Ahli PKR Jangan Peduli Kepada Pengacau
PEMILIHAN kepimpinan dalam PKR yang sedang berlangsung kini mendapat perhatian semua pihak. Bukan saja ahli parti itu serta para pemerhati politik tanah air, tetapi ia juga mendapat perhatian dan intipan berterusan dari bekas-bekas ahli parti berkenaan.
Beberapa orang dari mereka turut sama mengulas dan mencaturkan keputusan pemilihan itu. Antara bekas anggota parti berkenaan yang sudah berkokok termasuklah Ezam Mohammad Noor, Nalakarupan, Zulkifli Nordin, Anuar Shaari dan beberapa yang lain. Mereka juga jadi panas punggung dan tidak sedap duduk. Kenapa?
Jawabanya mereka perlu mencampuri urusan bekas parti mereka itu kerana bimbang parti mereka itu akan kuat seterusnya dapat membentuk kerajaan bersama Pas dan DAP dalam pilihan raya umum akan datang. Jadi untuk memastikan kedudukan mereka tidak terancam maka PKR perlu dikucar kacirkan. Mereka yang berjiwa kecil sangat takut kepada perkembangan itu. Jadi dengan apa cara sekalipun mereka akan menganggui PKR.
Dari sudut lain kepedulian dan keperihatinan mereka itu memberi gambaran yang PKR kini semakin sihat dan gemuk. Ada petunjuk rakyat menerima PKR dan akan bersatu menyokong Pakatan Rakyat. Mereka perlu kucar kacirkan atau memberi imej buruk kerana pangkal perjuangan Pakatan Rakyat berada dalam PKR.
Semua tindak tanduk mereka itu untuk memburukkan Anwar Ibrahim. Ertinya mereka masih percaya dan yakin bahawa pengaruh dan aura Anwar masih berbisa dan ia perlu dimusnahkan. Walaupun usaha berterusan untuk memusnahkan Anwar namun Anwar tidak mudah untuk kojol. Di sinilah kekuatan yang ada kepada Anwar.
Bekas ketua Angkatan Muda PKR, Ezam berkata PKR kini dikuasai oleh Anwar Ibrahim dan keluarganya. Azmin adalah orang Anwar Ibrahim. Ezam cuba memberi penjelasan apa yang orang semua sudah jelas dan faham. Apakah salahnya kalau keluarga Anwar memiliki dan menguasai PKR. Tidak salah. Ezam sudah tidak boleh diharap untuk memimpin kerana ia sudah melarikan kerana takut kepada hanya seorang manusia bernama Azmin.
Berdepan dengan Azmin, Ezam umpama ayam jantan kampung yang takut berlaga, dengar kokokkan lawan sudah lari melintasi tiga buah padang. Sia-sia orang mengangkat Ezam sebagai pahlawan refomrasi kerana dengan rakan sendiri pun dengki dan takut.
Jadi kalau PKR dikuasai Anwar, Azizah atau Azmin, Ezam tidak perlu kesal dan gunda gulana kerana memang tidak ada siapa hendak berlawan ataupun boleh mengatasinya (Azmin). Kalau Ezam sendiri yang dianggap hero penjara, hero kena tangkap dan hero kena dakwa pun takut apa lagi diharap kepada para pengais pagi makan pagi dan pengais petang makan petang dalam PKR ataupun yang menjadikan diri mereka sebagai kumpulan 10 budak hitam.
Dalam tindakan demokrasi ini bekas timbalan PKR Gombak, Bakar Ninggal (foto) itu lebih baik dan berani dari Ezam. Bakar tidak suka kepada Azmin berkali ganda dari Ezam tetapi Bakar tidak tinggalkan parti. Dia ambil keputusan berani seperti memacung tengkok sendiri untuk berdepan dengan Azmin. Bakar lebih faham dan profesional dalam politik berbanding dengan Ezam.
Bakar tahu dia akan kalah berdepan dengan Azmin. Tetapi beliau masih ada semangat demokrasi. Beliau tidak mencaci Azmin di luar gelanggang tetapi mengasak Azmin di dalam gelanggang. Orang seperti Bakar inilah yang perlu disanjung dan dipuji kerana keberanian dan sikap demokratik dan gentlmennya. Kalaupun Bakar kalan (dan akan kalah pun), tetapi Bakar tetap dianggap hero berbanding dengan Ezam. Ezam perlu malu kepada Bakar atas sikap berani dan bertanggungjawab untuk menumbangkan Azmin secara halal. Kalau ada masa Ezam perlu ke rumah Bakar untuk mempelajar politik darinya.
Kepada ahli dan penyokong PKR usahlah rungsing dan mudah panik. Percayalah kokokkan mereka di luar parti tidak akan membawa apa-apa makna. Ahli PKR jangan dengar mereka kerana suara mereka bukan suara perpaduan ataupun pandangan yang membina bagi memperkukuhkan PKR. Suara dan kritikan mereka ialah untuk mejahamkan parti berkenaan. Mereka bersuara bagi pihak musuh PKR iaitu Umno.
Tidak mustahil kalau Umno telah mengupah para pengacau ini. Saya mendapat tahu ada pihak tertentu dari Umno sedang memonitor pemilihan dalam PKR dan mahu memastikan orang tertentu kalah ataupun menjadikan PKR berkucah dan berbalah sesama sendiri. Ahli dan penyokong PKR hendaklah faham jarum halus yang menyusup dalam parti mereka ini.
Begitu juga dengan gelagat seorang lagi bekas ahli parti berkenaan bernama RS Jenapala yang beriya hendak mengadakan sidang akhbar setiap Isnin mengkhritik ketidakadilan dalam parti. Siapa dia untuk berbuat demikian. Apabila beliau dinafikan untuk bertanding jawatan timbalan ketua beliau marah sedangkan dia bukan ahli PKR. Kalau orang waras dia tidak akan mencampuri urusan rumah tangga orang lain, kalau pun dia sendiri tidak ada rumah.
Wajar beliau dinafikan bertanding. Bukan itu saja kalau ada undang-undang membolehkan seseorang pengacau parti lain dibuang daerah maka beliau patut dibuang ke luar dearah. Menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail Jenapala ini sudah lama dipecat dari menjadi ahli parti berkenaan.
Kekalutan dalam PKR masa kini boleh diatasi sekiranya setiap dari mereka yang bertanding terus menjaga tata susila berorganisasi dan tidak membuat provokasi berlebihan. Mereka juga perlu memperbetulkan nawaitu masing-masing. Apa yang dikejar kini bukan jawatan dan kedudukan tetapi bersepakat untuk menuju ke Putrajaya. Tidak ada guna kalau seseroang boleh jadi timbalan presiden atau naib presiden tetapi parti kalah dalam pilihan raya.
Setakat memegang dayung kalau perahu tidak ada kita tidak akan dapat menyeberang samudra.
Makanya semua pihak harus memfokuskan kepada matlamat itu bukannya mencari populariti diri masing-masing dengan pelbagai jawatan. [wm.kl.11:15 am 21/09/10]
1 comment:
Ada perahu, dayung pulak takde susah juga..apa pun baik ada perahu dari ada dayung sahaja.Sbb mencari pendayung lebih mudah berbanding membina perahu.
Post a Comment