BARU sekejap tadi bakal Perdana Menteri, Mohd Najib Razak selesai merasmikan serentak perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di PWTC. Ada beberapa kelainan dalam ucapan Najib kali ini terutamanya, intonasi, gaya serta isu kandungannya. Yang paling ketara gaya Najib bercakap tadi seperti dia sudah perdana menteri Malaysia, menjerit-jerit dan kadang-kadang mempersendakan orang lain.
Kebangsawannya Najib juga mula menyerlah. Lihat sahaja apabila dia sudah menggunakan skrin lut sinar yang memaparkan teks ucapannya. Skrin lut sinar berkenaan hanya digunakan oleh Dr Mahathir Mohamad sahaja sebelum ini dan tidak pernah digunakan oleh orang lain.
Abdullah Badawi atau Ghafar Baba maupun Anwar Ibrahim semasa menjadi timbalan perdana menteri dulu tidak berkesempatan menggunakan skrin berkenaan. Inilah kehebatan dan kebangsawanan Najib bin Razak bin Hussein.
Sepanjang ucapan hampir 45 minit tadi Najib kelihatan begitu ceria, gembira, dan konfiden sekali. Najib sudah yakin peralihan kuasa akan berlaku minggu depan. Mungkin beliau sudah mendapat tanda-tanda dan syarat-syarat jelas. Mungkin juga dia membaca apa yang saya paparkan dalam blog ini.
Bagaimana pun dalam nada penuh bersemangat, ghairah untuk melakukan perubahan getaran suara kebimbangannya tidak dapat disembunyikan Najib. Bila beliau memohon dan mengharapkan kerjasama ahli Umno menjelaskan Najib bimbang dengan masa depan Umno. Katanya beliau meminta disiapkan saf kepimpinan yang berintergriti, dedikasi dan baik untuk bergerak bersamanya.
Beliau mengakui peralihan kuasa berlaku dalam keadaan mencabar. Tanggungjawab yang akan dipikulnya sungguh mencabar. Najib menyedari masalah itu, dan inilah yang mungkin menganggunya. Justeru beliau berharap sokongan padu diberikan kepadanya. Ya... Najib memerlukan sokongan padu daripada Umno. Sekiranya berlaku peralihan kuasa tetapi ahli Umno tidak sepadu menyokongnya ia tidak akan memberi apa-apa keuntungan kepada Najib.
Beberapa perubahan juga dijanjikan. Sebenarnya perubahan biasa dilakukan mana-mana pemimpin yang baru nak naik. Saya teringat semasa saya menganggotai jawatan kuasa PIBG sekolah anak-anak dulu. Setiap kali pengerusi baru naik ada-ada sahaja janji dan pembaharuan yang hendak dibuat oleh pengerusi baru. Selepas berjalan beberapa bulan kedudukan dan kemajuan PIBG tetap juga sama.
Apakah hal ini juga akan berlaku dalam Umno? Inilah yang membimbangkan Najib.
Ada dua perubahan yang bakal dibuatkan Najib. Pertama akan melatih pemuda menjadi pemimpin yang berintegriti, dedikasi dan komited. Latihan itu katanya akan di buat dua malam tiga hari, atau tiga hari emapat malam bukan lagi di hotel lima bintang tetapi di luar bandar. Dia mahukan pemuda lasak dan tahan diuji.
Apakah Umno sudah tidak ada duit untuk mengadakan latihan di hotel lima bintang? Saya bimbang latihan itu nanti tidak mendapat sambutan kerana pemuda Umno tidak biasa dengan kem latihan seperti PLKN itu kerana di kem-kem seperti itu banyak pacat dan lintah. Apakah pemuda dibentuk pada zaman Hishamuddin itu berani dan tidak geli dengan pacat dan lintah?
Perubahan kedua menurut Najib ialah beliau mahu ubah sistem pemilihan dalam Umno. Sistem kuota akan dimansuhkan dan diganti dengan sistem yang melibatkan lebih ramai lagi ahli yang boleh menentukan pemimpin. Sistem itu juga katanya bagi mengelakkan berlakunya politik wang dan perebutan kuasa.
Sama-samalah kita tunggu apakah perubahan itu dapat dilakukan dan dapat mengubah budaya dalam Umno yang sudah mentradisi sejak lama dulu. Sudah pasti sekiranya perubahan itu tidak berlaku tempoh Najib menjadi presiden Umno dan juga perdana menteri mungkin lebih singkat daripada Abdullah.
Kelainan lain dalam ucapan Najib tadi ialah apabila ada beberapa perkataan Arab digunapakai oleh Najib. Saya mencatat satu persatu perkataan itu apabila disebut oleh Najib dan mendengar serapi mungkin untuk mengetahui apakah sebutan makhraj (intonasi)nya betul.
Antara perkataan yang sempat saya dengar dan tanda ialah, mahasabah, sirah, tarbiyah, al-falah, tawaduk, mazmumah, mahmudah dan lain-lain. Najib menggunakan perkataan-perkataan Arab ini apabila beliau bercakap mengenai Islam. Inilah satu pembaharuan yang mulai diterokai Najib di mana cuba mensepadankan bahasa dengan topik percakapannya.
Tetapi malang sedikit apabila beberapa kali menyebut Rasulullah Najib tidak berselawat dengan menyebut sallahuailaihiwasalam (s.a.w.) mungkin lidahnya masih lagi keras. Apakah Najib tahu biasanya mereka yang tidak bersalawat ke atas Nabi ialah orang Yahudi ataupun para orentalis.
Mengenai kedudukan bahasa Melayu (PPSMI) yang kini sedang ditentang oleh para pejuang bahasa dan budaya tidak mendapat perhatian Najib. Najib sikitpun tidak simpati dan tetap mengatakan PPSMI akan diteruskan. Nada dan bahasa percakapan Najib mengenai bahasa Melayu ini sama dengan apa yang diucapkan oleh Dr Mahathir Mohamad.
Najib juga begitu berkeyakinan beliau mampu untuk memikul tanggungjawab yang ditinggal Abdullah. Sepanjang ucapannya Najib langsung tidak bercakap soal perpaduan Melayu sejagat untuk mempelawa pembangkang. Cara Najib bercakap menunjukkan ego dan sombongnya bahawa beliau akan pulihkan Umno dan menjadikan Umno lebih hebat dari sekarang.
Alangkah baik kalau dalam ucapan pertama menjelang penobatan beliau sebagai perdana menteri Najib membuka ruang dan membawa irama lemah lembut dalam pentadbirannya. Cara itu menyebabkan orang tidak nampak kesombongannya dan tidak rugi kalau Najib mengalah dan berlembut.
Dengan gaya, nada dan isi ucapan malam ini payah untuk Umno melakukan perubahan dan membaiki kecacatan kini kerana Najib sendiri tidak memiliki sifat mahmudah seperti mana yang disarankan itu. [wm.kl. 10:30 pm 24/03/09]
3 comments:
Apabila disebut PIBG,teringat pula semasa saya menghadiri mesyuarat agong persatuan tersebut tempoh hari.Apa yang anehnya, apabila ada nama nama yang dicadangkan untuk memegang jawatan tiba tiba ramai dikalangan calon itu telah bangkit berdiri sambil mengatakan mahu menarik diri,pada saya ini satu perkara aneh dan tidak pernah saya temui,sambil saya termenung menung mencari jawapan tiba tiba nama saya pula disebut untuk dicalonkan,pada mulanya saya juga ingin menolak, akan tetapi setelah mengenangkan betapa ketandusan orang hendak pegang jawatan maka mahu tak mahu terpaksalah saya pikul dan terima amanah tersebut.
Namun demikian saya juga mari terfikir, bolihkah saya berkerja bersama dalam satu pasukan dengan orang yang berlainan fahaman edealogi politik,ahh...demi anak anak biarlah bapamu ini tempohi dan menganggap ini adalah satu cabaran biasa dalam hidup (itulah jawapan hati kecil saya).
Moral perkongsian cerita ini ialah politik bukan bolih dijadikan satu alasan untuk sesiapa memberi khidmat sosial untuk masyarakat, Selepas ini saya akan senaraikan apa yang akan dilakukan dan apa permasaallahan setelah berada dalam saf kepimpinan PIBG nanti. Yang pastinya saya mahukan satu keputusan yang ada "check and balance" supaya disebelah pehak sana tidak bolih sewenang wenangnya menyalah gunakan kuasa dan sebagainya,jadi fikir betul betul...!
Salam Tuan Haji MSO,
Saya masih ingat tatkala ucapan PM Pak Lah suatu ketika dulu yang menyeru "bekerja bersama saya, bukan bekerja untuk saya."
Sekarang, DS Najib bakal memikul tanggungjawab sebagai peneraju utama. Persoalannya apakah DS Najib boleh menjadi peneraju yang menyerlah sedangkan beliau telah gagal bekerja bersama PM Pak Lah sebaiknya sebagai timbalan kepada Pak Lah. DS Najib seharusnya di masa menjadi orang nombor dua perlu berperanan lebih sensitif, agresif dan proaktif kepada setiap gaya kepimpinan dan keputusan pentadbiran Pak Lah.
DS Najib pasti perlukan pembantu orang nombor dua yang boleh bekerja bersama-sama seperti juga yang diperlukan oleh Pak Lah. Tetapi malangnya segala kegagalan seolah-olah semuanya dihumban kepada Pak Lah sedangkan apa guna DS Najib menjadi orang nombor dua kepada Pak Lah sekiranya tidak boleh melontar idea sebagaimana yang telah dilontarkan sekarang. Jika DS Najib lebih peka dari dahulu lagi, berkemungkinan kepimpinan Pak Lah tidak akan menjadi seteruknya.
Kenapa tidak dari dahulu lagi modul untuk melatih pemuda menjadi pemimpin yang berintegriti, dedikasi dan komited diadaptasi seterusnya dilaksanakan?
Kenapa sistem pemilihan dalam UMNO tidak dipinda dan sistem kuato dimansuhkan semenjak dahulu lagi, sedangkan idea cadangan tersebut telah dicadangkan oleh YBM Ku Li sebelumnya. Apakah ini bermakna DS Najib tandus idea dan telah menciplak idea, cadangan YBM Ku Li sedangkan sebagai orang nombor dua dalam parti DS Najib seharusnya memikirkan sistem ini dari dahulu lagi dan membincangkannya dalam mesyuarat MT sebelum proses pencalonan yang lepas dijalankan. Di sini telah terbukti YBM Ku Li lebih proaktif, kreatif daripada DS Najib dari segi pemikiran.
Saya risau pentadbiran DS Najib akan menjadi umpama lebih sudu dari kuah. Sepatutnya sebagai orang nombor dua DS Najib telah melontarkan cadangan-cadangan yang diwar-warkan pada ucapan pembuka sebentar tadi semasa dalam menjadi pembantu kepimpinan Pak Lah lagi kerana Pak Lah sendiri menuntut bekerja bersama saya bukan bekerja kerana saya. Rasa simpati juga buat Pak Lah kerana mempunyai pembantu (DS Najib) yang tidak dapat membantu sebaiknya, maka iktibar ini DS Najib harus jadikan tauladan dengan memilih pembantunya yang sesuai seandainya DS Najib mahu menjadi peneraju yang sebaik molek.
Wasalam.
salam,
2 pembaharuan yang di uar uar kan oleh najib tue memang patut dari dulu lagi. tapi takpe, kita tengok la dia boleh merealisasikan apa yang dikatakan atau tidak. tapi macam tak je. but nothing is impossible..
Post a Comment