Perak Memerlukan Perlembagaan Tubuh Yang Baru
MEREKA yang tidak memilih politik sebagai kerjaya tetapi menganggap politik sebagai satu mekanisme terbaik untuk memilih pemimpin bagi mentadbir negara merasa mual dengan apa yang berlaku di Perak khasnya, dan apa yang berlaku dalam arena politik negara muasir ini.
Lebih-lebih lagi pergolakan politik di Perak itu menjadikan semua tekak mereka jenis itu merasa loya dan ada yang sudah termuntah. Mereka menjadi letih dan malas membicarakan soal politik yang dianggap sebagai tidak ada kesudahan dan moral lagi.
Satu masalah besar apabila rakyat sudah melihat politik itu seperti jambatan tahi ia bakal menimbulkan masalah kepada negara.
Seharusnya sebelum rakyat mengambil sikap membenci politik, kualiti politik negara ini perlu ditingkatkan. Orang politik sepatutnya berusaha dan bertanggungjawab bagi meningkat kualiti dan keyakinan umum kepada siasah serta menjaga wibawa mereka sebagai pemain politik negara ini.
Betapa hari ini rakyat diheret untuk berkencah dalam situasi itu yang tidak memberi keuntungan kepada mereka. Semuanya merugikan masa depan rakyat manakala pemain politik pula lebih untuk menjaga kedudukan dan kuasa mereka. Peripolitik orang politik sudah tandus dan kering.
Implikasi yang timbul dari keadaan itu, rakyat berada dalam keadaan tegang, hubungan Melayu sama Melayu yang bertentangan juga makin tegang dan kritis. Perkara-perkara yang menjadi rahsia bersama sebelum ini terpaksa diburaikan kerana untuk mempertahankan diri dan kerana ego masing-masing.
Pertalian saudara dan kepentingan bersama sudah mengecil dan di ketepikan kerana untuk menegak idealogi politik kebendaan dan kuasa masing-masing.
Orang politik tidak lagi berfikir untuk menjadikan politik sebagai alat untuk membawa kebaikan kepada rakyat. Politik bukan lagi wadah ataupun medan untuk memberi kesejahteraan rakyat dan mengurus negara dengan baik; memberi kesejahteraan dan keselamatan kepada rakyat.
Sebaliknya politik digunakan sebagai senjata untuk membendung kausa dan kekayaan sendiri. Sikap mementingkan diri dan kronis menjadi satu isme yang didewa-dewakan dalam politik.
Kalau mereka ada pelita fikir demikian, pergolakan politik seperti di Perak itu tidak akan berlaku. Apa lagi dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu semuanya membebankan fikiran dan jiwa rakyat, mereka akan mencari masa lain untuk membuka langkah silap dan gelanggang gaduh. Bukannya waktu ini...waktu gawat.
Hari ini macam-macam kita dengar berlaku di Perak. Semuanya bermula daripada tindakan BN merampas kuasa yang dinaungi istana dan raja yang meragukan awal Februari lalu itu. Hari ini semua perkara ‘bercadas’ dan ‘berkadas’ antara satu sama lain. Seolah-olah negeri Perak kini tidak ada kitab tatacara hidup (perlembagaan) yang jelas dan sahih lagi.
Segala macam peraturan dan perkara dalam perlembagaan tubuh kerajaan negeri Perak seperti tidak sahih dan palsu atau boleh dipermainkan begitu saja. Sesiapa pun bebas bercakap dan mentafsir sendiri kemudian mempertahankan pandangan mereka sebagai benar walaupun ia jelas salah! Perlembagaan sudah tidak dihormati dan dipatuhi lagi, seolah-olah orang politik di Perak seperti buta huruf.
Betapa tidak di Perak hari ini ada dua orang menteri besar; seorang menteri besar istana dan seorang menteri besar rakyat. Keduanya mengaku adalah menteri besar yang sah. Ada dua barisan exco satu, exco lama satu exco baru. Begitu juga dengan kedudukan Speaker ada mengatakan kuasanya tidak sah dan tidak laku dan ada yang beranggapan Speaker masih sah dan berkuasa dan berhak melaksanakan tugas-tugasan mereka.
Kedudukan raja dan istana yang menjadi tempat rujuk dan naungan rakyat jelata juga sudah tidak dihormati lagi. Ada sebilangan rakyat yang menghormati raja secara membuta tuli dan ada yang sudah mula hilang kepercayaan dan kemuliaan institusi itu. Kata-kata raja juga bukan kata-kata pemutus lagi, apabila ada rakyat yang berani membantah dan pandangan raja hanya berlalu begitu saja.
Kebijaksanaan raja dan budi bicara raja juga tidak dihomartinya lagi. Keadaan hari ini payah untuk diputuskan siapa yang sebenarnya benar dan haq.
Lantaran kecamukan tidak berkesudahan itu maka berlakulah soal dakwa mendakwi. Menteri besar rakyat, Mohamad Nizar Jamlauddin memfaikan di mahkamah tinggi meminta mahkamah menentukan kedudukan Menteri Besar baru, Zambry Abdul Kadir sah atau tidak.
Pihak Zambry pula membuat laporan kepada SPRM dan minta mahkamah menentukan apakah keputusan Jawatankuasa Terpilih Dewan yang menggantungkannya selama 12 bulan dan ahli Exco lain selama 18 bulan sah atau tidak.
Terbaru, kerajaan pimpinan Zambry dikatakan akan meminta Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Spaeker, V Sivakumar agar mengambil tindakan ke atas dirinya sendiri. Bukankah ini semua menunjukkan apa yang berlaku di Perak itu sudah mabuk dan menjadi seperti keluarga 69. Tempoyak sudah liat kerana ditenyeh dengan ulama petai dan jengkol.
Siapa salah? Yang jelasnya kalau Sultan Perak tahu menggunakan budi-bicara dan sungguh bijaksana kekecamukan ini tidak akan berlaku atau berpanjangan. Tetapi apabila ia berlaku dan kata raja tidak menjadi kata pemutus maka satu kebijaksanaan pihak istana yang diagungkan selama ini sudah tidak ada lagi.
Melihat suasana di Perak yang tidak ada kesudahan ini maka sukacita saya mencadangkan kalau pelembagaan Perak yang ada kini hendaklah dimansuhkan dan ganti dengan perlembagaan baru. Perak hendaklah gubal perlembagana baru yang meliputi semua aspek, baik kedudukan dan peranaan raja, kausa Dewan Undangan Negeri (DUN) dan perkara-perkara lain.
Perlembagana baru itu bolehlah membuat kesimpulan yang jelas mengenai sesuatu perkara misalnya mengenai bidang kuasa raja berpelembagaan, kuasa Menteri Besar sebagai eksekutif selepas dilantik memegang jawatan itu.
Pentafsiran-pentafsiran mengenai undang-undang juga hendaklah jelas dan tidak mengandungi makna dan maksud berlapis-lapis yang boleh menimbulkan masalah bila dipakai kelak.
Saya percaya hanya dengan adanya perlembagaan baru yang menjelaskan mengenai beberapa perkara penting seperti yang berlaku kini ia boleh menjernihkan keadaan dan insiden yang merugikan rakyat di Perak itu tidak akan berlaku lagi.
Yang nyatanya perlembagaan yang ada sekarang ini yang digunakan oleh kedua pihak dalam menegakkan pendirian masing-masing sudah tidak boleh dipakai lagi. Kerana kelonggaran pentafsiran perlembagaan itulah menyebabkan politik Perak kini berada dalam keadaan sembelit. [wm.kl. 1: 00 t/hari 02/03/09]
4 comments:
"Easier said than done". Itulah ungkapan untuk idea penggubalan undang-undang tubuh Negeri Perak yang baru.
Kerana untuk pinda perlembagaan memerlukan 2/3 majoriti DUN.
Perlembagaan sama sudah cukup. Cuma mungkin kejelasan tentang kuasa speaker DUN harus diperjelaskan lagi dalam perlembagaan.
CADANGAN YANG AMAT BAIK..SETUJU DENGAN PENULIS.
CADANGAN SAYA PULA, AGAR RAJA TIDAK DILIBATKAN DENGAN DUN.
inilah bukti lemahnya undang2 dan peraturan ciptaan manusia.. Allah beri Al-quran dan hadith... kepada Umat Islam bukti sudah terbentang didepan mata! pk2 lah... kembalilah kepada Islam
Walaupun tidak menjadi bubur beras, namun politik di perak ibarat nasi lembik yang tak sedap dimakan dan tak comel dilihat. Memang sukar untuk dipulihkan menjadi nasi biasa yg sedap dimakan dengan kari kepala ikan.
Nasi lembik hanya sesuai untuk orang sakit atau org tua uzur yg susah menghadam makanan.
Kita doakan semoga bijak pandai politik dapat mensentosakan suasana dengan ikhlas dan mengharapkan kejernihan.
Post a Comment