada kesenimbungan dengan projek pengemboman ke atas PMBK tempoh hari. Motifnya sama, mereka mahu Nik Aziz bermasalah kemudian berundur untuk diganti dengan orang lain. Tetapi serangan kali ini nampaknya lebih realistik dan berani sampai ianya merencana agenda sedemikian rupa dengan mengaitkan nama istana dan orang-orang besar tertentu.

Secara peribadi saya suka kalau Husam Musa menjadi MB. Kerana dialah yang layak untuk memegang jawatan itu jika dibanding dengan beberapa Exco yang ada. Banyak kelebihan dan kesitimewaan yang ada kepadanya. Memang pun beliau dibawa turun ke DUN untuk jadi MB. Kalau doa Husam betul dan ikhlas Tuhan akan terima. Tetapi kalau boleh biarlah menjadi MB dalam keadaan tidak kontroversi.

Ada dua subjek yang perlu dilihat semula atau diperbetulkan Husam kalau beliau hendak jadi MB. Pertama, Husam pernah membuat kenyataan dia tidak mahu jadi MB. Kedua ialah apakah Husam mendapat sokongan padu dari parti peringkat bawahan hingga ke atas?

Masalah pertama tidak berat sangat. Husam boleh ralatkan. Dengan simsilabim saja orang akan lupa janji politik itu. Teori daun balik angin boleh diguna pakai dalam hal ini. Tetapi masalah kedua itu. Kalau benar ada usaha untuk ‘memaksa’ istana agar melantik Husam apakah ianya tidak perlu mendapat persetujuan parti? Dan Husam sendiri harus berusaha mendapatkan sokongan parti terlebih dahulu. Kecerdikan, kelicitan dan kehebatan Husam tidak cukup untuk menjadi modal bagi dilantik menjadi MB. Beliau tetap juga memerlukan sokongan.

Kuasa Sultan

Sultan dengan kuasanya boleh melantik sesiapa saja dari kalangan Adun untuk menjadi MB asalkan parti Adun itu mendapat majoriti dua pertiga. Lihat apa yang berlaku di Terengganu dan Perlis. UBN mahukan Idris Jusoh di Terengganu jadi MB dan Shahidan Kassim jadi MB di Perlis. Tetapi orang yang Sultan perkenankan ialah Ahamd Said dan Mohd Isa Sabu.

Kedua mereka menjadi MB yang sah. Tetapi apabila mereka tidak mendapat perkenan parti ia menimbulkan masalah kepada mereka. Setiap hari mereka diusik dan dipersendakan oleh partinya. Kita bimbang kalau orang yang tidak direstui parti menjadi MB di Kelantan keadaan di Perlis dan Terengganu itu akan berlaku juga di Kelantan? Apa yang perlu dielakkan ialah tanggapan bahawa Husam adalah MB istana bukan MB Pas.

Selain itu perkara lain yang perlu diawasi mengenai ini senario terkini di Kelantan itu tentang kesempatan bakal diambil oleh musuh. Perpecahan dan kecelaruan didalam Pas atas sebab apa juga senantiasa dinanti oleh musuh. Apa kata kalau perngganti Nik Aziz nanti menyebabkan parti berpecah, sudah tentu ia akan diambil kesempatan oleh musuh untuk mengoyak-ngoyakkan Pas.

Inilah perkara paling penting dijagai oleh Pas mengelakkan sengeketa mereka dijadikan peluru oleh musuh untuk membunuh kerajaan Kelantan. Bukan saya tidak setuju kalau Husam jadi MB tetapi biarlah kehadirannya terus mempurnamakan cekerawala bulan di Kelantan bukan mengerhanakannya. Tidak ada untungnya jakalau jadi MB tetapi kerajaan hilang. [wm.kl. 5:50 pm 05/03/10]

3 comments:

john said...

Salam pak mso...

ambo sokong hujoh pak mso..walaupun ambo seorang pengkagum husam kalu dio naik dengan kontroversi akan timbul masalah. Persoalannya,siapa yang mengembus angin-angin yang membawa berita ini.

mns said...

Dulu blogger2 panas bukan main hebat tuduh golongan UG nak menjatuhkan TGNA . Macam2 andaian dan ulasan serta terjahan terhadap peribadi geng2 yang dituduh UG. Hairan ya .. sekarang kemanakah blogger2 yang saban hari meratib mereka hanya dengan PAS kerna TGNA ? Mengapa mrk berdiam dikala serangan terhadap TGNA . Apakah kerna yang menyerang TGNA itu bukan golongan UG maka mereka berdiam diri kerna niat mereka hanya nak merosakkan sahaja . Kalau dulu pandai melaga2kan TGHH dan TGNA ..

Sekarang dah jelas siapa sebenarnya yang nak menjatuhkan TGNA ...

Muara said...

Tuan Haji MSO,

Saya ada mendengar hikayat orang tua di kampung bahawa Dato' Hussam sudah begitu pasti akan menggantikan tempat Tok Guru sebagai Menteri Besar Kelantan. Lebih-lebih lagi keyakinan dan kecintaan Tok Guru terhadap Dato' Hussam tak pernah luntur.

Namun saya tidak begitu memahami mengapakah terlalu ramai orang menyerang, mengaib dan melanyak Tok Guru, walhal dalam masa yang sama mereka meminta agar Tok Guru segera berundur dengan memberikan laluan kepada Dato' Hussam?

Bukankah Tok Guru begitu manyayangi Dato' Hussam? Dan, pada pandangan saya yang mentah ini...Dato' Hussam masih kekal pada tempatnya sekarang adalah kerana sokongan dan belaan Tok Guru sendiri. Kalau Tok Guru sudah berubah hati terhadap Dato' Hussam, saya rasa sudah lama Dato' Hussam ditalqinkan.

Begitu tidak senohon dan tidak beradab sekali penyokong-penyokong Dato' Hussam!

Tapi saya juga keliru. Adakah mereka itu merupakan penyokong sejati dan diiktiraf oleh Dato' Hussam? Kalau benar mereka ada penyokong sejati dan diiktiraf sendiri oleh Dato' Hussam, ini adalah situasi yang amat malang bagi Dato' Hussam kerana sokongan seumpama itu adalah umpama sokong yang membawa rebah.