Sunday, March 1, 2009

Laporan Lewat

Previu Ucapan Anwar
Pelihara Amanat Rakyat Perkasa Perjuangan

PETANG semalam saya ke Shah Alam untuk mendengar ucapan penasihat PKR, Anwar Ibrahim kepada para pemimpin parti berkenaan. Majlis yang dinamakan Amanat Harapan Rakyat itu penting dan dikira satu suntikan semangat dan cuba membuat lonjatan kesedaran baru kepada barisan kepimpinan PKR yang mana input semalam tidak patut dibiarkan berlalu begitu saja.

Sekiranya PKR ingin bertahan dan terus menjadi pemegang (kuasa) amanat rakyat, semua pemimpin di semua peringkat perlu menghayati dan sedia meningkatkan daya usaha dan menambah kualiti kepimpinan masing-masing. Tidak keterlaluan kalau ditegaskan semua kena tekad untuk melakukan perubahan dan mahasabah diri jika sayangkan kepada PKR dan Pakatan Rakyat. Tidak mustahil kalau nasihat ini diabaikan kuasa yang ada dalam birai tangan kini akan terburai!

Program berkenaan sesuai dengan perkembangan terkini di mana Umno-Barisan Nasional (UBN) dalam keadaan tertekan untuk menghadang kemualan rakyat kini. Kepada parti berkenaan mereka akan menggunakan apa saja kesempatan dan peluang yang ada, samada yang dibenarkan atau sebaliknya bagi menyerang PKR dan Pakatan Rakyat demi mengukuhkan kedudukannya.
Perkara paling penting juga barisan kepimpinan PKR khasnya dan Pakatan Rakyat sedrai bahawa mereka kini sudah ada kuasa dan rakyat makin terus memberi sokongan menggalakan dari hari ke hari.

Kajatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan serangan berterusan ke atas kerajaan-kerajaan Pakatan Selangor dan Kedah juga menjadikan suntikan dan bingkasan baru itu penting untuk dijadikan semangat dan benteng jiwa pada kalangan barisan pemimpin.
Pemimpin harus mempunyai keyakinan yang tinggi untuk mengubah suasana yang ada sebelum mereka turun menemui rakyat di bawah. Dalam erti kata lain mereka perlu semangat, modal (hujah) dan juga pendekatan yang menarik, dinamik dan progresif.

Dalam keadaan UBN kini gila dan 'sinting' mereka akan merempuh dan melipat gandakan usaha dan perancangan mereka. Justeru barisan kepimpian hadapan PKR dan PR perlu ditanam dengan keyakinan kepada keutuhan semangat perjuanagan Pakatan Rakyat.

Majlis atau ucapan suntikan seumpama itu rasanya bukan saja perlu bagi PKR tetapi ia juga wajar disemarakkan ke dalam rakan pakatan PKR, Pas dan DAP sendiri atas nama persepkataan mencapai kemenangan total. Mungkin satu hari suntikan semangat demikian boleh diadakan serentak dengan kehadiran pemimpin ketiga barisan Pakatan Rakyat di bawah satu bumbung. Elok juga kalau ia diadakan secara besar-besaran.

Sudah pasti dengan ada majlis bersama sedemikian ia memberi keyakinan kepada Rakyat dalam melihat kesediaan dan persiapan PR untuk mengambil alih kerajaan atau menjadi pesaing yang baik kepada UBN pada pilihan raya akan datang.

Peralihan kusa yang bakal berlaku dalam Umno menyebabkan pemimpin pengganti akan membuat pendekatan, serangan dan mengatur strategi baru yang tidak terduga oleh sesiapa pun. Lantaran itu Pakatan Rakyat kena berhati-hati dan bijak menelah apa yang akan berlaku selepas ini. Pakatan Rakyat tidak boleh lena dan berpuas hati dengan apa yang ada kini.

Sokongan rakyat dalam pilihan raya lalu tidak ada jaminan mutlak ianya akan kekal, sebaliknya mereka boleh berubah sekalip mata saja, seperti mana mereka berubah dari menyokong UBN kepada PK. Ini tidak mustahil berlaku sekiranya mereka tidak urustadbirkan (mobilisasi) dengan baik.

Perjumpaan semalam dihadiri lebih kurang 300 orang pemimpin tertinggi PKR terdiri ahli MPT, Ketua Bahagian para wakil rakyat termasuk Sabah dan Sarwak. Sebelum Anwar menyampaikan ucapannya pertemuan terpisah dengan pimpinan Sabah dan Sarawak diadakan terlebih dahulu.
Antara apa yang ditekankan Anwar dalam perjumpaan itu semalam ialah meningatkan pemimpin PKR bahawa UBN kini menggunakan propangada yang mengembalingkan tiga R iaitu race (bangsa), Religion (agama) dan Royalty (Raja) yang digerakkan dengan penuh emotif.

Kata Anwar perjuangan menggunakan simbol-simbol ini mudah meresapi ke dalam psikologis orang Melayu dan inilah pendekatan terbaru UBN apabila mereka menghadapi masalah besar kini kelupusan keyakinan rakyat. UBN mengambil strategi ini kerana mereka cukup bimbang akan berlaku swing besar-besaran orang Melayu selepas mereka sudah hilang kepercayaan kaum Cina dan India.
Pakatan perlu bijak dalam mentafsirkan subjek ini dan menjelaskan kepada rakyat dan jika perlu Anwar dan Pakatan Rakyat wajar membawa keluar lambang-lambang ini dari minda orang Melayu. Kerana nampaknya ke belakangan ini lambang ini menyenak dan berpusar-pusar dalam minda segelintir masyarakat.

Apa yang sangat jelas hari ini ialah penggunaan institusi raja dan istana begitu dominan sekali. UBN telah menggunakan institusi berkenaan menjadi modal untuk melindungi mereka. Sebab itu pantang tercuit cakap dan kata berhubung dengan raja atau istana mereka akan bingkas dan berarak menunjukkan kesetiaan hipokrit mereka kepada raja. Hari ini mereka menggunakan Pemuda untuk menjadi pahlwan tetapi esok atau lusa mungkin Umno induk pula akan mengambil tempat ini membuat havoc lebih besar lagi.
Begitu juga UBN sedia mengguna sampah sarap orang-orang yang sakit kepala dan rendah moral juga diangkut untuk membantu mereka. Mereka tidak peduli soal bau, waran dan moral lagi. Semua ini melambangan UBN itu sendiri sangat terdesak dan hilang rasional politik.
Dalam menghadapi serangan dan ancaman UBN ini Anwar berharap ianya tidak dipandang dengan sikap sambil lewa dan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat perlu dijaga sebaik mungkin. Beliau juga menekan masa ini juga bukan masa untuk mendabik dada siapa yang banyak berkorban.
Mesej Anwar itu bukan saja di kalangan pemimpin PKR tetapi pemimpin PR seluruhnya. Sikap cuba mendabik dada akan membenihkan rasa kruang senang sesama sendiri dan akhirnya boleh menimbulkan perbalahan.

Demikian juga masa untuk berbulan madu, seronok dengan kemenangan sudah pun berakhir. Manakala kemenangan diperolehi hendaklah dirai dengan penuh tawaduk dan pemimpin pula perlu terbuka untuk mahasabah diri dan mengakui kesilapan.

Persiapa mental dan fizikal itu pelu kerana seperti mana dibayangkan Anwar masa mendatang langkah dan laluan perjuangan PKR dan Pakatan Rakyat terpaksa melalui liku beranjau dan berhalangan. Manakala UBN pula akan menggunakan apa saja senjata dan menampak wajah sebenar regim berkenaan termasuk akan menggunakan undang-undang secara kuku besi demi menghalang Pakatan Rakyat. Maknanya kalau tindakan UBN hari ini sudah rakus dan zalim maka untuk masa depan ia lebih rakus dan kejam lagi.

Justeru persepakatan semua pemimpin dari semua peringkaat perlu bagi PKR memperkukuhkan parti berkenaan, cuba elakkan berlakunya rajuk atau rasa tidak puas yang merosakkan parti.

Bagi menyemarakkan parti Anwar juga meminta PKR menggerakan aktiviti mereka dengan mengadakan program atau ceramah paling kurang sekali sebulan di semua bahagian atau negeri. Peningkatan aktiviti dan usaha memperkasa parti sangat perlu memandangkan pilihan raya semakin dekat.

Sesungguhnya suntikan semangat dan tekad memperbaharui lonjakan perjuangan oleh Anwar semalam bukan saja terpakai kepada ahli, penyokong PKR tetapi kepada semua ahli dan penyokong Pakatan Rakyat dan mereka yang mendambakan keadilan dan kebenaran politik! [wm.kl. 11:50 pm 01/03/09]

1 comment:

Anonymous said...

PR perlu lebih menghargai orang -o rang disekelilingnya segala jasa baik yang mereka curahkan adalah wajib ianya dibalas walau bukan dengan wang ringgit sekalipun...
kalau tak berkemampuan nak membalas cukup sajalah dengan ayat begini..
TANPAMU MUNGKIN SUKAR KAMI BERADA DIPUNCAK..
tak usah lagi memperdulikan UBN
sudah sampai masanya kita mengambil berat akan PR kalau salah kita tegur kalau betul kita puji...
tak perlu nak selindung - selindung lagi...
tambah pulak ini bukan kerana PR semata-mata tapi yang lebih penting adalah utk memartabatkan PERLEMBAGAAN NEGARA MALAYSIA..
dan PR adalah diharap sebagai tonggak untuk menegakkan ini semua...


firdaus,
k.kangsar