Wednesday, March 6, 2013

Rengkasan Operasi Daulat Hari Kedua: Jangan Sangsi?

ULAS LANGSUNG                                                                                                         
[penjelasan] Ertinya sembilan mayat yang ditemui dari dalam lubang kubur itu bukan mayat penceroboh yang maut dalam operasi semalam. Semalam dilaporkan 30 penceroboh maut, tetapi mayatnya tidak ditemui. 8:06 pm.

Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi agak cenging sedikit semasa mengadakan sidang akhbar berhubung operasi Daulat menggempur penceroboh di Lahad Datu sekejap tadi. Beliau tampil memberi bukti-bukti kejayaan operasi itu bersama Menteri Dalam Negeri Hishmuddin Hussein dengan menunjukkan beberapa keping mayat penceroboh.

Zahid menunjukkan gambar lubang kubur.
Zahid memaklumkan operasi berkenaan telah membunuh 13 penceroboh termasuk seorang di sebelah pagi tadi.

Kedua menteri yang bertanggungjawab secara langsung terhadap apa yang berlaku di Lahad Datu Sabah itu kelihatan kepenatan dan resah menanti detik penamat kepada peperangan itu. Zahid awal pagi tadi dilaporkan berjanji untuk menunjukkan bukti kejayaan operasi bersama itu dengan menunjukkan gambar korban di pihak musuh.

Mungkin ada pertikaian daripada pihak media atau orang ramai yang akan melaporkan berdasarkan fakta fatal bukannya andaian dan persepsi semata-mata. Sifat wartawan ia akan melapor apa yang dilihat dan didengar dan bukan membuat andaian, apa lagi perang saraf.

Kenapa Zahid atau Hishmuddin didesak begitu hebat sekali? Ini mungkin ada sangkut paut dengan pemanipulasi media atas talian baik oleh pihak yang pro musuh ataupun akhbar pro kerajaan. Sedangkan laporan itu bercanggah sama sekali di mana percanggahannya begitu ketara. Semacam media kerajaan bergaduh pula dengan pihak media lain.


Pihak media pro kerajaan menghantar mesej-mesej liar mengatakan pasukan Kelantan kita berjaya membunuh sekurang-kurang 30 orang selepas serangan bersepadu semalam. Ada akhbar yang lidah hitam menyebut dalam operasi itu Agbimuddin Kiram yang menjadi kepala kepada pencerobohan itu sendiri meninggal dunia.

Laporan itu bagaimana pun disanggah oleh pihak Kesultan Sulu menerusi Puteri Jacel Kiram yang memberi tahu Agbimuddin masih hidup. Sebagai buktinya beliau berhubung melalui radio dengan abangnya Sultan Jamlul Kiram.

Penafian itu menyebabkan timbul kekeliruan laporan dipihak mana yang benar. Malang lagi tidak ada mana-mana pihak yang membuat penafian. Ketua Polis Negara, Ismail Omar pula hanya menyebut operasi semalam telah membunuh 30 orang penceroboh dan menjelaskan tiada mana-mana anggoata kita yang tercedera apa lagi maut. Mayat penceroboh yang maut itu juga tidak ditemui.

Kepelbagai maklumat dan fakta itulah menyebabkan media celaru dan orang ramai sukar untuk menerima maklumat dari pihak mana yang boleh dipertanggungjawabkan. Kecelaruan ini menjadi wujud berbagai persepsi positif dan negatif terhadap apa yang berlaku di Lahad Datu khas dan Sabah amnya.

Dan baru 20 minit tadi Zahid muncul secara langsung sekali lagi bersama Hishmuddin memberi sidang akhbar. Zahid siap dengan beberapa keping foto (stil foto) menunjukkan mayat di pihak penceroboh bergelempangan. Begitu melihat mayat-mayat itu entah, saya teringat kepada mangsa tsunami di Aceh hampir 10 tahun lalu. Mayat-mayat itu sudah membengkak, lebam dan kehitaman. Semua wajah mayat itu ditelengkupkan.

Menurut Hishmuddin itulah gambar yang dapat disiarkan kepada umum kerana ianya tidak menggngerikan. Zahid menambah gambar itu akan direleasekan kepada umum menerusi media massa. Semua media massa (terpilih) akan dibekalkan gambar berkenaan. Esok sudah pasti gambar mayat penceroboh itu akan terpampang di muka hadapan semua akhbar utama negara. Bagaimana pun ia masih dipertikaikan selagi pihak penceroboh atau mana-mana pihak yang bebas tidak mengesahkannya.

Zahid juga turut sama menunjukkan gambar sebuah kubur yang digunakan oleh penceroboh untuk mengembumikan mayat penceroboh. Bolah jadi juga gambar yang bergelimpangan yang lebam sudah membengkak tadi adalah gambar yang sudah dikebumikan?

Semasa insiden di hari pertama pihak Sulu mengakui seramai 12 orang puaknya terkorban dan sudah dikebumikan. Perkara ini diakui sendiri oleh Agbimuddin ketika menghubungi pihak kesultan Sulu kelmarin. Di mana kata Agbimuddin, mereka akan terus berjuang. Percakapan itu dilaporkan dibuat selepas mereka mengembumikan mayat orang-orangnya.

Saya tidak mahu mengatakan apakah gambar mayat yang ditunjukkan Zahid tadi adalah gambar mayat yang digali dari kubur? Setakat ini marilah kita sama-sama menerima ia sebagai benar mayat yang meninggal disebabkan bom.

Perlu difahami jenayah dan segala peralatan perang yang dirampas adalah bukti tuntas dan berharga kepada mana-mana pihak. Bukti itu akan menjadi penyuntik semangat kepada satu pihak dan akan melemahkan pihak lain. Dalam apa pun perang, serangan psikologis lebih berkesan dari serangan fizikal.

Pun begitu hak kerajaan untuk menyiarkan apa saja bahan bukti akan kejayaan itu. Tetapi bukan menjadi hak kerajaan untuk memaksa orang ramai mempercayainya. Dalam dunia bebas maklumat ini sudah tentu semua maklumat itu diambil, dirumus dan dipertimbangkan untuk diterima atau tidak.

Seperti saya catat didalam Facebook sekejap tadi, pihak kerajaan boleh menambahkan bukti kejayaan mereka itu dengan menyiarkan rakaman video (visual-odio) ke atas mayat-mayat berkenaan. Gambar itu nanti kalau boleh jangan disunting seperti gambar peristiwa Memali atau pun tragedi al-Ma'uanah. Patuh prinsip mahkamah ia tidak akan menerima sesuatu bahan bukti itu kalau ia sudah terusik.

Tentu ada rakaman, anggota PDRM dan ATM tentu ada yang membawa perakam video. Siar dan tayanglah rakaman video itu di dalam bentuk yang tidak terusik dan asli. Rasanya rakaman video itu lebih diyakini berbanding foto-foto yang ditunjukkan oleh Zahid tadi.

Kita gembira dan bersyukur kalau operasi itu berjaya dan musuh lari meninggalkan tanah air kita. Kita mahu hidup aman dan damai. Tetapi kalau kita melakukan penipuan kepada diri kita sendiri ia adalah sesuatu yang malang.

Saya percaya Zahid dan Hishmuddin ada pergi atau memasuki kawasan pengelidahan dan pembersihan "moping-up" yang sedang dilakukan selepas serangan bom, mortar dan gerak gempur itu. Jadi tunjuklah sekali gambar Zahid dan Hishmuddin bersama mayat-mnayat penceroboh itu. Saya tidak berfikir Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri kita berada jauh dari luar zone perang dan hanya mengadakan sidang akhbar di bilik berhawa dingin di pusat media di Felda Sahabat 16. [wm.kl.5:15 pm 06/03/13]

4 comments:

timor said...

Ini mayat 12 orang pengganas yang terbunuh semasa pertemporan pertama dimana 2 orang anggota VAT69 terbunuh. Pengganas menanam mayat dalam keadaan tergesa.

bat8 said...

Tuan MSO,

pandangan saya terhadap Zahid Hamidi, hero yang tiba-tiba muncul selepas 24 hari pencerobohan pendek je,

ZAHID HAMIDI = Wok Yoh Dalam wayang kulit.

Bat8

Unknown said...

Tuan Hj.
Sedikit pembetulan para 7 "pasukan Kelantan kita berjaya..."

Lahad Datu makin celaru dan makin kucar. Rakyat Resah dengan keselamatan negara dan dalam masa yang sama menyampah dengan lapuran berita siri tunjuk perasaan dan report polis kononnya membela pasukan keselamatan.

Rakyat keliru, ketika rakyat diingatkan supaya tidak mendengar khabar angin, media melapurkan berita yang dicekup dan diceduk dari perigi buta.

Di laman sosial sudah ada sedikit ketegangan sesama rakyat khususnya di warga Sabah bila persoalan bangsa mula dimainkan.

Lahad Datu kalau tidak ditangani dengan segera dan bijaksana akan menyebabkan kebimbangan rakyat terhadap penceroboh, ketegangan antara penyokong parti, dan juga ketegangan bangsa khususnya di Sabah.

Ya Allah lindungilah.

Unknown said...

Tuan,

Kita sedang dalam mod perang dan sebarang maklumat dan fakta dari medan tempur tidak boleh didedahkan, tetapi perlu diolah untuk mengelirukan musuh dalam konteks perang saraf dalam perang sebenar.

Sun Tzu di dalam bukunya 'The Art of War' menulis, 'all warfare is about deception'.

W/pun kita sru-srah sru-srah dambakan maklumat dari perbatasan, kita juga perlu fahami bahawa kita sedang berperang dan peperangan ada seni dan rukun-nya.

Sebaliknya kita rakyat perlu sentiasa ingat dan insaf bahawa bala yang mengunjungi Sabah ini adalah 'social re-engineering', yang mana arkiteknya bernama Mahathir melalui Projek IC-nya. Saya rasa tidak perlu elaborasi mengenai projek ini kerana majoriti sudah mengetahuinya. Mahathis dengan jayanya memporak-perandakan fabrik masyarakat Sabah dan menghancurkan-nya untuk jangkamasa panjang.

Doa dan kesejahteraan untuk para perajurit kita di perbatasan, dan alFaatihah untuk wira-wira yang telah gugur, semuga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh mereka. Ameen.